10 January 2012

Syarikat Bas Henti-henti Melaka 'Gulung Tikar', Biar Rakyat Naik Beca pula


Kerajaan Negeri Melaka di bawah pemerintahan Barisan Nasional sekali lagi gagal membantu meningkatkan mutu perkhidmatan awam apabila terbaru, sebanyak 10 syarikat bas henti-henti di negeri ini di jangka akan menamatkan perkhidmatannya pada 1 Februari ini.

Keputusan menamatkan perkhidmatan bas henti-henti ini di buat di sebabkan kerugian yang tinggi terpaksa di tanggung oleh syarikat bas setiap hari. Kerugian terpaksa di tanggung akibat kos operasi harian yang hampir mencecah RM600 termasuk penyelengaraan kenderaan sedangkan kutipan tiket hanya sekitar RM200 sehari.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Melaka, Razali Endun yang di petik di akhbar Kosmo 9 Januari lepas berkata sebanyak 120 buah bas terpaksa dihentikan perkhidmatannya akibat kos operasi yang tinggi menyebabkan syarikat tersebut menanggung hutang yang bertambah hari demi hari.

Beliau juga berkata sebelum ini Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengambil alih perkhidmatan bas henti-henti sepenuhnya dan membayar ganti rugi kepada syarikat bas yang mengalami kerugian malangya sehingga kini tiada pampasan yang di terima dari kerajaan negeri.

Atas sebab itu Dewan Pemuda PAS Melaka mendesak agar Kerajaan negeri serius menangani masalah perkhidmatan awam ini khususnya perkhidmatan bas henti-henti memandangkan hampir 30,000 orang penduduk negeri Melaka masih menggunakan perkhidmatan bas henti-henti ini.

Perkhidmatan bas henti-henti di Melaka telah beroperasi berpuluh-puluh tahun lalu di mana kebanyakan penduduk negeri ini menjadikan perkhidmatan awam ini antara pilihan utama termasuk para pelejar yang menggunakannya untuk ke sekolah, ianya di lihat lebih mudah dan murah. Ketika itu juga agak banyak syarikat bas beroperasi seperti Tuan Omnibus, Wira, Patt-Hup, SkaCity dan lain-lain, ia sangat berbeza berbanding sekarang.

Menghairankan, bagaimana Kerajaan negeri boleh berhabis duit untuk membeli 10 buah bas Panorama bernilai RM2 juta untuk tujuan pelancongan dan melalui hanya beberapa destinasi tetapi bas untuk kegunaan penduduk negeri sendiri ibarat hidup segan mati tak mahu di mana keadaan bas henti-henti sangat dhaif dan kebanyakannya bas lama. Hari ini perkhidmatan bas henti-henti ini hanya melalui beberapa kawasan sahaja, ada taman-taman dan kampung tidak di lalui.

Sebelum ini kerajaan negeri di katakan telah menubuhkan Tabung Pengangkutan Awam (TPA) bagi tujuan meminjam RM36juta dari kerajaan pusat sebagai peruntukan menambah baik pengangkutan awam. Di mana dengan peruntukan tersebut sebanyak 206 buah bas lama dapat di ganti dengan bas yang baru. Tetapi sehingga hari ini mutu pengangkutan awam masih sama dan bas yang di gunakan juga bas lama.

Sudahlah monorel bernilai RM15juta masih lagi rosak, kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam pula hanya 3 kali penerbangan dalam seminggu, kini perkhidmatan bas awam pula bakal menamatkan operasi. Peliknya kerajaan negeri masih mampu membeli 'kenderaan' kapal selam bernilai RM7 juta untuk bahan pameran sedangkan hutang negeri sahaja telah mencecah RM800 juta. Yang menjadi mangsa adalah rakyat sendiri.

No comments: