30 January 2011

Akhbar saraf UMNO di Merlimau



Di kala Tenang belum lagi menamatkan kempen pilihanraya(ketika itu). Di Merlimau awal-awal lagi UMNO-BN telah mula membuat saraf dengan mengeluarkan akhbar 'tak rasmi' mereka. Beberapa orang saksi telah menjumpai lebih kurang 20 naskah akhbar di masjid Merlimau Pasir, iaitu berhampiran bandar Merlimau dua hari sebelum mengundi di Tenang (Jumaat).



Tajuk akhbar "Debat Rakyat"

Rupa-rupanya UMNO-BN hanya berani berdebat dalam akhbar. Tak berani debat secara umum di media.


Antara isi kandungan..

Setelah saya meneliti helai demi helai akhbar tersebut, modalnya sudah di jangka. Sama sahaja seperti di Tenang dan PRK sebelumnya. Isu peribadi Anwar, negara islam PAS, isu PAS bersama DAP, isu kenaikan harga minyak dan lain-lain.

Kesimpulannya, ia menjadi bukti ketandusan isu dan modal UMNO-BN untuk di jamu kepada rakyat. Perkara sama di ulang-ulang. Yakinlah, ini baru mukadimah. Kempen saraf dan fitnah lebih besar akan tiba tak lama lagi di Merlimau.

p/s: terkenangkan Ketua Menteri JKKK jadi pengarah PRK utk BN..tak de orang lain agaknya..





Tenang : PAS kalah Undi, tetapi menang Dakwah


Firman Allah s.w.t: "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu beriman" (Ali-Imran:139)

Tahniah buat petugas-petugas PAS dan PR di Tenang. PAS tidak kalah, cuma belum menang, panji Islam masih belum jatuh, bendera putih masih belum naik, maka istilah kalah tidak ada, dan tidak akan ada sehinggalah Islam tertegak atau kita semua syahid di medan perjuangan.

PAS kalah dari kaca mata demokrasi, tetapi PAS sebenarnya menang dari sudut Dakwah. PRK Tenang banyak memberikan pengajaran buat kita bahawa perjuangan PAS di pentas politik tidak semata-mata mahu menang kerusi atau mendapatkan kuasa. Kerana matlamat PAS terjun ke medan politik adalah atas tujuan dakwah baik kepada muslim atau non-muslim yang mana pengakhirannya adalah Islam yang memerintah.

Kejayaan PAS dalam membina tahaluf siyasi (pakatan politik) bersama PKR dan DAP terbukti apabila DAP sendiri menjawab serangan agama dari MCA kepada PAS. Isu sensitiviti agama yang di mainkan membuka sendiri aib UMNO yang 53 tahun berkawan bersama MCA. Ini menjadi bukti bahawa walaupun BN/UMNO menang pada undi, tetapi keuntungannya kepada bangsa dan agama mereka telah gagal. Mereka telah gagal mendampingkan MCA dan MIC kepada Islam bahkan mereka sendiri telah menggadaikan Melayu, kerana bagi mereka Melayu itu Islam, Islam itu Melayu..iaitu 'keimanan' yang mereka pegang.

Berbeza PAS. Selama 5 ke 6 tahun, PAS bersama-sama DAP dan PKR, ruang dakwah terbuka luas. Sebagai contoh apabila PAS bertanding atas tiket parti politik, dakwah Islam kepada non-muslim lebih mudah menyelinap masuk melalui jalan politik sperti di pentas-pentas ceramah dan di dalam dewan rakyat. (..takkan nak dakwah non-muslim, ajak datang masjid atau ke rumah ibadat mereka, atau datang sendiri ke rumah mereka?.) Ini di namakan strategi, yang membezakan PAS dengan NGO Islam lain. Maka tidak hairan asbab tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR, mereka lebih memahami Islam.

Rahsianya adalah Islam itu sendiri. PAS bukan semata-mata parti, tetapi gerakan Islam. Bersifat dinamik. Mencakupi segala bidang dakwah dan tarbiyah (pendidikan), bukan politik semata mata. (sebab itu PAS ada PASTI untuk pendidikan dan dewan himpunan penyokong PAS untuk dakwah).

Ini sebenarnya kemenangan buat PAS. Pastinya kemenangan ini akan di teruskan selagi Islam menjadi pegangan.

Perjuangan kita masih panjang, terus berjuang tanpa putus asa kerana As-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah berkata, " Janganlah engkau berputus asa kerana berputus asa itu bukan akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahawa kenyataan hari ini adalah mimpi hari kelmarin, dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok".

Allahu'alam

~Merlimau here we come~



Download Kuliah Tahaluf Siyasi


Audio pembentangan kertas kerja tentang Tahaluf Siyasi oleh Ustaz Musa (Ketua Lujnah Tarbiyah DPPN Melaka) - boleh downloadnya di sini (MP3 Files) atau




Semoga bermanfaat.

29 January 2011

Negara Islam: Istilah yang di kelirukan



DALAM dunia politik hari ini, berbagai-bagai istilah yang disabitkan dengan pemerintahan telah dicipta oleh manusia, namun kebanyakan mereka bermuafakat tentang istilah, tetapi berbeza pendapat tentang pengertian atau definisinya.

Terdapat pula istilah yang mempunyai makna yang serupa, tetapi mempunyai beberapa perbezaan yang segi amalan dan perlaksanaan.

Malah kadang-kadang terdapat yang bertentangan antara satu sama lain. Inilah yang dikatakan 'sama tapi tidak serupa'.

Istilah politik itu sendiri, kebanyakan kita sepakat menggunakan namanya tetapi diberi istilah yang berbeza. Contohnya dalam masyarakat Greek digunakan istilah politik sebagai 'anak watan dan hak-haknya dalam negara'. Di waktu lain mereka menggunakan istilah politik sebagai pemerintah yang sedang menjalankan urusan pemerintahannya dan terdapat yang menggunakan istilah itu sebagai polisi negara dan tipu muslihatnya.

Dalam sistem kita hari ini itulah yang berlaku, iaitu kita menerimapakai istilah politik tetapi memberi pengertian yang berbeza. Ada antara kita yang merujuk politik sebagai ilmu pengetahuan berkenaan cara pemerintahan kepada dasar dan polisi sesebuah negara, ada yang merujuk kepada suatu kaedah yang dipergunakan oleh pemerintah sebuah negara dan hubungannya dengan negara lain. Politik juga dikaitkan dengan kelicikan dan maslahat sesuatu tindakan.

Kalaulah istilah politik itu sudah bercelaru apatah lagi dengan istilah demokrasi yang sama istilahnya tetapi mempunyai pengertian yang amat berbeza. Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang dipilih rakyat melalui wakil-wakil mereka. Ada yang mengatakan pemerintahan rakyat untuk rakyat dan tidak kurang yang mengatakan demokrasi itu adalah kuasa rakyat untuk rakyat.

Kalau itulah realitinya, maka demikian pula dalam menggunakan istilah Negara Islam, memang sesuatu yang telah menjadi lumrah dan dipergunakan secara berleluasa oleh banyak pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN). Namun apakah pemahaman sebenar mereka terhadap penggunaan istilah Negara Islam itu? Mereka begitu mudah menerimapakai istilah Negara Islam dengan hanya merujuk kepada pemerintah dan majoriti rakyatnya beragama Islam.



Jika itulah pemahaman mereka, maka seluruh negara umat Islam hari ini terutamanya yang menganggotai Persidangan Negara-negara Islam (OIC), tanpa kecuali semuanya adalah Negara Islam. Akan tetapi realitinya tidak demikian kerana negara yang mengistiharkan mereka sebagai Negara Islam hanya beberapa buah sahaja, namun boleh dipertikaikan adalah mereka itu Negara Islam sebenar. Istilah Negara Islam sebenar tidak boleh lari dari apa yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Negara Islam yang ulung ditubuhkan di Madinah dalam tahun 623M bersamaan dengan tahun ke 2H.

Negara Islam Madinah adalah contoh benar yang perlu difahami dan dihayati maknanya. Dalam hubungan ini Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 21, mafhumnya:
"Sesungguhnya telah ada pada perbuatan Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik bagimu..."

Sebagai muslim, tiada contoh yang lebih baik dalam lapangan kehidupan melainkan yang diambil dan ditiru dari perbuatan Rasulullah. Dalam hal ketatanegaraan, Nabi Muhammad telah menunjukkan contoh seperti yang diperintah kepadanya oleh Allah SWT. Dengan sifat-sifatnya yang jelas seperti yang ditunjukkan dalam Surah al-Hajj, ayat 41 yang mahfumnya:

"Orang-orang yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di muka bumi (pemerintah Negara Islam), mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah dari perbuatan mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan (berserah dan bertawakkal)."

Ayat ini, jika dirujukkan kepada tafsir al-Quran yang muktabar, diberi pengertian yang mendalam dengan merujuk kepada makna yang falsafi di setiap perkataan ayat itu.

Dalam tafsir al-Maraaghi misalnya, perkataan mendirikan solat, dihurai sebagai mentaati perintah Allah SWT dan melaksanakan hukum-hukum Islam dengan sebaik mungkin.

Solat itu sendiri adalah lambang kepatuhan mutlak kepada Allah SWT, meskipun perintah solat itu tidak difahami bersungguh-sungguh seperti mengadap kiblat, mengangkat tangan takbir, qiam tangan, tunduk rukuk, bangun, sujud dan sebagainya, tidak semestinya difahami tujuan perbuatan itu dipatuhi, namun solat seperti yang diperintahkan Allah mesti dilakukan sepenuhnya.

Sekiranya sengaja meninggalkan satu rukun sahaja, maka tidak sah didirikan solat itu. Lambang pemerintah bersolat adalah lambang kepatuhan mutlak kepada Allah SWT, baginda Rasulullah s.a.w telah melakukannya. Negara Islam Madinah telah melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, meskipun baginda sedar bahawa masyarakat Madinah bukannya Islam sahaja tetapi masyarakat majmuk. Namun Islam tetap ditegakkan dengan tidak ada alasan untuk berdolak dalik. Negara Islam mestilah menyanjung perintah Allah dengan sebaik mungkin.

Mengeluarkan zakat diertikan dengan penjagaan rakyat sebaik mungkin dengan mengajak mereka mentaati perintah Allah, mencegah dari melakukan syirik dan perkara-perkara kejahatan. Ia juga bertujuan untuk menjaga kepentingan masyarakat bawahan untuk mengatasi masalah mereka kerana falzafah zakat adalah jelas seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, "Ambillah dari mereka yang berada (kaya) untuk dibahagikan kepada golongan yang tidak berada (susah).

Kerana itulah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, memandang serius masalah zakat ini, sehingga semasa beliau memerangi mereka yang enggan membayar zakat sehingga mereka tunduk semula kepada hukum Allah. Ini adalah keperluan dan kemaslahatan ummah yang wajib dijaga dengan sebaik-baiknya. Seterusnya, pemerintah Islam hendaklah menegak yang maaruf dan membasmi yang mungkar. Apalah ertinya Negara Islam jika pemerintahnya asyik memerangi yang maaruf dan menegakkan yang mungkar.

Perkara maaruf yang jelas ialah seperti melaksanakan hukum-hukum Allah, seperti yang terkandung dalam hukum hudud, qisas, takzir dan sebagainya. Hukum menutup aurat tidak boleh dipandang ringan dan remeh seperti yang ditunjukkan Allah dalam Surah an-Nur ayat 31 dan telah dilaksanakan oleh baginda Rasullah dengan sepenuhnya.
Perkara mungkar adalah jelas seperti arak, judi, pembinaan tugu, tenung nasib, adalah di antara yang nyata mungkarnya berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 90. Semuanya wajib dibasmikan termasuk mungkar-mungkar lain.

Bagaimana boleh wujud dalam Negara Islam perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan hukum Allah, bolehkan Negara Islam mempertahankan hal-hal yang sedemikian yang seolah-olah mencabar hukum Allah, atau sekurang-kurangnya melawan hukum Allah dengan keengganan mematuhinya.

Menentang dan melawan hukum Allah, telah dijelaskan hukumnya oleh Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 63 yang mafhumnya:

"Tidakkan mereka mengetahui bahawa mereka yang menentang hukum-hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya neraka Jahanam lah tempat balasan, mereka kekal abadi di dalamnya. Itu adalah kehinaan yang amat besar."

Negara Islam adalah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT, menyanjung dan melaksanakan hukum-hukum Allah dan mencari jalan sebaik mungkin dengan menyakinkan semua pihak muslim dan non-muslim bahawa syariat Allah adalah untuk kebaikan insan sejagat.

Pemerintah Islam tidak seharusnya mencari alasan yang tidak munasabah untuk sengaja memerangi maaruf dan menegakkan kemungkaran.
Pemerintah Islam bertanggungjawab meyakinkan semua pihak bahawa Islam itu agama Allah dan hukum-hukum Islam itu didatangkan oleh Allah kepada manusia untuk kesejahteraan sejagat.

Akhirnya, negara Islam berpandukan kepada Surah al-Hajj ayat 41 yang saya telah huraikan tadi, adalah negara yang bertawakkal kepada Allah, bergantung dan berserah diri kepada-Nya setelah sesuatu tindakan dibuat dengan rapi berdasarkan perintah Allah, maka Allah lah yang akan menentukan segala-galanya.

Oleh yang demikian, maka suburkanlah jiwa bertawakkal kepada Allah dengan memohon petunjuk-Nya demi melaksanakan perintah-perintah bagi menuju dan menghasilkan sebuah negara yang aman bahagia di samping Allah yang Maha Pengampun.

Oleh: Tuan Guru Dr.Harun Din

Komentar: Rata-rata rakyat Malaysia beranggapan Malaysia sebuah negara Islam..walhal dari penerangan di atas ini, jelas sesebuah Negara Islam itu lebih mengutamakan isi atau 'substance' , di mana segala peraturan dan undang-undang yang di guna pakai di dalam sebuah negara Islam itu haruslah mengikut undang-undang dan peraturan yang di tetap dalam Islam. Ini perkara asas dan penting dalam sebuah negara yang benar-benar di istilahkan sebuah negara Islam..emm..bila dibandingkan dengan Malaysia, jauh panggang dari api,sungguh menyimpang dan boleh di katakan 'sesat' apabila di katakan Malaysia sebuah negara Islam..anda sendiri mampu menilai..

28 January 2011

Kempen BN di Merlimau telah bermula


Kerajaan BN Melaka akan membuka satu penempatan kampung tersusun di Merlimau di mana tanah seluas 40 ekar akan di buka berhampiran pekan Merlimau.

Menurut Ali Rustam, cadangan tersebut adalah di sebabkan DUN Merlimau sangat popular dan sesuai bagi projek kampung tersusun, di mana di kawasan ini terdapat pelbagai keistimewaan seperti kolej swasta, politeknik, kawasan pertanian seperti sawa padi, kelapa sawit, kawasan ternakan dan kawasan perniagaan. (Baca selebihnya)


Komentar:

Perkara wajib di kala berlakunya PRK, yang mendatangkan keuntungan pastinya penduduk tempatan. Tetapi, apalah sangat keuntungan yang di nikmati berbanding bebanan hidup yang semakin meruncing di hadapi hari demi hari.

Pembukaan kampung tersusun akan menambahkan lagi kapasiti tanah, populasi akan bertambah, maka keperluan asas penduduk juga akan semakin terhad. Persaingan mencari rezeki di kawasan tempatan juga semakin besar.

Merlimau merupakan kawasan yang sedang membangun, kebanyakan penduduk tempatan yang berkerja di situ mencari rezeki di dalam bidang pertanian dan penternakan kerana di situ juga terdapat Felcra, terutanmanya penduduk Melayu yang berusia. Sebahagian besar penduduk tempatan ada yang ke pusat bandar, bekerja sebagai peniaga dan bekerja di sektor swasta dan kerajaan.

Penduduk Merlimau pastinya mengharapkan bantuan yang mampu meringankan beban hidup mereka memandangkan harga barang juga semakin hari, semakin naik. Tidak di nafikan bantuan material seperti pembinaan kemudahan awam dan prasarana di kawasan tempatan juga dapat memudahkan kehidupan harian, tetapi ia belum tentu mampu meringankan bebanan hidup di kala pendapatan isi rumah yang sedikit tambahan dengan kos hidup yang semakin bertambah hari demi hari.

Harapnya rakyat Merlimau tidak lupa hutang yang bakal di bayar mereka dengan projek-projek sebegini. Kerana ianya juga projek yang menelan belanja berjuta-juta yang keluar dari kantung kocek mereka. Menurut Ketua Audit Negara 2009, hutang kerajaan Melaka telah mencecah RM500 juta lebih. Hutang kerajaan Melaka meningkat dari RM441.76 juta kepada RM587.3 juta pada tahun 2009. Hari ini hutang negeri Melaka semakin bertambah, projek-projek yang tidak banyak membantu ekonomi negeri lebih banyak mendatangkan masalah sperti Eye On Malaysia yang masih berhutang, projek Monorail yang tergendala, projek Go-Kart, Lapangan Terbang 'Antarabangsa' Batu Berendam, projek 'Arab City' di Klebang dan lain-lain.

Harap rakyat Melaka, khususnya di Merlimau dapat berubah.




25 January 2011

Kelemahan urus tadbir penyebab defisit-Anwar Ibrahim


SHAH ALAM: Penasihat Ekonomi Negeri Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara mengalami defisit bukan disebabkan ekonomi pasaran sebaliknya kelemahan urus tadbir kerajaan sehingga mengakibatkan pengurangan subsidi kepada rakyat.


Menurut Anwar, kerajaan tidak menjalankan dasar yang baik dalam menjamin kesejahteraan rakyat.


Malah Anwar berkata kelemahan urustadbir itu turut memberi impak negatif dalam daya saing ekonomi berbanding negara-negara Asia lain.


Katanya, disebabkan kelemahan-kelemahan itu kerajaan menggunakan alasan kekurangan dana dalam pemberian subsidi yang akhirnya rakyat menerima kesan tersebut.


“Masalahnya bukan ekonomi pasaran malah tiada negara yang menolak ekonomi tersebut. Ini kerana negara tiada tata kelola yang baik, kedua tiada dasar yang menjamin kesejahteraan rakyat. Jika buat tindakan menyeluruh pun kita akan kecundang.


“Kita tidak dapat bertahan untuk terus bersaing, kita tewas untuk tarik pelabur. Pertama kali tahun 2010 kita kalah dengan Filipina. Adakah ini perancanaan konspirasi? Sebab kita ada APCO yang membantu.Apa alasan? Dana tidak cukup dan beban ekonomi akhinya berbalik kepada rakyat,” katanya ketika pembentangan ‘Subsidi: Bebanan Negara atau Bebanan Rakyat’ di Kelab Shah Alam hari ini.


Merujuk kepada penyelidikan CIMB, Anwar berkata golongan berpendapatan RM1,500 ke bawah menerima kesan besar sekiranya pengurangan subsidi berlaku.


Golongan tersebut jelas beliau dibebankan dengan pelbagai sewa termasuklah dan pinjaman pinjaman rumah, kenderaan, bahan api dan makanan.


“Sewa dan makanan itu asas dan ia adalah 80 peratus daripada pendapatan mereka. 20 peratus yang lain-lain untuk mereka beli akhbar Suara Keadilan dan Harakah…jangan beli Utusan sudah,” katanya sambil berseloroh.


Anwar turut mendedahkan mengenai dana haram yang dikeluarkan negara sehingga mencecah RM200 bilion setahun dan melonjak Malaysia d itangga kelima dunia.


Beliau berkata dana haram ini diperoleh daripada rasuah serta kegagalan individu membayar cukai.


“Ini bukan laporan Pakatan tapi laporan Financial Watchdog Global Financial Integrity berpusat di US (GFI). Dana haram dikeluarkan Malaysia dalam masa singkat naik melonjak ke tangga kelima dari segi jumlah sedangkan ekonomi kita kecil. Dana haram keluar jadi besar.


“Jika ada tata kelola yang baik perkara ini akan disisat. Wang dicuri daripada cukai itu dikekalkan, sekarang belum ada penjelasan daripada Menteri Keewangan Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah,” katanya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh. - Malaysia Today

Bekas Pekerja Kilang Bebas Tuduhan Pam Anak Ke Lubang Tandas

GEORGETOWN: Seorang bekas pekerja kilang dibebaskan daripada tuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya dengan cara mengepamnya ke dalam lubang tandas tempat kerja.

Nurul Syuhada Shamsudin, 21,yang berasal dari Parit Buntar, Perak dibicarakan atas tuduhan membunuh bayinya dalam tandas wanita di sebuah kilang di Bayan Lepas, di sini antara pukul 3.30 dan 7 pagi, 30 Disember 2009.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim pada penghakimannya berkata, tiada bukti yang menunjukkan bayi tersebut hidup semasa dilahirkan dan kes pihak pendakwaan dilemahkan selepas sebab sebenar kematian tidak dapat dipastikan.

Beliau menambah, keterangan Pakar Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat bayi itu menyatakan terdapat kemungkinan bayi itu hidup semasa dilahirkan.

“Bagaimanapun, dalam pemeriksaan balas, beliau mengakui terdapat kemungkinan bayi itu boleh meninggal dunia sebelum bukaan rahim ibunya penuh akibat sebab semula jadi seperti kekurangan oksigen,” katanya.

Beliau juga berkata, tiada bukti yang menunjukkan unsur lemas.

Oleh itu, Zamani berkata, mahkamah perlu membuat kesimpulan yang memihak kepada Nurul Syuhada.

Nurul Syuhada dilihat menangis semasa gari di tangannya ditanggalkan oleh seorang anggota polis wanita dan megucapkan terima kasih kepada hakim.

Sebaik sahaja prosiding mahkamah selesai, ibu bapanya, Shamsudin Yahya, 50, dan Misbah Rabudin, 44, yang berada di galeri awam mahkamah meluru ke arah kandang tertuduh.

Kesemua mereka dilihat menangis.

Shamsudin turut memeluk peguam E. Gnasegaran yang mewakili anaknya sebelum membawa Nurul Syuhada keluar dari mahkamah (sumber)


p/s: macam mana boleh wujudnya tuduhan macam ni ye, fitnah kot..ingatkan dunia politik je ada fitnah-fitnah..macam-macam

24 January 2011

Dasar BN yang 'Banggang' Agama.

Budaya jijik dalam BN-UMNO

Tian Chua mulakan ucapan Assalamualaikum (sumber)


Komentar: Dasar BN-UMNO tak sedar diri. Kalau banggang dalam agama tu buat la cara orang banggang, tak payah nak berlagak pandai agama. Isu Chua Soi Lek dan pemimpin Gerakan yang dok Hina Islam tu tak nak pula kecoh-kecoh. Menteri-menteri besar UMNO yang Melayu yang dok Hina Hudud macam Ghani Othman tu dah jamin masuk Syurga ke?

Sebab tu la aku setuju dengan YB Nizar yang cakap Undi BN ni Haram. Memang Haram pun. Orang yang selalu undi BN ni di kira ada saham bila dia dah tahu korups nya menteri-menteri mereka tapi masih mengundi mereka lagi, asbab undi-undi dari merekalah yang menyebabkan calon-calon yang tak amanah, rasuah, dok hina agama ini terus memerintah negara.

Tapi bila cakap macam ni, BN-UMNO kata ini politik. Dalam masjid kau cakap tak boleh politik pulak.

Semakin lama BN-UMNO memerintah negara semakin teruk jadinya. Habis agama Islam di kelirukannya kepada non-muslim. Sepatutnya kalau sudah 53 tahun memerintah, non-muslim sudah faham. Tapi kalau dah parti kebangsaan yang dasarnya hanyalah atas semangat Melayu semata-mata, tak payahlah kata nak perjuangkan agama, kalaulah UMNO komited perjuangkan agama, hari ini tak akan ada pemimpin mereka yang di dakwa bersalah atas rasuah dan pecah amanah. Hari ini juga tak akan ada non-muslim menghina agama dan budaya kaum lain.

Ada menteri UMNO kelulusan agama pun jadi alat. Jadi pencacai dan balaci pemimpin mereka, diam membisu. Nak tegur apa lagi. Kau jagalah periuk nasi untuk anak bini kau, Allah dah sindir golongan-golongan ini dalam Al-Quran, "Janganlah kamu menjual kebenaran dengan harga yang murah" seolah-olah kau bersekongkol dengan kezaliman pemerintah, semata-mata nak jaga pangkat dan harta.

Semoga Allah mengampuni dosa kalian dan aku. Allahuallam.

Episod Salam-Menyalam






















last but not least...


23 January 2011

Dulu Menteri BN hina orang India..sekarang orang India pula hina Kerajaan BN.





p/s: hehehe...BN Barang Naik

[Video & Gambar] Sekitar Ceramah Pakatan Rakyat di Merlimau 22/01/2011

YB Salahudin sedang berucap


Lebih kurang 500 orang yang hadir



YB Salahudin



Bekas calon N27 Merlimau, Mejar (B) Jasme (kanan berkopiah)















Che'gu Bard dan Shamsul Iskandar dari AMK



Ceramah dari Che'gu Bard


Ceramah dari Che'gu Bard


Ceramah dari Che'gu Bard


Ceramah dari YB Salahudin Ayub


p/s: maaf kualiti audio kurang memuaskan, guna H/P.

22 January 2011

Cikgu Mala-Generasi baru dalam PAS


Pemilihan Normala Sudirman atau lebih mesra dipanggil Cikgu Mala untuk diangkat menjadi calon dalam PRK N05, Tenang bukan sahaja berbakat dan berpotensi bahkan sebagai simbol generasi baru dalam PAS yang memahami tanggungjawab berpolitik.

Menjadi calon bukanlah semata-mata mengejar glamor atau pangkat dan harta kekayaan tetapi ia satu keperluan, amanah dan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan lebih besar adalah kepada agamanya.

Menurut Pengerusi Lajnah Penerangan & Dakwah Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi pemilihan calon muslimat bukan secara membuta tuli tetapi disandarkan kepada tuntutan secara keperluan untuk menjaga maslah ummah dalam dunia yang mencabar.

"Pemilihan adalah berdasarkan merit. Kejayaan kita menempatkan beliau dan tentunya kerana keupayaan dan pakej kepimpinan yang dimiliki Cikgu Mala sendiri. Ini juga sebagai kejayaan PAS melahirkan figura-figura baru dalam lanskap politik negara yang kini menuntut kepada suatu perubahan yang jauh lebih bermakna," katanya.

Katanya, tindakan Cikgu Mala melepaskan profesion guru dalam usia yang begitu muda bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja jemaah membuktikan hala tuju dan peranan beliau lebih besar dalam masyarakat. Athirah juga percaya sistem kongkongan yang dikenakan oleh kerajaan BN ke atas kakitangan kerajaan untuk terlibat dalam parti-parti politik Pakatan Rakyat merupakan antara faktor utama perletakan jawatan Cikgu Mala.

"Hasratnya berkhidmat kepada rakyat tanpa sempadan waktu tanpa terikat oleh suatu peraturan yang tidak adil dengan tuntutan masyarakat semasa menjadikan Cikgu Mala menzahirkan keseriusannya untuk membantu dan membela rakyat tanpa tekanan,sekatan mahupun ugutan pihak majikan," katanya.

Beliau yakin pakej yang lengkap untuk rakyat memberi mandat kepada Cikgu Mala cukup terserlah apabila setiap kali kemunculan beliau di khalayak jelas diterima baik oleh ibu bapa dan tidak asing lagi di kalangan belia dan komunitinya.

Aiman yang turut mengiringi beliau semasa berkempen mengakui Cikgu Mala menjiwai perit jerih masyarakat dan memahami komunitinya memandangkan beliau merupakan juga di kalangan peneroka. Justeru, jelas Aiman Athirah calon PAS di N05 Tenang ini adalah sebahagian daripada generasi transformasi dan mengharapkan beliau diberi peluang oleh rakyat dan dibantu oleh generasi muda di semua peringkat.

"Tidak kiralah mereka itu generasi muda dalam Pakatan Rakyat atau di luar Pakatan Rakyat. Justeru kerana kita mahu dan sedang berusaha bersungguh-sungguh membawa budaya politik baru yang lebih bersih, beramanah dan bertanggungjawab ke dalam masayarakat dan negara kita," tegas Athirah.

Minda Rakyat

[Video] Sekitar Ceramah Khalid Samad di Melaka malam tadi.

Ceramah YB Khalid Samad di Bukit Beruang, Melaka malam tadi. Antara pimpinan PR yang hadir Sdr.Shamsul Iskandar dan ADUN Ayer Keroh YB Khoo Poay Tiong.








Komentar: Ceramah PAS malam tadi di Bukit Beruang seperti biasa menerima kedatangan penceramah tidak di undang UMNO yang seperti biasa berceramah tidak kurang 100 meter dari tempat cramah PAS berlangsung.

Kelihatan dalam ceramah UMNO juga menjemput Ketua Menteri taraf JKKK, Ali Rustam. Mungkin mereka sama sahaja seperti ketua mereka Najib Razak. Kematian tiada apa-apa bagi mereka. Sepatutnya UMNO tidak terus menganggu berceramah memandangkan kawannya ADUN Merlimau baru sahaja meninggal dunia kemarin. Malangnya seolah-olah ianya tidak berlaku. Kempen fitnah dan tunduhan liar masih kedengaran sepanjang ceramah UMNO berlangsung.

Apa yang pasti, kedatangan Ali Rustam berceramah malam tadi di Bukit Beruang menjadi tanda kuat bahawa UMNO Melaka semakin cuak dan gelabah. Tambahan pula kerusi DUN Merlimau yang kini kosong menantikan pilihanraya kecil berlaku di sana. Kita boleh lihat selepas ini bagaimana keadaan 'kesihatan' UMNO Melaka. Malam tadi juga telah kelihatan mula kepanasan memandangkan ceramah mereka tidak berhenti sehingga jam 12.30 malam, padahal ceramah PAS sebelum jam 12 lagi telah tamat bagi mematuhi peraturan dan undang-undang berceramah yang tidak boleh melebihi pukul 12 malam.

Pastinya politik UMNO Melaka akan lebih 'seronok' dengan tekanan yang di berikan Pakatan Rakyat Melaka. Kebetulan hari ini (22/1/2011) di Merlimau sendiri akan di adakan jamuan makan dan ceramah penerangan Pakatan Rakyat oleh YB Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Ust Nasarudin mat Isa dan lain-lain. Apa pula UMNO nak jawab...

Wallahualam.

20 January 2011

Merlimau mulai rasa bahang.



Allahlah sebaik-baik perancang. Seakan suatu musim. Rakyat Tenang belum pun membuang undi, kini Melaka, Dun Merlimau pula terasa bahang dan mungkin sama keadaannya di Perlabuhan Kelang. Wallahualam.

Yang pasti. Peristiwa ini ada mesej dan peringatan kepada kita semua. Terutamnya kepada UMNO-BN, mereka lebih terasa panas dengan PRK ini. Mereka akan terasa bebanan dan tekanan berantai. Hari demi hari..

Sebagai rakyat jati Melaka, pastinya PRK di Dun Merlimau ini bakal menentukan samada BN masih berkuasa dan relevan lagi atau tidak di Melaka sepertimana kata orang - Melaka Darul UMNO.

Persoalannya adakah negeri darul UMNO ini akan kekal dengan semangat keUMNOannya? Memandangkan PRU lepas DAP sendiri telah menang 5 Kerusi di Melaka (kebanyakan di kawasan bandar). Kemudian melihatkan bacaan politik Melaka hari ini, setelah pelbagai aktiviti dan program turun padang di lakukan, sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat semakin positif terutamanya dari kaum Cina.

Ini yang merunsingkan UMNO-BN. Kerana sokongan dari kaum Melayulah dilihat hanya akan menjadi nyawa bagi mereka selain golongan pedalaman dan saya rasa kawasan lain juga begitu. Walaubagaimanapun, PRK Merlimau nanti pasti ada suatu pelajaran buat kita semua.

Walaubagaimanapun, perjuangan di Tenang belum berakhir dan baru bermula, maka kita sendiri akan melihat sejauhmana totoknya UMNO kepada rakyat di sana, memandangkan BN dengan megah mengatakan di sana merupakan kubu kuat mereka, sama seperti Merlimau. Namun, andai PRK Tenang di lihat positif pada PR atau paling kurang dapat mengurangkan majoriti, maka InsyaAllah, Merlimau juga akan turut sama.

Saya rasa walaupun Melaka negeri kecil, tetapi isu tempatan di dalam Melaka agak banyak. Contoh, isu Melaka Maju sendiri, isu pembangunan yang membazir seperti Eye On Malaysia, Kincir Angin, Monorel, Airport dll, isu roboh surau dan PASTI, isu penyelewengan wang zakat oleh MAIM, isu sekolah mengandung, isu moral pemimpin rasuah Ali Rustam dan banyak lagi. Itu belum di kira isu nasional lagi.

Cabaran buat Pakatan Rakyat Melaka sendiri adalah untuk meyakinkan rakyat Melaka sendiri tentang kebobrokan UMNO-BN. Di akui satu kelebihan ALi Rustam, adalah beliau rapat dan pandai mengambil hati masyarakat tempatan. Ali Rustam sendiri acap kali hadir ke majlis-majlis rakyat malah jemputan kahwin pun beliau sanggup datang andai ada jemputan. Ianya diakui lawan, itu yang menyebabkan terpadam segala keburukan akhlak dan moral Ali Rustam ketika di dakwa rasuah suatu ketika dahulu.


Walaubagaimanapun, Pakatan Rakyat ada peluang untuk menang di sini. Apa yang penting usaha dan gerak kerja konsistem perlu ada kerana BN-UMNO telah semakin tenat. Penyalahgunaan kuasa dan undang-undang menjadi bukti, selain fitnah yang di jaja merata-rata oleh UMNO-BN. Ia menjadi bukti mereka tiada lagi isu.

Maka hari ini UMNO-BN di lihat mengenakan tekanan secara teknikal seperti memperalatkan SPR, Mahkamah, dan Kementeri-kementrian yang berada di bawah kaki BN ini. Seperti mana PAS Melaka sendiri yang kerap kali mengalami tekanan dari kerajaan BN di Melaka. Dengan memperalatkan Akta Tanah untuk merampas tanah yang di bangunkan di atasnya PASTI dan Surau. Majlis Bandara Melaka juga pernah merampas dan merosakkan alatan milik PAS seperti papan tanda pusat aduan, bendera, banner dan lain-lain.

Malah nak menunjukkan betapa 'rimba'nya UMNO-BN Melaka ini, mereka sanggup mengekori dan menganggu setiap ceramah-ceramah PAS sambil mengundang 'tarzan-tarzan' untuk berucap dan meleparkan pelbagai tuduhan liar termasuklah dari Ketua Menteri Melaka sendiri. Nak buat macam mana, sudah menjadi tabiat mereka dari dulu lagi, lebih-lebih lagi dalam keadaan nazak sekarang, meracau tak tentu hala.

Siri PRK yang berlaku memberi petunjuk kepada kita bahawa sudah tiba masanya kerajaan yang sedia ada hari ini perlu di tukar kepada kerajaan yang baru, kerajaan yang lebih baik. Maka Allah telah membuka ruang, iaitu ruang yang agak pantas untuk kita memilih dan membuat keputusan, iaitu ruang demokrasi secara pilihanraya.

Allahualam..

~Selamat Datang Ke Melaka~


p/s: SPR jadi pening..baik kau umumkan Pilihanraya Umum je..


Ni betul-betul: ADUN Merlimau di sahkan meninggal dunia jam 8.10 malam tadi. Al-Fatihah

MELAKA 20 Jan. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 54, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putra kira-kira pukul 8.10 malam ini.

Perkara tersebut disahkan oleh doktor yang merawat Mohamad Hidhir, Datuk Dr. Suhaimi Mohd. Uda Tenang.

Ketika ini Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berada di Hospital Putra sebelum membuat pengumuman mengenai perkara tersebut.

Utusan difahamkan jenazah akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang, Merlimau malam ini. - Utusan

Komentar: Naik poning den dengan berita ni..kejap ok, kejap tak. Apa-apapun,dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali. Al-Fatihah buat arwah

19 January 2011

Kemana Hilangnya "Bas London" Melaka?


HUTANG kerajaan negeri Melaka meningkat RM587.3 juta pada 2009 berbanding RM441.76 juta pada 2008, tetapi pemimpinnya terus boros berbelanja termasuk menjalankan projek pembangunan yang diragui keberkesanannya atau memberi manfaat kepada rakyat kebanyakan.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Iktibar madah sebuah tengkorak

Diriwayatkan Nabi Isa a.s. bertemu sebuah tengkorak dan disentuhnya dengan kakinya seraya berkata: "Berkatalah engkau dengan izin Allah." Tengkorak itu berkata: "Wahai Rasul Allah, aku adalah raja pada zaman anu dan di negeri anu. Suatu hari aku duduk di istanaku di atas singgahsanaku, di sekitarku bala tenteraku, juga pelayan-pelayanku di atas tempat tidur. Tiba-tiba aku melihat malaikat maut hingga anggota badanku sama terlepas oleh gementarnya aku dan nyawaku melayang." - Petikan majalah Hidayah Januari 2011

***

HUTANG kerajaan negeri Melaka meningkat RM587.3 juta pada 2009 berbanding RM441.76 juta pada 2008, tetapi pemimpinnya terus boros berbelanja termasuk menjalankan projek pembangunan yang diragui keberkesanannya atau memberi manfaat kepada rakyat kebanyakan.

Pelbagai projek mega dijayakan dengan membuat pinjaman kepada kerajaan Pusat tetapi sebahagian daripadanya tidak berdaya maju sehingga terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit.

Antara projek yang gagal, tersadai atau cuba dimajukan semula adalah Pulau Melaka, roda gergasi Eye On Malaysia dan Litar Go-Kart di Ayer Keroh.

Sekalipun rakyat Melaka khasnya dan seluruh Malaysia amnya digembar-gemburkan dengan kejayaan negeri ini dari segi fizikal termasuk perisytiharan sendiri sebagai negeri berstatus maju pada 2010, prasarana untuk rakyat awam tidak banyak berubah.

Misalnya, jika dikaji dari segi pengangkutan awam, keadaan bas berhenti-henti yang menjalankan operasi dari pusat bandar (Melaka Sentral) hampir semuanya adalah buruk-buruk belaka.

Jika seseorang berada di Melaka Sentral, jenguklah di bahagian yang menempatkan bas tempatan. Akan terlihatlah puluhan bas lama, berdedu dan keadaan ini berbeza dengan seksyen bas ekspres yang kebanyakan bas di situ adalah baru-baru belaka termasuklah jenis dua tingkat.

Selain pelbagai syarikat persendirian yang mengendalikan bas tempatan (berhenti henti) itu, ada sebuah syarikat kerajaan negeri (PM Culture and Tour, PMCT) tutut terbabit dengan menawarkan perkhidmatan bas Panorama di sekitar bandar raya Melaka.

Baru-baru ini kerajaan Melaka membeli 10 buah bas baru bagi menggantikan bas sedia ada. Sebuah bas yang ditempah khas dari China itu membabitkan harga RM235,000.

Apabila dikatakan bagi MENGGANTIKAN bas sedia ada, apakah bermakna sejumlah bas termasuk bas dua tingkat berwarna merah yang didatangkan khas dari London sudah dinyahkan. Patutlah sejak setahun ini, penulis tidak pernah lagi melihat bas London ini bergerak di jalan raya Melaka.

Tiga tahun lalu, bas London ini menjadi kebanggaan hampir kebanyakan pemimpin dan rakyat Melaka. Hakikatnya dua bas London ini sudah uzur (buatan 1981) dibeli dengan status bas terpakai daripada London Bus Export dengan harga RM200,000 setiap satu.

Adalah amat malang bagi rakyat Melaka jika wang pembelian dua bas ini sebanyak RM500,000 (termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan seperti pemasangan alat penghawa dingin berharga RM56,000) lebur dalam masa beberapa tahun saja.

Membeli bas buruk adalah kerja sia-sia, tetapi tentunya ada pihak ketawa berdekah-dekah kerana dapat menjual besi buruk dengan harga sebegitu tinggi, demikian juga mungkinkah ada pihak kenyang dengan projek terlalu ke belakang ini (al-maklumlah bas bersejarah tentunya sesuai untuk negeri bersejarah).

Dulu pemimpin amat berbangga dapat membeli bas ini kononnya ia pernah menjelajah tempat-tempat menarik di kota London seperti Istana Buckingham, Tower Bridge, Madamme Tussaud's Museum, Westminster Abbey dan West End, tetapi kini apakah bas tua ini masih mempunyai kudrat menyelusuri Jalan Bandar Hilir bagi melewati tempat-tempat bersejarah seperti A’Famosa, bangunan Stadhuys dan binaan baru seperti Menara Taming Sari? Atau pun bas tua ini sudah sampai masa persaraannya, dibiarkan nazak bersama berkaratnya besi buruknya di sebuah gubuk yang tidak diketahui lokasinya.

Sungguh malang bas tua dua tingkat dari London ini, tetapi lebih malang lagi rakyat Melaka yang pemimpinnya boleh menghabiskan wang RM500,000 begitu saja!
Hal ini tidak menghairankan kerana laporan Ketua Audit Negara 2009 membuktikan terlalu banyak pembaziran membabitkan kerajaan negeri termasuk di Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) sendiri.

Antara JKMM telah membelanjakan sejumlah RM2.47 juta bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009 untuk perolehan 17 buah kenderaan baru. Laporan itu menyatakan keseluruhannya pengurusan kenderaan JKMM adalah tidak memuaskan kerana terdapat kelemahan yang telah mengakibatkan kerugian kepada kerajaan negeri dan pembaziran wang awam.

Demikianlah terlalu banyak berlaku pembaziran dan pemborosan oleh pemimpin negeri. ‘Kehilangan’ bas tua London daripada pandangan mata umum adalah bukti jelas pemimpin pandai bermain silap mata, jadi apakah rakyat mahu terus memilih orang jenis ini (sudah tua pun) sebagai pemimpin mereka pada masa depan?

Oh Harussani..baik letak jawatan masuk UMNO je.



Di antara lain, intipati yang beliau perkatakan tentang DS Anwar adalah;

- DS Anwar seorang pendendam.
- DS Anwar lebih teruk dari Abdullah bin Ubai seorang Munafik di zaman Nabi.
- Beliau mendakwa `menangkap' DS Anwar untuk dikahwinkan.
- Beliau mendakwa DS Anwar ingin `menyerang' Istana sebaik sahaja ABIM ditubuhkan.
- Beliau turut bersetuju bahawa DS Anwar adalah penyokong Islam Liberal (Agama serupa) dan menyebut bahawa jika DS Anwar berkata awal dahulu beliau akan jatuhkan hukum `murtad' kepada DS Anwar

Komentar: Bila aku dengar pak mufti ni cakap, aku tak rasa dia ni macam Mufti..macam AJK Cawangan UMNO je..sedih..sedih..terpulang pada anda menilai.

18 January 2011

Hukum Menjatuhkan dan Menukar Pemerintah

23 tahun Presiden Ben Ali akhirnya tumbang akibat demonstrasi rakyat Tunisia (gambar hiasan)


Di dalam Islam seseorang Imam itu wajib ditaati di sisi mazhab ahlul sunnah wal jamaah dan hal ini jelas berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak di dalam kitab dan sunnah. Mentaati mereka, memenuhi hak-hak mereka merupakan kewajipan yang mesti dipenuhi seperti yang diperintahkan oleh Allah dan rasul. Tetapi terdapat situasi yang agung dan penting yang memberi kesan besar kepada kehidupan umat Islam di dalam urusan dunia dan agama yang menjurus kepada darurat dan membawa kepada keperluan untuk menukar dan menjatuhkan Imam atau pemerintah.

Hal-hal ini ada yang merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama dan ada pula yang menjadi khilaf di kalangan mereka. (lihat Kitab Al-Imamah Al-Uzma oleh Syeikh Dr Abdullah Umar Ad-Domaiji, hal. 468)

Hal-hal yang membolehkan Imam dan Khalifah (pemerintah) umat Islam dijatuhkan dapat diringkaskan oleh penulis kepada perkara berikut :

PERTAMA : KAFIR ATAU MURTAD DARIPADA ISLAM

Telah disebutkan di dalam surah An-Nisa ayat 141 yang bermaksud : "Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman."

Juga apa yang disebutkan oleh hadis Ubadah bin Somit ra berkenaan mencabut ketaatan apabila melihat kufur bawahah yang berlaku kepada pemerintah, hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim.

Maksudnya : “Nabi salallahualaihiwasalam telah memanggil kami, lalu kami berbaiah dengannya. Baginda berkata ketika berbaiah, supaya kami dengar dan taat, samada ketika kami dalam keadaan cergas (senang), atau dalam keadaan benci, keadaan susah atau dalam keadaan mudah, Dan kami dipesan agar tidak menanggalkan urusan kepada ahlinya (mencabut ketaatan kami kepadanya) melainkan setelah kamu melihat kekufuran yang nyata disisi kamu daripada Allah yang menjadi bukti (keterangan).” (Hadis sahih riwayat Bukhari ms. 13 Jilid 8 di dalam Fathul Bari, Muslim dan Tirmidzi)

Khatabi berkata yang dimaksudkan “Bawwahh” itu ialah kekufuran yang jelas yang dizahirkan. (Lihat : Fathul Bari Jilid 13 ms. 8.)

Imam An-Nawawi pula berkata : “Yang dimaksudkan dengan kufur di sini ialah maksiat, makna hadis ini ialah tidak menarik ketaatan di dalam urusan pemerintahan mereka sehingga kamu melihat kemungkaran yang tersangat jelas yang pasti dilakukan oleh mereka daripada kaedah Islam.” (Lihat : Sahih Muslim dengan Syarah oleh Imam Nawawi Jilid 12,ms. 229)

Apakah anda belum melihat kekufuran yang jelas dilakukan oleh pemerintah ? Bagi mereka yang sudah melihatnya boleh sahaja mencabut ketaatan daripada pemerintah dan bagi yang belum maka dia perlu mentaati pemerintah Islam yang ada.

Hendaklah anda melihat pula perkara yang membatalkan Iman dan syahadah itu apakah para pemerintah yang berkuasa ke atas anda ada melakukannya atau
tidak ?

Apakah mereka ada melakukan sesuatu yang boleh membatalkan iman mereka ?

Ini disebabkan ramai ulama buta yang wujud di dalam negara umat Islam sekarang yang memaksa orang awam agar tetap taat kepada pemerintah sedangkan telah jelas kebathilan dan kekufuran pemerintah yang berkuasa apabila menolak Al-Quran, menghina Islam, mencela sosok peribadi rasulullah di dalam ucapan-ucapan mereka, mengadakan perjanjian setia dan cinta terhadap musuh-musuh Allah swt dan terlibat di dalam banyak amalan syirik yang membatalkan Iman dan syahadah mereka.

Tentu anda sudah lupa tentang seorang pemerintah terkenal Arab yang pernah berucap di khalayak dengan mengatakan : “Pada kurun ke 20 ini kita sudah tidak memerlukan Al-Quran untuk mengajarkan kita apa yang perlu dilakukan…”

Bukankah kata-kata seperti ini jelas membawa kepada kekufuran ?

Para ulama tidak mensyaratkan kepada pemerintah untuk mengiklankan atau mengakui bahawa dirinya terkeluar daripada Islam tetapi seperti yang disebut di dalam hadis iaitu mencukupi jika kelihatan atau terzahir daripada perbuatan dirinya.

Imam Al-Kasymiri menyatakan : “Menjadi dalil dari hadis ini juga, harus mengkafirkan ahli kiblat, walaupun mereka tidak keluar dari Kiblat seperti masih lagi solat mengadap Kiblat. Ini adalah kerana boleh jadi mereka melakukan kekufuran dengan tidak iltizam (tidak tetap) dan tidak pula mereka menukar Millah oleh kerana itu sebelum mengkafirkan mereka diperlukan bukti keterangan kerana orang yang keluar dari Millah atau Kiblat tidak perlu lagi bukti keterangan kerana telah jelas benar kekufuran mereka.” (Ikfar Al-Mulhidin dengan ayat penulis ms. 22)

Mari kita lihat jenis pemerintah seterusnya yang dibolehkan mencabut ketaatan daripadanya.

KEDUA : MENINGGALKAN SOLAT DAN SERUAN KEPADANYA

Merupakan pendapat majoriti ulama Islam bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia menjadi kafir di sisi Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Diriwayatkan bahawa telah berkata Qadhi Iyad ra mengenai ijmak ulama' ke atas penguguran Imam di sebabkan meninggalkan solat dan seruan kepadanya. (Lihat : Dalam Syarah Sahih Muslim oleh Nawawi jilid 12,ms. 229)

Sepertimana kekufuran merupakan antara sebab pemerintah wajib dilucutkan daripada pemerintahannya, maka begitu juga wajib menggugurkan pemerintah yang tidak menunaikan solat dan menyeru manusia kepada meninggalkan solat.

Perlucutan atau mengugurkan kepimpinan seseorang pemerintah adalah berpunca daripada tidak menunaikan solat walaupun peninggalan itu berlaku adalah kerana dengan sebab mengingkari kewajipan solat itu lalu dia menjadi kafir atau dia tidak menunaikan solat kerana mengabaikan solat atau dengan sebab malas menunaikan solat dan tidak dia menjadi kafir.

Dalil bagi menguatkan kenyataan ini adalah hadis, daripada Buraidah yang berkata bahawa telah bersabda Nabi s.a.w :
Maksudnya : “Perjanjian di antara kami dan mereka adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkannya, maka dia telah menjadi kafir.” (Hadis sahih riwayat Ahmad, Tirmidzi, Nasaie dan Ibnu Majah)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Auf bin Malik yang berkata, telah bersabda baginda Nabi salallahualaihiwasalam :
Maksudnya : “Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Berkata (Auf), kami bertanya : Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang ? Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Sahih Muslim no.1482 Jilid 3)

Dari hadis ini difahami, sekiranya pemerintah meninggalkan solat, maka mereka boleh dijatuhkan dan diperangi kerana telah mengabaikan perjanjian Islam
Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ummu salamah ra yang diriwayatkan berkata :
Maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan diperintah oleh pemerintah yang kamu mengenali mereka, tetapi kamu akan mengingkari mereka. Barangsiapa yang membenci, maka dia bebas. Barangsiapa yang engkar maka dia selamat melainkan orang yang redha dan mengikuti mereka. Maka berkatalah sahabat : Wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka ? Lalu dijawab oleh baginda dengan berkata : “Tidak boleh, selama mereka masih menunaikan solat.” (Hadis sahih riwayat Muslim)

Dijelaskan di dalam banyak kitab-kitab Aqidah terdahulu yang belum dicemari oleh kesesatan pemikiran manusia bahawa Iman itu adalah wajib dengan amal. Menunaikan tuntutan keimanan dan membuktikan keIslaman melalui hati, lisan dan perbuatan adalah kewajipan setiap Muslim termasuk para pemerintah.

Sewajarnya umat Islam menyedari bahawa kewajipan menegakkan tauhid dan memerangi syirik ialah tanggungjawab setiap yang bersyahadah kepada Allah. Malangnya kerana syirik pada hari ini datang bukan dalam bentuk berhala tetapi lebih tersusun seperti idea, material dan habuan dunia.


KETIGA : MENINGGALKAN BERHUKUM DENGAN APA YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH SWT


Para pemerintah juga dijatuhkan apabila mereka terbukti tidak melaksanakan hukum Allah swt sedangkan mereka mampu dan berpeluang untuk melaksanakannya tetapi tidak melakukannya kerana keengganan dan ketidak yakinan mereka kepada hukum Allah swt atau disebabkan engkar.

Kita boleh mendapati hal ini dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang meriwayatkan daripada Yahya bin Al-Husain, daripada neneknya, Umm Husain yang berkata :
Maksudnya : “Aku pernah dengar Rasulullah bersabda sekiranya kamu diperintah oleh hamba habsyi yang luas lubang hidungnya sekalipun, maka hendaklah kamu dengar dan taat terhadapnya selama dia melaksanakan kitabullah.” (Hadis sahih riwayat Bukhari)

Bekas Ketua Jabatan Aqidah Universiti Ummul Qura Mekah, Dr Abdullah Umar Sulaiman Ad-Domaiji pengarang Kitab Al-Imamah Al-Uzma Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah menyebut dengan jelas bahawa hadis ini menjadi dalil bahawa syarat mendengar dan mentaati pemerintah adalah terikat kepada ketaatan mereka terhadap Kitab Allah swt.

Apabila pemerintah tidak berhukum dengan hukum Allah maka tiada ketaatan kepadanya dan menjadi hujah dan alasan yang dibolehkan untuk menjatuhkannya kerana kegagalannya untuk melaksanakan hukum Allah tersebut ini disebabkan menjadi kewajipan Imam untuk berhukum dengan hukum Allah dan hak ke atasnya adalah terpenuhi selama dia memenuhi hak melaksanakan hukum Allah.

Manakala hukum ke atas dirinya sendiri pula, adalah persoalan lain dan boleh jadi jatuh ke atasnya hukum sebagai fasiq, zalim atau kafir tertakluk kepada perbuatannya. Kemudian pengarang kitab Al-Imamah Al-Uzma menyebutkan bahawa sekiranya pemerintah itu menjadi kafir kerana tidak menghukum dengan hukum Allah maka menjatuhkannya adalah menjadi wajib sekalipun perlu dengan peperangan. (Lihat : Al-Imamah Al-Uzma ms. 473)

Adapun perkara yang seterusnya menjadi khilaf kepada sebahagian ulama di antara yang berpendapat perlu menjatuhkan pemerintah secara mutlak dan ada yang mengatakan tidak menjatuhkannya.


KEEMPAT : MENJADI FASIQ, ZALIM DAN PERLAKU BID'AH


Qadhi Iyad ra berkata bahawa ; " Jumhur ahlul sunnah daripada fuqaha dan muhaddisin serta mutakalimin berpendapat tidak boleh menjatuhkan Imam yang fasiq dan zalim serta haram keluar daripada ketaatan kepadanya…" (Lihat Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi)

Sekalipun begitu semua ulama bersepakat bahawa tidak boleh mengangkat pemerintah yang zalim dan fasiq sebagai pemimpin.

Imam Al-Qurtubi telah menyebut :
Maksudnya : “Tiada khilaf dikalangan ulama bahawa sesungguhnya tidak harus diserahkan kepimpinan kepada orang yang fasiq.” (Jami Ahkam Al-Quran Jilid 1 ms. 270)

Walaubagaimanapun, ulama berselisih pendapat tentang kefasikan yang dilakukan oleh pemerintah setelah dia memerintah, sedangkan pada awal perlantikan, dia tidak fasiq atau zalim.

Perkara ini terbahagi kepada dua pendapat :

Pendapat pertama :

TIDAK BOLEH DIJATUHKAN PEMERINTAH ITU SECARA MUTLAK

Mereka adalah jumhur ulama ahlul sunnah wal jamaah antaranya Qadhi Iyad dan sebilangan besar dari Fuqaha’ dan Muhaddisin (ulama hadis). Walaubagaimanpun, mereka mewajibkan memberi nasihat dan peringatan kepada pemerintah yang melakukan amalan fasiq. (Lihat : Syarh An-nawawi ‘Ala Sahih Muslim Jilid 12, ms. 229)

Di dalam hal ini para ulama telah pun menjelaskan bahawa adalah menjadi mazhab para sahabat nabi seperti Saad bin Abi Waqqas, Usamah bin Zaid, Ibnu Umar, Muhammad bin Maslamah serta Abu Bakrah radiallahu ta’ala anhum ajmainn untuk tidak menderhaka kepada pemerintah yang zalim atau menjatuhkan mereka selama mereka masih belum kafir atau tidak menunaikan solat dan selama masih berhukum dengan hukum Allah swt. Inilah juga pendapat Imam Hasan al-Basri serta Imam Ahmad dan sekalian ulama ahlul sunnah wal jamaah. (Lihat Al-Bidayah wan Nihayah oleh Ibnu Katsir Jilid 9 ms.135)

Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah ra menyebut : “ Inilah pendapat ahlul hadis iaitu menolak untuk keluar daripada ketaatan atau menentang raja yang derhaka dan bersabar ke atas kezaliman mereka sehingga diberi kelapangan daripada kejahatan mereka.” (Lihat Majmuk Fatawa, Jilid 4, ms. 444)

Mereka berpendapat dan berpegang kepada hadis-hadis yang melarang daripada menyebarkan fitnah dan perpecahan umat serta menyuruh supaya menetap diri di dalam jamaah dan tidak memulakan usaha pertumpahan darah.

Sesungguhnya Saad bin Abi Waqas ra berkata ketika berlakunya fitnah pembunuhan Khalifah Usman bin Affan ra : Aku bersaksi bahawa rasulullah pernah bersabda : "Sesungguhnya akan berlaku fitnah (pada umat ini) dan mereka yang duduk adalah lebih baik daripada berdiri dan golongan yang berdiri ialah lebih baik daripada mereka yang berjalan dan mereka yang berjalan ialah lebih baik daripada golongan yang berlari" Lalu ditanyakan kepada baginda apakah pesananmu jika datang seorang masuk ke rumahku dan mengacungkan tangannya untuk membunuh aku ?Lalu baginda menjawab : " Jadilah seperti anak Adam (iaitu Habil yang dibunuh tanpa membalas)" dan hadis seperti ini juga dikeluarkan dari riwayat Abu Hurairah, Khabab bin Arat , Abi Bakrah dan Ibnu Mas'ud dan lain-lain sahabat. (Hadis sahih riwayat Tirmidzi no. 2194 dan lain-lain).

Dimaksudkan dengan tidak membalas ialah supaya tidak menambahkan lagi penyebaran fitnah dan juga dimaksudkan duduk lebih baik dari berdiri ialah menjauhi kekacauan dan kerosakan yang berlaku.


Pendapat Kedua :

DIBOLEHKAN UNTUK MENJATUHKAN PEMERINTAH YANG FASIQ DAN ZALIM

Ianya dipegang oleh Imam Al-Qurtubi, pendapat Imam As-Syafie di dalam Qaul Qadimnya dan pendapat sesetengah ulama Syafie’iyah dan termasuk pendapat yang yang masyhur daripada Imam Abu Hanifah. (Lihat Ma’sar Al-Inafah, Jilid 1 ms.72)

Imam Al-Qurtubi menyatakan : “Pemerintah yang dilantik kemudian menjadi fasiq setelah perlantikan. Berkata jumhur, sesungguhnya terfasakh dan tercabut kepimpinannya dengan sebab fasiq yang zahir dan dimaklumi. Ini adalah kerana, sesungguhnya telah sabit bahawa kepimpinan adalah dilantik untuk melaksanakan hudud, menyempurnakan hak-hak, menjaga harta anak yatim..sehingga akan rosak maksud kepimpinan itu melalui kefasiqkan yang ada pada dirinya. (Lihat : Jami Ahkam Al-Quran Jilid 1 ms. 271)

Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Muktazilah dan khawarij. (Lihat di dalam Al-Farq Bainal Firaq ms. 73)

Mazhab Asya’irah dan Zaidiyah juga turut berpendapat bahawa Imam yang zalim boleh dijatuhkan. (Lihat : Maqalat Al-Islamiyyin, ms. 151-166)

Pendapat ini agak syadid dan ketat namun sekalipun demikian, ada ramai para sahabat nabi seperti Ali bin Abi thalib ra, Ummul Mukminin Aisyah, Tolhah dan Zubair serta sejumlah sahabat baginda nabi yang lain seperti Muawiyah, Amru dan Nu’man bin Basyir juga termasuk sahabat seperti Abdullah bin Zubair, Muhammad bin Hasan bahawa mereka berpendapat : “ Menghayunkan pedang untuk menegakkan kewajipan Amar makruf nahi mungkar itu adalah wajib sekiranya kemungkaran itu tidak dapat dicegah melainkan dengannya.” (Al-Fasl fi Milal wa Ahwa An-Nihal, Jilid 4, ms. 171)

Al-Imam Ibnu Hazm juga menyebutkan lagi bahawa tetap digunakan pedang sekalipun kemungkaran dan maksiat itu tidak mencapai tahap kekufuran. Bahkan wujud riwayat yang banyak yang menunjukkan ramai sahabat dan tabien yang keluar daripada Imam dan menghayunkan pedang untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran dan ada pula yang menyokong serta menolak untuk keluar dari Imam dan menetap di dalam ketaatan.

Misalnya di dalam sejarah juga telah menunjukkan wujud di kalangan sahabat dan tabien yang membantu Abdullah bin Ibnu Zubair ra di dalam menentang Bani Umaiyah. (Lihat : Al-Bidayah Wan Nihayah, ms. 238)

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Bakar As-Siddiq ra berkenaan ayat Al-Quran : yang Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu; Tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, Maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Al-Maidah : 105)

Ketika mana beliau (Abu Bakar) berdiri memberikan khutbah maka dia memuji Allah dan kemudian berkata : “Wahai manusia kamu semua membaca ayat ini tetapi kamu meletakkan ayat ini di tempat yang bukan pada tempatnya. Sesungguhnya aku mendengar rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “ Sesungguhnya manusia apabila melihat kemungkaran tetapi tidak mengubahnya maka dikhuatiri Allah akan menimpakan ke atas mereka azabnya.” Dan di dalam riwayat yang lain menyebut : “Sesungguhnya manusia apabila melihat kezaliman dan tidak melakukan apa-apa usaha dengan tangannya maka dikhuatiri akan ditimpakan oleh Allah dengan azab daripadanya.” ( Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnadnya dan Isnadnya sahih menurut Syeikh Ahmad Syakir, diriwayatkan oleh Tirmidzi , Abu Daud, Ibnu Majah dan Nasaie dengan sanad yang sahih)

MENGAMBIL JALAN PERTENGAHAN DI ANTARA DUA PENDAPAT

Saya mendapati langkah yang terbaik ialah :

1) Menetap diri pada dalil umum yang asal

Hendaklah umat Islam mentaati pemerintah yang melaksanakan hukum Allah swt dan menjalankan kewajipan agama yang dasar sekalipun dianya tetap seorang yang fasiq atau ahli maksiat selama maksiat dan kejahatannya itu tidak membahayakan urusan umat Islam.

2) Berpindah ke dalil yang lebih khusus apabila wujud hujah dan berlaku sesuatu yang mengubah dalil umum

Pemerintah yang zalim haruslah ditegur dan diberikan nasihat berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Amru yang berkata aku telah mendengar rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “ Jika kamu melihat umatku tidak berani mengatakan kepada perlaku zalim itu dengan berkata : “Sesungguhnya engkau zalim maka hendaklah kamu mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir pada hadis no. 6521)

Menegur pemerintah disebut di dalam kitab-kitab feqah dengan wujud pelbagai cara dan wasilah yang sesuai tanpa mengikat hanya dengan satu cara sebaliknya dilihat kepada status kejahatan dan situasi semasa.

3) Tidak bersubahat dengan pemerintah yang zalim dan tidak melaksanakan hukum Allah dan berusaha memerangi atau menjatuhkannya jika terdapat jalan atau kemampuan.

Apabila pemerintah enggan mengikut kitab Allah dan sunnah rasulullah setelah dinasihati dan ditegur secara baik dan berhikmah maka hendaklah dia dijatuhkan dengan kekerasan atau cara yang paling kurang mudharatnya kepada umat Islam berdasarkan dalil-dalil yang banyak untuk menjatuhkan khalifah dan pemimpin.

MELIHAT PEGANGAN SALAF DI DALAM PERGADUHAN POLITIK

Para sahabat terbahagi kepada tiga bahagian dan masing-masing di antara mereka melakukan apa yang dipercayai benar berdasarkan keilmuan dan hujah yang dimiliki oleh pihak masing-masing.


GOLONGAN PERTAMA : PIHAK YANG MENYOKONG ALI BIN ABI THALIB

GOLONGAN KEDUA : PIHAK YANG MENYOKONG MUAWIYAH BIN ABI SUFYAN

GOLONGAN KETIGA : PIHAK YANG BERDIAM DIRI DAN TIDAK MENYOKONG MANA-MANA PIHAK DAN JUMLAH MEREKA ADALAH SEDIKIT.

Para ulama seperti al-Imam Bukhari menyebutkan bahawa Tolhah, Zubair dan Aisyah telah berbaiah kepada Ali bin Abi thalib sebagai pemimpin mereka tetapi kemudian mereka keluar dari ketaatan kepada Ali dan menuntut kebenaran dari Ali bin Abi Thalib terhadap pembunuhan Ustman.

Mereka memerangi Ali bin Abi Thalib sekalipun beliau tidaklah kafir atau menjadi murtad namun ramai para sahabat yang bangkit dan berusaha menjatuhkan beliau kerana memiliki hujah dan pendapat mereka yang merasakan mereka berhak untuk menjatuhkan pemerintah.

Tidak perlu Imam atau Khalifah menjadi Kafir baru dia dapat dijatuhkan tetapi cukup untuk melihat kepada keperluan dan maslahat ummah.

Ini jelas daripada hujah Ali bin Abi Tholib ra yang berkata : “ Telah berbaiah Tolhah dan Zubair kepadaku di Madinah dan aku menjadi khalifah di Basrah, sekiranya ada lelaki yang membaiah Abu Bakar sekalipun nescaya kami akan membunuhnya dan begitu juga jika Umar.” (Dikeluarkan oleh Ishaq bin Rawaihah daripada Salim di dalam Fathul Bari Jilid 13 ms. 53 dan di dalam Tarikh Al-Islam oleh Az-zahabi Jilid 3, ms. 391)

Setiap riwayat hadis dan sejarah menunjukkan bahawa para ulama dan sahabat nabi tidaklah menantikan pemerintah menjadi kafir dahulu baru boleh menjatuhkannya sebaliknya setiap zaman Islam menyaksikan penggulingan dinasti dan kepimpinan negara dilakukan apabila mereka mendapati berlaku penyelewengan dan kezaliman dan tidak hanya menanti pemerintah menjadi kafir sahaja baru boleh dijatuhkan. (Lihat Al-Imamah Al-Uzma Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah ms. 530)

Hujah bahawa kita mesti berdiam diri dan tidak mencampuri pergaduhan politik atau fitnah ialah hujah sebahagian sahabat nabi dan bukanlah kewajipan agama untuk memilih pendapat ini setelah kita memiliki dua syarat iaitu :

1) Ilmu (mengetahui hukum Allah dan layak membuat penilaian)

2) Kebenaran diyakini berada dipihaknya setelah memiliki hujah atau informasi dan bukti yang kukuh (menyakini kebenaran berada di pihak kita dan bertanggungjawab untuk menegakkannya kerana kita kelak akan dipersoalkan)

Para sahabat seperti Muawiyah, Nu’man bin Basyir dan Mughirah bin Syu’bah ra semuanya keluar daripada Khalifah Ali bin Abi thalib kerana menyakini mereka di pihak yang benar dengan ilmu dan pengetahuan mereka.

Para sahabat mengajar kita supaya memperjuangkan apa yang diyakini benar setelah mencapai tahap dan memenuhi syarat yang kukuh terhadap pengetahuan kitab Allah dan as-sunnah rasul-Nya dan memperjuangkan kebenaran sehingga tertegak tanpa berdiam diri atau duduk sahaja menanti perubahan tanpa usaha. Sikap mereka sekalipun dianggap salah oleh sebahagian ulama namun diperkirakan sebagai Mujtahid yang tersilap dan dimaafkan serta disebut oleh para ulama kedua-dua pihak yang membunuh dan dibunuh berada di dalam syurga.

Usamah bin Zaid berkata kepada Ali melalui utusannya : “Sekiranya engkau berada di dalam lubang singa sekalipun nescaya aku suka untuk bersama kamu kecuali di dalam urusan ini (merujuk kepada peperangan di antara sahabat).” (Hadis sahih bukhari di dalam bab fitan)

PUNCA SIKAP BERDIAM DIRI MUNCUL DI KALANGAN SAHABAT

Para ulama menyebutkan para sahabat berdiam diri dan tidak menyertai mana-mana pertelingkahan politik dan urusan siyasah kerana tidak mengetahui di sudut ilmu dan juga tidak memiliki hujah untuk menyebelahi mana-mana pihak.

Ini terbukti berdasarkan dalil daripada Abdullah bin Umar yang ditanya : “Siapakah golongan yang menderhaka ? “ Lalu dijawab : “Kalaulah sekiranya aku mengetahuinya maka tidaklah ada sesiapapun yang akan mendahului aku baik kamu atau selain kamu melainkan aku sudah dahulu menentang mereka.” (Al-Fasl fi al-milal wa-al-ahwa, Jilid 4 ms. 171)

Juga ada riwayat yang menunjukkan sebahagian para sahabat yang seperti Saad dan Muhammad bin Maslamah ra yang berdiam diri turut menyesal kerana tidak terlibat di dalam peperangan menentang pemberontak selepas mendapati pembunuhan Ammar bin Yasir (disebabkan nabi pernah meramalkan yang Ammar akan dibunuh oleh penderhaka).

Maka kalau dilihat di dalam kitab Al-Qawasim Minnal Awasim, para sahabat yang mengambil sikap berdiam diri ini ialah mereka yang muda atau mereka yang tidak terlibat dengan kepimpinan dan kurang memiliki maklumat dan informasi berkaitan situasi semasa sehingga tidak dapat membuat penilaian saksama siapakah pihak yang benar lalu menyebabkan mereka berdiam diri.

Adapun sahabat yang besar dan tokoh-tokoh masyarakat yang padanya tanggungjawab dan beban ummat mereka tampil membela kebenaran dan memperjuangkan apa yang diyakini benar kerana memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang diperintahkan oleh Al-Quran dan As-sunnah.

Pengajaran yang baik untuk kita ialah hendaklah kita bertindak dan beramal berasaskan hujah dan bukan hanya kepada ikutan buta kerana sekiranya kita tidak mempunyai hujah dan pengetahuan atau kemampuan maka sikap sahabat iaitu berdiam diri adalah lebih baik dicontohi oleh kita.

Adapun jika kita memiliki pengetahuan dan ilmu serta mampu membuat penilaian yang saksama mengenai siapakah pihak yang benar maka memperjuangkan apa yang diyakini benar itu ialah suatu kewajipan dan tanggungjawab yang akan dipersoalkan.

Inilah yang disebut oleh Ibnu Umar yang diriwayatkan berkata : “Tidaklah ada perkara yang aku sesali melainkan memerangi pihak yang memberontak bersama dengan Ali bin Abi thalib.” (Lihat : Siyar Alam nubala Jilid 3. ms.232)

Begitu juga perkataan Saad : “ Aku menyesal meninggalkan pertempuran memerangi golongan yang menderhaka.” (Jami Ahkam Al-Qurtubi Jilid 16 ms. 319)


KESIMPULAN UNTUK KITA

Kesimpulan ringkas daripada saya ialah hendaklah kita membuka mata dan tidaklah menjadi seperti pemuda dan pemudi yang menyesatkan agama melalui kejahilan dan kecetekkan ilmu agama dan sikap ta’asub kepada pendapat masing-masing.

Al-Imam Abu Hanifah ra misalnya berpendapat bahawa boleh keluar menjatuhkan pemerintah yang zalim dan fasiq di dalam usaha amar makruf nahi mungkar demikian yang diriwayatkan melalui Abi Bakar bin Jasos yang menyebutkan bahawa mazhab Abu Hanifah terkenal dengan pendapat yang membolehkan memerangi pemerintah yang zalim dan sesat dan ini diakui oleh Al-Imam Auzaie dan juga Abu Ishaq Al-Fazari. (Lihat Ahkam Al-Quran lil Jasos Jilid 1, ms. 70)

Al-Imam Malik ra juga terkenal dengan kelantangannya menegur pemerintah sehingga beliau pernah disebat kerana fatwanya tetapi Imam telah menyuruh manusia berbaiah kepada pemerintah namun di dalam beberapa hal Imam Malik juga tetap mensyaratkan bahawa hendaklah diberikan bai’ah kepada pemimpin yang adil. (Lihat Ahkam Al-Quran Li Ibnul Arabi Jilid 4 ms. 1721)

Al-Imam Syafie disebut di dalam Aqidah An-Nasafiyah halaman 145 yang dinisbahkan oleh Az-Zabidi daripada sahabatnya bahawa Imam Syafie berpendapat bolehnya keluar daripada Imam yang zalim dan fasiq daripada pendapatnya yang qadim.

Kecuali Imam Ahmad ra yang banyak riwayat berkenaan hal ini yang berbeza-beza namun yang paling tepat ialah beliau berpendapat tidak boleh keluar melawan pemerintah yang fasiq dan zalim berdasarkan riwayat ibnu Abi Ya’la di dalam tabaqat hanabilah. (Lihat : Tabaqat Hanabilah Jilid 1, ms. 24) Demikian juga yang disebutkan oleh Imam Ibnu Qudamah di dalam kitabnya.

Walau apapun, marilah kita renungi...

Para salaf sendiri berselisih di dalam hal ini dan sangat singkat akal mereka dan cetek ilmu mereka yang mendakwa pendapat salaf ialah mentaati pemerintah secara membuta tuli dan memaksa rakyat dan orang awam untuk tunduk kepada penguasa yang zalim, taghut dan ada sebahagiannya sudah jatuh ke tahap kufur dan syirik apabila secara terang-terangan menghina ayat-ayat Allah dan menolak kitab dan sunnah kerana beralasan ketinggalan zaman dan hanya mahu Islam yang berbentuk tafsiran akal semata-mata.

Marilah kita melengkapkan diri kita dengan ilmu dan hujah serta mencari jalan untuk mengabdikan diri kepada Allah swt dengan segala usaha dan upaya meninggikan kalimah Allah swt dan memenuhi tuntutan tauhid kepada-Nya.

Akhir kata, menurut Imam Ibnu Hazm ra setiap hadis yang mengajak kepada mentaati pemerintah yang zalim dan bersabar ke atas mereka serta tidak memerangi mereka telah di mansuhkan oleh ayat Al-quran dan hadis yang berkaitan Amar Makruf dan Nahi Mungkar dan anda boleh melihatnya di dalam Kitab Al-Fasl fi al-milal wa-al-ahwa Jilid 4, ms 173.

Aku mengatakan kepada diriku bahawa aku telah menyampaikan sebahagian besar penulisan ini daripada kitab utama yang dirujuk oleh diriku iaitu kitab Al-Imamah Al-Uzma Indal Ahlul Sunnah Wal Jamaah tulisan guruku Syeikh Dr Abdullah Umar Ad-domaiji, bekas Dekan Jabatan Aqidah Universiti Ummul Qura, Mekah yang padaku kitab terbaik di dalam membahaskan persoalan siyasah syar’iyah di masa kini, beserta tulisan Prof. Dr Yusof Al-Qaradhawi di dalam bukunya Siyasah Syar’iyah seorang ulama yang gigih berdakwah dengan ilmu dan hujah.

Wallahu'alam . Sumber: Ustaz.Emran