03 January 2010

Ketaatan kepada pemerintah yang fasik

"a good 'selfish' leadership" (gambar hiasan)


Soalan:

Dato', saya berpendapat perlu diteruskan perbincangan mengenai ketaatan kepada pemerintah. Saya mungkin tidak setuju terhadap beberapa perkara yang Dato' sebutkan dalam Harakah keluaran lepas. Saya ingin menambah , terdapat banyak hadis Nabi s.a.w yang menyuruh umat Islam mentaati pemerintah, meskipunpemerintah itu fasik dan jahat. Kerana bagi saya melawan pemerintah adalah dianggap keluar dari jamaah. Yang keluar dari jamaah adalah terkeluar dari ikatan Islam. Baik ikut sahaja pemerintah.

Jawapan:

Anda menyoal sedemikian, berkemungkinan anda merujuk kepada hadis Rasulullah s.a.w yang diambil daripa Al-Haris al-Asya'aari. Hadis ini amat panjang. Mungkin anda hanya ambil yang ditengah-tengah sahaja, sebaliknya tidak mengambil kesemuannya.

Keseluruhan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Tarmizi itu, Rasulullah s.a.w memerintahkan kita mematuhi lima perkara antaranya:
1) Bersama jamaah (seperti yang saudara sebutkan dalam soalan)
2) Mendengar arahan pemerintah
3) Ketaatan kepada arahan
4) Berhijrah
5) Berjihad untuk memartabatkan agama Islam

Betul, dalam hadis tersebut Nabi s.a.w menyebut bahawa, sesungguhnya barangsiapa yang keluar dari jamaah (mengasingkan diri, tidak mahu memikul tanggungjawab menegak dan memartabatkan agama Allah) maka dia dianggap telah memutuskan tali.

Dalam hadis tersebut Nabi menyebut 'ribkah' yang bermaksud tali. Tali yang mengikat kita dengan Islam, sehinggalah dia (yang mengasingkan diri) kembali kepada jamaah. Hadis itu tidak menyuruh kita meminta menuruti pemerintah secara mutlak. Nabi menyuruh kita menyertai jemaah Islam yang sahih. Iaitu jemaah yang memperjuangkan dan memartabatkan agama Allah. Bukan dengan sebarang jamaah.

Dan Nabi menyuruh kita bekerjasama atas nama jamaah. Mentaati pemerintah kepada perkara-perkara yang boleh ditaati dan memperbetulkan pada perkara yang sepatutnya diperbetulkan.

Sebagai contoh, setelah Abu Bakar as-Siddiq memegang jawatan khalifah yang pertama, berlaku dibeberapa kawasan yang terpencil, golongan yang tidak mahu lagi membayar zakat kepada pemerintah. Abu Bakar mengetahui secara pasti, tetapi tidak mahu bertindak atas alasan bahawa harta benda seseorang dan darah (orang Islam) adalah haram, selama mana dia mengucap dua kalimah syahadah.

Umar Al-Khattab dan beberapa sahabat lain tidak bersetuju dengan Abu Bakar. Mereka mengatakan bahawa fahamannya itu tidak tepat. Yang tidak mematuhi hukum, seperti tidak memberi zakat dengan alasan ia hanya wajib di beri kepada Rasulullah s.a.w dan apabila baginda wafat, maka zakat itu tidak lagi menjadi wajib. Fahaman itu amat bahaya, kerana akhirnya mereka akan membatalkan semua hukum Allah, kata Umar.

Abu Bakar dan Umar berselisih faham. Umar tidak mentaati Abu Bakar, bagi maksud Umar menyanggahi Abu Bakar, malah mendesaknya mengambil tindakan segera, hatta berperang sekalipun dengan golongan tersebut (gol. tidak membayar zakat). Setelah lama berhujah, akhirnya Abu Bakar menerima pandangan Umar. Lalu memerintah tentera Islam memerangi golongan tersebut.

Ini semua menunjukkkan bahawa umat Islam wajib bersatu. Golongan yang seperti tidak membayar zakat, mesti diatasi dengan cara yang sesuai pada zaman masing-masing.

Pemerintah yang fasik, wajib ditentang berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w (mafhumnya)," Sesiapa yang melihat kemungkaran (fasik), maka hendaklah ia mengubahnya dengan kuasa yang ada padanya, jika tidak berkuasa maka hendaklah mengubahnya dengan mulut (kata-kata), jika tidak mampu juga maka hendaklah mengubahnya dengan hati". Dalam satu hadis lain, Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya), "Jika ada orang yang tidak mahu mengubah kefasikan itu dengan hatinya, maka dialah orang yang selemah-lemah iman.

Maka, atas perkara inilah maka, pada pandangan saya, perintah untuk mentaati pemerintah, tidak selama-lamanya wajib berdasarkan beberapa hadis (yang difahami sebahagian daripada maksudnya) yang sebenarnya tidak. Hendaklah kita mengubah kefasikan itu sedaya mungkin. Wallahu'alam. [Dato' Haron Din]

---------------------------------------------

p/s: mentaati arahan/tindakan pemerintah yang fasik atau mentaati pemerintah yang fasik? Andai pemerintah itu fasik memberi arahan atau bertindak terhadap sesuatu yang benar atau baik, sewajibnya harus ditaati oleh rakyat, begitu juga sebaliknya, malah juga wajib menegur pemerintah yang berlaku silap itu.(seperti mana hadis nabi di atas) dan itu juga adalah sebenar-benar jihad kerana ada hadis nabi yang bermaksud,"Sebaik-baik jihad itu adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim". Wallahualam.

No comments: