Allah 'Azzawajalla di dalam al-Quran yang merupakan mukjizat yang paling besar dan berkekalan sehingga hari kiamat telah menceritakan kepada kita tentang satu peristiwa yang telah berlaku kepada satu kelompok daripada bani Israel. Cerita ini bukanlah cerita dongeng tetapi merupakan satu kisah daripada kisah-kisah yang lain daripada al-Quran yang patut dan mesti kita mengambil iktibar dan tauladan yang terbaik daripadanya. Kisah ini telah dinukilkan dalam ayat 67 sehingga 74 surah al-Baqarah dan kisah ini juga merupakan sebab surah ini dinamakan surah al-Baqarah.
67. Dan (ingatlah), ketika nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata :"Adakah kamu mahu menjadikan kami bahan ejekan?". Nabi Musa menjawab : " Aku berlindung kepada Allah agar tidak menjadi salah seorang daripada orang-orang yang jahil".
68. Mereka menjawab :" Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami tentang apakah lembu betina itu".Nabi Musa menjawab :"Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina yang tidak tua dan tidak pula muda iaitu pertengahan antara itu, maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu".
69. Mereka berkata: " Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami apakah warnanya". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina iatu adalah lembu betina yang bunting yang kuning, yang kuning tua warnanya lagi menyenangkan orang-orang yang memandangnya".
70. Mereka berkata : Mohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami agar Dia menerangkan kepada kami bagaimana hakikat lembu betina kerana sesungguhnya lembu itu(masih) samar bagi kami dan sesungguhnya kami Insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk memperolehi lembu itu).
71. Nabi Musa berkata :" Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah digunakan untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi air, tidak cacat, tidak berbelang". Mereka berkata : "Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat lembu betina yang sebenarnya". Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu".
72. Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan.
73. Lalu Kami berfirman:"Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina itu!". Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan padamu tanda-tanda kekuasaanNya agar kamu mengerti.
74. Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal dicelah batu-batu itu memang ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan dicelahnya memang ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan dicelahnya memang ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lupa daripada apa yang kamu kerjakan.
RINGKASAN KISAH
Pada zaman nabi Musa telah berlaku satu jenayah pembunuhan dalam kalangan bani Israel. Pembunuh tidak diketahui dan masing-masing mempertahankan diri daripada mengaku salah dalam masalah pembunuhan ini. Ini menyebabkan mereka saling menuduh antara satu sama lain dalam masalah ini. Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka telah menemui nabi Musa. Nabi Musa telah memohon kepada Allah agar Dia membuka rahsia tentang pembunuhnya yang sebenar. Allah telah mewahyukan kepada nabi Musa supaya memerintah kepada bani Israel untuk menyembelih seekor lembu betina tetapi Dia tidak menerangkan secara jelas mengenai keadaan dan sifat sebenar lembu tersebut. Sekiranya mereka menerima penerangan mengenai lembu itu secara terperinci kemungkinan besar mereka kan terus melaksanakannya.
Tetapi memang telah menjadi sikap dan sifat yahudi iaitu sentiasa mencanggah dan mahu lari daripada tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah. Mereka telah bertanya kepada nabi Musa tentang umur lembu betina itu. Nabi Musa menjelaskan bahawa lembu itu tidak tua iaitu pertengahan antara keduanya. Kemudian mereka bertanya pula tentang warnanya dan nabi Musa memberitahu mereka bahawa lembu itu berwarna kekuningan iaitu kuning tua yang menyejukkan mata memandang.
Mereka terus bertanya mengenai pekerjaan lembu itu dan nabi Musa terus menyatakan bahawa lembu itu mata disayangi oleh tuannya, tidak pernah digunakan untuk membajak tanah mahu pun mengairi air. Akhirnya setelah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan ole nabi Musa barulah mereka melaksanakan apa yang telah disuruh walau pun pada mulanya mereka hampir tidak ingin melaksanakannya.
Kemudian nabi Musa menyuruh mereka supaya memukul tubuh mayat lelaki yang dibunuh itu dengan sebahagian daripada lembu betina yang disembelih tadi. Mereka melaksanakannya dan tiba-tiba dengan kuasa Allah mayat tadi hidup apabila ditiupkan oleh Allah ruh. Mayat yang dihidupkan semula oleh Allah itu terus menerangkan mengenai pembunuhnya yang sebenar. Setelah menerangkan segala-galanya maka dia dimatikan semula oleh Allah. Golongan bani Israel yang menyaksikan peristiwa ini merasa begitu takjub dan kehairanan. Begitulah antara kuasa Allah yang Maha Berkuasa di dalam membuat sesuatu walau pun ia berkaitan dengan perkara yang pelik.
PENGAJARAN
1. Diwajib mematuhi segala perintah dan hukum hakam dan melaksanakannya serta beriltizam secara penuh keikhlasan. Ini bermaksud melaksanakannya seberapa segera yang boleh tanpa menanguhnya.
2. Kita dilarang mentakwil dan berdalih daripada apa yang telah diperintahkan oleh Allah, apatah lagi bertujuan untuk mengelak dan lari daripada suruhanNya.
3. Tunjang utama di dalam memberi natijah kepada sesuatu perkara itu adalah hati. Jika hati itu benar-benar ikhlas dan yakin serta patuh kepada Allah maka yang demikian ini akan menyebabkan tuannya sentiasa melaksanakan segala kewajipan dan perintah dengan segera dan tidak banyak berdalih. Tetapi jika hati kotor dan tidak kukuh keyakinannya kepada Allah maka akan menyebabkan seseoarang itu sentiasa berdalih dan mencari jalan untuk lari daripada tanggungjawabnya dan perintah Allah.
4. Dilarang kita terlalu membesar-besarkan perkara kecil sehingga kewajipan yang lebih besar terabai seperti terlalu menekankan mengenai amalan zikir yang dianggap bid'ah dan berbalah mengenai masalah khilaf yang tidak menjejaskan aqidah sehingga lupa kepada bid'ah yang paling besar iaitu menegakkan daulah Islamiah.
5. Kita diminta supaya mengambil apa yang disuruh oleh Allah tanpa meminta penambahan atau pun pengurangan mengenai agama. Kita juga dilarang memperbanyakan masalah dan penjelasan kepada perkara yang bersangkutan dengan cabang kepada masalah agama bukannya usul atau pun asasnya.
6. Kewajipan kepada kita di dalam menghormati para nabi dan rasul serta ulama' yang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan tugas agama.
7. Iltizam dan istiqamah di dalam melaksanakan perintah Allah akan membawa kepada khusyuk hati dan mengubah diri ke arah kebaikan. Jika seseorang itu hanya melakukan segala perintah Allah sambil lewa dan tidak beriltizam dengannya akan menyebabkan kepada parahnya penyakit hati dan akan memberi kesan ke arah keburukan dalam sikap dan sifat zahirnya.
Semoga kita dapat sama-sama mengambil apa yang baik untuk dicontohi dan dihayati dalam kehidupan seharian dan menjauhi segala yang buruk agar bala Allah tidak akan menimpa kita dan ahli keluarga yang lain. Jika kita membantu di dalam meninggikan kalimah Allah yang sedang dicabar dan dinodai oleh musuh Islam tanpa belas kasihan maka dengan penuh pasti dan yakin Allah akan membantu kita dan menetapkan hati serta perjuangan kita dalam Islam.
1 comment:
Artikel anda:
http://agama.infogue.com/
http://agama.infogue.com/kisah_lembu_bani_israel
promosikan artikel anda di infoGue.com. Telah tersedia widget shareGue dan pilihan widget lainnya serta nikmati fitur info cinema untuk para netter Indonesia. Salam!
Post a Comment