13 May 2009

Just opinion..

Laungan keadilan untuk rakyat (jangan biar si-gila menuntut hak)

Pelik bin ajaib undang-undang dan perlembagaan di Malaysia ini. Sistem demokrasinya (harap-harap anda dapat tangkap maksud saya). Aku bukannya arif mengenai perundangan di Malaysia, tidak mengambil jurusan undang-undang, sains politik pun atau apa-apa yang sama waktu dengannya. Cuma sekadar perkongsian yang boleh dibuat melalui sedikit pembacaan kerana Nabi junjungan aku dan anda semua telah berpesan, "sampailah dariku walau sepotong ayat". 

Demokrasi yang bagaimana, keadilan yang bagaimana?

Menyebut mengenai keadilan, memang manusia umumnya mahukan keadilan (kalau tidak, tidak wujud Parti Keadilan Rakyat..huu.). Kerana memang tidak dapat di nafikan tiap-tiap daripada manusia pasti menjalinkan hubungan dan bermuamalat sesama manusia (Habluminannas) dan memang akan ada pertukaran dan perbezaaan fikiran dan pendapat. Dan Keadilanlah yang sebahagian besarnya menjadi penentu dan pengawas di dalam sebarang masalah masyarakat.

Jika kita merujuk maksud Keadilan sendiri, yang kita telah faham dari segi bahasanya adalah tegak di tengah. Berbeza maksud syarak nya yang meletakkan sesuatu pada tempatnya. Namun bagi menjelaskan dengan bahasa mudah, keadilan itu adalah "jangan melakukan sesuatu kepada orang lain akan barang yang kita tidak sukai dan kita sendiri tidak menyunkai jika orang lain perbuat kepada kita". Em..harap-harap anda faham.

Berbalik mengenai undang-undang yang diguna pakai di Malaysia khususnya dan dunia umumnya, bagaimana perlaksanaannya, ya..aku mungkin jahil, namun sekadar perkongsian daripada hasil pembacaan. Umumnya mana-mana undang-undang di dunia yang merasakan negaranya lah yang paling sopan dan perfect dalam melaksanakan undang-undang tidak dapat lari dari 3 aspek utama iaitu:

1) Persamaan
2) Kemerdekaan
3) Pemilikan

Persamaan

Adalah menjadi hak bagi setiap manusia atau rakyat yang berkehendakkan persamaan dalam beberapa perkara seperti keperluan hidup, makanan, tempat tinggal, air dan sebagainya. Bahkan dalam Islam, Allah sendiri menilai manusia itu semuanya sama,yang membezakan hanya taqwa. Boleh rujuk 'Kitab Kehidupan' kita, bab 49, ayat 13.

Namun demikian, memang kita tidak dapat lari daripada perbezaan kedudukan atau 'kasta' dalam masyarakat. Contohnya, raja dan rakyat, majikan dan pekerja, orang kaya dan orang miskin dan lain-lain. Tidak mengapa ini kerana perbezaan kedudukan atau tingkatan hidup dan harga didalam masyarakat ini hanyalah dari sebab perbezaan ilmu. Ya, memang semua manusia yang dikurniakan Allah akal yang sama, mungkin perbezaannya hanyalah usaha manusia itu untuk  menimba ilmu. 

Seperti yang aku maklumkan tadi, perbezaan ilmu ini seharusnya yang menentukan taqwa kita pada Pencipta, kerana salah satu elemen yang mendorong kepada ketaqwaan kepada Allah itu adalah melalui ilmu yang diperoleh. Tapi kena ilmu yang baik, kalau ilmu yang buruk, seperti ilmu hitam atau ilmu untuk menang jawatan melalui politik wang, tidak akan sampai ketaqwaannya. 

Kemerdekaan

Sememangnya mana-mana negara atau individu yang masih dijajah menginginkan kemerdekaan. Iaitu melalui semangat hidup manusia. Hakikatnya semua manusia yang lahir dari perut ibu telah merdeka atau di dalam kemerdekaan. Aku dan anda semua pada awalnya dari dalam perut ibu pun tidak terikat dan tidak kenal mana-mana raja, hakim, bos, atau siapa-siapa sahaja. Jadi sebab daripada itu lahirnya kita di dunia ini perlu terus berasa didalam suasana kemerdekaan. Bukan sebagai hamba manusia, tawanan atau 'budak-budak'.

Wajib bagi manusia itu menyatakan kemerdekaannya, merdeka di dalam  anugerah yang Allah telah kurniakan kepada kita, asalkan kita tidak menyusahkan dan menggangu ketenteraman atau kemerdekaan orang lain pula, ia sudah cukup baik.     

Pemilikan

Semestinya undang-undang di dunia terutamanya di Malaysia mengiktiraf dan mengakui akan pemilikan harta seseorang itu. Bebeza jika kita meneliti sejarah semasa zaman kegelapan Eropah dahulu (aku memang banyak lupa sudah), dimana pemilikan harta individu itu adalah milik majikan atau golongan2 atasan. Itu zaman gelap, namun dizaman 'terang' ini, pemerintahan semestinya tidak boleh mencampuri hak milik individu (tapi pemerintahan Malaysia ini ada kelihatan sedikit).

Di zaman sekarang, rakyat seharusnya berkuasa untuk mempertikai atau 'argue' sebarang perkara yang telah dicabuli, terutama berkaitan hak dan pemilikan individu oleh pihak atasan, tidak kira berapa tingginya 'maqam' sesoarang itu. Majikan, YB hatta Raja sekalipun. Dan mereka yang ditindas ini boleh membawa mereka-mereka yang menindas ke muka pengadilan. Ha, ini bukan aku kata kosong, boleh rujuk kata-kata Abuya Hamka, dalam bukunya Falsafah Hidup. "Dalam undang-undang keadilan zaman sekarang, rakyat berhak memperkarakan raja di muka undang-undang, kalau sekiranya raja itu mengambil hak miliknya dengan tidak menuruti perturan yang telah ditentukan

Konsep keadilan inilah yang harus dimainkan di setiap negara yang menjalankan pemerintahan demokrasi. Ianya sebagai 'border' atau sempadan agar setiap kepentingan sesuatu individu atau masyarakat itu tidak dicabuli dalam kehidupan meniti arus kemajuan.

Ianya bertitik tolak daripada individu di dalam sesuatu masyarakat itu sendiri. Islam telah mengajar kita dengan pelbagai sifat dan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Menghormati orang tua, menyanyangi yang muda, bantu-membantu, menghormati hak dan kepercayaan orang lain samada sesama agama atau berbeza, memelihara harta orang lain dan banyak lagi. Itu semua adalah peranan kita dalam memelihara dan menjaga hak orang lain. Menghormati kehidupan orang lain agar kehidupan kita juga di hormati. Inilah keadilan. 

Semuanya berbalik kepada undang-undang Islam, konsep keadilah dalam Islam. Demokrasi yang berlandaskan syariat Islam. Itu yang telah Rasulullah lakukan, idea perang Salman Al-Farisi yang telah diguna pakai di Parsi, tidak ke itu undang-undang asing. Rasulullah tidak menolak bulat-bulat undang-undang Barat. Selagi ia mendatangkan manfaat kepada manusia. Ambillah dan cedoklah sebanyak mana undang-undang yang telah diguna pakai diBarat, tapi perlulah di asaskan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah nabi. Petunjuk sepanjang jalan.

Hakikatnya, tidak pastilah samada aku seorang sahaja yang syok sendiri, atau anda semua memang sudah sedar dan maklum mengenai undang-undang dan konsep demokrasi di Malaysia yang kita cintai ini. Aku dan anda berhak untuk menilai dan menginterpretasikan mengikut pendapat akal fikiran dan ilmu dan semestinya bukan atas dasar nafsu semata-mata.

Tepuk Dada Tanya Iman..

" Maka apakah hukum Jahiliyyah yang mereka pilih, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?" Al-Baqarah 50


12 May 2009

MLM..oh..MLM


Biar rugi didunia, tapi jangan rugi di akhirat

Hari ini seorang sahabat telah memperkenalkan aku pada sebuah syarikat MLM..'U*******u'..
Argh..aku memang fobia dengar bisness multilevel ni, sebabnya..1) aku memang anti MLM..banyak cerita yang aku dengar tentang MLM ni, mencurigakan. 2) aku memang tak berminat nak dengar dan terlibat tentang bisnes2 macam ini, bagi aku ia 2x5 sama seperti skim cepat kaya. 3) Aku memang tak minat sebab 2 alasan diatas..huuu

Jadi, diatur pertemuan dengan seorang agen, puas aku mendengar talk yang panjang lebar serta membosankan. Persoalannya? sebab apa pula pandai-pandai je aku boleh pergi jumpa dan tengar talk ni, semuanya bersebab dari mesej sahabat aku, lebih detail lagi sahabat aku ni sebenarnya adalah anak usrah aku yang lama tidak bersua. "Salam, abg ape khabar, wan nak jumpa abang boleh tak" bunyi mesej yang diterima. Alhamdulillah, ingat lagi dia pada naqib, "InsyaAllah,boleh2..abang pun dah lama tak jumpa wan" mesej direply. Niat dihati ini memang hendak jumpa anak usrah yang kian lama tidak berjumpa. Atas dasar ingin melihat wajah dan bertanya khabar. Rupa-rupanya anak usrah aku ni hendak memperkenalkan bisnes ni, lalu menjemput seorang agen untuk menerangkan kepada aku. (aku tidak menyalahkan anak usrah aku pun..)

Pendek cerita, bergelas-gelas air kosong diteguk, mendengar penerangan agen MLM yang panjang lebar, mungkin memang satu kelebihan yang dianugerahkan pada agen2 MLM di suluruh dunia ni, pandai berkata-kata, bijak bercakap, psikologi bahasa untuk menarik perhatian. Secara jujurnya, aku hampir-hampir lalai dan tertewas dengan kata-kata beliau. Biasalah, mendengar 'marketing plan' dan beberapa lagi bukti yang di bentangkan, dengan hasil lumayan yang diperolehi bagi mereka yang menyertai, semuda ABCD (kata agen tu la). Dalam sebulan boleh terima beribu-ribu ringgit. Mengiurkan..

Apa yang bagusnya, agen ni kata yang dia memang tidak memaksa untuk aku sertai bisnes ni, dia hanya boleh menerangkan mengenai bisnes ni, soal keputusan terletak pada diri aku. Em, baguslah, aku pun sudah membuat keputusan selepas pertemuan itu, aku tidak berminat. Jujurnya, aku memang tidak berapa jelas dan meragui dengan konsep MLM ni, bahkan semua MLM yang ada di Malaysia. Hasil dari usaha sedikit dan diperoleh melalui jaringan ahli atau downline. (boleh rujuk Zaharudin.net)

Sebaik pulang balik dari pertemuan itu, aku terus buka Zaharudin.net, dan aku memang sudah merancang awal-awal lagi untuk merujuk laman web ini. Alhamdulillah, memang ada penjelasan mengenai MLM ini, dan samada ia kebetulan atau tidak syarikat tersebut juga tersenarai Memang meragui, soal halal dan haram, syubhat dan ketidakjelasan dalam MLM ini. 

Syukur pada Allah yang membuka jalan bagi aku untuk memilih mana yang baik mana yang buruk, selagi dikurniakan akal fikiran untuk memilih, pilihlah yang meyakinkan, tiada keraguan, tiada syubhah dan jelas sumber dan perlaksanaannya. Jika tiada ilmu, berusahalah untuk mencarinya. Inilah kelebihan manusia, diberi akal dan fikiran, namun harus dipastikan agar akal dan fikiran yang terbatas tidak didorong dengan hawa nafsu, harus kembali merujuk kepada pegangan kehidupan manusia yang utama iaitu Al-Quran dan Sunnah. 

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dengan duanya, nescaya kamu tidak akan sesat untuk selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku"


Doa untuk diberi kesenangan hidup:

"Ya Allah, baguskanlah untukku agamaku yang menjadi pangkal urusanku, baguskan pula duniaku yang menjadi tempat penghidupanku, dan baguskannlah akhiratku yang padanya tempat kembaliku, jadikanlah hidup itu sebagai bekal bagiku dalam segala kebaikan, serta jadikan mati itu sebagai pelepas segala keburukan bagiku" 

11 May 2009

..monolog lagi...


Ada Apa Dengan Peringgit...

Alhamdulillah syukur kehadrat ilahi, aku masih lagi di beri Hidayah dan Pertunjuk,dengan lautan Rahmah dan Maghfirah daripada Allah menjadikan aku tetap thabat dan istiqamah dalam Islam...walaupun 'lacking' dari segi 'performance'.. owh..

Malam semalam..Teringat kata seorang sahabat aku.."Enta ni dah 'expired'.."..walaupun dalam nada berseloroh, namun ada kebenarannya, interpretasi 'expired' dari sudut dan makna yang berbeza, iaitu..tempoh perjuangan di kampus...Ya..!..memang tak dinafikan,  tempoh 'barang' atau 'product' perjuangan aku dikampus, telah 'expired',..dan tiba masanya diganti dengan yang baru, fresh, berkualiti,suci dan bebas dari 'penyakit dalaman dan luaran'..

Patah tumbuh hilang berganti  

Samada yang patah atau hilang itu..dapat digantikan dengan sesuatu yang lebih baik..



Dari HR Tarmizi, Sabda Rasulullah s.a.w, 
"Tidak akan berganjak kaki anak Adam sehingga ditanya kepadanya 4 perkara: 
1) Umur, kemana dan untuk apa ia dihabiskan, 
2) Masa muda, untuk apa ia dugunakan, 
3) Harta, kemana ia dibelanjakan, 
4) Ilmu, sebanyak mana dimanfaat dan diamalkan.   

02 May 2009

Halangan dan Rintangan dalam Perjuangan


IkhwanulMuslimin, Mesir


HAMAS, Palestin

Jamaat Islami, Pakistan dll..

Gerakan Islam kebelakangan ini menghadapi berbagai-bagai rintangan dan halangan yang perit di dalam perjuangannya. Kita lihat sahaja apa yang berlaku kepada umat Islam di Algeria, Tunisia,Mesir, Palestin dan di merata tempat di pelusuk dunia ini umat Islam ditekan hebat oleh mush-musuh Islam yang didalangi oleh kuasa-kuasa besar dunia dan kuncu-kuncunya. Ini merupakan suatu sunnah dan kita sebagai pejuang Islam perlulah melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal melanda umat di rantau ini.



SEPINTAS LALU TRIBULASI UMAT TERDAHULU

Sepintas lalu cabaran dan tribulasi yang telah dihadapi oleh para-para rasul dan nabi:

a) Nabi Ibrahim a.s. tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. tidak lain dan tidak bukan merupakan rentetan pertarungan antara kebenaran dan kepalsuan. Kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim bangun menentang dan melawan cara hidup jahiliyah tanpa mengira sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Maka berlakulah tentangan dan tekanan hebat daripada kaumnya sedangkan Nabi Ibrahim tanpa memiliki apa-apa kekuatan senjata dan kekuatan penyokong. Kita lihat di sini bagaimana keimanan kuat Nabi Ibrahim memperjuangkan kebenaran, baginda dipulaukan oleh kaum keluarganya termasuk ibu bapanya sendiri.

Namun itu semua sedikit pun tidak mengubah pendiriannya dan memperjuangkan kebenaran. Tekanan ke atas Nabi Ibrahim a.s. semakin hebat sehingga baginda dicampakkan ke dalam api yang marak menyala supaya mati terbakar hidup-hidup. Baginda redha terhadap ujian Allah demi kesetiaan perjuangannya.

Akhirnya Allah memerintahkan api supaya menjadi sejuk sepertimana yang digambarkan melalui firmanNya yang maksudnya:

“Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.” Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadika mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).” (Al-Anbiya’: 69 – 70)

Tentangan dan halangan yang dialami oleh Nabi Ibrahim berterusan melambangkan keutuhan dan kemantapan perjuangannya yang tidak kenal undur sehingga akhirnya Allah menjadikannya sebagai salah seorang rasulNya yang terpilih (ulu al-‘azmi).

Firman Allah swt yang bermaksud: “Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak telahpun dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).” (Al-Baqarah: 130)


b) Nabi Musa a.s.: Ujian yang dihadapi dan diharungi oleh Nabi Musa a.s. bermula sejak bayinya lagi. Sebagaimana yang kita tahu, sejarah perjuangan Nabi Musa a.s. dihiasi dengan suasana yang menyayatkan. Ibunya terpaksa menyelamatkan baginda dari kekejaman Firaun dengan menghanyutkan baginda ke sungai.

Seterusnya ujian demi ujian berterusan dan semakin besar seiring dengan membesarnya Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. tidak putus as dan tabah dalam memimpin satu bangsa manusia yang telah biasa tunduk dan memberi ketaatan total kepada raja mereka Firaun. Baginda bukan sahaja berhadapan dengan rajanya yang zalim tetapi juga pembesar-pembesarnya yang tidak berperikemanusiaan dan suka menindas yang lemah.

Dalam suasana beginilah Nabi Musa a.s. diperintah supaya menyeru Firaun yang berada di puncak kezaliman supaya tunduk dan patuh menyembah Allah. Sikap sombong dan angkuh Firaun telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran.

Di antaranya Allah menggambarkan keangkuhan dan kezaliman Firaun yang tiada tolok bandingnya dengan firmanNya yang bermaksud:

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” (Al-Qasas: 4)

Begitu kejamnya Firaun sehingga terkadang Nabi Musa a.s. sendiri merasa gerun dan gementar menghadapi tribulasi perjuangan dalam menentang Firaun. Lebih-lebih lagi apabila perjuangan Firaun itu sendiri disokong oleh tukang-tukang sihir yang terkenal dan zalim. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya. Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.” Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada.” (At-Taha: 67 – 69)

c) Nabi Muhammad s.a.w.: Cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. juga tidak kurang hebatnya. Bermula dari perang saraf hinggalah cubaan-cubaan untuk membunuhnya. Kita juga lihat bagaimana baginda bersama-sama dengan para sahabat baginda turun ke medan perang, berjihad mempertahankan aqidah sanggup mempertaruhkan nyawa dan mengorbankan harta benda semata-mata memperjuangkan ajaran yang suci ini.

1. Perang Saraf

Taktik psikologi dari musuh, melalui fitnah, ejekan dan kejian serta mempersendakan Rasulullah s.a.w. supaya baginda akan patah semangat dan meninggalkan perjuangan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebgaimana yang engkau katakana (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.” Katakanlah (wahai Muhammad) : “Maha Suci Tuhanku! Bukanlah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?” (Al-Isra’: 90)

Namun itu semua menambahkan lagi semangat dan ketabahan Rasulullah s.a.w. terhadap perjuangan di mana akhirnya selepas itu orang-orang Arab jahiliyah berusaha untuk membunuhnya tetapi Allah s.w.t. memberi perlindunganNya dari usaha tersebut

2. Peperangan mengangkat sejata

Halangan terhadap usaha dakwah Rasulullah s.a.w. berterusan sehingga menghendaki Rasulullah dan para sahabatnya menggadaikan nyawa dan harta benda dalam meneruskan perjuangan bagi memastikan ‘survival’ ajaran Islam ini.

Dalam peperangan Uhud misalnya, bapa saudara Rasulullah s.a.w. turut terbunuh manakala Rasulullah sendiri luka-lika dan nyaris maut. Peperangan ini turut menyaksikan kesetiaan dan pengorbanan para sahabat Rasulullah s.a.w. di saat-saat yang sangat mencemaskan seperti Abu Talhah r.a. dan Ziad bin Sakan r.a. yang menjadikan diri mereka sebagai perisai bagi melindungi Rasulullah s.a.w. dari terkena panah pihak musuh.

Begitu juga dalam peperangan lain kita lihat betapa hebatnya pengorbanan untuk memastikan Islam ini dapat terus berkembang dan menewaskan penghalang-penghalang kepada perkembangannya.


HALANGAN-HALANGAN DAKWAH DAN PENDAKWAH

Halangan-halangan Terhadap Kerja Dakwah Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam. Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul berserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara pekerja-pekerja dakwah dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran dan dalam waktu yang sama melalui proses masa dapat menyediakan pekerja-pekerja dakwah ini tahan menghadapi ujian dan cabaran serta matang di dalam melakukan tindakan dan berfikir.

Sebenarnya, masalah utama yang dihadapi oleh pendakwah masa kini ialah soal ketahanan jiwa untuk menghadapi segala macam cabaran di dalam perjuangan. Satu perkara yang mesti kita faham, bahawa segala idea atau kefahaman hanya akan tinggal sebagai slogan dan teori kosong selagi nilai dan kefahaman itu tidak dijelmakan ke dalam kehidupan seharian.

Sekiranya para pendakwah sendiri tidak mempunyai aqidah yang teguh, budi pekerti yang luhur, kesungguhan yang kental, tidak bersungguh-sungguh memuhasabah diri, lali dari mengingati dan bertawakal kepada Allah serta tidak wara’ daripada mengerjakan perkara-perkara yang meragukan, begitu juga kalau mereka ini tidak bersungguh-sungguh salam mengerjakan ibadah maka sudah pastilah mereka ini juga boleh mendapat jangkitan dari penyakit-penyakit jahiliyah moden yang sedang dan telah merebak ke dalam masyarakat Islam

Halangan-halangan pada kehidupan pendakwah dan secara langsung merupakan rintangn dan halangan terhadap kerja-kerja dakwah:

a) Wanita

Dalam kehidupan pendakwah malah manusia umumnya, wanita amat memainkan peranan penting. Wanita boleh membawa nikmat atau sumber yang membawa padah.

Dalam kehidupan pendakwah terdapat kedua-dua gambaran ini. Ada pendakwah yang selepas berkahwin menjadi semakin baik Islamnya, semakin kukuh pendiriannya dan bertambah baik komitmennya dan sumbangannya terhadap kerja-kerja dakwah. Sebaliknya, ada yang terus merosot selepas berkahwin dan ada pula yang rosak perangainya bahkan ada juga yang terus hilang dari pentas dakwah.

Kesemuanya ini ada sebab dan munasabah. Kegagalan ini berlaku tidak lain adalah kerana pembentukan keluarga yang bakal dibuat mengambil kira lunas-lunas yang telah ditentukan oleh Islam serta mengabaikan tuntutan perjuangan dan medannya yang panjang di mana ia memerlukan kepada sumbangan yang berterusan dari tenaga-tenaga pejuang.

Oleh itu, kegagalan para pendakwah di dalam perkahwinan mereka adalah lantaran mereka terpengaruh dengan perkara lahiriah semata-mata dan lupa tentang matlamat utama perkahwinan itu.

Di sini digariskan prinsip-prinsip utama perkahwinan itu:

1. Mempunyai Niat Yang Baik Islam menghendaki agar tujuan perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Anas bin Malik r.a.., telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa yang dikurniakan oleh Allah seorang perempuan yang solehah, maka sesungguhnya ia telah dapat menolongnya menyempurnakan separuh dari agamanya.

Maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam separuh lagi.” (Riwayat al-Tabrani) Dalam hadith yang lain pula Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a., telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila seseorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam separuh lagi.” (Riwayat al-Tabrani)

Begitu juga Islam mahukan perkahwinan itu, menjadi facktor utama di dalam memelihara kemurniaan jiwa dan kesuciannya. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Hadis Abdullah bin Mas’ud r.a.: Diriwayatkan daripada Alqamah r.a. katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Uthman r.a. yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Uthman r.a. bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukan aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r.a. menjawab: apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kami: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin.

Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.” Selain itu, Islam mahukan perkahwinan itu untuk membangunkan keluarga Islam bagi menjadi asas yang kukuh dalam pembangunan masyarakat Islam.

Ini merupakan impian setiap mukmin yang mahukan keluarga yang baik dan penyenang hati, sebagaimana yang digambarkan oleh Allah s.w.t. dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata:

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al-Furqan: 74)

Namun begitu, jika sekiranya seseorang itu berkahwin kerana semata-mata kerana ingin memuaskan keinginan seks, maka kehidupan seks itulah yang akan menjadi ibadatnya dan menjadikannya tenggelam di dalam kehidupannya itu.

2. Pemilihan Yang Baik Perkara kedua di dalam soal ini ialah Islam menekankan supaya kita membuat pemilihan yang baik.Pemilihan ini adalah suatu factor utama yang dapat membawa kepada pasangan yang berkahwin itu hidup secara Islam di samping merupakan faktor yang boleh membawa kepada kemesraan dan keserasian di antara kedua-dua pasangan berkenaan.

Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan bahawa terdapat empat perkara yang dijadikan asas kepada pemilihan pasangan iaitu agama, keturunan, kecantikan dan kekayaan. Namun, pemilihan di atas dasar agama adalah yang mesti diberikan keutamaan.

3. Peribadi Suami Sebagai Asas Islam mengingatkan para suami supaya jangan terlalu mengikut kemahuan isteri demi menjaga kewibawaan dan ketuanan seorang suami di dalam rumahtangga.Kerendahan peribadi suami (pada pandangan isterinya) boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga bersama para anggotanya.

Oleh itu, Imam al-Ghazali menasihatkan para suami dengan katanya: “Diri perempuan itu mengikut keadaan dirimu.Jika engkau lepaskan sedikit tali penambatnya, ia akan membawamu pergi jauh. Jika engkau kendurkan sejenak kekangnya dan memegangnya dengan kemas di waktu yang perlu maka engkau akan dapat memenanginya.”

Oleh sebab itu, peribadi suami memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan berumahtangga.Pihak suami hendaklah bersikap bijak dalam menyelesaikan segala permasalahan dengan neraca Islam. Saidina Umar r.a. pernah berkata: “Lawanlah kemahuan wanita itu kerana pada demikian itu ada berkatnya.”


b) Dunia

Halangan seterusnya kepada para pendakwah ialah pengaruh dan tarikan keduniaan. Dalam hal ini, Islam mengemukakan beberapa metod bagi membentuk penganutnya supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu daya keduniaan.

Cara-cara tersebut adalah: Pertama Islam menjelaskan bahawa kedudukan dunia itu jika dibandingkan dengan akhirat adalah sangat kerdil sebagaimana dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya).” (Al-Nisa’: 77)

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya melalui suatu bangkai seekor biri-biri. Bagi menjelaskan hakikat dunia ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Daripada al-Mustaurid bin Syaddad katanya : “Aku berjalan bersama-sama Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melalui suatu bangkai seekor biri-biri, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah kamu berpendapat bahawa biri-biri itu telah menjadi hina dan tidak berharga lagi bagi tuannya?”

Lalu para sahabat menyahut: Di antara bukti kehinaannya ialah mereka telah membuangnya wahai Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya dunia ini lebih hina daripada kehinaan bangkai kambing biri-biri ini pada tuannya.” (Riwayat al-Tirmizi).

Kedua Islam mengingatkan supaya tidak menjadikan dunia sebagai punca persaingan di antara sesama manusia. Oleh itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “ Diriwayatkan daripada Umar bin Auf r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Abu Ubaidah bin al-Jarrah ke Bahrain. Dia pergi ke Bahrain untuk mengambil jizyah ahli Bahrain kerana Rasulullah s.a.w. telah membuat perjanjian dengan penduduk Bahrain. Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan Al-A’la bin al-Hadhrami untuk mengutip jizyah dari penduduk Bahrain. Selepas itu Abu Ubaidah pulang dari Bahrain dengan harta jizyah.Orang-orang Ansar telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah maka mereka (orang-orang Ansar) datang bersembahyang Subuh bersama Rasulullah s.a.w.

Selesai sembahyang, Rasulullah s.a.w. berpaling menghadap rombongan. Mereka menyerahkan wang kutipan jizyah kepada baginda. Rasulullah s.a.w. senyum ketika melihat ahli rombongan tersebut, kemudian baginda bersabda: Aku kira kamu semua (orang Ansar) telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah dari Bahrain membawa sesuatu. Mereka menjawab: Memang benar wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka beritahulah khabar gembira ini dan bercita-citalah apa yang menggembirakan kami (dengan wang ini).

Demi Allah! Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka. Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.”

Ketiga Islam mengingatkan supaya kecintaan terhadap dunia jangan menguasai hati sehingga ianya menyibukkan seseorang dengan keduniaan dan menghalangnya dari mencari bekalan untuk akhirat. Oleh itu Islam menggalakkan kezahidan terhadap dunia serta membebaskan diri daripada ditawan.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang cinta kepada dunia dan seronok serta leka kerananya, maka hilanglah daripada hatinya rasa takut kepada akhirat.

Tetapi maksud dan falsafah kezahidan bukan bererti Islam menyekat seseorang daripada berusaha, bekerja dan membangunkan dunia ini sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang, tetapi yang sebenarnya kezahidan itu adalah untuk memelihara kita daripada menyembah dan tunduk kepada lambaian dunia. Sebab itu, apabila Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hakikat kezahidan itu, baginda bersabda yang maksudnya: “Bukanlah kezahidan itu dengan mengharamkan perkara-perkara yang halal dan tidak pula mengsia-siakan harta benda.

Tetapi kezahidan terhadap dunia itu adalah bahawa kamu lebih mengutamakan apa yang ada ditangan Allah daripada apa yang ada ditanganmu.” Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ahmad sewaktu seseorang menyoal tentang zahid: “Adakah seseorang itu zahid sedangkan ia memiliki seribu dinar?”Jawab Imam Ahmad: “Ya”. Lalu ditanyakan lagi kepadanya: “Jadi apakah bukti kezahidan? “Jawab beliau: “Buktinya ialah jika bertambah hartanya ia tidak bergembira dan jika berkurangan pula ia tidak berdukacita.”


Secara ringkasnya boleh disimpulkan seperti berikut :

a) Tidak Tahan Menghadapi Ujian Ujian dalam kehidupan pendakwah adalah besar yang memerlukan banyak pengorbanan. Oleh itu, ramai orang yang meninggalkan medan ini kerana tidak sanggup menanggung ujian ini, walaupun dahulunya ianya begitu bersemangat. Al-Quran menjelaskan ujian ini pasti berlaku demi untuk menguji keyakinan dan keimanan seseorang hamba Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Alif, Laam, Miim.Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman! Sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut: 1 – 2)

FirmanNya lagi yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad: 31)

b) Tidak Tahan Terhadap Tekanan Keluarga Tidak tahan dengan tekanan keluarga dari ibu bapa, anak dan isteri menyebabkan pendakwah meninggalkan medan.

Seringkali keluarga menakut-nakutkan mereka tentang nasib buruk yang bakal dialami. Terdapat pula ibu bapa yang menghalang anak-anaknya terlibat dalam kerja-kerja Islam, malah sebaliknya menggalakkannya terlibat dalam perkara-perkara mungkar. Dalam keadaan yang lain pula ada di kalangan mereka yang menyekat memberi bantuan kewangan supaya anaknya meninggalkan jalan Allah s.w.t.

Dalam hal ini Allah s.w.t. memberi amaran supaya jangan tunduk terhadap tekanan dan desakan keluarga supaya meninggalkan jalan Allah s.w.t. malah terus kekal berjuang dan berjihad pada jalanNya sepertimana firmanNya yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Al-Taubah: 24).

c) Tidak Tahan Kepada Tekanan Persekitaran Halangan-halangan persekitaran juga banyak menjadikan pendakwah berundur dari medan. Kadang-kadang seseorang dibesarkan di dalam persekitaran yang mengambil berat soal agama dan penghayatannya. Tetapi mungkin apabila mereka berpindah ke persekitaran baru samada kerana belajar, bekerja dan sebagainya lalu ia persekitaran barunya itu penuh dengan perkar-perkara jahat dan penuh dengan daya tarikan jahiliyah.

Maka, di sinilah bermulanya pergolakan di dalam jiwanya samada ia akan terpengaruh atau sebaliknya.

Terdapat beberapa factor yang menyebabkan seseorang itu tewas dalam menghadapi tekanan-tekanan tersebut:

1. Mungkin asas pembentukannya tidak betul, seperti ianya mempunyai kegoncangan dan keraguan di dalam aqidahnya.

2. Boleh jadi iltizamnya di dalam arena dakwah selama ini disebabkan oleh malu dengan keadaan sekitar ataupun hanya iltizam ikutan, bukan berdasarkan kepada iman yang benar-benar yakin.

Oleh itu, apabila ia berpindah ke persekitaran yang lain maka hilanglah iltizamnya kerana factor-faktor yang mendorongnya ini tidak ada lagi.

· Boleh jadi dia sendiri enggan melibatkan diri dalam kumpulan dakwah dalam persekitaran kedua di mana ia lebih suka menggabungkan diri ke dalam kumpulan jahiliyah.

Ia sangat merbahaya kerana mungkin menggugurkannya terus dari medan dakwah dan tidak mendapat inayah dari Allah s.w.t.

d) Tekanan-tekanan Dari Gerakan Lain Antara faktor yang juga menjadi halangan kepada pendakwah ialah tekanan-tekanan dari gerakan-gerakan lain yang bertopengkan Islam. Ini ditambah lagi dengan serangan dari gerakan atau pertubuhan secular yang sememangnya jelas memusuhi dan sangat anti kepada perkembangan dakwah. Gerakan yang bertopengkan Islam tersebut kerjanya hanya mengkritik dan menimbulkan keraguan kepada pendakwah dengan tujuan menghancurkan gerakan Islam di atas nama Islam.

Oleh itu, kemunculan pelbagai kumpulan amal Islami tidak boleh dianggap sebagai satu amalan yang sihat kerana ia boleh menyebabkan persengketaan sesama sendiri dan mengalihkan tugas sebenar ke suatu tugas yang lain iaitu mempertahankan diri dari serangan gerakan lain. Jadi kerja-kerja yang dilakukan oleh kumpulan ini adalah suatu kerja yang tidak berfaedah selain menyebabkan lebih ramai orang meninggalkan kerja-kerja Islam, di waktu yang sama mereka melegakan musuh-musuh Islam kerana kemenangan kepada Islam semakin lambat.

Demikianlah secara ringkas halangan-halangan di dalam perjuangan dakwah. Semoga ia menjadi titik renungan kita bersama dan menjadikannya sebagai sempadan dan berwaspada terhadap cabaran-cabaran itu.




01 May 2009

PAS dan kempimpinannya: Meniti arus perjuangan


Adakah PAS sebuah parti yang bersifat inklusif atau eksklusif?

Adakah PAS sebuah parti yang menerima dan memperjuangkan hak dan kepentingan semua pihak atau ia eksklusif sekadar berligar dalam isu dan perkara yang melibatkan kelompok tertentu sahaja?

Nama Parti Islam Se Malaysia itu memberi konotasi seolah PAS adalah parti eksklusif untuk orang-orang Islam sahaja. Dalam hal tertentu mungkin benar kerana dari sudut keahlian PAS melalui perlembagaan partinya hanya membenarkan warga Malaysia yang beragama Islam sahaja mendaftar sebagai ahli biasa, namun PAS melalui Kelab Penyokongnya PAS memberi peluang masyarakat bukan Islam untuk turut serta dalam program dan aktiviti parti walaupun mungkin bukan sebagai ahli biasa.


Dalam erti kata lain walaupun PAS hanya boleh dianggotai oleh orang-orang Islam sahaja, namun PAS tidak menghadkan perjuangannya sekadar eksklusif buat orang-orang Islam. Ia menerima hakikat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum dan agama, lalu PAS terjun ke dalam kancah masyarakat untuk mengemukakan alternatif politik iaitu politik Islam sebagai formula penyemalat bangsa,agama dan negara.

Bermakna walau nampak eksklusif dalam hal keahliannya, tetapi dasar dan perjuangannya tidak ekskulif malah inklusif mencakupi semua pihak. Malah PAS menyerap masuk dan memberi pengiktirafan kepada masyarakat bukan Islam apabila ia diberi mandat oleh rakyat untuk berkuasa dalam satu-satu negeri.

Contohnya di Kelantan pimpinan masyarakat diperingkat daerah, penghulu dan seumpamanya ada yang dilantik dikalangan masyarakat bukan Islam sekaligu membuktikan ia bukan eksklusif. Di Terengganu, pindaan dibuat terhadap perlembagaan negeri sehingga membenarkan dilantik ADUN dikalangan masyarakat bukan Islam kiranya tidak ada anggota DUN dari kalangan mereka dalam satu-satu penggal dewan itu.

Masyarakat Malaysia didominasi oleh tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India selain suku kaum dari Sabah dan Sarawak. Kerana itu kita dapati parti-parti politik di sini banyak bergerak atas nama kaum lantas terbentuklah parti-parti eksklusif untuk kaum-kaum tertentu. Walaupun ada usaha untuk menggerakkan parti-parti berbilang kaum tapi lazimnya ia tetap didominasi oleh satu-satu kaum tertentu sahaja.


PAS bukan parti perkauman, kerana itu kaum-kaum bukan Melayu bebas menganggotainya sehingga ada yang telah dan sedang memain peranan besar dalam parti samada diperingkat Pusat ataupun negeri. Ada yang menjadi AJK Pusat dan EXCO kerajaan negeri umpamanya Dato’ Anuar Tan dan Ahmad Idham Lim, ADUN Perak (EXCO PAS Selangor, Dr Halimah Ali Abdullah juga dari suku kaumbukan Melayu). Cumanya syarat eksklusif menjadi ahli PAS mestilah Muslim, sebagaimana syarat ekskluif menjadi ahli parti-parti perkauman lain mestilah dari suku kaum tertentu.


Itulah PAS mungkin tampak eksklusif tetapi hakikatnya inklusif dengan beberapa “adjustments” berlainan dengan parti perkauman yang lain. Kerana itulah slogan “PAS for all” itu dilancarkan bagi menerangkan kepada seluruh masyarakat bahawa walaupun PAS ini parti Islam,tetapi perjuangannya tidak ekskulsif tetapi inklusif sebagaimana “universal” nya Islam itu sendiri.

Saya membawa posting ini sebenarnya untuk mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohamed Daud Iraqi yang terbit dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini. Ustaz Daud dilaporkan sebagai berkata bahawa:

Bagi saya, kedua-dua jawatan tertinggi (Presiden dan Timbalan Presiden PAS) itu mesti alim ulama, siapa yang tawarkan diri tidak kira sebab masing-masing hendak naik, cuma kita orang parti ada pertimbangan sendiri. Mesti utamakan kepimpinan ulama. Nombor satu dan dua mesti ulama. Untuk jawatan lain tidak apa. Intelek atau profesional

Ini berikutan ketetapan yang dibuat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang beliau anggotai bahawa dua jawatan tertinggi Pas iaitu Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama yang mempunyai pendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama. Ketetapan itu dibuat bagi memastikan dasar parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam diteruskan pada masa akan datang.

Tidakkah ini menunjukkan yang PAS itu sebenarnya parti inklusif sehinggakan Dewan Ulamaknya perlu tegaskan bahawa jawatan tertinggi nombor satu dan dua parti mestilah terdiri dari golongan ulamak?

Bagi mereka yang tidak jelas memanglah nampak begitu. Tetapi hakikatnya umum perlu memahami bahawa PAS itu parti Islam, lantas segala usahanya untuk membuka partinya buat semua sesungguhnya dikawal oleh beberapa tertib dan adab yang memberi makna kepada perjuangan Islam yang ia bawa. Memang boleh sahaja yang bukan ulamak pegang teraju PAS (pernah parti diketuai oleh seorang doktor perubatan Dr Abas Ilias selaku pemangku Presiden 1953), tiada larangan dalam perlembagaannya. Tetapi setelah parti itu menerima dasar kepimpinan ulamak sehingga melahirkan Majlis Syura dalam parti dan memperkasakan Dewan Ulamaknya maka yang dikira padan dan cocok menegpalai parti ini adalah golongan ulamak, dan ia disepakati semua.


Mungkin ada yang mahu buat perumpamaan bukankah gerakan Islam di Timur Tengah di sana-sini ada yang terdiri dari kalangan bukan ulamak, memang benar, itu di sana. Tetapi bagi PAS, demi memelihara dasar dan perjuangannya, keperluan kepada saf kepimpinan ulamak iniperlu diberi penegasan. Agenda perjuangan PAS adalah Islam, Islam laksana bahteranya, nakhodanya boleh sahaja sesiapa, tambah pula yang pakar ilmu laut, tetapi ilmu laut sahaja tidak cukup untuk membelah samudera yang bakal membawa bahtera dan anak-anak kapal ini sehingga ke akhirat. Kerana itu biarlah ia dinakhodai

Majlis Syura yang diketuai oleh Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, tak kiralah siapa nama dan batang tubuh mereka, selaku nakhoda dan pemimpin tertinggi bahtera besar ini perlulah ulamak, dan biarlah begitu sampai bila-bila.Menang dengan mereka, kalah dengan mereka, hidup dengan mereka syahid dengan mereka. Inilah asas kekuatan kita, inilah yang mahu kita persembahkan kepada Allah swt apabila bertemu dengan Nya nanti bahawa kita kekal berjuang dalam PAS atas dasar ini.


Kecualilah kita sudah bersedia untuk mentranformasikan Parti Islam ini yang dibina dengan doa, darah dan airmata para pejuang sejak zaman berzaman, dari status quo yang sedia ada sejak penubuhannya menjadi yang lebih inklusif kerana kita merasakan yang ada ini terlalu lekeh dan tidak relevan. Saya yakin orang-orang PAS tetap sayang dan hormat pada para ulamak mereka dan tahu memilih dan menimbang bila kita perlu eksklusif dan bila kita perlu inklusif, yang penting dasar dan perjuangan kita kekal dari sini sampai ke sana nanti, insyallah.

"Selamatlah Parti Islam berjuang, membimbing ummah ke medan siyasah......"

http://n32.blogspot.com/

Type rest of the post here