12 March 2011

DPPNK Sifatkan JMM Jahil, Ulangi Cabaran Debat

  • Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) hari ini sekali lagi mengulangi cabaran kepada Jaringan Melayu Malaysia (JMM) agar bersemuka dan berdebat bagi membuktikan dakwaannya bahawa imej Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sama seperti pengasas ajaran sesat, Ayah Pin. Ini berikutan kenyataan Pengarah Kebangsaan JMM, Farahana Jamaluddin di dalam akhbar Utusan Malaysia, hari ini (12 Mac 2011) yang dilihat mempertahankan dakwaannya yang telah disiarkan buat kali pertama juga di dalam akhbar Utusan Malaysia, 6 Mac 2011 yang lalu.

  • DPPNK menyifatkan JMM yang diwakili oleh Farahana sebagai terlampau jahil tentang hukum hakam agama apabila mendakwa PAS melindungi seseorang yang tidak mahu bersumpah tidak meliwat. Tuduhan itu nyata sekali ditujukan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekarang dibicakaran di mahkamah di atas tuduhan meliwat.

  • DPPNK mencabar JMM mendatangkan bukti dan hujah berdasarkan agama iaitu bilakah seseorang yang dituduh meliwat dikehendaki bersumpah apabila si pengadu telah bersumpah. Di dalam Islam, tuduhan ini perlu dibicarakan di mahakamah syariah dengan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Pihak yang enggan membawa kes ini ke mahkamah syariah ialah kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO dan Barisan Nasional.

  • Meletakkan bebanan kepada tertuduh untuk bersumpah dengan mengaitkannya kepada Islam adalah bukti kejahilan JMM ditambah pula dengan kenyataan kurang ajar sebelum ini yang menyamakan imej Menteri Besar Kelantan dengan Ayah Pin.

  • Sehubungan dengan itu, DPPNK sekali lagi mengulangi cabaran debat terhadap Farahana atau mana-mana pimpinan JMM yang mempertahankan kenyatan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kebangsaan JMM itu. Keengganan untuk menyahut cabaran ini membuktikan sikap pengecut yang dimiliki oleh JMM yang hanya berani berkokok di atas pentas UMNO dan di dada akhbar yang dimiliki oleh UMNO.

  • DPPNK menuntut agar Farahana tidak mengalihkan isu kononnya pandangan beliau dinafikan hanya kerana beliau merupakan seorang wanita. Hakikatnya di dalam JMM mahupun UMNO sendiri, beliau seolah-olah tidak disokong oleh sesiapa dan hanya menyalak seorang diri. Ini bukan soal jantina, tetapi soal kenyataannya yang dilihat telah melampaui akal waras seorang manusia. Sekian, wassalam.

  • Yang menjalankan tugas,
  • AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
  • Ketua Penerangan,
  • Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)
  • Bertarikh : 12 Mac 2011

No comments: