12 June 2009

Manusia dan Istidraj


Jadikan 'Jaguar' putih ini sbg alat bukan matlamat..;p

Alhamdulillah syukur untuk kesekian kalinya Allah masih memberi sedikit ruang dan peluang kepada aku untuk mencatit beberapa perkara yang boleh dikongsi bersama. Walaupun ianya tidaklah sesuatu yang segera, tetapi ia penting daripada ilham yang Allah lintaskan di dalam benak fikiran aku ini kadang-kadang perlu dan mahu di kongsi atas dasar semata-mata untuk mengkoreksi diri. Bagi menghitung-hitung amalan diri yang semestinya tidak mampu untuk membeli syurga Allah, kira ianya hanyalah asbab membawa kepada Rahmat Allah yang mudah-mudahan menjadi sebab kepada kurniaan Syurga-Nya. Alangkah rugi jika kita mengambil peluang dengan kemurahan Rahmat dan bonus dari Nikmat Allah ini. Persoalannya, mahu atau tidak sahaja...

Apabila teringat kembali sabda Junjungan besar Rasul yang kita cintai, berbunyi..

Jika engkau melihat Allah s.w.t memberi (harta) duniawi kepada seseorang hamba di atas perbuatan maksiat yang dia sukai, maka itu adalah istidraj (tipuan yang memperdayakan).” Riwayat Ahmad.

Ini wasiat yang Rasulullah titip kepada kita. Apabila melihatkan keadaan kita hari ini yang setiap hari melimpah ruang nikmat pemberian Allah yang mencurah-curah kepada kita, kadangkala manusia itu sendiri masih mahu berbangga-bangga dengan maksiat dan dosa yang sering kali dilakukan. Apakah ianya istidraj dari Allah. Wal’uzubillah, moga kita dijauhkan. Bukan hendak berburuk sangka pada-Nya. Namun inilah ingatan dari kata-kata Nabi yang tiada keraguan. Ingatan yang bersulamkan kasih sayang kepada umat yang dicintainya. (sejahtera keatas kamu)

Seringkali kita mendengar nasihat dari para alim, kejarlah akhirat nescara dunia juga turut akan mengejarmu, tetapi janganlah kamu terlalu leka mengejar dunia sehingga meninggalkan jauh akhirat, kamu akan rugi kedua-duanya. Kiasan yang dapat dibuat umpama sesorang petani yang menanam jagung, pasti akan tumbuh dicelahnya lalang. Orang tidak akan menanam lalang, tiada manfaat. Tetapi orang akan menanam jagung atau apa sehaja hasil tanaman yang bermanfaat, pasti akan turut tumbuh dicelahnya lalang. Begitulah akhirat. Berusaha menanam benih-benih amalan untuk akhirat, pasti akan ikut tumbuh ’lalang-lalang’ dunia bersamanya.

Andai seseorang itu menganggap betapa dunia ini adalah sebagai pentas untuk menikmati kurniaan nikmat dengan mengendahkan akhirat, maka celakalah yang bakal menemui mereka (semoga kita tidak tergolong). Tetapi sebaliknya, andaikata dunia ini digunakan sebgai pentas untuk meraih keredhaan Allah, maka itulah orang-orang yang beruntung.

Mengambil dua contoh situasi. Seseorang yang rajin beramal ibadah, siang malamnya penuh dengan amal kebajikan, solat, puasa, sedekah, dan pelbagai lagi amalan fardu dan sunat. Tetapi kehidupannya biasa-biasa sahaja, tidak mewah, makan sekadar mengisi perut, tidak mengeyangkan. Kehidupan tanpa kekayaan mahupun kemewahan. Sebaliknya, bagaimana pula seorang yang sering melakukan maksiat kepada Allah, solat, puasa, sedekahnya dan lain-lain kebajikan jauh sekali. Namun kehidupannya serba mewah. Memiliki apa yang dikehendaki, kehormatan dan kemuliaan duniawi. Keadaan begini sering menjadi kekeliruan kepada manusia yang lemah imannya. Terperangkap dengan tipuan mindanya dan juga pastinya dari tipuan syaitan yang menjadi musuh yang nyata. Kekeliruan memilih jalan, kadang-kadang tersesat memilih bahtera berlayar di lautan kehidupan.

Mereka merasakan seolah-olah, maksiat dan kemungkaran yang dilakukan sedikit pun tidak akan mempengaruhi kurniaan nikmat Allah. Manakala ketaatan dan kepatuhan sang hamba kepada Sang Pencipta dapat menyekat anugerah kurniaan-Nya, jauh dari kemuliaan dan kemewahan. Semuanya disebabkan dua situasi tersebut. Kekeliruan yang terhasil daripada kelemahan iman dan tipuan syaitan yang menjerumuskan mereka ke arah kebinasaan. Sesungguhnya Allah telah membentangkan kepada manusia itu dua jalan, jalan kebaikan dan jalan kebinasaan. Pilihlah satu antara duanya..

Mengenai istidraj manusia dari Allah ini, ianya tidak lari dari perasaan dan sifat sombong manusia itu sendiri. Dua situasi tadi cukup mengambarkan keadaan sombong manusia yang menerima nikmat dari Allah lantaran dosa dan maksiat yang dilakukan. Allah tidak meredhai perbuatan mereka, tetapi ianya sebagai ’umpan’ yang hanya menunggu nasib.(jika tidak sempat bertaubat). Sombong dengan kemuliaan dan kehormatan yang dikecapi, membandingkan dengan mereka yang kuat beribadah tetapi masih hidup dalam kehinaan. Miskin dan hidup susah. ”eleh, si anu tu siang malam ke masjid, tetapi hendak beli basikal pun tak mampu, baik jadi macam aku, berseronok-seronok di kelab-kelab malam, makan di restoren-retoren mewah, kereta besar, walaupun aku tak beribadah sekuat si anu tu, rezeki tetap datang mencurah-curah”..Nah, inilah unkapan-ungkapan sombong yang biasa keluar dari mulut-mulut mereka.

Sekadar mengambil contoh, anai-anai. Anai-anai tidak bersayap atau berkepak, ia hanya akan tinggal dan duduk diam di sarang, hanya bergerak di celah-celah kayu dan busut. Tetapi andaikata Allah menganugerahkan sayap (sebagai nikmat) yang membolehkan ianya terbang, jadilah ia seumpama kalkatu. Yang mampu terbang, sehingga kadang-kadang berasa hebat untuk melawan api lalu akhirnya membakar diri. Demikianlah perumpamaan buat mereka yang sombong ini. Istidraj yang Allah beri rupa-rupanya hanya akan memakan diri.

Kesombongan mereka rupa-rupanya Allah telah ceritakan kepada kita, sebagaimana kisah Firaun, yang mendapat nikmat kemewahan harta dan kesihatan dari Allah, namun Allah telah membinasakan dia sebinasa-binasanya atas perlakuan taghut yang telah dilakukan. Pelbagai lagi kisah-kisah dahulu yang boleh kita jadikan iktibar, contohnya kisah Qarun, Namrud, dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, jangan pula kita menolak mentah-mentah kekayaan dan kemewahan yang Allah berikan. Sebaliknya, harus kita manfaatkan kekayaan dan kemewahan itu bagi tujuan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah dan mencapai Redha Allah. Itu yang utama. Ia bukan matlamat hidup di dunia , tetapi alat bagi menuju akhirat. Wallahu’alam, sekadar perkongsian untuk diri dan anda semua.

Dan dikatakan kepada orang-orang yang bertakwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab: "(Allah telah menurunkan) kebaikan." Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa, An-Nahl 30

I love this panorama..full of aesthetic values, how about u?

No comments: