12 September 2009

Islam untuk Semua



KPP


Pertamanya tahniah diucapkan kepada PAS di bawah Lujnah Perpaduan Nasional atas perlaksanaan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang telah genap usianya 2 tahun, pada 11 September (sumber). Sesungguhnya ia bukanlah hanya semata-mata kejayaan PAS dalam mendekati non-muslim dalam membawa sinar Islam. Impak besarnya dilihat lebih kepada agama Islam itu sendiri. Kejayaan agama Islam yang sememangya bersifat universal dan tidak mengira bangsa, kaum dan budaya. Hari ini kejayaan Islam dari sudut kuantiti hampir telah terbukti, mungkin persoalan kita dari segi kualiti, kualiti umat Islam yang ramai kuantitinya (tak perlu saya memanjangkan lagi tentangnya).


Pemecahan tembok Islamophobia telah berlaku hampir di setiap negara-negara besar dan membangun dunia. Termasuk juga Malaysia, Alhamdulillah sumbangan PAS dalam menubuhkan KPP ini antara penyumbang yang tidak harus di sisihkan. Walupun sering menjadi bahan fitnah dan tidak puas hati segelintir golongan dan parti politik lain yang tidak jelas matlamat penubuhan KPP, kerana mereka melihatkan KPP ini hanya bemotifkan politik pembangkang semata-mata (untuk kepentingan PAS). Namun, ianya jauh meleset, buktinya dapat dilihat hubungan Parti Islam yang majoriti ahlinya orang Islam semakin rapat dan teguh hubungannya dengan non-muslim yang lain. Bahkan ramai non-muslim dilihat ingin mempelajari agama Islam, membaca Al-Quran dll. Kata pepatah, siapa yang bersahabat dengan penjual minyak wangi, pasti dia turut mendapat bau wangi tersebut.


Sesungguhnya Agama Islam telah bertapak dimuka bumi ini sejak lebih seribu empat ratus tahun, dan selama itu pula ia telah berkembang ke segenap pelusuk muka bumi ini dicelah-celah kehidupan dan peradaban umat manusia dengan tidak mengira warna kulit dan status sosialnya. Ia dikembangkan dan disebarkan atas tanggungjawab umat Islam sendiri terhadap agama Allah ini. Ia adalah kewajipan murni yang mesti ditunaikan oleh setiap individu Islam. Islam itu bukan hanya untuk dianuti, tetapi ia harus didokong, diperjuangkan dan dipertahankan jika diancam.


Jika dilihat semakin sehari, Islam semakin diterima dan diakui oleh umat manusia di luar Islam, terutama bila tamadun dan kemajuan yang dibawa oleh dunia kini tidak dapat memberikan jawapan dan alternatif kehidupan yang aman, damai dan harmoni seperti yang digariskan oleh ajaran Islam yang sebenarnya . Islam jauh di sudut ajarannya adalah anti kepada peperangan, pergaduhan, pembunuhan, dan penganiayaan, penindasan dan sebagainya, kita tidak mahu slogan-slogan ini hanya ucapan semata-mata, perlunya ada penzahiran. Dan antara method awal penzahiran itu adalah dengan mendekati non-muslim tersebut.


Islam adalah agama yang cintakan keamanan, perdamaian dan keharmonian hidup umatnya, baik di dunia maupun di akhirat. Tanpa perlu menonjolkan banyak contoh daripada keagungan Islam itu, misalnya dalam mencari modal persaudaraan sejagat umat manusia. A.J. Toynbee seorang sejarawan Barat sendiri menawarkan tradisi Islam itu kepada dunia sebagai jawapan mengatasi kegelisahan hidup umat manusia. Ia menulis :


"Sekarang, dalam sebuah dunia di mana jarak telah dimusnahkan oleh kemajuan teknologi Barat, dan di mana cara hidup Barat sedang bertarung dengan cara hidup Rusia untuk (merebut) kesetiaan seluruh umat manusia, maka tradisi Islam tentang persaudaraan manusia tampak merupakan ideal yang lebih baik bagi memenuhi keperluan sosial zaman...."


Ya, ini adalah salah satu pengakuan daripada seorang penulis besar Barat yang turut mengkagumi Islam dan ajarannya. Ia merupakan bukti jelas yang tidak dapat disembunyikan lagi. Kita umat Islam bukan saja harus bangga hidup sebagai seorang Muslim, malah kita mestilah terus mendukung dan mengangkat harakah dan martabat Islam itu dengan seluruh jiwa raga kita. Inilah juga bukti di mana bila Islam difahami secara benar dan kreatif, ia tidak diragukan lagi dan sememangnya mempunyai potensi dan kekuatan untuk dijadikan sebagai peradaban alternatif yang unggul bagi dunia seluruhnya.


Keunggulan Islam telah di sepakati semua, dalam Al-Quran telah menerangkan Islam sesuai dan berkait rapat dengan fitrah manusia, oleh itu jika agama Islam telah tetap teguh pada prinsip-prisip yang bersumberkan pada fitrah manusia maka agama Islam itu automatiknya berpotensi menjadi agama yang universal. Universal dalam ertikata dapat diterima oleh semua bangsa dan budaya.


"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" Ar-Ruum 31


Maka, pokoknya datang dari umat Islam itu sendiri. Kefahaman ajaran Islam yang sebenar harus di terangkan kepada mereka yang bukan Islam. Mansuhkan salahfaham dalam fikiran dan hati mereka tentang Islam yang dilihat ganas, terrorist, diskriminasi gender, taksub dan ekslusif untuk sesetengah kaum (Islam untuk orang melayu atau orang Arab), tolak hiburan, tolak perdamaian, tolak pembangunan, tidak adil, dan lain-lain dengan cara mendekati mereka. Biar penerangan seiring tindakan. Wallahu'alam


~Islam Untuk Semua~


"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk"
An-Nahl 125


No comments: