04 November 2009

Royalti dan kezaliman pemerintah.




Syeikh Daud Bin Abdullah Al Fatoni dalam kitab Munyatul Musollinya yang sudah berusia 200 tahun lebih, menyatakan bahawa jika seseorang itu bercita-cita untuk menjadi seorang pemerintah, maka perkara atau ilmu pertama yang harus dipelajarinya ialah ilmu zalim, iaitu ilmu dalam mengenal erti serta bentuk perbuatan-perbuatan zalim samada kezaliman itu kerangkanya pada manusia mahupun pada makhluk lain seperti haiwan, alam sekitar, dan lain-lain.

Sekiranya kezaliman yang berlaku di dalam sesebuah negara itu menjadi sesuatu kelaziman atau perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana pemerintahan, maka perbuatan tersebut hanya akan mengundang masalah kepada pentadbiran sesuatu negara tersebut.

Jika kita menyoroti suatu kisah di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, pernah seorang wakil pemerintah dalam negara di bawah naungan Khalifah Umar telah ditimpa bala dan malapetaka kemusnahan. Lalu wakil pemerintah tersebut menghantarkan sepucuk surat kepada khalifah Umar Bin Abdul Aziz bagi memohon bantuan berupa peruntukan harta, makanan dan segala keperluan supaya dapat diperbaiki segala masalah yang melanda daerah tersebut.

Memahami situasi serta punca kepada malapetaka yang melanda daerah di bawah naungannya tetapi di bawah pentadbiran wakil pemerintah tersebut, Khalifah Umar bin Abdul ‘Aziz hanya membalas surat tersebut dengan berkata : “Adapun suratmu itu telah aku faham, maka apabila engkau bacakan suratku ini, maka baikkan olehmuakan negeri kamu dengan adil dan engkau bersihkan daripada segala zalim,maka bahawasanya ialah pembaiki negeri kamu". Erti kata lain dalam surat tersebut memberitahu kepada kita bahawa sesuatu peruntukan yang di minta dari pemerintah itu bukanlah sesuatu yang terbaik kerana apa yang penting menurut Khalifah Umar adalah pemerintah yang adil dan saksama serta tidak berlaku adil, yang mana akan mengundang barakah dan nikmat serta akan menjauhkannya dari segala macam bala dan malapetaka.

Justeru jika persoalan ini jika di kaitkan dengan isu hak royalti minyak rakyat Kelantan, mungkin di lihat rakyat terlalu mengharapkan peruntukan dari kerajaan pesekutuan yang mewakili suara pemerintah. Ya, mungkin ada juga pihak atau individu yang menjadikan contoh kisah Khalifah Umar Abd Aziz ini sebagai alasan untuk tidak memikirkan apatah lagi memperjuangkan hak royalti rakyat. Seolah-olah ia tidak penting berbanding kemakmuran yang telah di kecapi di Malaysia selama ini.

Sesuatu yang kita harus fahami bahwa, pemerintah kerajaan Malaysia ini sudah pasti tidak sama dengan pemerintahan Khalifah Umar. Kerana di zaman pemerintahan Khalifah Umar merupakan zaman pemerintahan yang ideal, sebuah kerajaan yang adil, saksama dan yang benar-benar menjadikan Islam sebagai asas pemerintahan..tetapi Malaysia?

Kita sebagai rakyat Malaysia (yang mungkin belum menjadi mangsa seperti rakyat Kelantan) harus tahu yang mana perjuangan ikhlas dengan retorik politik yang di mainkan oleh politikus-politikus yang berkepentingan. Kerana sudah menjadi lumrah dunia, ada baik dan ada buruk. Kerana jika tiada keburukan maka Allah tidak menjadikan syaitan itu untuk menghasut manusia. Hanya mereka yang benar-benar kukuh pegangannya sahaja yang akan selamat.

Kaedah memahami serta membuat penilaian terhadap sesuatu perkara itu adalah dengan menilai dan membuat keputusan bersandarkan kepada apa yang jelas. Tiada yang tersembunyi secara halus dengan sesuatu yang lain atau sesuatu yang sama tapi lain sifatnya. Terutamnya jika melibatkan hukum halal atau haram. Kerana ada sabda Nabi s.a.w yang menyatakan yang haram itu telah terang jelas dan yang halal itu juga telah terang jelas. Jika terdapat sesuatu di antaranya maka harus kita tinggalkan..ia sesuatu yang shubhah.

Maka dalam konteks kerajaan Malaysia yang 1 ini kita harus fahami perlaksanaan pentadbiran para pemerintah. Lihatlah dan nilailah berdasarkan 'track-record'. Bukan hanya melalui analisa tulisan semata-mata tetapi akal dan mata hati yang mampu mem'flash-back' kembali peristiwa lepas.

Sesungguhnya, hak rakyat itu telah jelas, hak pemerintah itu juga jelas. Jika kerajaan sendiri telah menetapkan ianya hak rakyat maka sudah pasti pemerintah itu perlu menyerahkan kembali hak itu kepada rakyat. Jerana jika kamu menzalimi rakyat apabila kamu berkuasa, sesungguhnya kezaliman itu akibatnya akan membawa kepada sesalan, kedua mata kamu tidur, tetapi orang yang dizalimi itu berjaga malam berdoa terhadap engkau, sedangkan Allah tidak tidur. Janganlah kamu sombong dan takbur, jika kamu rasakan kamu Samseng, Allah lagi 'Samseng'..kerana sifat Al-Jabbar Allah itu melebihi segalanya dan Allah Maha Kaya, barangsiapa yang membuat keburukan sebesar zarah sekalipun tetap mereka akan menerima habuannya.

Sama-sama kita renungkan.....dan amalkan juga..Wallahu'alam

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan , member bantuan kepada kerabat dan dia ( Allah ) melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia (Allah) memberi pengajaran kepada kamu agar kamu dapat mengambil pelajaran “. An Nahl 90




No comments: