09 September 2009

Reminder: Jom sucikan harta dengan Berzakat..

ALLAH sudah menentukan hak orang miskin dalam harta orang kaya melalui zakat. Ketentuan Allah itu bagi memenuhi hajat dan keperluan orang miskin sebagai asnaf yang berhak menerima harta zakat. Al-Quran dan Sunnah sentiasa menyebutkan solat dan zakat secara beriringan untuk menggambarkan betapa kuatnya hubungan antara kedua-dua amalan itu. Juga untuk menegaskan tidak akan sempurna Islam seseorang jika mengabaikan kedua-duanya atau salah satu daripadanya. Al-Quran menyebut, menunaikan zakat adalah sifat orang beriman yang baik, bertakwa dan suka menderma. Zakat salah satu tanda keimanan dan bukti keikhlasan seseorang.


Antara hikmat zakat ialah :

- Satu saranan yang boleh menolong fakir miskin. Dengan zakat kita boleh menolong orang miskin supaya dapat melaksanakan perintah Allah dan mengerjakan amal ibadat.


- Zakat dapat menyucikan orang yang mengerjakannya daripada kekotoran dosa, bersifat murah hati dan mengelak sifat bakhil. Amalan zakat menggalakkan sifat tolak ansur, menunaikan amanah Allah dengan senang hati dan menyampaikan hak yang ada dalam hartanya kepada fakir miskin.


- Allah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada orang kaya dan satu cara untuk mensyukurinya adalah dengan menunaikan zakat.


Al-Quran menyebut kepentingan zakat bersama solat sebanyak 28 kali. Islam memperkenalkan zakat sebagai sesuatu hak yang mesti ditunaikan. Sejarah membuktikan bahawa Abu Bakar memerangi orang yang enggan membayar zakat selepas kewafatan Nabi SAW.


Menurut al-Qaradawi, dalam konsep zakat ini, Islam menetapkan tiga pengawal iaitu iman kerana iman yang dimiliki mendorong seseorang mengeluarkan zakat secara rela. Kedua, jiwa masyarakat yang tidak mempersoalkan tuntutan mengeluarkan zakat dan pengawal ketiga ialah negara yang merangka serta melaksanakan sistem zakat secara berkesan. Al-Qaradawi berkata, zakat ialah setiap harta yang berkembang iaitu harta itu sendiri yang berupaya berkembang dan bertambah. Contohnya haiwan seperti unta, lembu, kambing, biri-biri dan sebagainya.


Pada zaman Umar al-Khatab diwajibkan zakat ke atas kuda kerana ia bertambah dan berupa harta. Selain haiwan, tanaman juga dikenakan zakat. Al-Qaradawi berpegang kepada pandangan mazhab Abu Hanifah yang berpendapat setiap apa saja yang terhasil daripada bumi adalah diwajibkan zakat ke atas perkara itu apabila mencukupi syarat.


Oleh itu, ia tidak khusus kepada jenis tertentu sebagaimana digariskan oleh mazhab lain. Pendapat ini lebih dekat dengan keadilan Islam dan bersesuaian hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa sesuatu yang mendapat siraman dengan air hujan dikenakan zakat sepersepuluh.


Perkara itu termasuk semua harta yang berkembang mempunyai tanggungan wajib zakat walaupun tidak ada nas yang tetap daripada Rasulullah SAW tetapi masalah ini dapat diambil daripada kewajipan zakat secara umum dalam al-Quran dan hadis.


Sebahagian ahli fekah membatasi kewajipan zakat hanya kepada yang dilakukan oleh Rasulullah SAW seperti zakat unta, kambing, gandum, kurma, emas dan perak. Sebahagian ahli fekah meluaskan kewajipan zakat sehingga mencakupi semua harta dianggap berkembang pada zamannya.


Antara ulama paling menonjol dalam hal ini ialah Imam Abu Hanifah yang mewajibkan semua hasil tumbuhan untuk perniagaan sehingga ia tidak mewajibkan nisab waktu setahun bagi mengeluarkan zakatnya. Abu Hanifah juga mewajibkan semua jenis binatang yang dikembangkan untuk tujuan kepentingan perniagaan. Beliau mewajibkan berzakat atas barang perhiasan namun tidak mewajibkan semua kecuali bagi orang yang sudah baligh.


Dalil keluasan kewajipan berzakat ini ialah :


- Nas umum mengenai kewajipan berzakat dalam al-Quran dan hadis menetapkan bahawa pada setiap harta terdapat hak orang lain, sedekah dan zakat


- Setiap orang yang memiliki kelebihan harta memerlukan penyucian atas harta yang mereka miliki. Penyucian itu dilakukan dengan memberi infaq, sedekah dan zakat


- Harta memerlukan penyucian daripada perkara meragukan ketika mendapatkannya atau ketika mengembangkannya melalui zakat


- Zakat disyariatkan untuk memenuhi keperluan fakir miskin, orang berhutang, berjuang kepada jalan Allah (Ibn Sabil) demi kepentingan agama dan umat Islam


- Mengkiaskan semua harta yang berkembang dengan harta diwajibkan oleh Rasulullah untuk dikeluarkan zakat.


Bagi menjayakan tujuan zakat mestilah memperluaskan kewajipan zakat. Ia tidak terhad kepada unta, lembu, kambing, gandum, padi, kurma, emas dan perak. Menurut al-Qaradawi, adalah tidak logik hanya mewajibkan zakat ke atas penanam padi secara kecil-kecilan lebih-lebih lagi ada di antara mereka yang menyewa tanah dan hanya mengambil upah saja. Sedangkan bagi mereka yang mempunyai ladang luas beratus-ratus ekar tidak dikenakan zakat semata-mata kerana tanaman mereka bukan daripada jenis yang sama.


Justeru, bagi melaksanakan keadilan dalam Islam, maka kita perlu melihat kepada semua mazhab. Contohnya di Mesir, kapas adalah tanaman berharga dan hasil tanamannya menghasilkan pendapatan hingga puluhan ribu. Layakkah kita mengatakan ia tidak perlu dikeluarkan zakat sementara petani gandum dan jagung pula diwajibkan zakat apabila cukup nisabnya sedangkan pendapatan mereka tidak semewah petani kapas tadi.


Dalam hal meluaskan kewajipan berzakat adalah disarankan supaya kita tidak berpegang kepada satu mazhab tetapi mengambil pandangan mazhab dan imam lain kuat dalil dan hujah serta menepati kehendak keadilan Islam.


Perkara kedua adalah pengagihan zakat. Al-Quran mengambil berat hal ini dengan menentukan orang yang berhak menerima zakat. Matlamat utama zakat ialah untuk mengatasi masalah kefakiran dan kemiskinan.


Peranan zakat memenuhi keperluan asas orang fakir dan miskin serta asnaf lain seperti orang yang berhutang. Hutang bukan untuk perkara maksiat dan sia-sia. Begitu juga zakat tidak diberikan kepada yang berhutang bukan kerana barang keperluan asasi mereka.Golongan lain yang berhak mendapat zakat adalah orang yang berjihad pada jalan Allah dan berdakwah menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Institusi zakat patut membantu organisasi yang menjalankan tugas sedemikian.


Oleh itu, kita menyeru pelaksanaan zakat secara sistematik dan profesional. Ulama bersepakat perlu ditubuhkan satu badan khas bagi mengelolakan zakat, untuk memungut dan membahagikan kepada orang yang berhak menerimanya. Wallahu'alam.


"Apakah kamu takut akan (menjadi miskin) karena kamu memberikan sedekah sebelum mengadakan pembicaraan dengan Rasul? Maka jika kamu tiada memperbuatnya dan Allah telah memberi taubat kepadamu maka dirikanlah shalat, tunaikanlah ZAKAT, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Al-Mujadalah 13


Komentar: Membayar zakat mudah..yang susah memastikan zakat itu benar-benar sampai ke tangan mereka yang memerlukan..




No comments: