09 November 2009

Bai'ah



Saya tak pasti bagaimana hal keadaannya mengenai Bai'ah talak yang berlaku di dalam PAS ini. Saya yakin bai'ah ini memang ada dan banyak dilakukan oleh ahli jemaah dalam menunjukkan taat setia kepada parti. Dan saya sendiri tidak pasti hukum sebenar dan perlaksanaannya secara jelas (benar-benar valid). Namun permasalahan yang berlaku dalam memahami Bai'ah Talak di atas, pada pandangan saya hanyalah permasalhan berkaitan dalam soal arahan. Jika tiada arahan dikeluarkan dari pimpinan bahwa Bai'ah tersebut telah diputuskan di peringkat atasan dan boleh dilaksankan, maka tidak perlu untuk ahli melaksanakan, kerana Bai'ah itu juga memerlukan arahan yang berupa ketaatan dari pimpinan.

Namun saya yakin bai'ah itu bukanlah suatu yang diada-adakan atau sesuatu yang baru, dan bai'ah itu bukan juga semata mata taat kepada pemimpin, ia ibarat sebagai lapisan luar yang lapisan dalamnya adalah berbai'ah kepada perjuangan Islam, iaitu berbaiah kepada Allah dan Rasul bagi memperjuangkan agama Islam. Jika kita memahami konsep bai'ah, ia merupakan suatu perjanjian bagi memberikan ketaatan, manakala orang yang melakukannya seolah-olah membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ianya merupakan perbuatan sunnah Nabi S.A.W. yang pernah diberikan oleh para sahabat beberapa kali kepada Rasulullah s.a.w. kwtika peristiwa Bai'atul Aqabah Pertama dan Kedua, serta Bai'atul Ridhwan.

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan dari Junaidah bin Abi Umayyah dari `Ubaidah bin Al-Samit yang menyatakan: Rasulullah S.A.W. telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda… kemudian `Ubaidah berkata: Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah) dalam perkara yang kami sukai atau benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap amir (ketua) dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.” (Sahih Bukhari).

Apabila seseorang itu telah melafazkan bai'ah kepada amir atau ketua Islam. Maka ia telah jatuh wajib untuk melaksanakannya manakala melanggarnya merupakan suatu maksiat walaupun zahirnya mereka berbai'ah di hadapan pemimpin atau amir mereka namun hakikatnya beliau telah berbai'ah terhadap Allah dan Rasul atas sesuatu perintah atau arahan selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Ibnu Juzi Al-Maliki pernah berkata:“Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata kepada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka sama ada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya melakukan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada Allah.”

Pernah berkata Saidina Umar Al-Khattab, "Tiada Islam, jika tanpa Jemaah..Tiada Jemaah, jika tanpa kepimpinan dan Tiada kepimpinan jika tiada Ketaatan." Menunjukkan di sini Ketaatan itu merupakan suatu bentuk bai'ah kepada pemimpin. Maka ia juga bererti menurut perintah. Apabila tidak berlaku, maka maksiat dan fitnah yang menggantikan tempatnya. Memberi ketaatan adalah WAJIB selama mana ia tidak termasuk dalam perkara maksiat atau yang membawa kepada maksiat sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan Rasul(Nya) dan Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu urusan, maka kembalilah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (hadis-hadis), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih baik (bagimu) dan lebih bagus kesudahannya.” Al-Nisa’ 59

Jika kita meneliti kandungan kata-kata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna berkaitan Bai'ah ini, beliau telah menulis panjang dalam bukunya Risalah Ta'alim yang menjadi bahan rujukan buat ahli gerakan Islam di dalam mahupun luar negara. Beliau telah menggariskan 10 rukun Bai'ah dengan kupasan yang sangat mendalam bagi setiap rukun.

Rukun Pertama: Faham

Iaitu memastikan ia adalah kefahaman yang sahih, seperti mana Khalifah 'Umar Abdul 'Aziz menyatakan,"Sesiapa yang beramal tanpa pengetahuan lebih banyak merosak berbanding mengelokkan"
Kata lain, kita haruslah memahami dengan ilmu yang sahih atau benar tentang akan sesuatu amal yang dikerjakan, dan harus dengan rasa ikhlas. Selain itu ia juga penting bagi kita untuk memahami dan meyakini bahawa fikrah kita adalah fikrah Islamiyyah sejati dan hendaklah kita memahami Islam sebagaimana pimpinan memahaminya berdasarkan kepada prinsip dua puluh yang telah ditetapkan. (rujuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam)

*dalam rukun pertama ini terdapat 20 prinsip didalamnya.

Rukun Kedua: Ikhlas

Ikhlas dengan erti kata melakukan amalan hanya kerana Allah, menyucikannya daripada segala tujuan keduniaan. Amalan mereka itu langsung bebas dari hawa nafsu yang menginginkan sesuatu keuntungan, jawatan, nama, pujian dan lain-lain. Ikhlas itu adalah dengan berniat bahawa segala perbuatan, perkataan dan perjuangan jihad adalah kerana Allah dan untuk mendapatkan keredhaanNya dengan tidak mengharapkan keuntungan. Dengan niat yang ikhlas ini kita akan menjadi tentera yang setia kepada fikrah dan aqidah.

Rukun Ketiga: Amal

Imam Hasan Al-Banna telah menjelaskan bahawa nilai amal itu seperti buah bagi ilmu yang ikhlas. Ilmu yang shahih akan menjadi semakin berkurang apabila ilmu itu gagal mendorong seseorang ke arah amal yang baik. Kerana niat baik shaja belum memadai untuk mencapai matlamat yang dikehendaki selagi ia tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk bekerja. Amal itu juga adalah dengan melakukan perbaikan (islah) terhadap diri, membina rumahtangga Muslim, membimbing masyarakat, membenaskan tanahair membetulkan kerajaan sehingga benar-benar bersifat Islam dan sebagainya.

Rukun Keempat: Jihad

Pengertian Jihad menurut Ibn 'Abbas adalah,"Mencurahkan tenaga di jalan-Nya dan tidak takut terhadap sebarang celaan". (bukan berperang sahaja sepertimana pengertian sempit jihad menurut pemimpin UMNO). Pengertian jihad dalam erti kata khusus adalah peperangan, manakala dalam ertikata umum adalah hidup kita ini dari awal hingga akhirnya adalah jihad. Jihad terhadap jiwa dan nafsu untuk berperang menegakkan kebenaran. Sepertimana hadis nabi s.a.e yang berbunyi, “Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan pernah berniat untuk berperang bererti beliau mati dalam keadaan jahiliyyah”.

Rukun Kelima: Pengorbanan

Mengorbankan jiwa, harta benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat. Mementingkan maslahat umum lebih daripada kepentingan diri sendiri juga termasuk dalam rukun ini. Diri sendiri dianggap sebagai pemberian Allah yang perlu dipelihara tetapi jemaah ialah amanah tertinggi yang perlu diberi keutamaan. Tiada jihad jika tanpa pengorbanan, dan pengorbanan ini ada habuannya di sisi Allah,
" ..dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dia jua sebaik-baik Pemberi Rezeki" Al-Saba' 39

Rukun Keenam: Taat

Taat sepertimana Hasan Al-Banna menyatakan adalah dengan mematuhi perintah dan segera melaksanakannya samada pada masa susah mahupun senang, dalam perkara yang disukai atau di benci. Namun taat bukan bermakna menerima tiada ruang perbincangan antara jundi dengan pimpinan, bukan pula bermakna mematuhi dan melaksanakan apa jua bentuk perintah tanpa sebarang pengetahuan ke atas perkara yang dilakukannya. Ketaatan itu melihat kepada tujuan, selagi ia tidak menyalahi syariat dalam ISlam.

Rukun Ketujuh: Thabat (tetap pendirian)

Firman Allah s.w.t, "Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi sebarang kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatlah kesabaran kamu melebihi kesabaran musuh, di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan serta bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)" Ali Imran 200
Thabat atau tetap pendirian dalam ertikata terus menerus beramal dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat sekalipun memakan masa yang begitu lama sehinggalah kita bertemu Allah dalam keadaan beramal dan berjihad.

Rukun Kelapan: Tajarrud (tegas)

Maksud Tajarrud adalah mengosongkan fikrah dari segala dasar dan individu selainnya. Ia juga bermaksud membersihkan fahaman (fikrah) dari segala pengaruh prinsip mahupun individu-individu yang bertentangan dengan fikrah kita kerana fikrah ini adalah yang tinggi dan lengkap kerana Allah. Ianya juga bermakna tegas dalam melaksanakan perintah Allah di segenap bumi ini serta redha dalam perkara maksiat dalam apa jua keadaan sekalipun.

Rukun Kesembilan: Ukhuwwah (persaudaraan)

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 10," Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara...". Mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh antara saudara semuslim dengan ikatan aqidah kerana ikatan aqidah ini ialah ikatan yang paling kukuh dan berharga. Memelihara ikatan ukhuwwah merupakan perkara yang dituntut dalam Islam memandangkan umat Islam diikat dengan ikatan persaudaraan (aqidah) yang tinggi. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w (mafhumnya)," Tidak sempurna iman seseorang andai dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri"

Rukun Kesepuluh: Thiqah (percaya)

Berkata Imam Hasan Al-Banna," Tiada dakwah tanpa qiadah (pemimpin). dengan saling mempercayai antara pemimpin dan pengikut menjadikan sistem jamaah semakin kuat, memperincikan lagi strategi dan kejayaan untuk sampai lkepada matlamat dan kejayaannya melepasi segala halangan, ranjau, duri dan kesukaran". Thiqah bermakna kepercayaan jundi (tentera) kepada kemampuan dan keikhlasan qiadi (ketua) sehinggakan menimbulkan rasa kasih, menghargai, menghormati dan memberi sepenuh ketaatan kepadanya.

Wallahu'alam

Rujukan: Penjelasan di sekitar Risalah Ta'alim (Muhammad Abdullah Al-Khatib)

2 comments:

Sunah Sakura said...

Salam...

"Pernah berkata Saidina Umar Al-Khattab, "Tiada Islam, tanpa Jemaah..Tanpa Jemaah, jika tanpa kepimpinan dan..."

mungkin perlu dibetulkan bahagian "tanpa jemaah, jika tanpa kepimpinan.." menjadi "tiada jemaah, jika tanpa kepimpinan..."

LegendZ said...

ops..kesilapan..terima kasih atas ingatan..