03 July 2011

Ali Rustam Tidak Wajar Desak Lucut Kerakyatan Ambiga


Kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam yang mahukan kerajaan persekutuan melucutkan kewarganegaraan Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga adalah suatu yang tidak wajar.

Kenyataan beliau di dalam akbar Utusan Malaysia 2 Julai yang mengatakan Datuk Ambiga bertanggungjawab atas kesalahan akan berlaku huru hara jika BERSIH 2.0 di adakan juga suatu yang tidak adil sedangkan acap kali di maklumkan tentang jaminan oleh sekreteriat Bersih 2.0 bahawa himpunan ini adalah perhimpunan aman, tidak membawa senjata dan sekadar mahu menyerahkan memorandum kepada Agong.

Ianya bukan mahu menentang kerajaan seperti yang di katakan Datuk Ali Rustam tetapi bertujuan menuntut hak rakyat melalui 8 tuntutan bagi pilihanraya yang lebih baik pada masa akan datang.

Ali Rustam tidak wajar meletakkan hukuman awal pada Datuk Ambiga sedangkan himpunan tersebut masih belum berlangsung. Kenyataan tersebut seolah-olah terus menghukum Datuk Ambiga sebagai pencetus huru-hara dan perlu di lucutkan kerakyatan.

Persoalannya mengapa Datuk Ali Rustam tidak menyalahkan Pemuda UMNO dan PERKASA yang juga turun berhimpun pada 9 julai nanti. Mengapa pula tidak menyalahkan Khairy Jamaludin dan Datuk Ibrahim Ali sekali sebagai pencetus huru-hara sedangkan mereka juga berhimpun pada hari yang sama dan waktu yang sama, walaupun tuntutan mereka berlawanan dengan Bersih.

Pengalaman perhimpunan sebelum ini tidak pernah berlaku huru hara. Tetapi hanya suasana kelam kabut itupun di sebabkan berlakunya provokasi dan sekatan oleh polis dan FRU yang menyembur gas pemedih mata kepada mereka yang berhimpun. Maka pada ketika itu sudah pasti orang akan bertempiaran lari menyelamatkan diri. Walaupun 'layanan' sebegini hanya berlaku pada pihak pembangkang sahaja.

Namun jika pihak polis mengawal dengan aman dan membenarkan memorandum di serahkan suasana kelam kabut itu pasti tidak akan berlaku seperti mana bukti himpunan aman untuk rakyat Palestine yang pernah di adakan sebelum ini.

Hak berhimpun adalah hak rakyat menurut Perkara 10 Perlembagaan selagi ianya tidak mengundang ancaman kepada negara dan orang lain. Semua orang di beri hak untuk berhimpun, malah Pemuda UMNO dan PERKASA jika mahu perlu juga di beri hak, tidak perlu di sekat.

Dewan Pemuda PAS Melaka melahirkan kekesalan terhadap pertubuhan silat seperti Persekutuan Kebangsaan Pesilat Malaysia (PESAKA) yang di lihat memberikan imej yang tidak baik kepada persatuan silat lain apabila mereka dikatakan turut mahu turun membantah BERSIH sambil mengatakan tidak akan bertanggungjawab jika 'pertempuran' berlaku semasa perhimpunan tersebut.

Bersetuju dengan pandangan Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa yang merupakan Pengasas dan Guru Utama Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia, beliau mengatakan pengamal silat yang sebenar tidak akan bermegah-megah dengan ilmunya dan mengancam keselamatan orang lain, sebaliknya hanya mempergunakan ilmu yang dipelajari untuk manfaat agama, bangsa dan Negara.

Seperti mana orang yang mempelajari silat bukan untuk menunjuk kehebatan, tetapi ianya suatu keperluan yang mendesak apabila di ancam. Mereka bukan berdepan dengan musuh, tetapi rakyat biasa yang turun menuntut hak, jadi mengapa perlu mengertak mahu 'bertempur' pada 9 Julai nanti, sudah pasti tiada jaminan akan berlaku masalah apabila ada beberapa kumpulan yang tidak sependapat bertembung, kenapa tidak buat sahaja pada hari lain jika mahu sangat berhimpun dan membantah BERSIH

Sewajarnya pertubuhan silat yang menjadi warisan budaya bangsa ini perlu di pelihara imejnya. Persatuan silat seharusnya perlu bebas dan tidak menonjolkan diri untuk menyebelahi mana-mana pihak atas kapasiti Pertubuhan Silat apatah lagi jika berniat mahu mencetuskan permusuhan dan penentangan kepada pihak yang tidak memberi ancaman...

Seharusnya Ali Rustam bersikap adil dan tidak sewenang-wenangnya menghukum seseorang tanpa bersikap bias. Beliau juga perlu memainkan peranan sebagai pemimpin UMNO dan juga sebagai Presiden PESAKA agar tidak menjadi batu api dengan menjadikan pihak-pihak tertentu sebagai alat bagi mencetuskan permusuhan.

No comments: