12 December 2008

Relevansi Qudhwah Musim Cuti



Bicara kali ini, satu daripada aspek tradisi yang dialami oleh sebilangan pendokong dakwah di bumi asing. Kebanyakkan akan pulang bercuti di kampung halaman masing-masing dan disaat inilah mereka diuji secara praktikal apabila berhadapan dengan masyarakat dikalangan mereka sendiri. Apa tidak mereka bermasyarakat ketika di bumi asing? Bukan begitu, malahan mereka belajar erti islami dengan bersosial tanpa sebarang ikatan yang menghalang perkembangan mereka melainkan hanya aspek pendidikan formal di universiti. Ikatan yang penulis maksudkan adalah, “commitment” yang perlu mereka tunaikan terhadap keluarga. Nah, bukan juga penulis mendeskripsikan keluarga sebagai suatu penghalang, bahkan merupakan suatu peluang yang terbentang bagi menyemai benih fikrah.

Mungkin segelintir yang tidak faham apa kaitan akhlak yang ditonjolkan dengan pemahaman keluarga. Di sinilah bermula luahan hati dari penulis bagi menerangkan pekara seperti ini untuk tampak lebih jelas dan mudah difahami dengan idea penulis sendiri.

Semasa zaman keanak-anakan, kita berakhlak secara tidak menentu. Kadang-kadang seorang yang baik lagi warak, tapi dalam masa yang sama kita masih lagi ada sifat kebudak-budakan yang tidak mampu memperjuangkan sesuatu, dimana kita masih lagi terlekat dengan al-wahan, dengan hendonisme yang menjadikan kita buta akhirat. Tapi setelah Islam kembali singgah di atas hati-hati kita atas kurniaan Hidayah-Nya, kita mula tampak jelas siapa diri kita sebenar. Kita cuba membasuh diri kita dari pekara-pekara yang tidak perlu. Bak kata Rasulullah saw,

“Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.” (Hadith Tarmidzi)-Hadis 12 dari Hadis 40

Penulis mengakui, bukan semua dapat dibasuh, tetapi dengan berterusan basuhan itu akan menyucikan individu tersebut. Dan pulangnya mereka ke bumi ibunda bagi menampakkan perubahan mereka, dari keanak-anakan ke manusia yang mempunyai matlamat penghidupan. Tapi bagaimana kita menyemai fikrah yang kita bawa kepada masyarakat di tanah air kita? Terutamanya keluarga kita sendiri. Di sinilah bezanya setiap keluarga itu, bergantung kepada cara penerimaan dan hubungan mereka.

Ada sesetengah individu, memang mudah bila berkata dengan keluarga. Apabila berkata, keluarga mereka dapat berlaku adil atas apa yang disampaikan. Mereka ibarat kawan, dimana keluarga mereka dapat menerima nasihat secara terus tanpa menghiraukan pangkat keluarga mahupun usia. Keegoan keluarga ini telah ditenggelamkan dengan hubungan yang dibina. Jadi tiada masalah dari segi apa yang mereka sampaikan, cuma berhati-hati bila menerangkan, dan jangan terlalu gopoh. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya.

Rata-rata kita, begitu susah dalam menyemai fikrah dalam keluarga. Tambahan hati kita yang membuak-buak semangat demi menyemarakkan fikrah yang kita bawa. Tetapi siapalah kita dimata keluarga? Dahulu kita dikenali sebagai budak, mungkin mereka juga menilai kita masih lagi budak, bicara hati kita. Tapi para sahabat sahabiyat sekalian, janglah kamu bersedih tentang hal ini. Mulakan bicara kamu dengan akhlak kamu. Tapi bagaimana?

Aliran air yang halus mampu membentuk batu yang keras secara perlahan. Perubahan dayungan yang kecil mampu menongkah arus secara perlahan tetapi pasti. Begitu juga dengan mereka. Akhlak bukan yang direka-reka, tetapi ia lahir dari hati yang dizahirkan dengan perlakuan. Jadi, pokoknya dari hati ya. Secebis perubahan mampu mengharung badai. Contohnya, kita punyai keluarga yang kuat beribadat, tapi malangnya ibadat mereka hanya nafsi-nafsi. Di dirikan di rumah sahaja, melainkan hari jumaat atau hari-hari kebesaran lain. Jadi, jika kita seorang lelaki dalam keluarga, yang sudah membiasakan diri kita dengan masjid di bumi asing, maka teruskan perilaku itu di tempat kita sendiri. Memang berat mulut untuk mengajak ke masjid, tetapi mulakan sahaja dengan pergi bersendirian. Jika ada kesempatan yang memungkin, ajak sahaja keluarga bersama. Sebenar, perilaku kita bersendirian, bukanlah satu yang sia-sia, malahan ia adalah kayuhan secara perlahan.

Dari mata naik ke otak, dari otak turun ke hati, maka dari hati zahirlah perbuatan. Begitulah yang jika diizikanNya akan terjadi kepada keluarga kita. Mula-mula mereka melihat sahaja. Kemudian, mereka akan berfikir dan berasa segan atas perbuatan mereka yang tidak turut serta. Dari perbuatan itu, timbullah keinsafan. Tapi pekara ini bukan terjadi sekelip mata, bahkan memerlukan kekentalan hati para pendokong sekalian. Si abang dan ayah akan terasa malu, dan mula untuk menidakkan keseganan mereka dengan melakukakan apa yang kita lakukan. Si adik, berasa tsiqah dengan abangnya yang tidak putus-putus melakukan kebaikan. Si ibu, sejuk mata memandang. Aplikasi ini bukan sahaja ke masjid, tetapi juga segala amalan harian kita, termasuklah pembacaan al quran, mengemas rumah, bangun awal, rajin membantu dan sebagainya. Penulis mungkin tidak dapat olah satu demi satu, tapi biarkan mindamu sendiri berfikir mengenainya.

Bagaimana kaum hawa? Begitulah juga prinsipnya. Walaupun kebanyakkan kaum hawa terbatas pergerakannya, tetapi mereka boleh memainkan peranan di dalam isi rumah itu sendiri. Dengan tidak lagi bercampur gaul melalui umpatan mahupun berkata-kata yang memedaskan telinga. Penulis sedar yang realitinya tidak semua keluarga menerima anaknya pulang dari tanah luar, bertutup litup bagaikan pulang dengan membawa ijazah ustazah padahal baru beberapa tahun dalam bidang kejuruteraan mahupun perubatan. Mana tidak ibu bapa terkejut melalui perihal ini. Bagi penulis, mulakan dengan perlahan-lahan, jangan jadikan tindakan kita ini sebagai “barrier” bagi keluarga kita untuk mendekati kita. Cukup sekadar menutup auratmu dengan penuh sopan, tapi ini bukan menandakan kamu boleh kembali kepada zaman kejahilan. Tetapi berwaspada dalam berpakaian. Muslimah tidak terkongkong dengan satu corak pemakaian sahaja, bahkan bukalah mindamu seluas-luasnya mendalami apa yang ingin disampaikan islam. Jika berpakain sopan di dalam rumah, maka abang atau kakak mahupun adik yang berpakaian kurang sopan di dalam rumah, insyaAllah akan berasa malu atas tindakan mereka. Apa-apa pun segala pekara hanya berlaku dengan izi dariNya.

Bagi keluarga yang sedia ada menerima perbuatan anaknya itu, maka teruskanlah, bahkan itulah yang terbaik bagi seorang muslimah pendokong dakwah.

Penulis baru bermula dengan pergi ke masjid dan berpakaian sopan. Belum lagi isu lain, tetapi dah terlalu panjang. Hanyalah tulisan ini bertujuan memberi nafas baru dari segala kokongan minda kita.

Pesanan akhir penulis, mulakan bicara kamu dengan perbuatan. Jangan tergopoh-gapah dalam menyampaikan, malah berbahasalah dengan bicara dari perbuatanmu yang murni. Juga tidak lupa untuk mendoakan segala yang dibuat diterima sebagai amalan. InsyaAllah.
http://bahantarbiyyah.info

No comments: