Di suatu sudut kawasan Potsdamer Platz terlihat orang berkumpul secara berkelompok, mereka datang silih berganti. Umumnya mereka datang membawa peralatan, seperti kamera foto dan handycam. Ada yang datang dengan menaiki bas awam, kereta api, teksi, motor, dan ada juga yang berjalan kaki.
Tempat ini dikunjungi ribuan orang. Letaknya hampir di tengah Kota Berlin yang berpenduduk 3.5 juta orang dengan keluasan 889 kilometer persegi. Ribuan kenderaan dan manusia lalu lalang seakan-akan menjadikan kawasan ini 'bernyawa' tanpa mengenal waktu siang dan malam.
Di sana terdapat pusat beli-belah terbesar di Berlin, Potsdamer Platz Arkaden. Gedung-gedung modern pencakar langit yang tersergam yang dijadikan sebagai pusat perniagaan terulung, seperti Sony Center dan Daimler Benz, perusahaan kenderaan terbesar di Jerman dengan jenama Mercedes Benz selain terdapat gedung-gedung pawagam dan teater.
Namun kehadiran ribuan pengunjung bukan hanya semata-mata atas sebab ingin berbelanja atau ingin berurusan perniagaan tetapi ia lebih dari itu. Di suatu sudut tempat ini menjadi penting karana di daerah itu masih terdapat sisa-sisa bekas runtuhan Tembok Berlin (The Berlin Wall) yang runtuh pada 9 November 1989. Sebuah sejarah penting bagi negara-negara Eropah khususnya dan dunia umumnya. Tembok yang dibina kemudian diruntuhkan atas dasar ingin menyatukan negara Jerman Timur (berhaluan komunis) dengan Jerman Barat (berhaluan kapitalis).
Tembok yang dilihat sebagai simbol kepada Perang Dingin itu menjadi ’tirai besi’ buat penduduk Jerman yang terpisah. Zahirnya bertujuan menghalang penghijrahan pekerja atau tenaga kerja mahir dan profesional dari Jerman Timur ke Jerman Barat mengakibatkan kemunduran ke atas pembangunan Jerman Timur. Namun hakikatnya juga ramai keluarga yang terpisah akibat Tembok Berlin ini . Ada ibu bapa yang tinggal di Jerman Barat sementara anak-anak tinggal di Jerman Timur. Ini menyebabkan beban emosi kepada kedua-dua pihak. Menjadi penjara jiwa buat mereka.
Hari ini genap 20 tahun runtuhnya Tembok Berlin ini. Hari ini kesannya tidak lagi seperti dahulu. Jerman telah bangun maju seiring negara-negara maju lain. Menjadi antara kuasa dunia yang mendominasi kemajuan dan teknologi. Menjadi pengeksport utama bukan hanya barangan tetapi idea dan budaya, baik ianya positif mahupun yang negatif. Malah Jerman telah melahirkan ramai pengkaji terkemuka di dalam pelbagai bidang sains. Hadiah Nobel telah dianugerahkan kepada 100 orang penerima yang berasal dari negara ini
Jika dahulu dilihat runtuhnya tembok Berlin menjadi petanda runtuhnya fahaman atau pegangan mereka terhadap Komunisme dan Kapitalisme di Jerman. Hari ini tembok fahaman dan sempadan pegangan agama juga runtuh di Jerman. Kemasukan pekerja dan tenaga buruh dari luar terutamanya dari negara Islam seperti Turki telah membawa Islam di tengah-tengah masyarakat Jerman. Dari seorang individu pekerja yang di bawa masuk sehinggalah kepada sebuah keluarga, isteri dan anak-anak sehingga membawa suatu masyarakat Islam di Jerman.
Hari ini Jerman semakin pesat bukan hanya dengan kemajuan teknologi semata mata, tetapi juga pesat dalam penyebaran Islam oleh penduduk muslim di situ. Disebabkan kemasukan buruh asing sekitar 1960-an dan beberapa siri pelarian politik sejak 1970-an, Islam di Jerman kini menjadi sebuah agama yang ketara. Sehingga 2006, terdapat kira-kira 3.5 juta Muslim (4% penduduknya) selepas Agama Kristian yang terdiri daripada mazhab Katolik dan Protestan, menjadikan Islam agama kedua terbesar di negara ini selepas Kristian. Kebanyakan umat Islam di Jerman adalah mereka yang berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.
Pengamalan umat Islam di Jerman juga tidak kurang hebat dengan Sekitar 68% penganut Islam di Jerman dianggarkan bergiat aktif di dalam komuniti agama, sementara 69% yang lainnya menunaikan amalan keagamaan seperti berpuasa dan meraikan perayaan keagamaan. Terdapat sekurang-kurangnya 2,500 pusat keagamaan di seluruh Jerman. Lebih kurang 160 daripadanya ialah masjid-masjid yang siap dengan kubah dan menara.
Justeru ia membawa hikmah yang sangat besar pada umat Islam atas peristiwa runtuhnya Tembok Berlin ini. Namun ia tidak bermaksud dengan semata-mata runtuhnya tembok Berlin ini Islam dapat di sebarkan kerana sekukuh manapun tembok yang di bina, setinggi mana pun tembok itu di naikkan, Islam pasti akan dapat menembusinya. Islam tidak melangkaui sempadan. Kerana penyebaran agama itu terletak kepada usaha umat Islam itu sendiri kerana hasil tuaian agama itu akan kembali kepada penat lelah penuainya.
Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakupi seluruh fenomena kehidupan, melangkaui batas sempadan dan masa. Maka ia adalah negara dan tanah air, atau ia adalah kerajaan dan umat, ia adalah akhlak dan kekuatan, ia merupakan rahmat dan keadilan, malah Islam adalah budaya dan undang-undang, ilmu dan kehakiman, material, jihad dan dakwah, dan ia juga tentera dan fikrah. Islam itu adalah Aqidah yang sebenar dan ibadah yang sahih tanpa ada bezanya pada setiap bangsa, budaya, warna kulit, dan harta.
Seperti mana kata-kata seorang penulis yang sebelum ini menjadi seorang duta besar Jerman tentang Islam, Murad Hoffman, ”Islam tidak menawarkan dirinya sebagai alternatif yang lain bagi masyarakat Barat pasca industri. Karena memang hanya Islamlah satu-satunya alternatif itu!"
Wallahu’alam
No comments:
Post a Comment