11 October 2009

Bagan Pinang yang Belum Menang



Keputusan PRK telah diketahui umum. Masing-masing ada analisis dan penilaian masing-masing. Adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Namun, kekalahan tidak bererti kalah selamanya, dan menang tidak bererti menang selamanya. Harus di ingati, pasang surut perjuangan akan terus memberikan kemenangan kepada kebenaran. Andai menang dengan kemenagan besar sekalipun, jika diselaputi kebatilan, ia tidak bermakna.

Dalam peristiwa peperangan Rasulullah s.a.w, tentera Islam turut mengalami siri kemenangan dan kekalahan. Kerana, bukanlah menjadi persoalan yang paling utama akan sesuatu kemenangan atau kekalahan itu. Kerana apa yang penting adalah ibrah atau pengajaran yang tersirat di sebaliknya. Sekiranya, iman menjadi nakhoda, pasti soal menang atau kalah itu diletakkan pada suratan atau ketentuan takdir yang telah di rancang oleh Tuhan.

Keputusan PRK Bagan Pinang yang 'belum menang' ini menjadi satu pengajaran buat pejuang Islam agar terus memperkukuhkan lagi saff yang mungkin sebelum ini terdapat kelompangan. Kemungkinan kaputusan PRK lepas yang banyak memihak kepada kita telah membuatkan kita terlena sebentar. Rasa terlalu yakin yang mungkin terpalit sedikit rasa takbur sehingga lupa bahawa takdir mengatasi tadbir. Allah telah menguji tentera Hunain dengan kekuatan tentera yang ramai dan kuat, namun atas kelekaan di sebabkan kurangnya sabar dan taqwa, kekuatan kuantiti yang ramai pun tidak mampu memberi manfaat.

Dalam mencari 1001 kelemahan musuh, tidak lupa untuk kita mencari kelemahan sendiri, hatta andai 1 kelemahan pada diri kita sekalipun, jika di dipandang remeh, 1001 kelemahan musuh itu boleh membawa 1001 kekuatan buat mereka. Sebagai contoh jika kita sering melihat dan menilai BN yang terdapat padanya 1001 kelemahan, tetapi bagaimana pula mereka yang melihat dan menilai kelemahan pada kita, walaupun 1 bukan 1001? Ia tetap kelemahan. Kelemahan yang mungkin dilihat besar atau dilihat hanya cebisan.

BN layak untuk merasa bangga dengan kemenangan mereka, kerana hanya ini peluang mereka mengembalikan imej mereka yang telah hodoh. Soal penipuan, sabotaj atau ketelusan pihak tertentu oleh mereka menjadi perkara kedua yang perlu di utamakan kita. Apa yang perlu bagi Pakatan adalah post mortem yang memerlukan suatu tolehan kebelakang, mencari apa salah, silap dalam sedar atau tidak. Kerana mungkin kekalahan BN yang berturutan sebelum ini menjadi guru buat mereka untuk post-mortem yang lebih serius. Walaupun tidak dinafikan tindakan susulan mereka selepas post-mortem masih ada dan banyak kekotoran di dalamnya. Ya, mungkin itu pilihan mereka. Namun bagi kita, usaha mengkoreksi kembali punca dan sebab 'belum menang'nya kita di Bagan Pinang ini perlu di pandang serius.

Benar, kata orang mendapatkan kemenangan itu lebih mudah dari mengekalkannya. Ia kembali kepada konsistensi dan istiqamahnya kita pada sesuatu perkara dan dalam masa yang sama, usaha bagi mempertingkatkan lagi kualiti. Kerana, perjuangan kita masih panjang, jauh dan berliku-liku, 'harta' kebenaran masih tertanam, hanya 'alatan' usaha gerak kerja yang strategis mampu menggalinya, di samping tidak lupa doa sebagai 'senjata' buat para 'amilin. Apa yang penting, bukan takat Kerjasama, tetapi terus bekerja untuk kebenaran..dengan mengerjakan secukup-cukupnya Kebatilan. Wallahu'alam


"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” Al -Anfal 60


No comments: