03 October 2011

Hudud: Sister in Islam terlalu jahil.



Kenyataan Zainah Anwar selaku pengasas Sister in Islam (SIS) mengenai hudud pada 2 Oktober di akhbar The Star jelas menunjukkan kejahilan beliau dalam memahami Hudud. (sini)

Kenyataan Zainah di dalam akhbar berkaitan Hudud dengan menggambarkan Hudud sebagai undang-undang yang brutal dan tidak adil adalah suatu penghinaan terhadap hukum Allah. Sedangkan sebagai seorang Islam, kewajipan untuk mempercayai sesuatu perkara yang datang dari Allah adalah 100%. Keraguan terhadap sesuatu yang datang dari Allah mengundang kekufuran apatah lagi menghinanya.

Isu Hudud yang hangat di bangkitkan akhir-akhir ini mengundang pelbagai tafsiran. Ianya bukan sekadar menjadi bahan politik bahkan juga di ambil kesempatan oleh beberapa golongan untuk menyuntik fahaman liberal seperti SIS ini. Ini suatu yang membimbangkan di saat umat Islam hari ini agak lemah kerana di sibukkan dengan perkara yang melalaikan seperti budaya hedonisme.

Hari ini Hudud di gambarkan dengan begitu hodoh. Gambaran seolah-olah hudud ini adalah semata-mata suatu bentuk hukuman dengan melihat secara lahiriah semata-mata. Sedangkan Allah sendiri berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 39;

“Dan pencuri lelaki serta pencuri perempuan hendaklah dipotong tangan-tangan mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka lakukan, (dan hukuman itu bertindak sebagai) CEGAHAN dari Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Bijaksana”

Ianya adalah CEGAHAN bukan hukuman semata-mata. Mereka yang menganggap Hudud itu hukuman yang kejam, hakikatnya mereka lebih mengambil berat tentang nasib penjenayah itu daripada memikirkan nasib orang yang menjadi mangsa penjenayah itu sendiri. Sedangkan, sepatutnya orang yang tidak mempunyai sifat belas kasihan, seperti penjenayah tidak patut diberi belas kasihan. Ianya untuk mereka yang masih hidup, dan untuk menghidupkan hati mereka yang hidup agar tidak melakukan kejahatan atau jenayah.


"Dan dalam Qisas itu ada jaminan KEHIDUPAN bagimu, bagi orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 179).


Zainah selaku pengasas SIS tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan dengan merujuk akal fikiran semata-mata. Rujuklah alim-ulama sebelum menyatakan pandangan sesuai dengan nama 'Islam' pada nama pertubuhan itu. Kelemahan dalam memberi hujah berdasarkan nas hanya akan mengelirukan lagi umat. Bahkan menyesatkan diri sendiri dan orang lain.

Hairan mengapa sehingga hari tiada tindakan yang di buat pada SIS sedangkan terlalu banyak pencangahan dan fahaman yang di bawa oleh pertubuhan 'Islam' ini sejak dahulu lagi. Jabatan agama perlu lebih sensitif, jangan kerana ada 'orang besar' dalam SIS membuatkan Jabatan Agama yang berautoriti ini menjadi 'tikus'. Ia sangat merugikan pada umat Islam.

Wallahualam.

No comments: