Please walk your talk..
Pemimpin Masyarakat Perlu Dalami Ilmu, Pelbagai Disiplin
ELAK KECELARUAN PEMIKIRAN AWAM - KM
BUKIT PALAH, 25 Jun - Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyarankan pemimpin masyarakat mendalami pengetahuan mengenai pelbagai displin dan ilmu, terutama ilmu agama serta peruntukkan undang-undang yang berkaitan.
Menurutnya, perkara itu sangat penting bagi mengelakkan kecelaruan dalam pemikiran awam sekiranya ilmu yang dimiliki tidak mencukupi.
``Pengetahuan mengenai pelbagai displin dan ilmu terutama ilmu agama dan peruntukan undang-undang adalah perkara penting. Ini kerana segala kecelaruan dalam pemikiran awam dapat dijernihkan melalui kaedah yang betul,'' katanya.
Mohd Ali berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemahaman Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2009 di Auditorium Kompleks Al-Azim, di sini, hari ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md Amin dan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan Dan Alam Sekitar, Datuk Latiff Tamby Chik.
Ketua Menteri berkata, sebagai seorang pemimpin yang sentiasa menjadi rujukan dalam segala urusan masyarakat di bawah pimpinannya, mereka perlu memiliki ilmu yang mendalam seterusnya diberi kepercayaan oleh masyarakat.
``Setiap pemimpin masyarakat perlu menjadikan ilmu sebagai budaya dalam kehidupan seharian.
``Mereka perlu merujuk kepada Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam dan juga Jabatan Mufti apabila penjelasan mengenai sesuatu ilmu agama itu diperlukan,'' katanya.
Mohd Ali berkata, pemimpin perlu menghayati konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana konsep ini bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat serta selari dengan apa yang termaktub di dalam Perlembangaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
``Konsep 1Malaysia membawa inspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat,'' katanya.
Jelas beliau, perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan ialah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.
Ujarnya, konsep 1Malaysia amat memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir serta memahami tugasan yang diberi, pemimpin cemerlang seharusnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.
"Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya konsep 1Malaysia itu, malah konsep ini telah dijadikan slogan seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam mencapai status Melaka Maju menjelang 2010.
"Justeru itu, slogan 1Malaysia, Melaka Maju 2010 akan dijadikan suntikan baru dalam usaha Kerajaan Negeri melaksanakan strategi dan program pembangunan bagi mencapai status negeri maju menjelang 2010," katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah bersetuju antara perkara yang menjadi keutamaan dalam menuju Melaka Maju 2010 iaitu peningkatan penduduk melalui perkahwinan pada usia ideal iaitu 25 ke 35 tahun bagi lelaki dan 20 ke 30 tahun bagi wanita.
Justeru itu, Mohd Ali menegaskan, pendekatan atau kaedah yang sesuai perlulah diterapkan bagi mewujudkan sebuah rumah tangga yang harmoni dan kukuh. (Sumber)
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Eye on Malaysia (now in Melacca)..jgn lupa mata masyarakat yang memandang tindakan anda
p/s:
Kali ini Ali Rustam bermadah (yang mungkin berhelah) sekali lagi, tiada apa yang salah dari apa yang beliau katakan itu. Seharusnya bahkan memang kewajipan bagi setiap orang (terutamanya Muslim) menuntut ilmu dan mencuba untuk meneroka pelbagai cabang ilmu. Sungguh terharu apabila mendengar seorang pemimpin masyarakat berkata sedemikian,
"Pengetahuan mengenai pelbagai displin dan ilmu terutama ilmu agama dan peruntukan undang-undang adalah perkara penting. Ini kerana segala kecelaruan dalam pemikiran awam dapat dijernihkan melalui kaedah yang betul,'' katanya.
Statement ini patut kita fahami sebaik mungkin, lebih-lebih lagi apabila ianya keluar dari mulut seorang pemimpin Melayu (aku tak melobi, tak de kepentingan pun). Pentingnya peranan ilmu dalam membina pengetahuan dalam diri, khususnya ilmu agama. Ya, kesedaran inilah yang harus dipupuk, betapa pentingnya ilmu agama dalam mengatur undang-undang dalam diri, masyarakat dan negara.
Walaubagaimanapun, kesedaran semata-mata tanpa disertakan dengan praktikal tidak guna. Kesedaran dari pandangan mata akal tidak membawa kemana-mana. Jika hati memahami maksud yang menjadi kunci kepada hal yang berkaitan dengan pengetahuan tadi. Kesedaran yang terbit dari mata hati itu pasti akan mendorong kepada suatu bentuk pengamalann atau praktikalnya. Semua orang boleh bercakap. Tapi berapa kerat yang mampu melaksanakan. Kata orang "action speaks louder than words".
Tidak pastilah samada Ali Rustam faham atau tidak apa yang di katakan itu. Faham satu hal, sedar pun satu hal juga. Kalau faham tapi tiada kesedaran, ibarat orang yang menghisap rokok, tahu rokok itu mudarat, tapi hisap juga. Aku bukan mempelekeh atau mempelecehkan ketua menteri aku ini. Ianya sekadar mengingatkan diri dan orang lain (terutama kepada Ali Rustam), setiap perkataan yang diucapkan itu menjadi 'tontonan' buat mereka yang mendengar, lebih-lebih jika ia keluar dari mulut seorang pemimpin masyarakat. Ibarat seorang pemimpin yang berdiri di atas bukit, sedangkan orang yang dipimpin berada dibawah. Setiap tingkah laku dan perbuatan pemimpin sangat mudah dilihat oleh mereka yang dibawah. Justeru, Ali Rustam patut menjadi contoh terlebih dahulu dan perbuat apa yang telah dikatakan. Agama tidak menyuruh kepada pembaziran, rasuah, pembaziran, rasuah, pembaziran, rasuah dan banyak lagi (bukankah undang2 juga menegah?). Allah telah berfirman, "Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." As-Sof 3. Ali Rustam pasti biasa dengar ayat ni.
Walaubagaimanapun, hairan bin pelik juga aku. Cepat benar beliau mengaitkan dengan konsep 1Malaysia. Owh mungkin ilmu agama yang beliau sarankan sebelumnya ada kaitannya dengan konsep 1Malaysia. Katanya,
"Konsep 1Malaysia membawa inspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat,'' dan "Jelas beliau, perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan ialah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum". Emm..ada nampak sedikit unsur-unsur keagamaannya.-perpaduan antara kaum.
Cumanya jangan hanya bersifat retorika semata-mata di sebalik 1Malaysia itu, sedangkan kaum Melayu di Melaka khususnya tidak terbela, dahulu isu babi di Pengkalan Balak orang Melayu jadi mangsa, dan yang terbaru isu jirat cina di kawasan orang melayu di Kesang Pajak, Jasin. Melayu juga jadi mangsa (dan banyak lagi, malas nak menaip). Inikah 1Malaysia?.
Katanya slogan keramat ini akan dijadikan sebagai slogan suntikan bagi memacu Melaka ke arah pembangunan dan kemajuan seterusnya membawa ke arah Melaka Maju 2010.
"Justeru itu, slogan 1Malaysia, Melaka Maju 2010 akan dijadikan suntikan baru dalam usaha Kerajaan Negeri melaksanakan strategi dan program pembangunan bagi mencapai status negeri maju menjelang 2010,"
Soalnya, hanya pembangunan material saja kah? Pembangunan disaat ketika negeri sarat dengan masalah yang menimpa masyarakat. Ketika rakyat masih dilanda kemiskinnya (sumber), ketika remaja yang semakin bertambah bilangan yang rosak akhlaknya, ketika alam sekitar yang semakin parah akibat pembangunan sebelum dan yang sedang berjalan (Hakisan di Pantai Klebang) dan yang paling penting ketika berlakunya krisis dalaman dan masalah kerajaan negeri (rasuah dan penyalahgunaan kuasa,cth: (sumber).
Sesungguhnya, perkara ini harus dijadikan iktibar. Aku bukan seorang yang terlalu bersikap prejudis atau penghukum, semua kerajaan buat tak kena (walupun memang tak kena). Tetapi aku juga rakyat Melaka, ada hak bersuara (walupun di dalam blog saje). Makayah aku bayar cukai, kutipan cukai itu adalah hasil dari poket rakyat. Yang digunakan untuk kepentingan Negeri. Dan pemimpin ini telah diamanahkan oleh rakyat, diminta untuk dipimpin dan memimpin dengan adil dalam meneraju negeri dengan jawatan yang diberi. Jadi mengapa terdapat lagi kepincangan. Yup soal mentadbir negeri bukan suatu hal yang kecil (walupun negeri kecil). Tetapi itu bukan alasan, kerana kita telah diberi panduan. Kita telah diberi guideline, mana yang perlu dan mana yang tidak. Semuanya ada didalam pegangan 'pelembagaan' kehidupan kita- Al-Quran dan Sunnah. Kembalilah kepada agama.(bukan ke Ali Rustam sendiri yang bagitau). Anda bukan pemimpin cina atau india, tetapi pemimpin melayu, tepat lagi Islam, jadi..? soalnya berbalik kepada diri sendiri juga.
Jadilah seperti negeri Saba' yang telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran; "Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun." As-Saba' 15. (tetapi jangan menjadi seperti kaum Saba' yang tidak bersyukur dan ingkar akan nikmat yang Allah beri).
Harapnya negeri Melaka begitulah jadinya akan datang. InsyaAllah.
Wallahu'alam.
2 comments:
faham dan sedar, satu kombinasi yang sangat penting!
xpe lah... kita bersangka baik, beliau akan mengubah tindakannya berdasarkan apa yang beliau katakan, mungkin niatnya; beliau nak berubah dan insaf satu hari nanti...
tetapi nasihat dan teguran, kita mesti teruskan...
***
syukran.InsyaAllah mudah-mudah beliau
sedar.Tak sampai seru lagi kot..;p
Post a Comment