05 October 2008

Islam dasar pengabungan PAS, dasar BN apa pula?

Kata-kata yang disuarakan oleh Presiden MIC yang berbunyi, "Cadangan menggabungkan semua parti yang bersifat perkauman ini sesuatu yang sukar dilaksanakan." (Berita Harian 30 September 2008).

Benar sangatlah kata-kata ini. Sampai bila pun cita-cita penggabungan, permuafakatan dan penyatuan akan menjadi kata-kata jinak buat pameran semata-mata. Bertolak dari sentimen perkauman yang taksubkan bangsa; Umno dengan ke-Melayuannya, MCA dengan ke-Cinaannya dan MIC dengan ke-Indiaannya, maka seruan konsep permuafakatan dan tolak ansur BN tidak membawa erti apa-apa.

Begitu juga dengan kata-kata Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim dan harapan seorang lagi Naib Presiden MCA, Dato' Ong Tee Keat di hari yang sama dalam akhbar yang sama.
Masing-masing menganggapkan ia idea yang baik tetapi apakah sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dan dibajai oleh masing-masing parti komponen parti dalam BN boleh menumbuhkan sikap yang berkompromi dalam semangat persaudaraan yang murni dan tinggi?

PAS meletakkan titik persaudaraan tanpa mengira perbezaan bangsa dan suku kaum.
Teras bicara kita ialah kita semua daripada keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa.
Semua orang adalah sama melainkan perbezaan maqam dan nilai mulia atau hinanya seseorang itu terletaklah diatas ukuran taqwa. Dengan menggunakan "parameters" ini, PAS mempunyai seluruh potensi dan kekuatan yang ada untuk bertindak sebagai parti penyatuan rakyat.

Di atas pentas Islam inilah juga PAS sedang diterima dengan baik sebagai pilihan kepada Umno/BN. Jika mahu dilihat masih relevan, inilah saat yang memerlukan Melayu dalam Umno datang dan memasuki PAS. Dalam "mood" penggabungan yang sedang ghairah diterima oleh pemimpin komponen di dalam BN, tentu sekali langkah untuk memartabatkan ketuanan Islam adalah suatu yang amat menepati masa.

Pemimpin Umno perlu ingat bahawa bila Umno kekal dengan ketuanan Melayunya, pemimpin MCA pun boleh bercakap tentang ketuanan Cinanya. Begitulah juga dengan MIC dan Gerakan dengan khayalan ketuanan masing-masing.

Dalam keadaan begini, perkataan penggabungan dan permuafakatan ke arah Integrasi Nasional hanyalah gimik dan fatamorgana. Ia retorik dan sapuan gincu yang tidak mempunyai nilai apa-apa. Sepatutnya inilah saat Umno meninggalkan ketuanan Melayu. Tidak sudah dengan terus berpegang kepada faham kebangsaan lapuk kerana ia hanya menganjurkan perkauman.

Di akhirat nanti, tiada harga berupa pahala untuk dinikmati oleh mana-mana pejuang bangsa. Di sinilah Islam meletakkan hujah bahawa ia agama penyatuan. Ia agama yang tidak mementingkan bangsa dan semangat kebangsaan. Bahkan ia suatu agama yang menerima prinsip kewarganegaraan berasaskan semangat keantarabangsaan. Ia agama sejagat yang menyatukan anugerah bangsa yang berbeza-beza dan bukan memecah belahkan orang diatas jalur-jalur kebangsaan.

Menjadi umat Islam ialah menjadi hamba Allah yang menjadi hamba kepada "tuan punya" kepada langit dan bumi ini terlebih dahulu. Lantaran itu Islam sangat mementingkan hujah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

"Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. (Surah Saba' : Ayat 24).

Di sini, roh kebenaran Islam cukup jelas iaitu setiap sesuatu itu wajib disandarkan kepada fakta dan hujah. Jika Umno mempunyai hujah untuk mempertahankan kebangsaan Melayu sebagai asas penyatuan, maka mereka bolehlah mengemukakan segala fakta dan segala alasan.
Akan tetapi, setakat yang dapat disaksikan, perjuangan Umno yang hujahnya kebanyakannya dibina di hujung keris dan tombak Melayu itu tidak memberi bekas dan membawa faedah kepada sejarah dan masa depan bangsa dan negara. Tiada signifikan apa-apa. Apa yang jelas dapat disaksi rakyat hanyalah perpecahan, disintegrasi, korupsi, curiga, dengki, benci dan dendam. Cinta,rindu dan simpati antara kaum semakin tandus dari takung kalbu kehidupan.

Sudah sepanjang 50 tahun sikap curiga antara kaum semakin tajam. Jika sedikit masa dahulu masyarakat Cina pernah melahirkan Dato' Lee Kim Sai, kini Umno pula melahirkan Dato' Ahmad bin Ismail. Ini menunjukkan jalan ke hadapan untuk Malaysia cukup buntu selagi Umno tidak berubah. Maksud saya di sini ialah Umno perlu berubah dan kembali kepada Islam. Bukan PAS lagi yang masuk Umno tetapi Umno yang mencari dan memasuki PAS.

Bermukabalah ke arah kembali kepada Islam - hanya inilah penyelesaian yang ada di hadapan kita. Jika tidak, Umno cuma mahu mengelirukan keadaan. Umno hanya mementingkan survival dengan memainkan sentimen perkauman yang sensitif ini demi menyelamat dan menyambung kelangsungan hayat pemimpin mereka. Begitulah terkini dan trend Umno selama-lamanya.

HarakahDaily.Net

2 comments:

Unknown said...

Feel good......

Anonymous said...

sape la minah ni...xp asal2 je feel good..