23 July 2009

No to ISA vs Yes to ISA


1) Semalam PEWARIS & beberapa NGO buat keputusan untuk berdemonstrasi ke Istana Negara pada 1 Ogos..... Sama dengan tarikh Himpunan Mansuhkan ISA....Kononnya ianya berlaku secara kebetulan.

2) Pihak GMI mencadangkan PEWARIS menggunakan "laluan yg lain", bererti guna tarikh lain @ destinasi yg lain. Ini adalah utk mengelakkan pertembungan kedua-dua kumpulan.

3) Pada Nov 2008, pihak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah mencabar Majlis Permuafakatan Ummah atau Pewaris untuk bersemuka bagi membincangkan isu-isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya, Dato’ Dr Maamor Osman yang tidak mendapat maklumat tepat mengenai Akta drakonian itu.

“Mungkin maklumat tersebut tidak tepat, hanya mendapat info daripada sebelah pihak sahaja. Sepatutnya mereka kena pergi bertemu sendiri dengan tahanan ISA dan keluarga mereka,” katanya.

Tambahnya, Pewaris perlu menyemak terlebih dahulu sesuatu kes sebelum mengenakan tindakan ISA bagi menjamin keadilan dan hak semua bangsa terpelihara.

“Saya juga sedih dengan penglibatan Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dalam Pewaris yang memperjuangkan isu yang menindas masyarakat umum melalui akta yang zalim ini,” katanya.

Dalam Islam, tidak ada sesiapa yang bersalah sehingga dibuktikan ianya bersalah yakni menerusi siasatan dan perbicaraan bagi memberikan haknya untuk seseorang membela diri, kata Syed Ibrahim.

Terdahulu, Maamor yang juga merupakan Setiausaha Agung PPIM mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan supaya mengekalkan penggunaan ISA bagi menjamin keharmonian negara ini daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir jahat.

“ISA masih relevan dan melalui ISA, keharmonian negara dapat dikekalkan, dan dalam prinsip Islam pencegahan adalah lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pewaris di Wisma Sejarah semalam.

Selepas mesyuarat itu, Maamor dan 100 anggota Pewaris berarak dari Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak menuju ke Balai Polis Jalan Tun Razak, di Jalan Ampang untuk membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang memainkan isu-isu perkauman.

Maamor bagaimanapun enggan memberikan nama-nama individu yang didakwa mereka memainkan isu perkauman yang dinyatakan dalam laporan polis itu.

Dilaporkan kekecohan juga tercetus pada awal perhimpunan apabila peserta perhimpunan bertindak memukul beberapa individu yang lalu lalang di kawasan perhimpunan iaitu di Wisma Sejarah.

Pihak polis didakwa hanya duduk berehat di perkarangan jalan bangunan Bernama yang terletak berhampiran bangunan Wisma sejarah itu.

Insiden tersebut menimbulkan rasa kurang senang apatah lagi sepanduk dan kain rentang yang dipamerkan menyebabkan mereka yang melalui kawasan tersebut bertindak mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai.


Antara kata-kata pada sepanduk tersebut yang mengundang provokasi adalah ‘Bubarkan Majlis peguam’, ‘Yes to ISA’, ‘bebaskan Dato’ Ahmad Ismail’ dan ‘tanah Malaysia tidak perlukan babi import sahaja babi daripada luar’.

Selain itu turut kelihatan sepanduk ‘pengkid haram : bukan Islam jangan masuk campur hal Islam’, ‘jangan sentuh ketuanan melayu’, ’surau dan masjid dirobohkan atas kesan pembangunan – kenapa kuil tidak?’ dan jangan gadaikan maruah melayu demi kepentingan politik peribadi.

Terdapat juga sebuah kain rentang yang paling besar berbunyi:’kekalkan ISA demi keamanan, keselamatan dan kemakmuran’ dipasang menutupi bangunan Wisma Sejarah.

Kebanyakan peserta yang berarak memakai kemeja-t berbunyi yes to ISA dan kain pengikat dahi berwarna kuning bertulis ‘hidup melayu, hidup Islam’ Sumber: Palestinhood

------------------------------------------------------------------------------------------------

p/s : Apa yang anda hendak hidupkan tentang Islam oleh Pewaris ini, Islam itu sendiri akan tetap hidup, sepatutnya ahli-ahli Pewaris yang kena hidup dengan Islam. Sudahlah, anda semua jahil tentang Islam (sudah tentu jahil dengan ISA).

Apa yang anda perlu tahu tentang kezaliman ISA ini adalah lebih dari soal akta yang menahan orang tanpa bicara, malah bentuk hukuman yang diterima tahanan di penjara adalah sangat zalim, sama malah lebih zalim dari hukuman yang pernah dilakukan oleh CIA, Mossad, KGB, Gestapo dan Savak.

