02 December 2009

Mengenali Golongan Munafik..



Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai, sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah, merupakan seorang yang sangat berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah.


Setelah perkembangan Islam melanda Madinah dengan deras dan menyeluruh. Dalam masa kurang daripada satu tahun hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk agama Islam. Segala aktiviti berpusat kepada Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam. Kumpulan Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih mulia itu tidak ada pilihan melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan Madinah, jika tidak mereka akan tersisih. Penyertaan mereka di dalam arus tersebut juga bertujuan mencari jalan merampas semula kekuasaan di Madinah sebagaimana sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w ke sana. Mereka mahu orang-orang Makkah meninggalkan Madinah.


Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada satu agama yang mereka pertahankan, maka mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari kiamat, halal dan haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam pandangan mereka. Apabila tidak ada agama yang diperjuangkan dan tidak ada kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut menyertai kegiatan agama orang lain dalam keadaan yang dipanggil munafik. Mereka memakai baju agama padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya.


Munafik berbeza daripada kafir. Orang kafir tidak percaya kepada agama Islam kerana mereka mempunyai kepercayaan sendiri dan mereka pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan mereka terhadap Islam adalah jelas. Orang munafik pula di samping tidak beriman kepada agama Islam, mereka tidak mendatangkan kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka tidak menyebarkan sebarang bentuk kepercayaan. Oleh yang demikian mereka boleh menyertai kegiatan Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan mereka boleh menentang Islam seolah-olah mereka adalah orang kafir tulin. Mereka menganggapkan Islam sebagai baju yang boleh dipakai dan ditanggalkan menurut keadaan yang membawa keuntungan kepada mereka.
Al-Quran menceritakan keadaan puak munafik dalam Surah Al-Baqarah;


Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak perdayakan melainkan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: “Kami tidak lain melainkan orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang yang telah beriman”. Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman?” Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak ketahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, “Kami telah beriman”. Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman)”. Al-Baqarah 8-14


Orang munafik sangat berbeza daripada orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan tidak beriman baik secara terang atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab neraka dan pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman. Orang munafik pula mengucap dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan tidak keberatan menyertai amalan ibadat bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak berbekas pada hati mereka. Mulut mereka mengatakan beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah orang yang Islam pada zahir tetapi kafir pada hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan perbuatan orang yang beriman kerana mereka mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Ada kepentingan diri yang mereka mahu jaga.


Puak munafik tidak mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain, yang tergolong dalam kalangan bangsa Arab yang mereka pandang lebih rendah daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mahu agar baginda s.a.w mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak mempunyai perasaan hormat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana mereka menganggapkan Nabi Muhammad s.a.w, maka mereka tidak menerima kedudukan wahyu sebagai Kalam Allah s.w.t. Mereka menganggap wahyu hanyalah perkataan Nabi Muhammad s.a.w yang sama dengan perkataan orang lain yang boleh dihujah dan ditolak. Puak munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.


Sangat sukar menangani puak munafik kerana secara terangnya mereka mengaku beriman walaupun hati mereka menolak. Mereka juga sanggup bersumpah bagi menegakkan benang basah, "Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah kepada kamu untuk menyenangkan kamu, padahal Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut mereka sukakan jika adalah mereka orang yang beriman" At-Taubah 62.


Oleh kerana puak munafik hidup dalam kepura-puraan mereka sangat takut jika rahsia mereka diketahui oleh orang lain. Apabila tembelang mereka pecah puak munafik itu akan berdalih secara selamba dan mudah. Bila bertembung dengan kebenaran yang tidak dapat dielakkan puak munafik tidak akan mempertahankan kesesatan dan kebohongan yang mereka telah lakukan, "Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan berkata, “Kami ini hanya bergurau senda dan bermain-main”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan (dengan) Rasul-Nya kamu hendak berolok-olok?At-Taubah 65


Puak munafik menyebarkan ajaran yang menyalahi syariat Islam. Apabila syariat meletakkan peraturan amal makruf dan mencegah yang munkar, puak munafik akan menilai yang makruf sebagai keuntungan duniawi dan yang munkar pula sebagai kerugiannya. Mereka menganggap zakat dan sedekah sebagai bukan amal makruf kerana ia merugikan dari segi keduniaan.


"Laki-laki munafik dan perempuan munafik yang sebahagian mereka adalah dari yang sebahagian, mereka menyuruh yang munkar dan melarang dari yang makruf dan mereka genggamkan tangan mereka (bakhil). Mereka telah melupakan Allah dan Allah pun melupakan mereka. Sesungguhnya orang munafik itu adalah orang yang fasik (melewati batas)" At-Taubah 67


Puak munafik pandai berdolak-dalih. Mereka berani menggunakan nama Allah bagi menutup kesesatan dan kekufuran mereka. Tuhan memerintahkan Nabi s.a.w agar berjihad memerangi orang munafik kerana mereka adalah orang yang kufur.

"Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka. Tempat kembali mereka adalah jahanam dan itulah yang seburuk-buruk kesudahan. Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah bahawa mereka tidak pernah berkata, padahal mereka pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka telah kafir sesudah Islam dan mereka sangat mengingini apa yang tidak dapat mereka capai. Dan tidaklah kebencian mereka itu melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya telah memperkayakan orang yang beriman dengan kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat adalah baik bagi mereka dan jika mereka berpaling, Allah akan azabkan mereka dengan satu azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan tidak ada bagi mereka pembantu di bumi dan tidak ada penolong" At-Taubah 73-74


Orang munafik tidak mempunyai kepercayaan dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak pasti apakah yang mereka pegang dan imankan. Mereka bergerak berlandaskan kepercayaan dan pegangan orang lain dengan mengadakan perubahan kepada yang asli, tetapi mereka tetap menggunakan label yang asli, seperti lembu yang mati di tepi jalan diletakkan label halal.


Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, bercakap pasal Islam, tetapi apa yang mereka bawa adalah perkara yang sudah diselewengkan. Orang yang berilmu dapat melihat penyelewengan tersebut tetapi orang jahil akan keliru kerana si munafik bercakap tentang Allah s.w.t dan agama Islam. Lebih-lebih lagi si munafik itu pandai menggunakan hujah keagamaan, terutamanya secara usul yang tidak ada kesudahan. Mereka suka menggunakan cara berteka teki yang sukar dimengerti. Lebih mengelirukan lagi apabila si munafik berhujah dengan menyandarkan kepada Hadis Nabi s.a.w, perkataan sahabat dan wali-wali yang mereka gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang jahil. Si munafik boleh bersumpah bohong dengan menggunakan nama Allah bagi memerangkap orang yang jahil. Orang Islam yang jahil mudah terperangkap dengan ajaran sesat orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi lebih mudah setelah berlaku proses asimilasi agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Keristian ke dalam agama Islam.


Allah memperingatkan sungguh-sungguh kepada Nabi s.a.w dan kaum Muslimin sekaliannya pada semua zaman, supaya jangan membiarkan racun yang ditabur oleh golongan munafik memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi peringatan!

Wallahualam..

p/s: zaman sekarang ni golongan munafik lebih teruk, jika dahulu golongan munafik ini, mereka sendiri bercakap tentang agama walaupun hakikatnya mereka jahil, tetapi hari ini golongan munafik ini bukan sahaja 'bijak' bercakap pasal agama malah juga sanggup mempergunakan golongan agama untuk menjadi juru halal terhadap kepentingan mereka dan...bagi menutup ruang-ruang kemunafikan mereka...siapalah golongan itu..

No comments: