Sedang asyik mencari video untuk di buat modal program hujung minggu ni, aku tertarik pada sebuah klip video lagu, iaitu lagu nasyid Brothers, bertajuk Forgive Me. Yang menceritakan perihal keampunan Allah dan taubat hamba yang menyesali dosa-dosa yang telah dilakukan.
Walaupun aku kerap kali mendengar lagu ini, namun masih belum puas untuk mendengarnya berulang kali. Mungkin kerana liriknya yang sangat menyentuh hati, ditambah dengan iringan irama yang meruntun jiwa. Inilah keindahan seni hiburan jika benar-benar dimanfaatkan sebaik mungkin. Kotak seni yang menjadi wasilah untuk kita capai redha Allah.
Alhamdulillah, mungkin ia salah satu petunjuk hati ini masih lagi menginginkan sesuatu kebaikan dan keindahan. Kerana Allah itu indah dan Dia mencintai keindahan. Seburuk-buruk atau sejahat-jahat manusia pun, jauh di lubuk hati mereka pasti menginginkan suatu keindahan atau kebaikan. Hatta seorang perompak pun tidak mahu jika rumahnya dirompak.;p
Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan mencintai orang yang suci-Al-Baqarah 222
Sabda Rasulullah s.a.w, "Penyesalan itu adalah taubat". Inilah hakikat taubat yang harus difahami. Iaitu pengertian yang disusun dengan 3 perkara iaitu, Ilmu, Keadaan dan Perbuatan. Sering kita memahami akan kewajipan bertaubat itu, iaitu adalah menjadi kewajipan kepada kita (sepatutnya) dan sering juga kita meneliti bahawa bagaimana Nabi junjungan kita mewajibkan taubat pada diri baginda hampir 100kali setiap hari. Subhanallah. Itu Nabi yang maksum, nabi yang telah dipastikan ke syurga oleh Allah. Inikan pula kita.
Imam Al-Ghazali r.h telah memberi pengertian taubat yang disusuni dengan 3perkara tadi iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan. Ilmu, bermaksud pengetahuan tentang dosa, memahami perbuatan itu adalah dosa dan maksiat, dan besarnya bahaya dosa. yang menjadi hijab atau penghalang antara seorang hamba dengan Penciptanya. Jadi apabila ilmu ini difahami oleh seseorang, tentang betapa ruginya seseorang itu asbab dosa yang dilakukan sehingga menimbul rasa sedih dan pilu pada hati disebabkan berpisahnya dia dengan tuhannya. Justeru itu disebabkan inilah akan timbulnya rasa kesedihan sehingga terbit rasa penyesalan dalam hati.
Jika kesedihan itu telah menguasai hati seseorang itu, maka pasti didalam hati itu akan membisik suatu dorongan yang dipanggil sebagai iradah, iaitu suatu perasaan yang senjaga ingin melakukan sesuatu. Iaitu suatu perbuatan yang berkait rapat atau yang berhubungan dengan 1) keadaan waktu yang telah lepas (dilaluinya), 2) waktu kini (currently) dan 3) waktu yang akan akan datang (future).
Oleh yang demikian jika dikaitkan dengan ilmu, 1) keadaan waktu yang lepas, seseorang itu pasti akan cuba tidak mengulangi dosa2 yang telah dilakukan dahulu, 2) waktu kini, seseorang itu pasti akan cuba sedaya upaya untuk mengelak dan tidak melakukan dosa yang sedang dialaminya itu, dengan erti kata lain, apabila dia berhadapan dengan maksiat, pasti dia akan cuba untuk menjauhinya (berdasarkan ilmu yang dia ada), dan 3) waktu akan datang, iaitu seseorang itu akan sentiasa bersedia untuk tidak melakukan atau mengulangi dosa yang telah dilakukan.
Dan apabila seseorang itu mempunyai ilmu, memahami tentang dosa, kemudian dengan tiga keadaan yang membawa sesorang itu memahami hakikat halangan dan cabaran maksiat dan dosa yang dihadapi setiap waktu dan ketika. Maka dengan itu penyesalan taubat itu seharusnya dilakukan dengan amal perbuatan. Meninggalkan dosa dan beramal menambah pahala.
Perbuatan ini perlu dikembalikan balik kepada ilmu, kerana ilmulah yang mendorong kebaikan. Imam Al-Ghazali telah memberikan maksud ilmu ini dengan iman dan yakin. Iman yang membenarkan bahawa dosa adalah sesuatu perkara yang membinasakan, manakala yakin itu pula berperanan menyokong dan memperkuatkan lagi iktikad akan kebenaran yang telah difahami dengan ilmu, iaitu tanpa rasa keranguan. Maka jika kedua-dua ini telah menguasai hati, InsyaAllah, akan timbul cahaya iman dalam hati.
Justeru itu, dengan cahaya iman yang menerangi hati seseorang itu, apabila ia menyedari akan keterlanjuran dosa yang dilakukan, maka akan terbit rasa penyesalan yang sebenar-benarnya, sehingga merasa sedih akan dirinya yang menjadikan dirinya terhijab dengan tuhannya. Oleh yang demikian, atas nama taubat itu , harus kita fahami bahawa ketiga-tiga perkara, ilmu, keadaan dan perbuatan ini tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Dan taubat itu bukan sekadar hanya dengan rasa menyesal semata mata. Ia harus didahului dengan ilmu dan meniggalkan perbuatan itu sebagai akibatnya. Wallahu'alam.
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah
dengan sebenar-benar taubat."
At-Tahrim 8
No comments:
Post a Comment