27 December 2009

Cukai rokok untuk majukan bola sepak.??

~nenek rock~


Kenapa mesti rokok? Adakah tiada alternatif lain Kementerian Belia dan Sukan untuk menperoleh sumber peruntukan bagi pembangunan bola sepak. Kenapa tidak dari iklan makanan ke, atau produk elektrik atau elektronik seperti kebanyakan iklan bola sepak di luar negara. Ia seolah-olah memberikan suatu gambaran bahawa kerajaan memang sangat memerlukan rokok.


Ia juga menunjukkan betapa rendahnya komitmen kerajaan untuk 'memerangi' rokok yang dikatakan memudaratkan kesihatan. Puas kementerian kesihatan dahulu berkempen 'Katakan Taknak pada Rokok' tetapi dalam masa sama kementerian belia sukan pula yang 'katakan Ya pada rokok", walaupun tidak secara langsung.

Saya terfikir adakah bola sepak negara yang dilihat kurang mendapat sambutan adalah disebabkan kualiti pemain atau pengurus pasukan yang mewakili negara atau erti kata lain, ia disebabkan kurangnya pendedahan atau facilities bagi meningkatkan lagi mutu bola sepak negara. Bukankah pemain Malaysia telah banyak di berikan pendedahan ke luar negara, cthnya ke Manchester United suatu ketika dahulu. Kemudian dengan pelbagai aturan perlawanan persahabatan bersama kelab-kelab dan pasukan hebat dunia seperti Chelsea, Man Utd, Brazil dll pada suatu ketika dahulu. Jika dikatakan kurangnya kemudahan, saya pasti Kerajaan punyai banyak wang peruntukan diberikan kepada Kementerian belia dan sukan untuk digunakan bagi meningkatkan kemudahan sukan malaysia. Stadium, litar permotoran, kompleks sukan dll..Guna air liur kah semuanya ini?

Adakah kerajaan boleh memberi jaminan bahawa dengan pendapatan dari cukai rokok ini, mutu bola sepak negara dapat ditingkatkan? Saya melihatkan perkara ini adalah lebih dari sekadar aspek pembangunan bola sepak semata-mata, tetapi disebabkan adanya perkataan "rokok" itulah yang menjadi persoalan. Walaupun ia masih di peringkat awal cadangan, namun kerajaan seharusnya menunjukkan respon yang baik dan serius terhadap suatu perkara yang sebelum ini kerajaan dilihat sangat responsif tentang isu ini. Rokok.

Sama la juga isu keruntuhan moral dan akhlak remaja (terutamanya). Pelbagai kempen kesedaran dan program motivasi yang dilakukan, tetapi dalam masa sama kerajaan di bawah kementrian penerangan sendiri yang memberi lesen menayangkan palbagai jenis cerita yang tidak sepatutnya ditayangkan. unsur seks, ganas, tahyul, khurafat dll..di adun atas nama iktibar dan pengajaran kepada masyarakat. Padahal sebaliknya memberi keuntungan kepada producer dan mereka-mereka yang terlibat dalam industri ini.

Berbalik kepada topik, kita sedar bahawa 'peminat-peminat' rokok di luar sana semakin bertambah, anak kecil dirumah di didik secara tidak langsung oleh bapa mereka yang menghisap rokok, abang-abang mereka, kemudian bila dewasa pengaruh dari rakan-rakan pula. Kita sedar walaupun kerajaan 'hanya' mampu meningkatkan harga rokok sekalipun orang tetap mampu membelinya. Hatta hari ini di kotak rokok pun tertera pelbagai gambar yang menujukkan bahana penyakit yang dialami kesan dari rokok. Itu pun masih lagi tidak menunjukkan pengurangan bilangan perokok walaupun mungkin menimbulkan sedikit keinsafan ketika melihat atau membelinya.

Jadi dari itu saya boleh simpulkan bahawa, sememangnya rokok memberikan pulangan yang tinggi kepada kerajaan. Dari cukai yang dikenakan, walau setinggi mana sekalipun ia masih tetap di 'hati' perokok walaupun tahu ia akan memusnahkan 'hati'. Jika ianya soal duit, ketahuilah soal nyawa lagi penting. Seharusnya kerajaan lebih memikirkan bagaimana untuk mengurangkan pesakit-pesakit yang terlantar menderita di sebabkan rokok berbanding bagaimana meningkatkan mutu sukan yang hanya untuk kebanggaan negara.

Saya terfikir kemungkinan suatu hari nanti cukai rokok juga digunakan untuk memajukan kualiti pendidikan..siapa tahu..Tuhan saja yang tahu..Wallahualam.

p/s: kenapa tak di masukkan sekali cukai rokok kedalam GST..kan senang..rokok pun suatu barangan keperluan juga..keperluan bagi perokok..apa-apalah..


No comments: