29 September 2009

Pergolakan Umno Terengganu Tunjuk Tanda Pemulihan - Hishammuddin

Mencium keris tak membuktikan apa-apa pun..

MARANG, 28 Sept (Bernama)-- Pergolakan dalam Umno Terengganu kini mula menampakkan tanda-tanda pemulihan apabila pihak yang terlibat dilihat mula kembali ke landasan asal perjuangan dengan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun sebelum ini banyak pihak yang beranggapan masalah dalaman Umno Terengganu tidak dapat diselesaikan, namun sifat keikhlasan, kejujuran dan meletakkan agenda parti melebihi agenda peribadi menjadi kunci penyelesaian masalah itu.

"Saya tidak tengok kemelut Umno Terengganu ini seperti ramai melihatnya seolah-olah berada dalam keadaan teruk, jadi nak kata kemelut pun... saya dengarlah orang kata, orang cakap dan orang tulis.

"Tetapi dalam hati kecil saya akhirnya kita boleh buktikan ia bukanlah satu kemelut yang tidak boleh ditangani," kata Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri dan majlis perjumpaan bersama Anggota Dewan Undangan Negeri , Exco, Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian di sini , Isnin.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Semua Adun dan Anggota Parlimen menghadiri perjumpaan itu kecuali Adun Adun Ajil Datuk Rosol Wahid, Adun Kuala Berang Mohd Zawawi Ismail dan Adun Paka Zakaria Abdullah.

Suasana perjumpaan kali ini yang diikuti dengan sambutan hari raya bersama lebih 10,000 rakyat di Marang Waterfront berlangsung dalam suasana ceria.

Hishammmuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kehadiran ramai wakil rakyat dan pucuk pimpinan bahagian jelas membuktikan kepada semua pihak bahawa Umno Terengganu tidak berpecah seperti tanggapan sesetengah pihak.

"Ia hanya memerlukan kita duduk bersama menyelesaikan apa yang perlu ditangani secara bersua muka dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan di peringkat bahagian," katanya.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan asas perjuangan pemimpin dalam Umno tidak pernah berubah iaitu semangat untuk bergerak sebagai satu pasukan demi satu hala tuju dan matlamat iaitu pastikan Umno sentiasa relevan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan masalah akan terus mendatang pada masa akan datang, tetapi dengan sifat yang ada pada pemimpin Umno negeri yang mementingkan parti dan rakyat, apa jua rintangan diyakini dapat diatasi.

Beliau berkata, pemimpin Umno perlu memastikan apa jua tindakan yang dilakukan oleh mereka mestilah tidak sampai ke tahap mengeruhkan keadaan kerana ia akan memberikan bonus kepada musuh parti sekaligus akan merugikan parti sendiri.

Mengenai mesyuarat itu, Hishammuddin berkata antara perkara yang dibincangkan ialah persiapan jentera Umno negeri membantu Umno Negeri Sembilan untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang 11 Okt ini dan persiapan mengadakan Konvensyen Perpaduan Melayu pada November ini.

Mesyuarat turut membincangkan soal penubuhan biro-biro Umno negeri sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti, katanya. (sumber: Bernama)


Komentar:

Biar betul..maknanya pergolakan yang berlaku pada UMNO-BN di Malaysia ini adalah tanda-tanda PEMULIHAN kah? Adakah semua akan mula kembali ke landasan asal perjuangan parti yang sebenar? Persoalan yang perlu di jawab..tapi bukankah jawapan itu telah di jawab?..Kalau dalam permainan bola sepak, bila gol telah di bolosi dengan 7 gol berbalas 0..penonton semua akan tahu memang tiada harapan untuk bangkit apatah lagi untuk menang. Yela, mungkin itu bola sepak, tapi pilihanraya bukan semata-mata soal pemain (calon dan parti) yang menjadi penentu mutlak kemenangan seperti bola sepak, tapi penonton atau kata lain rakyat sendiri. Walaubagaimanapun, tak dinafikan puncanya juga dari calon atau parti itu sendiri..tapi jangan hanya untuk menyedapkan keadaan sahaja, cakap la apa-apa andaian sekalipun,..faktanya sudah ada..7-0....apakah mungkin 8-0 selepas ini?


No comments: