05 November 2009

Bahaya Fitnah






Fitnah merupakan suatu perbuatan yang sangat bahaya. Ia akan mengundang pelbagai masalah, perpecahan dan perselisihan kepada mereka yang menjadi mangsa. Rata-rata hari ini teknologi yang semakin pesat membangun menjadi suatu keperluan yang penting dalam menyebarluaskan maklumat terutamanya melalui laman web atau blog . Justeru penyaluran maklumat yang tepat dan cepat melalui medium tersebut kepada pengguna teknologi hari ini menjadi suatu pilihan utama agar masyarakat menjadi cakna dengan sesuatu perkara.

Hari ini fitnah yang berlaku terlalu banyak bahkan ia sungguh mudah bagi mana-mana individu atau puak yang berkepentingan mahu menjatuhkan seseorang/puak lain. Kebanjiran rakyat Malaysia yang hari ini mencecah berjuta-juta bilangannya telah terdedah kepada teknologi ict yang menjadi merupakan antara medium fitnah yang sangat popular. Inilah fitnah media atau fitnah ict, tiada bezanya dulu dan sekarang. Matlamatnya bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan. Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga, seperti mana sabd Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kerana dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti. Na'uzubillah.

Fitnah menjadi sangat bahaya jika ia melibatkan urusan agama. Terutamanya jika ia menyentuh hal Aqidah. Bahkan ada puak-puak tertentu menabur fitnah sesama puak lain bahawa Aqidah mereka sesat, terseleweng tanpa bukti yang kukuh. Malah sehingga tahap mengkafir-kafirkan. Jika hal Aqidah sudah menjadi bahan fitnah apatah lagi hal-hal remeh yang menjadi furu'iyyah yang jika di layan sehingga kiamat tidak habis. Wahabiyyah, Bida'ah, jemaah tu, jemaah ni dan juga hal-hal yang berkaitan parti politik, baik UMNO-BN atau PR. Tiada noktah.

Jika suatu ketika dahulu, kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, adalah berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama. Selain itu penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Dan fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Banyak tamadun dan era pemerintahan yang manjadi huru hara di sebabkan fitnah, ia menjadi bukti fitnah bukan suatu perbuatan salah yang remeh, jika impaknya sehingga ke meja negara maka, ia sesuatu yang sangat besar. Semakin besar dosa.

Dan hari ini kemudahan teknologi seperti laman web dan blog juga telah banyak di salah gunakan untuk menyebarkan fitnah. Kehadiran blogger-blogger yang ada di antaranya menjadi agen penabur fitnah perlu di awasi. Kebebasan teknologi hari ini bukanlah kebebasan mutlak, ia kebebasan bersyarat yang perlu dipatuhi. Jika ia bersyarat ia menunjukkan suatu kesalahan jika di langgar kerana kesalahan itu membawa kepada dosa.

Seharusnya kita memperbanyakkan penjelasan bukan pengusutan. Ini hakikat yang berlaku pada pengguna laman web atau blogger yang dilihat lebih menjurus kepada kekusutan sesuatu maklumat yang di terima. Dalam pengamatan saya yang mungkin masih cetek dalam hal ini, melihat ramai bloggers yang kurang memberi penjelasan terhadap sesuatu fakta. Penjelasan fakta dalam erti kata lain, mengapa begini atau begini, kupasan dari sudut dan pandangan logik akal mahupun bersandarkan Al-Quran, Sunnah dan pendapat muktabar lain. Saya lebih melihatkan kepada bloggers yang bukan sahaja berjuang untuk kebenaran fakta tetapi untuk dakwah kepada muslim atau non-muslim. Terutamanya kepada bloggers yang terang-terang pro kepada sesuatu parti seperti PAS.

Saya suka mengambil contoh seperti blog Ustaz Nasruddin Tantawi yang umumnya dilihat sebagai blog politik, penjelasan sesuatu isu atau fakta yang sangat jelas apa yang berlaku hari ini, sangat sesuai dengan peranannya sebagai ketua pemuda Pusat, dalam masa yang sama ada nilai-nilai dakwah dan tarbiyyah kepada kita dan orang lain. Ini hanya antara contoh, tak di nafikan banyak lagi blog-blog yang sedemikian. Saya berpandangan, suatu kerugian jika kemudahan dan peluang teknologi maklumat yang tersedia tidak atau kurang di manfaatkan semaksimum mungkin, terutamanya dalam membawa agenda dakwah kepada masyarakat. Terutama blog atau laman web peribadi yang sedikit sebanyak memberi gambaran peribadi seseorang (blogger itu) dengan tulisan dari pandangan peribadi. Jika tulisan penuh dengan caci maki, fitnah dan tomahan, tidakkah ia mengundang sangka buruk orang lain, lebih-lebih lagi ia membawa imej sebagai pembela atau suara bagi pihak sesuatu parti politik. Persepsi buruk yang membawa kepada tertutupnya pintu hati untuk menerima sesuatu hatta ianya suatu kebenaran lantaran method penyampaiannya yang tidak sesuai.

Saidina Umar pernah berkata, "jangan kamu marah kepada orang lain disebabkan sangka buruk mereka kepada kamu, sedangkan kamu sendiri sengaja meletakkan diri kamu kepada sangkaan buruk orang lain" (mafhum ayat)

Apa yang penting adalah tindakan yang perlu bagi kita baik sebagai pemberi maklumat atau penerima maklumat adalah dengan memastikan kesahihan berita yang diterima itu dari sumber yang tepat dan di pastikan tidak diseleweng. Memastikan fakta dan dari siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” Al-Hujurat 6

Peringatan untuk saya juga. Wallahu'alam

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada
disisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” Al-Qaaf 18



No comments: