Umat Islam adalah sebagai umat yang terbaik sepatutnya menjadi contoh teladan kepada umat lain. Kita mestilah mempunyai cara dan adab yang menjunjung tinggi akan ajaran agama Islam dalam menyambut ketibaan tahun baru hijrah agar dapat membezakan dengan cara dan adat orang lain. Apa yang kita lihat, kedatangan tahun baru Islam agak sepi dan tidak sebegitu meriah disambut dan diraikan jika dibandingkan dengan sambutan tahun baru masihi. Itulah hakikatnya.
Malangya ada juga sebahagian umat Islam sendiri tidak ingat mengenai bulan-bulan dalam Islam kecuali Ramadan (sebab berpuasa), Syawal (sebab raya) dan Zulhijjah (sebab raya korban atau raya haji) sahaja. Inilah antara kesan besar daripada ajaran dan pengaruh yang cuba merosakkan serta menjauhkan umat Islam daripada roh Islam termasuk memastikan mereka tidak menghayati takwim hijrah dalam kehidupan. Agak jarang umat Islam mengucapkan selamat tahun baru dan bertanya tentang azam baru apabila datangnya tahun baru hijrah, kerana mereka telah mengucapkannya ketika menyambut tahun baru masihi.
Sebahagian umat Islam hari ini hanya tahu menyebut hijrah tetapi mereka bukannya berhijrah sebaliknya berundur ke belakang dengan mengenepikan ajaran Islam dan mendewakan nafsu akibat terlalu terpesona dengan duniawi serta tertelan dengan racun yang diberikan oleh musuh Islam sehingga berpenyakit "cintakan dunia,takutkan mati"
Oleh yang demikian sempena kedatangan tahun baru hijrah ini, marilah kita tanya diri kita sendiri tentang sebab hijrah Nabi s.a.w yang mampu melahirkan umat yang gemilang bukannya umat yang semakin lemah dan mundur. Hijrah yang mengubah keadaan umat Islam yang lemah menjadi umat yang perkasa yang bukan sahaja mampu menguasai tanah Arab, malah meruntuhkan Rom dan Parsi. Hijrah meninggalkan tanah air tercinta tetapi mampu menjadi warganegara di negara baru dengan pelbagai kemudahan hasil suntikan semangat persaudaraan Islam. Hijrah daripada dakwah yang bergerak secara individu kepada dakwah secara negara. Inilah beberapa contoh mengenai kesan positif daripada hijrah Nabi s.a.w
Matlamat utama Hijrah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para sahabat itu ialah untuk menyelamatkan Islam, akidah dan keyakinan umat Islam, bukan kerana mencari kekayaan berganda-ganda, berniaga dan urusan dunia yang lain, tetapi kerana mereka itu meletakkan Allah dan Rasul-Nya sebagai matlamat penghijrahan demi mendapat rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 218, yang bermaksud:-
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Wallahu'alam.
Salam Maal Hijrah 1431H
No comments:
Post a Comment