11 September 2009

Renungan: Tentang Masa


Berkata Hasan Al-Basri, "Saya lihat suatu kaum yang sangat-sangat menjaga masa hingga melebihi dari kamu menjaga wang ringgit kamu itu!"

Para generasi sahabat dahulu sangat menjaga masa, mereka sangat berwaspada agar masa tidak di salah gunakan untuk perkara-perkara yang sia-sia.

Adalah menjadi tugas utama kita sebagai seorang muslim agar menjaga masa, seperti kata-kata Hasan Al-Basri, bahawa masa itulah yang paling penting dan perlu dijaga berbanding wang ringgit atau harta. Oleh yang demikian, ia sebagai muhasabah buat diri kita agar setiap masa yang diperuntukan oleh kita dapat digunakan kearah amal soleh dan kearah ketaatan.

Saya sering mendengar, dan beberapa keluhan sahabat-sahabat yang merasakan tidak cukup masa, terlalu busy dengan urusan dunia, seolah-olah masa yang diberikan mereka hanya 23 jam, 12jam atau 5 jam.(saya juga sering kali mengeluh sebegini). Ruang antara siang dan malam yang silih berganti tidak cukup memenuhi keperluan kehidupan. Tugasan harian yang seolah-olah telah membunuh masa prime mereka untuk berehat. Malah, terdapat segelintir mereka yang menyalahkan takdir yang ditentukan Tuhan atas 'bala' yang menimpa. Wal'izubilllah, moga di jauhkan.

Sungguh hairan, padahal setiap orang telah diberikan masa yang sama, 24 jam, dari seorang penggangur 'berjaya' hingga seorang menteri (menteri halal..;p). Bagi saya ianya bukan soal 'Tiada Masa'..tetapi 'Buang Masa'. Ini hakikat yang harus ditelan. seringkali kita di 'motivate' kan tentang pengurusan masa, bagaimana mentadbir masa yang berkualiti, namun kita masih gagal. Mengapa ini berlaku?

Rasulullah s.a.w telah bersabda, " Dua nikmat di antara nikmat-nikmat Allah yang kebanyakan manusia kabur mata melihatnya adalah masa sihat dan masa lapang". Kelapangan masa yang dimaksudkan disini adalah masa-masa yang tidak sibuk dengan urusan duniawi sehingga menghalang seseorang itu melakukan 'amalan akhirat'. Sungguh, memang tidak dinafikan keperluan mencari rezeki, namun janganlah karam dan hanyut dalam kehidupan mengejar dunia semata-mata sehingga tergendala aktiviti-aktiviti untuk amal akhiratnya.

Sebuah hadith yang biasa kita dengar, Rasulullah bersabda, 5 perkara yang menjadi saham keuntungan kita didunia sebelum terlambat.
1) Masa sihat sebelum masa sakit
2) Masa lapang sebelum masa sempit
3) Masa kaya sebelum masa miskin
4) Masa muda sebelum masa tua
5) Masa hidup sebelum masa mati


Jika kita mempersoalkan manusia harus ada masa diisi dengan rehat. Khalifah adil, Umar Abdul Aziz telah menyebut, "sesungguhnya pertukaran malam dan siang adalah untuk kamu, oleh itu bekerjalah diwaktu malam dan siang". Nah, bagaimana?

Berkata Saidina 'Ali k.w.j, "bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beribadahlah kamu, seolah-olah kamu akan mati esoknya". Oleh ynag demikian, sebagai muslim seharusnya masa itu menjadi modal buat kita, agar ia dimanfaatkan di masa yang kita tidak pasti saatnya (saat kematian dan hisab kita di hadapan-Nya). Kita boleh fahami bahawa, masa bekerja (terutamanya waktu siang) seharusnya sebagai medan juang mencari rezeki (persoalan penting: rezeki yang bagaimana?), dan masa malamnya, seharusnya sebagai medan beribadah, inilah istilah 'rehat' yang sebenar-benarnya rehat bagi seorang muslim kerana Allah telah menjadikan malam itu untuk berehat-rehat. Namun persoalannya, ramai mana manusia manjadikan masa rehat mereka itu, masa rehat yang ideal dan berkualiti..seperti yang dikatakan di atas?

Sesetengah 'alim ulama juga pernah berkata, "Di waktu kekosongan dan kelapangan dari kesibukan merupakan nikmat yang besar. jika sesorang hamba mengambil kesempatan di waktu kekosongan untuk memuaskan hawa nafsunya, maka orang ini dikatakan telah mengkufurkan nikmat. Oleh itu, Allah akan jadikan di dalam dirinya sentiasa rungsing, kerana hatinya sudah tidak bersih". Mungkin ini faktor berlakunya kecalaruan jiwa dan hati asbab kufurnya nikmat pada masa lapang. Astagfirullah, kufur yang sangat halus, kadang-kadang tanpa kita sedar.

Sungguh rugi mereka yang merelakan masa berlalu begitu sahaja...

Semua yang hidup bagai dalam bahtera pelayaran,
Setiap hari dan bulan, kian jauh dalam perjalanan,
Berhari bermalam semuanya bagai dalam impian,
Dunia ditinggalkan, akhirnya kubur jua yang berdekatan.

Mungkin ada benar kata orang, jika kita benar-benar mahu berehat tanpa melakukan sebarang kerja, hanya ada satu tempat..iaitu di dalam KUBUR (itu pun tengok amalan).

Wallahualam, sebagai renungan buat diri.

No comments: