06 September 2009

Renungan: Layakkah kita menghukum seseorang?

Jadikan 'jeriji' kasih sayang dan sangka baik sebagai penghalang kemarahan


Assalamualaikum, rasa gatal tangan membiarkan beberapa hari blog ini tidak berupdate. Program hidup yang padat dan jadual yang dicatur oleh tuhan Rabul Jalil tidak mampu di tinggalkan dan diubah sedikit pun. Ianya sebagai Tarbiyyah pengalaman yang meninggalkan 1001 kisah yang boleh dijadikan perkongsian dan koreksi diri dan anda semua. Moga kita ditetapkan hati untuk tabah mengharungi liku-liku hidup. Ianya sebagai syarat mematangkan diri. InsyaAllah.


Hakikat seorang manusia, baik dia mengaku sebagai hamba, tuan atau 'tuhan'. Ada masanya melakukan kebaikan, ada masanya pasti ada dosa yang tercalit di hati. Kerana manusia itu bukan sifatnya ma'sum seperti para malaikat yang sentiasa beribadah kepada Allah. Bezanya tahap manusia itu ada peringkatnya. Jika hari ini kita tertawa akan dosa dan kesilapan orang lain. Tidak siapa tahu kita akan diuji lebih berat dari apa yang dilalui oleh mereka. Adakalanya ego manusia itu membuatkan diri angkuh dan bongkak hingga terlupa dirinya juga akan diuji. Ego itu berjalan seiring pula dengan nafsu. Jika nafsu tidak di kawal, musuhlah akan mengawalnya sehingga menyebabkan perpecahan dan persengketaan dalam hidup manusia.

Allah dan para Rasul-Nya tidak pernah mengajar manusia bersikap bongkak dan lupa diri. Kerana itu bukanlah sifat yang selayaknya bagi hamba, ianya layak buat iblis. Kerana manusia itu harus sedar yang mereka sendiri saat lahirnya keluar adalah dari tempat yang hina, terhasil dari air mani yang hina. Ibu yang sukar untuk melahirkan kita membuktikan satu ujian buat si anak dan ibunya yang bersusah payah dalam melahirkan kita. Jika mati di saat ibu melahirkan kita, maka kemungkinan mati juga kita. Namun alangkah tidak layaknya kita, andai lahir dan membesar menjadi sorang yang sombong dan bongkak.

Inilah ujian buat mereka yang melakukan kesilapan. Kerana ujian itulah yang sebenarnya merupakan syarat berimannya kita kepada Allah. Firman Allah Ta'ala :

" Adakah manusia itu menyangka mereka akan dibiar sahaja mengatakan "aku telah beriman" sedangkan mereka tidak diuji? " ( al-Ankabut : 2 )

Jadi apakah layak bagi kita menghukum seseorang atas kesilapan yang dilakukan. Ya, secara zahirnya, jika di nilai dari pandangan akal dan nafsu, orang yang bersalah wajar di persalahkan, kerana sudah menjadi lumrah, manusia itu akan menghukum dari apa yang dilihat. Dan sangat wajar andai hukuman itu dijatuhkan, jika benar-benar bersalah, ini soal keadilan, terutamanya melibatkan hubungan manusia sesama manusia (Habluminannas). Namun, jika manusia itu benar-benar menjadikan hubungan kepda Penciptanya (Habluminallah) sebagai syarat dan panduan dalam memperbaiki hubungannya sesama manusia, jawapan bagi hukuman itu harus di dasari dengan iman.

Manusia itu diuji dengan kemampuannya. Allah juga tidak pernah menzalimi hambanya sedemikian. Tatkala diuji, manusia hanya ada 2 pilihan. Melaluinya dengan sabar hingga meningkat imannya, atau melaluinya dengan putus asa dan akhirnya kecewa dengan rahmat tuhan. Semestinya akan wujud 2 jenis golongan dikalangan hamba Allah di dunia. Ia membezakan antara 2 jalan, sukar atau mudah menggapai cinta Ilahi. Oleh itu, jika hari ini kita senang tanpa diuji, bersyukur dan bersiap sedialah. Jangan pula tertawakan hamba yang diuji dalam hidupnya. Ujian Allah buat kita belum tentu bagaimana, mungkin ringan dan tidak mustahil lebih berat dari apa yang dilalui orang lain.

Oleh yang demikian, maka semaikanlah kasih sayang sesama makhluk kerana cinta dan sayang Allah itu bersabit juga dengan apa-apa yang diciptakan di dunia. Segala penciptaan di bumi bukanlah sia-sia tanpa manfaat padanya. Sematkan rasa cinta dan sayang sesama manusia yang merupakan sebaik-baik ciptaan Allah. Anggaplah kesilapan dan dosanya sebagai peringatan buat diri kita yang mungkin terleka tanpa sedar. Mana mungkin kita membiarkan seorang sahabat jatuh ke dalam gaung, selagi ada rasa sayang dan cinta kepadanya kerana Allah ta'ala. Mudah-mudahan rasa sesama manusia itu menyampaikan kita kepada Pencipta.

Oleh yang demikian bersangka baiklah dan berlapang dadalah sesama manusia akan membuatkan hati lebih lapang dan tenang. Kesempitan fikiran dan desakan nafsu akan terhindar dalam diri. Dengan itu, amal ibadah juga mudah untuk dilaksanakan. Jika amal ibadah sempurna tiadalah persengketaan dan perpecahan berlaku sesama manusia. Wallahu'alam

Muhasabah buat diri sempena zon Maghfirah di bulan Ramadhan.















No comments: