15 August 2009

Jom Bersama Pemuda!


"berikan aku 10 orang pemuda, nescaya aku dapat mengoncangkan dunia" Bapak Natsir



Pendahuluan

Sempena menyahut saranan dan harapan ketua pemuda PAS pusat, Ust Nasarudin Tantawi bagi membawa para-para pemuda Islam pada hari ini dalam mengorak langkah lebih bergaya khususnya kearah pembentukan sebuah negara Malaysia yang makmur dan sejahtera. Pemuda seharusnya diletakkan peranannya dalam masyarakat ke tempat yang sebetul dan selayaknya. Oleh itu, pembentukan golongan pemuda yang sempurna 'sifat' dari segi fikrah, sahsiah dan tindakan bermula dari 'acuan' atau bekasnya. Mana mungkin bayang-bayang yang lurus dapat dihasilkan dari kayu yang bengkok. Begitu juga pemuda, pembentukan dan didikan daripada masyarakat perlu mendapat perhatian dan kerjasama disamping daripada kehendak dan keeinginan dari dalam diri pemuda itu sendiri kerana kuasa dorongan yang ada didalam setiap diri pemuda itu mahu tidak mahu pemuda itu sendiri yang mengaktifkan.

Pembinaan Budaya Ilmu

Golongan pemuda penggerak Islam kini terlalu kurang ilmu menyebabkan segala isu berkaitan anti-Islam yang timbul tidak dapat direspon dan ditangkis dengan sempurna. Kekurangan kesedaran dalam mempertahankan Islam dalam kalangan pemuda harus dipandang serius dan diambil tindakan yang segera. Ilmu serta pemahaman terhadap Islam yang ditanam sewaktu muda inilah yang menjadi bekal sesudah tua kelak. Ilmu yang datang tanpa pemahaman amat berbahaya dan boleh melahirkan pemuda yang menyeleweng dari segi matlamat perjuangan Islam. Kesibukan mahasiswa di IPT juga mestilah dalam skop yang berkaitan dengan isu-isu kemasyarakatan. Jangan terlalu memfokus kepada isu remeh hingga keutamaan untuk membela Islam jatuh ke tangga ke-2 atau seterusnya. Ini harus dipandang oleh semua golongan pemuda terutama pimpinan-pimpinan gerakan mahasiswa (terutamanya gerakan Islam) di IPT.

Perkongsian Ilmu dan Pengalaman daripada Golongan Vateran

Dalam memperkasakan ilmu serta idealisme, golongan pemuda mestilah banyak bergaul dengan golongan veteran atau 'orang lama' dalam gerak kerja dakwah dan kemasyarakatan. Kurangnya penglibatan antara golongan pemuda dan golongan veteran ini boleh menjadi salah satu punca salah faham dan perpecahan gerak kerja Islam. Segala tunjuk ajar daripada golongan yang lebih berpengalaman haruslah dijadikan iktibar dan nasihat yang berguna dalam meneruskan usaha-usaha pengislahan masyarakat kini. Kombinasi yang sihat antara pemikiran dan gerak kerja kedua-dua generasi ini mematangkan umat Islam serta mewujudkan satu impak yang progresif dan dinamik dalam usaha-usaha yang dijalankan. Bak kata pepatah Melayu, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Keutuhan Aqidah Yang Sahih

Teras kekuatan umat Islam terletak pada aqidah. Segala gerak kerja yang dilakukan wajib didahulukan dengan pemahaman aqidah yang sahih lagi benar. Kebanyakan penggerak Islam terdahulu ‘tersungkur’ dan ada yang menjadi musuh utama kepada Islam adalah akibat daripada kelemahan aqidah serta kecetekan pemahaman terhadap aqidah yang sahih. Kebergantungan sepenuhnya golongan pemuda penggerak Islam terhadap seseorang atau sesuatu selain Allah s.w.t. mestilah dihindari dan dielakkan. Ugutan yang berupa ancaman fizikal (bunuh dan sebagainya) serta rezeki (jawatan, kuasa, gaji, dan sebagainya) menjadi halangan utama kepada penggerak Islam. Namun, kekuatan aqidah yang benar-benar kukuh dapat menangkis serangan ini dengan mudah atas bantuan Allah s.w.t. Ini telahpun dibuktikan melalui sejarah terdahulu. Semua perkara di dunia ini tidak akan terjadi melainkan kuasa Yang Maha Esa sahaja.

Doa Sebagai Senjata Terpenting Perjuangan

Setiap pemuda penggerak Islam tidak dapat tidak harus berdoa kepada Allah s.w.t. dengan penuh pengharapan dan rasa kehambaan. Segala gerak kerja yang dilakukan mestilah disandarkan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Ketakutan kepada manusia dan makhluk lainnya mestilah diketepikan apabila berjuang menegakkan Islam. Sunnah berjuang menegakkan Islam seperti menggenggam bara api (mafhum hadith). Jika Allah s.w.t. diletakkan keutamaan yang hakiki dalam kehidupan, tiada apa yang dapat menghalang pemuda penggerak Islam dalam berjuang kecuali Allah s.w.t. semata-mata. Sandaran yang kukuh inilah harus ditekankan sehingga keyakinan para pemuda Islam terhadap perjuangan benar-benar murni. Doa mestilah menjadi senjata terpenting dalam perjuangan supaya tidak timbul rasa riak serta megah apabila perjuangan yang dilakukan berjaya mencapai matlamat.

Perancangan Keluarga Yang Teliti

Perancangn untuk membentuk keluarga yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah mesti dimulakan dari sekarang. Pemilihan calon isteri/bakal suami perlu dilakukan dengan teliti dan bersandar kepada perjuangan Islam tanpa diskriminasi dan tiada kesulitan. Kurang penekanan terhadap isu ini menjadikan ramai pemuda penggerak Islam ‘hanyut’ setelah melepasi alam perkahwinan. Tuntutan-tuntutan keluarga serta keadaan rumah tangga kadang-kala menguji tahap keimanan serta konsistensi perjuangan menjadi alasan para pejuang ini makin ‘hilang’ dan terkubur tanpa nisan. Namun, isu ini juga bukanlah mesti dibicarakan 24 jam sehingga hilangnya fokus kepada perjuangan menegakkan Islam. Ramai juga pemuda penggerak Islam yang terlalu merancang hingga mereka menjadi lemah akibat kurang sensitif terhadap isu utama umat Islam masa kini. Perancangan keluarga mestilah diimbangi dengan gerak kerja dakwah dengan meletakkan perjuangan sebagai priority manakala perancangan keluarga adalah salah satu strategi untuk istiqamah dalam perjuangan tadi. Sepertimana wasiat Syahid Hassan Al-Banna dalam ruanglingkup para pejuang Islam dalam pembentukan sebuah negara harus bermula dari keluarga yang baik iaitu keluarga muslim.

Kesimpulan

Harapan masyarakat yang disandarkan kepada generasi muda hari ini haruslah diambil perhatian serius, kerana rata-rata kebanyakan masyarakat pada hari ini telah diberikan suatu wajah yang negatif oleh pemuda atau remaja akibat dek perilaku segelitir golongan ini sendiri dengan melihatkan pelbagai bukti gejala sosial yang berlaku pada realiti sekarang. Andaikata persepsi negatif ini tidak dikikiskan ianya akan menjadi doktrin atau fahaman yang mungkin sukar diluputkan daripada minda masyarakat pada hari ini dan masa-masa akan datang.

Oleh yang demikian, pemuda harus berperanan bagi peringkat mereka dalam mengikis persepsi ini agar mereka dapat bangun dengan segar seterusnya memperkukuhkan lagi Islam semampu mungkin. Berakhirnya nafas generasi tua hari ini akan disambung dengan nafas generasi muda yang matang dan agresif dalam memperjuangkan Islam kerana Allah s.w.t. semata-mata. Wallahu'alam.

"Ayuh ! cepatlah anak muda . Kita bergerak sepantas tenaga yang dimiliki , kita merancang serancak kecerdasan yang ada pada aqal sang muda . Kita sahut cabaran musuh yang mahu melihat generasi ini musnah dan hanyut dengan pelbagai ideologi dan kegiatan tajaan mereka dengan jiwa yang besar dan cekal . Tidak mengalah biar ditawar segala keseronokan dan kepuasan justeru kita memahami bahawa segalanya itu hanyalah fatamorgana" - Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi


|my convocation 43th-UTMskudai|

No comments: