Setiap orang yang meredhai Allah s.w.t sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad s.a.w sebagai Nabi dan Rasul, maka dituntut darinya melakukan pengorbanan. Setiap yang bernazar dan berjanji kepada Tuhannya untuk bekerja dan berjihad untuk Islam dituntut darinya melahirkan kesungguhan dan pengorbanan yang berharga. Hakikat ini mesti jelas dengan sejelas-jelasnya pada seorang Muslim. Menjadi kewajipan keatasnya menyiapkan diri dan menyediakan dirinya bagi pengorbanan tersebut. Jadi apakah dia pengorbanan yang dituntut itu?
Iaitu Mengorbankan jiwa, harta, masa, kehidupan dan semua perkara untuk mencapai matlamat.
Ya, inilah pengorbanan yang dituntut oleh kita sebagai seorang Muslim. Inilah pengorbanan yang diseru oleh Allah s.w.t dan dididik para sahabat oleh Rasulullah s.a.w. Allah berfirman,
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dan membayarnya dengan syurga. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu membunuh atau dibunuh. Itulah janji yang benar yang disebut di dalam kitab Taurat, Injil dan Quran. Sesiapa yang menunaikan janjinya dengan Allah, maka bergembiralah dengan janji yang kamu meterikan itu. Yang demikian adalah kemenangan yang besar .” (At-Taubah: 111)
FirmanNya lagi,
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan gandaan yang banyak.” (Al-Baqarah:245)
Apabila Abu Darda’ mendengar ayat ini, dia merasakan tidak ada pilihan lain melainkan bersedekah dengan hartanya yang paling dikasihi lagi berharga. Begitulah kita lihat tarbiyah Nabawiyah yang dinikmati oleh para sahabat secara praktikal. Abu Bakar r.a telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya:
“Apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu?” Lalu beliau menjawab: “Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.”
Suhaib Ar-Rumi telah mengorbankan seluruh apa yang beliau miliki demi untuk menolong agama Allah. Lantas Allah menurunkan untuknya dan orang yang sepertinya ayat Al-Quran yang dapat dibaca. Firman Allah s.w.t,
“Dan di antara mereka ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.” (Al-Baqarah: 207)
Rasulullah s.a.w menyambutnya seraya bersabda
“Beruntunglah perniagaan kamu, wahai Suhaib”
Mus’ab seorang sahabat yang lain juga adalah pemuda yang kaya lagi dimanjakan keluarganya, telah mengorbankan semua yang ada padanya sebagai satu tanda daripada bukti-bukti jihad kepada syabab (pemuda) Muslim pada setiap zaman.
Tidak lupa juga buat para Sahabiyat r.a. yang melakukan pengorbanan untuk Islam. Khadijah, Ummu Salamah, Ummu Sulaim, Nusaibah, Asma’ dan lain-lain. Mereka semua mempunyai sikap yang kita telah maklum, kehidupan yang dimakmurkan dengan melakukan pengorbanan yang bernilai. Sejarah para sahabat dipenuhi dengan kisah-kisah pengorbanan dengan harta dan jiwa demi memenangkan agama Allah.
Wallahualam.
Semoga Allah tetapkan hati kita untuk terus berkorban demi Islam tercinta. Al-Mautu Fisabilillah..InsyaAllah..
Salam Aidil Adha diucapkan kepada semua..
“Katakanlah: Jika sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-mara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarg kamu, harta benda yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu takut rugi dan tempat-tempat tinggal yang kamu sukai itu lebih kamu kasihi daripada Allah, RasulNya dan berjihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah datangkan urusanNya, kerana Allah tidak akan memimpin kaum yang fasik.” At-Taubah: 24
Rujukan: Pandangan Semula kepada Risalah Ta’alim, Muhammad Abdullah al Khatib
No comments:
Post a Comment