Aku menulis kembali mengenai ISA di blog ini sebagai pengetahuan dan kesedaran kita bersama (terutama kepada Pewaris) tentang kekejaman yang pernah dilakukan ISA terhadap tahanan-tahanan yang pernah di penjara di bawah ISA.. Pengalaman ini telah dicerita dan di tulis sendiri oleh bekas tahanan ISA sebanyak 2kali iaitu Saari Sungib yang pernah di tahan pada tahun 1998 dan 2001.

(sumber dari buku 'Dunia Tanpa Suami' Jilid 2)

Tarbiyyah dari Penjara : Catatan Kezaliman ISA


Setiap satu dari 85 seksyen di bawah ISA cukup lengkap dan sempurna untuk mencabul hak asasi rakyat. Bahkan hanya dengan dua dari seksyen itu sahaja pun sudah cukup bagi UMNO-BN mengekal dan mengukuhkan kuasa politiknya di negara ini.

Dua seksyen itu adalah Seksyen 73 dan Seksyen 8

Seksyen 73 memberi kuasa kepda pihak polis untuk menahan seseorang sehingga 60hari bagi menentukan samada ia boleh ditahan terus di bawah Seksyen 8.

Seksyen 8 memberi kuasa mutlak kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk mengeluarkan perintah tahanan bagi satu tempoh selama 2 tahun. Perintah tahanan ini boleh diperbaharui lagi tanpa batas. Ini bermakna menteri berkuasa untuk menahan seseorang bagi tempoh 2,4,6,8,10,12 tahun dan seterusnya.

Seksyen 73 juga merupakan lesen yang diberikan oleh kerajaan UMNO-BN bagi SB (Special Branch) untuk sewenang-wenangnya menangkap dan menahan sesiapa sahaja yang mencabar dasar, program bahkan idea UMNO-BN. Berselindung di sebalik seksyen 73, SB juga diberi lesen untuk menahan dan mereka-reka pertuduhan yang tidak munasabah bagi menahan orang yang dianggap menjadi ancaman kepada kepentingan politik UMNO-BN.

Apakah yang berlaku semasa soal siasat 60hari di bawah kuasa SB?

Bayangkan sahaja filem yang pernah anda tonton tentang orang yang ditawan dan di soal-siasat oleh musuhnya. Dipukul? Diseksa? Dibogel? Dikenakan kejutan elektrik?

Semuanya ada di ISA.

Testimoni tahanan sehingga kini mencatatkan pelbagai jenis penyeksaan berlaku semasa dalam tahanan SB. Ini termasuk diperintah berdiri sebelah kaki berjam-jam dalam keadaan berbogel dibawah kipas angin yang diputar laju serta dalam bilik berhawa dingin yang amat sejuk.

Ada juga tahanan yang dipaksa memeluk satu blok ais dalam keadaan berbogel. Setiap kali blok ais itu terjatuh dia dipukul SB dan diarah untuk mengangkatnya semula. Bila blog ais itu cair seluruhnya, badan tahanan tadi menjadi biru birat kerana kesejukan.

Ada tahanan yang dipaksa duduk di atas ais dan ada pula dipaksa berbaring di atasnya.

Ada tahanan yang dipaksa meminum air kencing SB. Ada pula tahanan yang dihalang berjam-jam daripada ke bilik air. Akibatnya dia mengalami penyakit tidak boleh kencing.

Seorang tahanan dimasukkan paku kedalam lubang zakarnya. Seorang lagi dimasukkan jarum di bawah kukunya.

Ada pula yang dipaksa mengumpulkan najis dan air kencingya dalam dua buah plastik. Semasa dalam bilik soal-siasat dia dipasksa memegang plastik najisnya di tangan kanan dan plastik air kencingnya di tangan kiri.

Terdapat juga tahanan yang dijolok juburnya dengan kabel talekom. Seorang lagi dipaksa menonggeng dan mengaku pernah diliwat oleh seorang tokoh politik terkemuka. Kerana tidak mahu membuat pengakuan palsu, maka juburnya dijolok dengan sebatang paip getah.

Seorang tahanan dipaksa berbogel dan didudukan di atas botol-botol kosong. Tujuannya agar muncung botol yang tidak bertutup itu masuk kedalam juburnya.

Saya juga turut diancam hendak dijolok jubur oleh SB dengan menggunakan sebatang kayu kaki meja yang telah tertanggal.

Ada juga tahanan yang diacukan pistol oleh SB semasa disoal-siasat. Ditempeleng, diludah, ditendang, diterajang dan dipukul di kepala dan hidung, itu semua perkara biasa.

Lebih parah biasanya tahanan yang diseksa begini digari kedua belah tangannya ke belakang. Ada tahanan yang dipaksa membuka mulutnya dan SB meludah ke dalam mulutnya. Sesudah itu ia dipaksa menelan air liur SB itu.

Tahanan yang sama dicucuhkan dengan pemetik api bagi membakar janggutnya. Rakannya dicucuh bahagian-bahagian tertentu anggota badannya dengan api daripada rokok yang dihisap oleh SB.

Seorang tahanan dalam keadaan berbogel telah dipukul bertalu-talu oleh SB dengan menggunakan suratkhabar yang telah dugulung-gulung padu. Kemudian gulungan surat khabar itu dibakar dan apinya dicucuh-cucuhkan ke kemaluan tahanan tadi.

Disimbah air ke muka dengan air yang bercampur habuk rokok SB juga adalah perkara biasa.

Ada tahanan yang dipaksa merangkak, berjalan itik dan lompat katak berjam-jam semasa dalam soal-siasat SB. Ada pula yang diperintahkan berenang di atas lantai bilik soal-siasat.

Dimaki dan ditengking sekuat-kuat hati bagai nak pecah telinga juga satu cara penyiksaan yang menyakitkan. Apatah lagi jika yang ditengkingkan itu merupakan perkataan mencarut. Perkataan kegemaran SB adalah F*c*, F*c*er dan Mother F*c*er!. Belum dilaporkan perkataan Father digunakan...

Ada juga tahanan wanita yang diancam hendak dirogol oleh SB yang menyoal siasat beliau. Wanita yang sama diberi pilihan samada mahu dipukul dengan menggunkan sebatang besi atau batang kayu. Bila batang kayu yang digunakan patah, satu lagi batang kayu digunakan untuk memukul sebelah kakinya. Paling menyedihkan wanita ini dipukul dalam keadaan dia dipaksa berdiri sebelah kaki.

Seorang tahanan di masukkan sebuah tong besi ke kepalanya. Tong itu kemudian dipukul bertalu-talu. Akibatnya mukanya bengkak,kening, hidung dan bibirnya luka berdarah dan gendang telinga bagai nak pecah akibat hentaman yang berlaku kepada tong tadi.

Sesudah itu ia diarahkan melakonkan aksi mengangkat sebelah kaki seperti seekor anjing yang memancutkan air kencing ke tiang. Kemudian kepalanya dimasukkan kedalam mangkuk tandas dan SB mengepam tandas tersebut berkali-kali.

Seorang tahanan dipaksa minum sebotol penuh sos tomato semasa disoal-siasat. Seorang lagi diarahkan menangkap seekor cicak yang terdapat dalam bilik soal-siasat. SB mengerat-ngerat cicak tersebut dan memaksa tahanan tadi memakannya.

Ada pula tahanan yang dibogelkan dan disimbah air ke seleruh tubuhnya. Selepas itu diarahkan untuk meniarap dan menghirup serta menjilat air yang melimpah di atas lantai.

Tidak kurang pula tahanan yang diarahkan menunjukkan bagaimana aksinya melakukan hubungan seks dengan isterinya. Ada pula beberapa orang tahanan yang diarahkan berbogel dan m*la*c*p sehingga terpancar air m*n*nya . Jika enggan melakukannya, mereka diancam untuk dicabut kuku.

Seorang tahanan dibogelkan dihadapan beberapa orang SB dan diberikan sebuku sabun dan sebaldi air. Arahannya: m*la*c*p!

Seorang tahanan lain dipegang oleh beberapa orang SB bagi memaksanya menonggeng dan SB menanggalkan seluarnya. Dalam keadaan ini seorang SB membuka seluarnya dalam aksi untuk meliwat tahanan tersebut.

Pada tahun 1980an sekumpulan tahanan ISA telah diseksa dengan dicabut janggut, bulu misai, bulu kening dan bulu lubang hidung!

Tahanan wanita daripada kumpulan tersebut juga telah tidak dibenarkan membuang air kecil atau besar dalam tandas yang bertutup pintunya. Pintu tandas mesti dibiarkan terbuka.

Seorang tahanan wanita lain yang datang bulan semasa dalam tahanan perlu menunjukkan di hadapan SB lampin wanitanya yang sudah kotor bagi mendapatkan bekalan lampin wanita yang baru.

SB juga cukup syok menghina golongan ulama’ dan ustaz semasa disoal-siasat. Ustaz-ustaz yang berserban dan berjubah semasa diluarlah yang amat suka mereka bogelkan ketika ditahan di bawah ISA.

Seorang pemimpin agamatelah dicukur rambut, janggut, misai dan bulu keningnya. Tidak cukup itu, dikhabarkan bahawa segala jenis bulu yang terdapat pada anggota tubuhnya juga turut dilicinkan dengan pisau cukur.

Perihal kezaliman ISA di bawah Seksyen 73 tiada taranya.

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan."
Huud 113

2 comments:

Na'im Nikmat said...

Firman ALLAH S.W.T:
'Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.'
(Al-Maaidah :8)

Adakah I.S.A berlaku adil jika tahanannya ditahan dan disumbat didalam tahanan tanpa perbicaraan?

LegendZ said...

syukran akhi...
InsyaAllah sama2 kita bantu-membantu kearah kebenaran...dan bantu-membantu menentang kebatilan..

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya" Al-Maidah 2