20 September 2009

Pulih hubungan sesama rakyat



KUALA LUMPUR 19 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia memanfaatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan memulih dan memperbaiki hubungan yang dingin dan retak sesama mereka.


Perdana Menteri justeru meminta rakyat supaya memecahkan benteng-benteng prasangka, kebencian dan ketidakpedulian yang ada demi masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.


"Marilah kita memperbaiki jambatan sedia ada antara kita serta membina rangkaian jambatan-jambatan persefahaman yang baru.


"Gunakanlah peluang sempena hari dan bulan baik ini untuk memperkasakan perpaduan dan ikatan muhibah seluruh rakyat pelbagai agama dan bangsa," katanya.


Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan secara langsung melalui stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini malam ini.


Najib berkata, umat Islam di negara ini perlu meneruskan tradisi membuka pintu rumah dan pintu hati kepada semua orang termasuk rakan-rakan bukan beragama Islam untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri.


"Sememangnya konsep rumah terbuka yang diamalkan selama ini menjadi manifestasi tuntas kepada gagasan 1Malaysia. Teruskanlah tradisi mulia ini kerana kita semua adalah sebuah keluarga besar, keluarga 1Malaysia," katanya.


Najib berkata, umat Islam di Malaysia harus menjadi pembawa obor perpaduan dan kemajuan selaras dengan konsep ummatan wassatan dan maksud ayat rahmatan lil-alamin.


"Jelas sekali, sebagai kaum majoriti, kita bukan sahaja mempunyai hak tetapi yang lebih pentingnya kita juga mempunyai tanggungjawab untuk digalas," katanya.


Beliau berkata, umat Islam di Malaysia diberkati hidup dalam suasana aman ketika mereka yang lain di seluruh dunia hidup di bawah pelbagai bentuk tekanan politik, ekonomi mahupun psikologi akibat prejudis yang tercetus oleh peperangan terhadap keganasan global.


Katanya, apa yang dikecapi umat Islam di Malaysia tidak terjadi dengan sendiri tetapi hasil pengorbanan darah, keringat dan air mata para pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang.


Menurutnya, mereka terpaksa berjauhan daripada anak, suami dan isteri masing-masing demi menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan ketika semua rakyat Malaysia sedang bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga.


"Ia juga hasil sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berwawasan jauh serta disokong oleh jentera perkhidmatan awam yang cekap lagi profesional," katanya.


Najib berkata, bagi rakyat Malaysia, lazimnya, di pagi 1 Syawal, semua umat Islam akan bertumpu ke masjid-masjid untuk solat sunat Aidilfitri sebelum bermaaf-maafan dan mengadakan atau menghadiri majlis rumah terbuka.


Katanya, semua itu dapat dilakukan dalam keadaan aman damai, bebas daripada sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan diri mahupun keluarga di samping dapat melakukannya dalam keadaan serba lengkap.


"Walaupun lumrah seorang hamba sudah wajibnya bersyukur di atas segala nikmat Allah, namun sebagai rakyat Malaysia kita mempunyai lebih banyak sebab untuk bersyukur.


"Paling utama kita bersyukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang merdeka di mana kita bebas dan selamat untuk menjalankan ajaran Islam dengan penuh kesempurnaan," katanya.


Tambahnya, sungguhpun rakyat Malaysia hidup dalam sebuah negara berbilang kaum, namun kepelbagaian yang wujud tidak pula menjadi punca konflik dan kemunduran.


Sebaliknya, Malaysia jelas beliau, telah berjaya menguruskannya sehingga menjadi pemangkin kepada kesatuan dan kemajuan.


Begitupun, menurut Perdana Menteri ada pedagang dan penjaja kebencian yang cuba menafikan hakikat itu dengan cuba menanam ajaran tidak bersyukur dalam benak rakyat untuk mencapai matlamat sempit itu.


Katanya, pihak tersebut mendakwa semua kerajaan di dunia adalah sama baik serta sama berkesan dan kemakmuran, keselamatan serta kemajuan boleh dicapai tanpa perancangan, usaha gigih mahupun pemantauan yang rapi.


"Jika benarlah dakwaan mereka ini, maka kenapakah wujudnya perbezaan di antara negara-negara di dunia, kenapakah ada negara yang maju, membangun dan mundur, kenapakah pula masih ada kebuluran dan kemiskinan serta berlaku pembunuhan atas nama etnik di seluruh dunia?," katanya.


Dalam pada itu, Najib turut menasihatkan mereka yang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Lebaran agar berhati-hati di jalan raya.


"Biarlah kepulangan masing-masing disambut dengan air mata kegembiraan oleh saudara-mara bukannya tangisan kedukaan," katanya.


------------------------------------------------------------------





"Tak boleh buat semua jangan tinggal semua"...TAPI bukan ambil setengah-setengah (gambar hiasan duniawi..;p)

Komentar:

Saya tertarik dengan kenyataan:

Najib berkata, umat Islam di Malaysia harus menjadi pembawa obor perpaduan dan kemajuan selaras dengan konsep ummatan wassatan dan maksud ayat rahmatan lil-alamin.

Sekali lagi Najib harus diingatkan bahawa apa yang dimaksudkan beliau, mengenai perpaduan dan kemajuan dalam membawa konsep ummatan wasatan itu perlu di jelaskan lagi. Terlalu sedikit sekali beliau kaitkan tentang Islam yang dikatakan 'rahmatan lil'alamin' itu..dan bagaimana hubungannya dengan 'ummatan wasatan' dengan perpaduan dan pembangunan..jangan sekadar mahu mengguna ayat-ayat 'boom' sahaja tanpa di fahami dan dijelaskan kepada orang.

Mungkin semua orang layak bercakap..tapi tak semua mampu melaksanakan.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 142 yang bermaksud,

"Sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus. Maka Kami juga telah menjadikan kamu satu umat “pertengahan”(ummatan wasatan) dan kamu merupakan umat pilihan lagi adil. Pertengahan dalam segala pembawaannya; tidak melampaui atau keterlaluan dalam menganut kepercayaannya, termasuk akhlak dan amalannya, segala-galanya dalam pertengahan, baik mengenai perkara keduniaan maupun keakhiratan. Oleh yang demikian kamu sememangnya layak menjadi manusia yang akan memberi keterangan kepada seluruh umat manusia di akhirat kelak tentang kebenaran Islam. Manakala Nabi Muhammad saw pula sebagai Rasulullah yang akan menjadi saksi untuk menerangkan kebenaran perbuatan kamu di akhirat nanti"

Syed Qutb dalam tafsirnya, Fizilal Quran, menyatakan bahawa umat Islam perlu mengamalkan sikap kesederhanaan (iaitu yang pertengahan) di dalam semua perkara termasuk iktikad (kepercayaan), pemikiran, tasawur (gambaran), tanzim (Penyusunan masyarakat), hubungan dengan Allah, dan juga sesama manusia. Di dalam urusan amal ibadah misalnya seseorang muslim harus mengambilkira kemampuan diri, dan tidak memaksa diri untuk melakukan amal-amal ibadat secara keterlaluan sehingga lupa akan tanggungjawab urusan-urusan keduniaan. Pokoknya; Islam mengajar serta menganjurkan umatnya supaya bersikap sederhana dalam semua aspek kehidupan.

Jika Najib dapat menghubungkaitkan bagaimana Islam yang beliau katakan 'rahmat seluruh alam' itu bukan sahaja membawa umat Islam bersederhana dalam membawa agenda perpaduan dan pembangunan sahaja, tetapi 'sederhana' dalam semua aspek, iaitu 'kesederhanaan' yang membawa maksud agar umat Islam mempunyai syakhsiah Islam, rumahtangga Islam, berpelajaran Islam, berekonomi Islam, berbincang secara Islam, berhukumkan hukum Islam dan mempunyai sikap seorang Islam sebagaimana yang dicontohi oleh Nabi Muhammad saw. Tanpa pelaksanaan seperti ini maka tidak akan lahir suatu Umat yang disebut Allah “Umat Muhammad sebagai umat pertengahan”.

Nah, pokok pangkalnya adalah dari kita, tindakan kita yang perlu menzahirkan 'kesederhanaan' (atau pertengahan) dalam setiap aspek kehidupan. Rasulullah s.a.w telah bersabda, "sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan".

Saya tidak terlalu prejudis terhadap Kerajaan UMNO-BN dalam membawa slogan '1 Malaysia' nya. Namun janganlah ianya sekadar kosmetik semata-mata tanpa ada perlaksanaan yang berkesan kepada rakyat. Jika ingin menjadikan rakyat Malaysia bersatu-padu dan berkerja-sama, maka ianya sesuatu yang baik. Maka seharusnya perlaksanaan itu haruslah di tunjukkan dahulu oleh pemimpin-pemimpin mereka dan penting IKHLAS. Lebih-lebih lagi jika mahu mencuba untuk meng'Islam'kan pembawaan mereka itu. Tidak kiralah apa-apa terminologi atau istilah arab yang dibawa (Tarbiyyah ke, ummatan wasatan ke, rahmatan lill'alamin ke dan lain-lain) untuk di beritahu kepada rakyat. Namun jika semua istilah dan pendekatan-pendekatan tersebut masih gagal dilaksanakan sendiri oleh mereka yang melaungkan, seolah-olah hanya menjadi pelakon sahaja.

'Formative' nya sudah terlalu banyak..yang kurang 'Subtantive' yang berkehendakkan perlaksanaan..

Islam telah menjelaskan kesemuanya tentang maksud 'kesederhanaan'. Saya teringat dahulu, Pak Lah beritahu supaya rakyat ubah cara hidup (masa kes harga minyak naik) dan bersederhana dalam kehidupan. Tetapi beliau lupa untuk ingatkan diri, pengikut-pengikut beliau dan rakyat, supaya ubah cara hidup..cara hidup sebagai seorang Islam/Muslim yang sebenar-benarnya, yang bersederhana dalam semua perkara..

Inilah bahana ambil Islam sikit-sikit atau popularnya Sekularism..

~Back to Basic~Kembali kepada Fitrah






No comments: