03 June 2009

Perkongsian dari Kuliah Maghrib



a hungry wolf only attack alone sheep rather than group

Sekadar perkongsian ilmu daripada kuliah maghrib yang telah dihadiri semalam,rugi rasanya jika ilmu dan maklumat yang bermanfaat ini tidak dikongsi bersama, dari sedikit cacatan nota kuliah yang dibuat sekurang-kurangnya aku tidak lupa terus dengan intipati2 penting dari kuliah maghrib tersebut,kerana Imam Al-Ghazali pernah menyatakan ilmu itu ibarat binatang buas yang perlu ditambat agar ia tidak lari, begitu juga ilmu ynag ianya perlu ditulis atau dicatit agar tidak lupa,walaupun hakikat ilmu itu adalah di dada.



Tajuk kuliah yang telah dibentangkan malam semalam oleh Al-Fadhil Ustaz Idris Ahmad,selaku AJK PAS Pusat, adalah berkisar mengenai Perjuangan Islam dalam berjemaah. Walaupun tiada maudu' yang khusus, namun intipatinya adalah dalam ruang lingkup perkara yang perlu difahami oleh ahli gerakan Islam itu bilamana terlibat dalam gerakan atau perjuangan Islam. Sejauh mana kefahaman ahli harakah mengenai penglibatannya atau penggabungannya bersama jemaah Islam. Itulah pokok utama kuliah tersebut, walaupun ada sedikit pertambahan yang dibuat dan semestinya ia bukan suatu perkara yang diada-adakan.

Melihat kondisi keadaan semasa, adakah seseorang itu melibatkan diri dengan jemaah Islam disebabkan perasaan benci dan hilang kepercayaan kepada pihak lawannya (terutamnay UMNO da sekutu), atau terasa muak dan telah tertipu setelah bersamanya sebelum ini? (memang sah UMNO yang suka menipu) atau Adakah daripada desakan rakan-rakan atau jiran untuk terlibat bersama jemaah Islam, atau juga semata-mata mengikut mood masyarakat yang telah berubah arah, atau sebagainya (realiti dalam PRU). Jika tertanamnya alasan-alasan sebegini didalam hati para ahli gerakan,ianya wajib dibuang jauh-jauh.Ia adalah kefahaman yang sangat cetek buat ahli gerakan dan ia perlu diperbaharui agar tidak disalah erti dan salah faham sehingga membuatkan kita semakin keliru dan mungkin dapat menjauhkan sedikit demi sedikit dengan jemaah Islam,Nauzubillah..(bahkan lebih teruk jika kembali ke UMNO,inilah kesilapan dan musibah yang paling besar)

Terdapat beberapa hadith Nabi s.a.w yang berbunyi, mafhumnya:"Orang yang menjaga Agamanya sehari, adalah lebih baik daripada dunia dan isinya". Dunia dan isinya sahabat-sahabat sekalian, mustahil dapat kita perolehi dengan wang ringgit atau dengan pangkat dan kuasa.Bahkan orang terkaya didunia hatta Qarun sendiri pun tidak mampu untuk memiliki dunia, inikan pula isinya (pemimpin UMNO yang kaya tu lagilah tak mampu).

"Hendaklah kamu berada didalam Jamaah", jelas sekali sabdaan Nabi yang menuntut untuk kita berada didalam jamaah, ini bukan galakan atau cadangan, tetapi kewajipan. Kewajipan ini adalah untuk memelihara agama kerana, saidina Umar r.a menyatakan "Tiada Islam jika tiada Jemaah, tiada Jamaah jika tiada Pemimpin, dan tiada pemimpin jika tiada Ketaatan". Inilah Rahmat yang Allah telah kurniakan kepada sekalian manusia, umpama kita yang telah mempunyai kereta, tinggal mahu menggunakannya sahaja supaya sampai ke destinasi yang dituju. Begitulah jemaah Islam diibaratkan sebagai kereta yang akan digunakan untuk mecapai matlamat destinasi, iaitu keredhaan Allah.

Straight to the point, beberapa perkara yang perlu dihayati dan difahami bilamana sesorang yang dipilih oleh Allah itu untuk berintima' dengan jemaah Islam.

1) Faham dengan hakikat dasar perjuangan Islam

Inilah kerja-kerja kita yang menjadi penyambung kepada kerja-kerja nabi sebelumnya. Tugas ini adalah tugas lanjutan supaya kita faham tujuan kita menggabungkan diri dengan jemaah Islam.

Pasti orang akan mempersoalkan mengapa seseorang yang terlibat dengan jemaah itu perlu bertanding dan memperoleh jawatan. Inilah yang kita harus fahami tujuannya, untuk menegakkan Islam perlu ada kuasa,kuasa ini yang membantu kita untuk berhadapan dengan pemerintah yang zalim, kerana sahabat nabi Abu Sa’id al-Khudri katanya,Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”.Asbab dengan kuasa kita ada ia menjadi sebab mudahnya apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Sama juga dalam konteks amar ma'ruf nahi mungkar, Rasulullah telah menyarankan supaya terlebih dahulu mendapatkan kuasa agar kerja-kerja ma'ruf dan nahi mungkar selepas itu menjadi lebih mudah.

2) Memahami peranan sesorang berada di dalam jamaah Islam

Sebagaimana perlembagaan Malaysia yang harus di patuhi oleh rakyat Malaysia (walupun perlembagaan sudah tidak luhur), begitu juga la jemaah Islam, ada etika dan disiplin yang perlu patuhi oleh ahli gerakan. Sejauh mana peranan seseorang itu dalam jamaah dimainkan, samada ia menjalankan peranannya sebagai seorang pemimpin atau ahli yang berstatus ulama', profesional atau ahli biasa (pekerja). Setiap golongan ada peranan masing-masing,ikut kesesuaian dan keselesaan dalam masa yang sama tidak melanggar adab-adab dan peraturan dalam berjamaah.Hari ini ramai ahli gerakan yang lacking dari sudut ini,walaupun ahli bebas untuk memberikan pendapat atau menegur namun harus tidak diabaikan adab-adabnya, ada saluran,bukan cakap belakang atau tidak melalui saluran yang betul sehingga musuh melihatnya sebagai hujah utk memburukkan jemaah, terutamanya adab ahli kepada pimpinan.

3)Memahami Tarbiah Islam yang sebenar

Tarbiah Islamiah merupakan akar kepada jemaah Islam, elemen ini mengkehendaki suatu usaha yang berterusan untuk mengislamkan kesuburan tubuh badan, pekerti, roh dan akal fikiran. Ia juga berperanan dalam pembentukan akhlak yang memungkinkan sesorang hidup di dunia dalam keadaan baik dan mendapat keredhaan Allah.

Tarbiah Islamiah ini adalah kewajipan kepada setiap orang khususnya pada ahli gerakan Islam. Peranan ini telah lama ditunjukkan sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi, ketika baginda menerima wahyu; “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a. w.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari I’tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara’). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumu’ah: 2)

Harus di fahami Tarbiah Islamiah ini bukan bersifat teori semata-mata tetapi ia juga bersifat praktikal, iaitu dengan amalan. Amalan-amalan fardiyyah dan sunat perlu dijadikan makanan ruji bagi ahli gerakan, seperti membaca Al-Quran, solat Tahajud, sedekah dll disamping tidak meninggalkan amalan wajib.

4) Iltizam terhadap Islam

Dengan erti kata lain, perjuangan Islam ini memaksa ahlinya untuk berasa komited dan menghayati sebenar-benarnya perjuangan Islam itu sendiri. Menggabungkan diri dengan jemaah Islam adalah dengan berkerja sepenuh masa dengannya. Inilah yang ujian dan cabaran buat ahli gerakan. Komited itu mengkehendakkan supaya diletakkan ia di tempat pertama, yang utama. Kesungguhan itu mengkehendakkan pengorbanan dan jihad yang tinggi. Meletakkan Allah dan Rasul lebih utama dari segala-galanya. Ini telah di maklumkan oleh Allah dalam Al-Quran; "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasulnya (melebihi sesuatu hukum,sebelum adanya ketetapan dari Allah dan Rasul), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" Al-Hujurat 1

5) Mendahului kepentingan Jemaah melebihi kepentingan peribadi

Firman Allah s.w.t, Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. At-Taubah 24.

Dalam hal ini ramai daripada kita yang hanya mampu dari segi teorinya, namun praktikalnya amat payah untuk dilaksanakan. Pelbagai kekangan yang dihadapi menjadi dinding penghalang kepada ahli gerakan Islam untuk terus memperjuangkan Islam. Persoalan bagaimana kesannya pada anak isteri, kekurangan harta, dan kerugian segalanya akan menjadi modal buat syaitan untuk membantutkan semangat pejuangan . Namun demikian, apa yang telah di tunjukkan dalam sirah Kaum Muhajirin yang keluar berhijrah meninggalkan segala-galanya demi Islam wajar dijadikan iktibar bagi ahli gerakan.


6) Bekerjasama

Setiap ahli gerakan harus memahami hakikat bahawa dia adalah merupakan anggota kepada sebuah jemaah Islam (terutamanay PAS) yang menjadikan politik sebagai wasilah untuk sampai kepada satu matlamat yang besar. Setiap ahli merupakan anggota kepada sebuah jamaah Islamiyah global yang berperanan ditapak tempat dia berdiri. Justeru itu komitmen dan kerjasama antara ahli-ahli sangat diperlukan samada komitmen tenaga ataupun idea.
Pelajarilah daripada sejarah dan keadaan semasa umat Islam sekarang yang semakin ditindas dan dicemuh oleh musuh, akibat tiadanya kesatuan. Kuasa-kuasa kuffar hari ini telah bergabung secara global untuk menghancurkan Islam, maka umat Islam dunia juga harus merencana strategi secara global untuk menangkis serangan pihak kuffar ini. Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh setiap ahli gerakan Islam.(benarlah kata2 Wonderpets, apa yang penting adalah bekerjasama..)

7) Menghidupkan usrah

Inilah perkara basic dalam tarbiah, ia menjadi nadi kekuatan pada jemaah. Usrah bukan sekadar terisi dengan kuliah-kuliah, atau tazkirah ilmu semata-mata. Usrah sebagai platform bagi ahli-ahli didalamnya menyelaraskan fikrah, misunderstanding dalam memahami sesuatu perkara dapat dijernihkan kembali didalam usrah, itulah peranannya. Ia juga sebagai medan pembentukan syaksiah atau peribadi dan didalam usrah sendiri mengajar tentang pembinaan organisasi, pokok asas dalam pentadbiran jemaah.
Selain itu haruslah diingatkan bahawa usrah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atas oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat negeri,kawasan mahupun cawangan di hidupkan kembali dan ia hendaklah diawasi sepanjang masa agar keberkesanannya dapat menguntungkan Islam dan jamaah.(ini pesanan Ust Idris Ahmad pada setiap ahli gerakan)

Kesimpulannya, hanya dengan memahami sedalam-dalamnya akan Islam itu sendiri, perjuangan dan gerak kerja yang dilaksanakan oleh ahli gerakan Islam itu bilaman dia menggabungkan diri dalam jemaah, tidak mungkin akan bertentangan dan menyimpang jauh dari maksud perjuangan Islam yang sebenar. W'A

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).” An-Nur 55


No comments: