19 July 2009

Ilmu Seks vs Ilmu Agama?


Salah siapa?

KUALA LUMPUR: Kes hamil luar nikah atau seks sebelum berkahwin di kalangan remaja berlaku bukan saja disebabkan keinginan nafsu atau perasaan tetapi turut didorong faktor ilmu seks yang ada pada mereka.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Onstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, Dr Mohamad Farouk Abdullah, berkata kebanyakan remaja hari ini memiliki ilmu seks tinggi dan penting mendidik golongan itu mengenai langkah pencegahan kehamilan.

Selain itu, katanya, remaja perlu diberi kesedaran mengenai nilai harga diri dengan tidak semudahnya menyerahkan kehormatan.

“Melalui pengalaman saya, ramai remaja belasan tahun sudah melakukan seks sebelum kahwin dan hamil luar nikah. Malah, ada satu kes, mangsa berusia 16 tahun, hamil luar nikah empat kali.“Sebenarnya, remaja hari ini memiliki ilmu seks yang tinggi dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak masalah ini menjadi lebih rumit,” katanya pada Forum Remaja: Hargai Dirimu anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, semalam.

Dr Mohamad Farouk berkata, antara langkah boleh dilakukan ialah dengan mendidik remaja mengenai kesihatan reproduktif supaya mereka dapat mengawal diri daripada terbabit dalam aktiviti tidak sihat.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Kes Reproduktif LPPKN, Kamarol Faridah Kamarol Zaman, berkata 13 peratus remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun terbabit dalam seks luar nikah.

Kajian Kementerian Kesihatan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Universiti Malaya itu juga mendapati 70 peratus remaja berkenaan adalah wanita dan selebihnya lelaki.


“Ia berpunca daripada keterbukaan minda yang keterlaluan selain ada sumber pencarian sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Semarak, Norsofie Azwa Ahamad Bokhari, 19, berkata, pengalaman rakannya yang mengandung ketika masih di sekolah menakutkannya.

“Perempuan ini baru tingkatan lima dan disebabkan pergaulan bebas, dia mengandung. Lelaki terbabit pula baru tamat sekolah dan mereka dikahwinkan.

“Beberapa bulan berkahwin, pasangan ini bercerai kerana lelaki tadi tidak bekerja. Ini menakutkan namun ia memberi pengajaran kepada saya,” katanya.

Bagi Elizabeth Kay Nyigor, 20, penuntut tahun satu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seks sebelum kahwin perlu dielakkan kerana lebih banyak keburukan daripada kebaikan. (sumber)

------------------------------------------------------------------------------------------------


p/s: Semua orang mengakui seks bebas atau seks sebelum kahwin ini mengundang pelbagai masalah dan bahaya kepada individu dan masyarakat. Persoalannya, apakah punca utama kepada masalah ini? Adakah disebabkan Ilmu Seks yang tinggi kepada ramaja (khsusnya) yang terjebak ke kancah tidak sihat ini?

Ketua dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Onstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, Dr Mohamad Farouk Abdullah, berkata kebanyakan remaja hari ini memiliki ilmu seks tinggi dan penting mendidik golongan itu mengenai langkah pencegahan kehamilan.

“Sebenarnya, remaja hari ini memiliki ilmu seks yang tinggi dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak masalah ini menjadi lebih rumit,” katanya pada Forum Remaja: Hargai Dirimu anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, semalam.

Proses pencegahan berlakunya maksiat ini yang perlu diutamakan, berbanding pencegahan kehamilan itu sendiri, kata orang ‘prevention is better than cure’. Ayat di atas seolah-olah dilihat lebih menitik beratkan pencegahan kehamilan (yakni setelah terlanjur) berbanding pencegahan pokok kepada masalah ini, iaitu pencegahan sebelum berlakunya zina dan solution kepada perkara yang menghampirinya. Bukankah Allah telah memberitahu agar tidak menghampiri zina (maksiat). Aku percaya semua orang sudah maklum.

Tidak dinafikan kefahaman dari sudut kesihatan juga wajar diberikan, mengenai bahaya seks songsang ini. Ianya mengundang pelbagai masalah kesihatan yang buruk dan memudaratkan dalam jangka masa panjang dan pendek kepada individu-individu yang terlibat. Malah ia menjadi suatu bencana buat masyarakat lain yang turut terlibat, walaupun tidak secara langsung.

Malah katanya, “Ia berpunca daripada keterbukaan minda yang keterlaluan selain ada sumber pencarian sendiri,

Bukan keterbukaan minda yang melampau sahaja tetapi keterbukaan minda yang songsang atau salah. Pengaruh Barat yang telah menyuntik suatu fahaman yang salah disamping kemasukan budaya kuning turut menjadi punca utama penerimaan masyarakat (khususya remaja) yang menyerap terus ke minda lalu diterjemahkan dengan perbuatan yang bersalah dan berdosa ini.

Adakah faktor-faktor di atas mampu dan cukup dijadikan asas dan penyelesai masalah bagi mengatasi ilmu seks yang tinggi daripada mereka yang telah terjebak ini? Ya, faktor-faktor di atas mampu tetapi tidak cukup jika dijadikan asas kepada penyelesaian. Pokok kepada penyelesaian.

Jawapannya sendiri telah di berikan beliau,

”Selain itu, katanya, remaja perlu diberi kesedaran mengenai nilai harga diri dengan tidak semudahnya menyerahkan kehormatan”

Kesedaran tentang nilai harga diri seharusnya dikembalikan kepada lunas-lunas dan pegangan agama yang telah di canang ketika kecil. Kesedaran inilah yang menjadi benih dan harus ditanam ketika kecil (masih dalam rebung) agar proses penuaian mereka masa hadapan berkembang baik dan sempurna. Inilah imunnity yang harus disuntik. Disuntik dengan vaksin ilmu agama agar ia menjadi antibody yang sebaik-baiknya kepada mereka kelak.

Ianya bukan suatu langkah penyelesaian yang idealistik tetapi sangat relevan pada sebarang keadaan zaman. Malah ianya suatu solution yang paling berkesan sekiranya perlaksanaan yang betul dilakukan.Iaitu perlaksanaan yang tidak dicampuri bendasing-bendasing sekular yang sedang meresap kedalam setiap inci perkara.(terutamanya dalam pendidikan dan perundangan negara). Wallahu'alam

Islam penyelesaiannya.

”Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

An-Nisa’ 59

No comments: