KUALA LUMPUR 31 Ogos — Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam “Ops Masih Ada yang Sayang” yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini.
Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.
Pengerusi Perkid Selangor Masridzi Sat berkata kesemua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.
“Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup,” katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.
Masridzi berkata kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.
Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial.
Sumber : Utusan Meloya
--------------------------------------------------
Komentar:
Mahu tunding jari pada siapa? Inilah hadiah tahunan kerajaan buat rakyat, semakin hari imej remaja semakin dipandang sinis dan jelek oleh masyarakat. Keruntuhan moral di muka akhbar dan kaca tv semakin membimbangkan, tiada tanda ia akan reda. Sungguh, saya merasa simpati kepada remaja hari ini yang semakin hari di hidangkan dengan pelbagai hiburan dan budaya yang tidak bermoral sehingga menjadikan imej remaja hari ini terlalu rendah di mata masyarakat. Padahal dosa mereka itu datang dari masyarakat sendiri.
Remaja hari ini lahir bukan secara tiba-tiba, mereka sebahagian dari masyarakat kerana mereka lahir dari kepompong masyarakat..yang awalnya dari tempurung keluarga..Tarbiyyah atau pendidikan mereka datang dari masyarakat, baik acuan baiklah hasilnya. Bagaimana kita lihat hierarki masyarakat, begitu juga la kita tahu siapa yang layak dipersalahkan. Adakah individu tersebut, keluarga, komuniti masyarakat setempat, atau penguasa negara? (tak dinafikan faktor anasir luar turut menyumbang seperti media).
Pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan. Masakan tidak kuasa dan lesen besar bagi segala program dan aktiviti adalah di bawah kuasa mereka. Namun, faktanya bagaimana bayang yang lurus terhasil dari kayu yang bengkok, Pemimpin negara turut terlibat dalam menggalakkan remaja dan masyarakat terus tenggelam khayal dalam hiburan melulu. Malah Perdana Menteri sendiri turut hadir dalam anugerah filem Bollywood GIFA pada tahun lepas di Genting Highland yang dikatakan Program itu dilobi dan dinaungi oleh isteri seorang menteri kabinet . Seorang raja turut mencemar duli memberi pujian dan hadiah apabila seorang rakyat negerinya menjadi juara AF. Pernah juga Menteri Pelancongan mencadangkan supaya kelab malam dilanjutkan waktu operasi hingga 4,00 pagi. Ini lah pemikiran pemimpin, kerana anggapan pemikiran para pemimpin, dunia remaja hanyalah hiburan.
Ini baru hal Hiburan
Benarlah kata Hukamak, “ Rakyat di atas agama (cara hidup ) raja-raja (pemimpin )mereka”
No comments:
Post a Comment