11 August 2009

Perang Permatang Pasir

“to secure peace is to prepare for war”

Semua telah sedia maklum bahawa 'Perang' pilihanraya kecil Permatang Pasir akan diadakan pada bulan Ramadhan, iaitu pada 25 Ogos. Tarikh ini telah ditetapkan oleh SPR atas sebab untuk menyelesaikan secepat mungkin pilihanraya yang berturut-turut dalam beberapa tahun ini.(sumber). Alhamdulillah.

Sesungguhnya jika dilihat kembali tarikh dan waktu berlakunya pilihanraya ini, pastinya kita akan terkenang kembali peristiwa besar bagi umat Islam yang berlaku dibulan Ramadhan-Perang Badar Al-Kubra yang berlaku pada 17 Ramadhan bersamaan 2hijrah. Tidak banyak bezanya dengan 'peperangan' yang bakal berlaku di Permatang Pasir ini walaupun, jika dilihat dari sudut method jelasnya adalah jihad Qital atau peperangan mengangkat senjata (pedang, anak panah dan sebagainya). Ya, 'perang' Permatang Pasir ini juga suatu peperangan mengangkat 'senjata'-senjata materialnya adalah kertas undi dan pen. Matlamatnya juga adalah sama-iaitu kemenangan untuk umat Islam, bagi menegakkan syiar Islam dan akhirnya pembentukan sebuah negara Islam.

Terdapat seramai 313 orang yang berangkat keluar berperang bersama-sama Rasulullah s.a.w. Bilangan orang Ansar adalah lebih daripada 240 orang. Bakinya ialah orang-orang Muhajirin. Pas yakin bahawa mereka yang keluar 'berperang' untuk kemenangan Islam di Permatang Pasir kali ini lebih dari 313, bahkan lebih ramai. Bantuan dari para-para pendokong dan penyokong Pas akan turut turun membantu. Dan InsyaAllah andaikata para pejuang Islam sentiasa menjadikan asas senjata utama umat Islam iaitu doa sebagai penolong kita-yakinlah bantuan Allah akan datang berlipat kali ganda yang akan menjadi pendamping sepanjang masa.

Jika dilihat beberapa ibrah dari sirah Perang Badar Al-Qubra, Allah telah mengkehendaki kepada para hamba-Nya yang beriman agar tujuan yang lebih mulia daripada peristiwa perang ini adalah Dakwah-iaitu dakwah kepada agama-Nya, berjihad di jalan-Nya dan berkorban dengan nyawa dan harta demi menggangkat martabat kalimat Allah ketempat yang tinggi (Sirah Nabawiyah-Ramadhan Al-Bouti).

Bagitulah Allah telah mengurniakan kepada kaum muslimin di setiap tempat dan pelusok negara agar menjadikan ’peperangan’ pilihanraya ini bukan sekadar suatu urusan politik semata-mata, tetapi melihatnya dari pelbagai sudut dan wajah-kerana politik yang berpaksikan Islam ini adalah suatu cabang jihad.

Seorang penulis dan ulama’ Indonesia, M Isa Ansory pernah menulis dalam bukunya, Umat Islam menghadapi Pemilihan Umum; pilihanraya adalah untuk perlembagaan, majlis pembuat undang-undang dasar negara yang tetap, perlembagaan yang dikehendaki oleh umat dan rakyat Islam, bahkan diharapkan kepada semua umat manusia. Di dalamnya tergambar dengan jelas dan tegas akan cita-cita dan harapan seluruh rakyat, fikiran dan pandangan rakyat seluruhnya. Ini kerana, perlembagaan dan undang-undng negara akan menjadi sumber atau pokok kepada perundangan negara pada zaman mendatang.

Perlembagaan atau undang-undang dasar yang dibentuk adalah tetap diatas aqidah, dimana telah jelas dinyatakan hukum dan peraturan yang akan digunapakai dan dilaksanakan dalam sesuatu negara (Malaysia contohnya) di masa hadapan. Perlembagaan baru yang dibentuk ini akan menjadi pegangan atau pedoman buat generasi masa depan.

Sabda Rasulullah s.a.w , ”Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum meslimin, maka mereka bukanlah dikalangan kaum Muslimin” (Riwayat Al-Baihaqi)

Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam memperjuangkan hukum-hukum Islam agar tertegak di Malaysia. Satu suara atau undi yang diberikan dalam pilihanraya kepada organisasi atau parti Islam, ibarat meletakkan sebiji batu bagi membina sebuah bangunan negara Islam. Sebaliknya, jika undi diberikan kepada organisasi atau parti yang bukan memperjuangkan Islam, bererti pengkhianatan terhadap perjuangan Islam dan tauhidnya sendiri.

Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.

Al-Maidah 56


p/s : Penerangan di atas ini adalah berdasarkan rujukan dan pentafsiran secara general, kaedah dan pendekatan bagi mencapai matlamat terlalu banyak dan pelbagai. Wallahu’alam.


No comments: