07 October 2008

Kisah Lembu Bani Israel


Allah 'Azzawajalla di dalam al-Quran yang merupakan mukjizat yang paling besar dan berkekalan sehingga hari kiamat telah menceritakan kepada kita tentang satu peristiwa yang telah berlaku kepada satu kelompok daripada bani Israel. Cerita ini bukanlah cerita dongeng tetapi merupakan satu kisah daripada kisah-kisah yang lain daripada al-Quran yang patut dan mesti kita mengambil iktibar dan tauladan yang terbaik daripadanya. Kisah ini telah dinukilkan dalam ayat 67 sehingga 74 surah al-Baqarah dan kisah ini juga merupakan sebab surah ini dinamakan surah al-Baqarah.

67. Dan (ingatlah), ketika nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata :"Adakah kamu mahu menjadikan kami bahan ejekan?". Nabi Musa menjawab : " Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang daripada orang-orang yang jahil".

68. Mereka menjawab :" Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami tentang apakah lembu betina itu".Nabi Musa menjawab :"Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina yang tidak tua dan tidak pula muda iaitu pertengahan antara itu, maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu".

69. Mereka berkata: " Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apakah warnanya". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina iatu adalah lembu betina yang bunting yang kuning, yang kuning tua warnanya lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya".

70. Mereka berkata : Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat lembu betina kerana sesungguhnya lembu itu(masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami Insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk memperolehi lembu itu).

71. Nabi Musa berkata :" Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah digunakan untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi air, tidak cacat, tidak berbelang". Mereka berkata : "Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat lembu betina yang sebenarnya". Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu".

72. Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan.

73. Lalu Kami berfirman:"Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina itu!". Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan padamu tanda-tanda kekuasaanNya agar kamu mengerti.

74. Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal dicelah batu-batu itu memang ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan dicelahnya memang ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan dicelahnya memang ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lupa daripada apa yang kamu kerjakan.


RINGKASAN KISAH


Pada zaman nabi Musa telah berlaku satu jenayah pembunuhan dalam kalangan bani Israel. Pembunuh tidak diketahui dan masing-masing mempertahankan diri daripada mengaku salah dalam masalah pembunuhan ini. Ini menyebabkan mereka saling menuduh antara satu sama lain dalam masalah ini. Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka telah menemui nabi Musa. Nabi Musa telah memohon kepada Allah agar Dia membuka rahsia tentang pembunuhnya yang sebenar. Allah telah mewahyukan kepada nabi Musa supaya memerintah kepada bani Israel untuk menyembelih seekor lembu betina tetapi Dia tidak menerangkan secara jelas mengenai keadaan dan sifat sebenar lembu tersebut. Sekiranya mereka menerima penerangan mengenai lembu itu secara terperinci kemungkinan besar mereka kan terus melaksanakannya.

Tetapi memang telah menjadi sikap dan sifat yahudi iaitu sentiasa mencanggah dan mahu lari daripada tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah. Mereka telah bertanya kepada nabi Musa tentang umur lembu betina itu. Nabi Musa menjelaskan bahawa lembu itu tidak tua iaitu pertengahan antara keduanya. Kemudian mereka bertanya pula tentang warnanya dan nabi Musa memberitahu mereka bahawa lembu itu berwarna kekuningan iaitu kuning tua yang menyejukkan mata memandang.

Mereka terus bertanya mengenai pekerjaan lembu itu dan nabi Musa terus menyatakan bahawa lembu itu mata disayangi oleh tuannya, tidak pernah digunakan untuk membajak tanah mahu pun mengairi air. Akhirnya setelah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan ole nabi Musa barulah mereka melaksanakan apa yang telah disuruh walau pun pada mulanya mereka hampir tidak ingin melaksanakannya.

Kemudian nabi Musa menyuruh mereka supaya memukul tubuh mayat lelaki yang dibunuh itu dengan sebahagian daripada lembu betina yang disembelih tadi. Mereka melaksanakannya dan tiba-tiba dengan kuasa Allah mayat tadi hidup apabila ditiupkan oleh Allah ruh. Mayat yang dihidupkan semula oleh Allah itu terus menerangkan mengenai pembunuhnya yang sebenar. Setelah menerangkan segala-galanya maka dia dimatikan semula oleh Allah. Golongan bani Israel yang menyaksikan peristiwa ini merasa begitu takjub dan kehairanan. Begitulah antara kuasa Allah yang Maha Berkuasa di dalam membuat sesuatu walau pun ia berkaitan dengan perkara yang pelik.


PENGAJARAN


1. Diwajib mematuhi segala perintah dan hukum hakam dan melaksanakannya serta beriltizam secara penuh keikhlasan. Ini bermaksud melaksanakannya seberapa segera yang boleh tanpa menanguhnya.

2. Kita dilarang mentakwil dan berdalih daripada apa yang telah diperintahkan oleh Allah, apatah lagi bertujuan untuk mengelak dan lari daripada suruhanNya.

3. Tunjang utama di dalam memberi natijah kepada sesuatu perkara itu adalah hati. Jika hati itu benar-benar ikhlas dan yakin serta patuh kepada Allah maka yang demikian ini akan menyebabkan tuannya sentiasa melaksanakan segala kewajipan dan perintah dengan segera dan tidak banyak berdalih. Tetapi jika hati kotor dan tidak kukuh keyakinannya kepada Allah maka akan menyebabkan seseoarang itu sentiasa berdalih dan mencari jalan untuk lari daripada tanggungjawabnya dan perintah Allah.

4. Dilarang kita terlalu membesar-besarkan perkara kecil sehingga kewajipan yang lebih besar terabai seperti terlalu menekankan mengenai amalan zikir yang dianggap bid'ah dan berbalah mengenai masalah khilaf yang tidak menjejaskan aqidah sehingga lupa kepada bid'ah yang paling besar iaitu menegakkan daulah Islamiah.

5. Kita diminta supaya mengambil apa yang disuruh oleh Allah tanpa meminta penambahan atau pun pengurangan mengenai agama. Kita juga dilarang memperbanyakan masalah dan penjelasan kepada perkara yang bersangkutan dengan cabang kepada masalah agama bukannya usul atau pun asasnya.

6. Kewajipan kepada kita di dalam menghormati para nabi dan rasul serta ulama' yang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan tugas agama.

7. Iltizam dan istiqamah di dalam melaksanakan perintah Allah akan membawa kepada khusyuk hati dan mengubah diri ke arah kebaikan. Jika seseorang itu hanya melakukan segala perintah Allah sambil lewa dan tidak beriltizam dengannya akan menyebabkan kepada parahnya penyakit hati dan akan memberi kesan ke arah keburukan dalam sikap dan sifat zahirnya.

Semoga kita dapat sama-sama mengambil apa yang baik untuk dicontohi dan dihayati dalam kehidupan seharian dan menjauhi segala yang buruk agar bala Allah tidak akan menimpa kita dan ahli keluarga yang lain. Jika kita membantu di dalam meninggikan kalimah Allah yang sedang dicabar dan dinodai oleh musuh Islam tanpa belas kasihan maka dengan penuh pasti dan yakin Allah akan membantu kita dan menetapkan hati serta perjuangan kita dalam Islam.



Sifat Israel Yahudi yang seumpama binatang


05 October 2008

Islam dasar pengabungan PAS, dasar BN apa pula?

Kata-kata yang disuarakan oleh Presiden MIC yang berbunyi, "Cadangan menggabungkan semua parti yang bersifat perkauman ini sesuatu yang sukar dilaksanakan." (Berita Harian 30 September 2008).

Benar sangatlah kata-kata ini. Sampai bila pun cita-cita penggabungan, permuafakatan dan penyatuan akan menjadi kata-kata jinak buat pameran semata-mata. Bertolak dari sentimen perkauman yang taksubkan bangsa; Umno dengan ke-Melayuannya, MCA dengan ke-Cinaannya dan MIC dengan ke-Indiaannya, maka seruan konsep permuafakatan dan tolak ansur BN tidak membawa erti apa-apa.

Begitu juga dengan kata-kata Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim dan harapan seorang lagi Naib Presiden MCA, Dato' Ong Tee Keat di hari yang sama dalam akhbar yang sama.
Masing-masing menganggapkan ia idea yang baik tetapi apakah sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dan dibajai oleh masing-masing parti komponen parti dalam BN boleh menumbuhkan sikap yang berkompromi dalam semangat persaudaraan yang murni dan tinggi?

PAS meletakkan titik persaudaraan tanpa mengira perbezaan bangsa dan suku kaum.
Teras bicara kita ialah kita semua daripada keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa.
Semua orang adalah sama melainkan perbezaan maqam dan nilai mulia atau hinanya seseorang itu terletaklah diatas ukuran taqwa. Dengan menggunakan "parameters" ini, PAS mempunyai seluruh potensi dan kekuatan yang ada untuk bertindak sebagai parti penyatuan rakyat.

Di atas pentas Islam inilah juga PAS sedang diterima dengan baik sebagai pilihan kepada Umno/BN. Jika mahu dilihat masih relevan, inilah saat yang memerlukan Melayu dalam Umno datang dan memasuki PAS. Dalam "mood" penggabungan yang sedang ghairah diterima oleh pemimpin komponen di dalam BN, tentu sekali langkah untuk memartabatkan ketuanan Islam adalah suatu yang amat menepati masa.

Pemimpin Umno perlu ingat bahawa bila Umno kekal dengan ketuanan Melayunya, pemimpin MCA pun boleh bercakap tentang ketuanan Cinanya. Begitulah juga dengan MIC dan Gerakan dengan khayalan ketuanan masing-masing.

Dalam keadaan begini, perkataan penggabungan dan permuafakatan ke arah Integrasi Nasional hanyalah gimik dan fatamorgana. Ia retorik dan sapuan gincu yang tidak mempunyai nilai apa-apa. Sepatutnya inilah saat Umno meninggalkan ketuanan Melayu. Tidak sudah dengan terus berpegang kepada faham kebangsaan lapuk kerana ia hanya menganjurkan perkauman.

Di akhirat nanti, tiada harga berupa pahala untuk dinikmati oleh mana-mana pejuang bangsa. Di sinilah Islam meletakkan hujah bahawa ia agama penyatuan. Ia agama yang tidak mementingkan bangsa dan semangat kebangsaan. Bahkan ia suatu agama yang menerima prinsip kewarganegaraan berasaskan semangat keantarabangsaan. Ia agama sejagat yang menyatukan anugerah bangsa yang berbeza-beza dan bukan memecah belahkan orang diatas jalur-jalur kebangsaan.

Menjadi umat Islam ialah menjadi hamba Allah yang menjadi hamba kepada "tuan punya" kepada langit dan bumi ini terlebih dahulu. Lantaran itu Islam sangat mementingkan hujah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

"Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. (Surah Saba' : Ayat 24).

Di sini, roh kebenaran Islam cukup jelas iaitu setiap sesuatu itu wajib disandarkan kepada fakta dan hujah. Jika Umno mempunyai hujah untuk mempertahankan kebangsaan Melayu sebagai asas penyatuan, maka mereka bolehlah mengemukakan segala fakta dan segala alasan.
Akan tetapi, setakat yang dapat disaksikan, perjuangan Umno yang hujahnya kebanyakannya dibina di hujung keris dan tombak Melayu itu tidak memberi bekas dan membawa faedah kepada sejarah dan masa depan bangsa dan negara. Tiada signifikan apa-apa. Apa yang jelas dapat disaksi rakyat hanyalah perpecahan, disintegrasi, korupsi, curiga, dengki, benci dan dendam. Cinta,rindu dan simpati antara kaum semakin tandus dari takung kalbu kehidupan.

Sudah sepanjang 50 tahun sikap curiga antara kaum semakin tajam. Jika sedikit masa dahulu masyarakat Cina pernah melahirkan Dato' Lee Kim Sai, kini Umno pula melahirkan Dato' Ahmad bin Ismail. Ini menunjukkan jalan ke hadapan untuk Malaysia cukup buntu selagi Umno tidak berubah. Maksud saya di sini ialah Umno perlu berubah dan kembali kepada Islam. Bukan PAS lagi yang masuk Umno tetapi Umno yang mencari dan memasuki PAS.

Bermukabalah ke arah kembali kepada Islam - hanya inilah penyelesaian yang ada di hadapan kita. Jika tidak, Umno cuma mahu mengelirukan keadaan. Umno hanya mementingkan survival dengan memainkan sentimen perkauman yang sensitif ini demi menyelamat dan menyambung kelangsungan hayat pemimpin mereka. Begitulah terkini dan trend Umno selama-lamanya.

HarakahDaily.Net

24 September 2008

Muhasabah Ramadhan

7 days remainings...

Muhasabah buat diri..adakah Ramadhan aku kali ini benar2 menjadi madrasah untuk aku memperbaiki diri, adakah Ramadhan ini kualiti ibadah aku pada Allah bertambah..Ya Allah,adakah cukup bagiku amalan di bulan mulia ini..bagaimana puasaku..bagaimana solatku..tilawah Al-Quran..bagaimana pula dengan hubungan aku dengan-Mu di sepertiga malam..Adakah Ramadhan benar2 menjadi pendiding bagi aku mengadapi bulan2 mendatang..dan..sampaikah umurku nanti untuk Ramadhan yang akan datang..moga-moga di panjangkan umur...


++Cinta Agung++

“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruhMu..”

Bait-bait nasyid kumpulan Quturunnada di atas sering mengingatkan kita kepada hakikat cinta yang sebenar. Makna serta irama yang dibawa oleh Qutrunnada ini benar-benar menyentuh jiwa apatah lagi di tengah-tengah kerancakan irama nasyid kotemporari yang mewarnai dunia nasyid pada masa sekarang. Entahlah, sukar untuk mentafsirkan irama nasyid sekarang..terpulang kepada individu itu sendiri untuk memilih hiburan yang benar-benar ia rasakan dapat menuntut jiwa selagi tidak bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan dalam Islam.

Berbicara mengenai cinta, tentunya tidak akan lepas dari perbincangan kita cinta monyet yang menghiasai dunia muda-mudi sekarang ini. Malah, tidak keterlaluan untuk dinyatakan, itulah perspektif masyarakat terhadap cinta. Sedangkan cinta sebeginilah yang sering mendorong pelakunya ke arah melakukan maksiat kepada Allah SWT. Sekotor itukah cinta?

Apakah cinta sebenarnya? Cinta sebenarnya menepati satu angka perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan membantutkan tumbesar manusia.

Kesenian cinta yang didasari runtutan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsai keghairahan nafsu dan kebejatan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah.

Permasalahan cinta antara yang dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spritual-membunuh solidariti dan menodai sosial.

Individu mukmin sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa. Cinta yang berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan dihina. . Apatah lagi dalam suasana masyarakat remaja khususnya tertipu dengan propaganda 14 Februari yang kononnya ialah hari Kekasih atau Valentine Day. Maka sibuklah dunia berbicara soal cinta yang banyak menjurus kepada cinta karut-marut yang bertemakan mainan perasaan yang sama sekali terseleweng dari kehendak Islam.

Semoga Allah memberikan ganjaran terhadap usaha yang kecil ini dalam membersihkan jiwa pemuda-pemuda dari sebarang permainan perasaan yang hanya akan menyesatkan fikiran.

Cinta Allah

Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah.

Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap. Firman Allah SWT :

“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)

Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT. Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari Agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat 54)

Percayalah, masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak akan berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja dengan berhati-hati dan mengenepikan mainan perasaan adalah merupakan perkara yang amat sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam dan membara. Namun, itulah mujahadah melawan perasaan. Sekadar perasaan dan diri sendiri menjadi musuh, alangkah malunya untuk kita tewas terlalu awal. Usia emas yang diberikan ini alangkah baiknya andainya digunakan sebaik mungkin menggali sebanyak mana anugerah di bumi ilmu.