25 June 2009

49 tahun 'Ulangtahun'


Tutup juga pintu-pintu 'kezaliman'..



1. Sekretariat Himpunan MANSUH sebagai penganjur Himpunan MANSUH ditubuhkan khas bagi menggerakkan rakyat menyatakan sikap terhadap akta zalim, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melalui perhimpunan secara aman.

2. Sekretariat diwakili oleh wakil-wakil daripada anggota Gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan mahasiswa. Jawatankuasa Pepandu Himpunan MANSUH diwakili oleh pimpinan parti-parti politik dan NGO.

3. Hari ini Sekretariat Himpunan MANSUH ingin memaklumkan secara rasminya tarikh Himpunan Besar-besaran Mansuhkan ISA iaitu pada hari Sabtu, 1 Ogos 2009.

4. Tarikh 1 Ogos 2009 dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal pada 1 Ogos 1960. Selama 49 tahun negara dinaungi kezaliman ISA. Masa yang terlalu lama untuk negara dibiarkan diselubungi dengan akta yang empunya kuasa amat luas menahan tanpa bicara, menghukum tanpa bukti dan memenjarakan tanpa tempoh menentu. Sudah tiba masanya akta usang itu bukan sahaja dikajisemula tetapi dimansuhkan sama sekali.

5. Himpunan MANSUH dianjurkan dengan hasrat untuk rakyat menzahirkan sikapnya secara jelas dan lantang dengan membuat tiga tuntutan:

a. Bebaskan semua tahanan ISA
b. Mansuhkan ISA
c. Tutup Kem Kamunting - Kem ’Guantanamo’ Malaysia

6. Pada 3 April 2009, sebaik menjadi Perdana Menteri ke-6, Dato’ Seri Najib telah membebaskan 13 orang tahanan ISA (termasuk dua orang tahanan Hindraf) dan mengumumkan untuk mengkajisemula ISA. Satu tindakan yang dikatakan bukan populis. Empat hari kemudian pada 7 April, Pilihanraya Kecil 2 Bukit 1 Batang berlangsung.

7. Pada 8 Mei 2009, 13 orang lagi tahanan dibebaskan termasuk tiga orang lagi tahanan Hindraf. Sekali lagi ini dikatakan bukan tindakan populis sedangkan sehari sebelumnya berlaku titik hitam di Perak.

8. Dalam pada pembebasan diumumkan, secara senyap-senyap empat orang tahanan baru ditahan sekitar bulan April termasuk Mas Selamat Kastari yang dilaporkan lari daripada ISA Singapura. Bahkan sebenarnya di Kem Kamunting masih terdapat seramai 14 orang tahanan ISA seperti yang dilaporkan GMI. Tiga orang daripadanya telah ditahan lebih daripada 7 tahun.

9. Cadangan untuk kajisemula ISA pula dibuat sejak 3 April 2009, lebih dari 2 bulan yang lalu. Tetapi sehingga kini, tiada sesiapa tahu bila sebenarnya kajian tersebut akan siap. Suhakam sudah mengesyorkan ISA dimansuhkan sejak 2003 lagi. Pada masa yang sama, sudah ada peruntukan undang-undang sediada yang mencukupi untuk menangani keganasan.

10. ISA memusnahkan konsep asas undang-undang berperlembagaan. Ia mencemar asas pengasingan kuasa. Ia membenarkan kuasa eksekutif melangkaui kehakiman dengan menahan seseorang tanpa waran, tanpa bicara dan tanpa hak peguam. ISA telah menghapuskan apa juga semakan undang-undang yang disyorkan perlembagaan. ISA juga membenarkan kuasa yang luas, arbitrari dan tidak boleh dicabar mahkamah yang menyebabkan berlakunya penyeksaan fizikal dan mental.

11. Kemuncak asas-asas ISA ialah elemen mengancam, mengugut dan mewujudkan rasa takut dan gerun…”climate of fear”…”under siege mentality”… sehingga merencatkan daya fikir dan teguran berani serta fitrah manusia yang bebas.

12. Atas sebab keadaan ini, atas sebab kezaliman berterusan dengan penahanan tanpa bicara, arbitrari, tanpa pembelaan dan tanpa diketahui bilakah dibebaskan, penganiayaan ke atas isteri, anak dan keluarga dan atas tuntut keadilan, maka rakyat perlu zahirkan kebenciannya terhadap ISA dan mendesak Kerajaan bertindak segera mansuhkan ISA. Tindakan populis dan berlengah-lengah oleh Kerajaan mesti dihentikan. Rakyat tidak harus terpedaya dan membenarkan amalan begini berterusan.

13. Himpunan MANSUH dianjurkan sebagai kesinambungan pelbagai usaha Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) selama ini dalam membawa kesedaran tentang kezaliman ISA, membela nasib tahanan dan keluarga, membongkar kezaliman ISA dan mendesak Kerajaan untuk membebaskan tahanan, memansuhkan ISA dan menutup Kem Kamunting sehinggalah membawa kepada pembebasan ramai tahanan ISA dan janji kerajaan untuk mengkajisemula ISA.

14. Beberapa program akan dianjurkan menjelang Himpunan tersebut. Antaranya jelajah ceramah seluruh negara, pengedaran risalah, pertunjukan seni, forum, pengumpulan tandatangan, petisyen on-line dan sebagainya.

15. Himpunan MANSUH menganjurkan Himpunan besar-besaran bagi menyeru dan menggembleng seluruh warganegara Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, budaya, bangsa dan agama yang cintakan keadilan, kebenaran dan keamanan rakyat untuk turut serta berhimpun pada 1 Ogos 2009 bagi menyatakan sikap tegas kita terhadap ISA. Bersama memansuhkan ISA dan membebaskan bumi Malaysia daripada kezaliman!

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Si Kecil tidak faham apa salah ayahnya...

Setiap kali menghadiri program anjuran Gerakan Masuhkan ISA (GMI), hati pasti terusik. Lebih-lebih lagi apabila terlihatkan isteri dan anak-anak para tahanan. Bila melihat wajah-wajah anak-anak tahanan yang masih lagi kecil, tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka mengharungi hidup setiap hari tanpa kasih sayang dan dorongan daripada seorang bapa.

Kalau yang sudah bersekolah, bagaimana mereka berdepan dengan rakan-rakan sekelas? Apakah mereka diejek dan dipermain-mainkan oleh kerana bapa mereka dikatakan “mengancam keselamatan Negara” (walaupun tidak dibicarakan)?

Bila terlihatkan isteri-isteri tahanan ISA, hati kecil ini bertanya, bagaimanakah mereka meneruskan kehidupan dengan menjadi ibu dan ayah sekaligus? Bagi yang selama ini menjadi suri rumah sepenuh masa, bagaimanakah mereka mencari rezeki dan menguruskan anak dalam masa yang sama?

Bagaimanakah mereka berhadapan dengan jiran-jiran dan saudara mara? Apakah mereka dipulaukan oleh jiran-jiran dan saudara mara walaupun suami mereka menjadi mangsa akta zalim yang membenarkan pemerintah menahan sesiapa sahaja tanpa bicara?

p/s: Sama-sama kita fikirkan. Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, " Umat Islam ibarat satu jasad, bila mana satu anggota sakit, maka akan terasa sakit kesemuanya sehingga tidak dapat tidur malam". Bagaimana seseorang itu mampu tidur dengan nyenyak dan bangun kemudiaannya di siang hari tanpa merasakan apa-apa yang menimpa saudara seIslamnya. (Baik mangsa ISA, Palestin, Thailand dan umat Islam lain yang di tindas di seluruh dunia).

"Kubur lain-lain", "itu dia bukan aku", "aku tiada kaitan dengan dia", dan pelbagai lagi nada yang berintonasi annaniyyah atau individualistik. Amat malang sekali. Dan mereka inilah yang telah diberitahu oleh Rasullulah, mereka yang bukan tergolong di kalangan umatnya. Kalau Rasulullah sendiri tidak mengaku umat, siapa lagi kita hendak ikut. Syafaat dari siapa lagi yang kita harapkan dapat menolong di akhirat nanti. Mengharapkan amalan sendiri? Fikir-fikirlah..

Wallahu'alam
Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahwa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak mereka datang bergegas-gegas memenuhi panggilan dengan mangangkat kepalanya, sedang mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong
Ibrahim 42-43

No comments: