30 October 2009

'Deenul Harakah'





Siapa mereka mahu mencampuri urusan dalaman PAS. Siapa mereka yang bergelar 'Pemerhati Politik'..atau mereka yang menjadi pemerhati dari jauh, samada mahu dirinya di kenal atau tidak. SEHARUSnya mereka berasa 'TIDAK LAYAK'..PAS bukan parti Nasionalisma seperti UMNO, ia parti Islam, yang menjadi dasar dan method perjuangan. Al-Quran dan Hadith menjadi dustur atau perlembagaan sebenar parti. Ia jauh dari unsur nafsu manusia semata-mata. Ia bukan soal parti semata-mata, tetapi soal agama Islam. Mereka sepatutnya (saya bukan bermaksud tidak boleh langsung) tidak layak untuk memberi pandangan atau komen terutamanya melibatkan hal-hal dalaman/perlembagaan parti TETAPI mereka BOLEH dengan syarat mereka turut terjun bersama ke medan perjuangan. Kata lain turut bersama berada dan merasai apa yang ada di dalam gerakan Islam PAS. Mana mungkin seorang pembeli kereta membuat penilaian tanpa memandu dahulu kereta tersebut. Islam bukan hanya semata-mata di nilai dengan ilmu teori..tetapi perlu di laksanakan dengan amalan.

Islam 'Deenul Harakah'

Islam agama yang dinamik, tidak statik seperti agama budaya lain. Ia turun membawa rahmat buat semua umat. Tidak kira apa bangsa atau budaya. Islam bukan hanya sekadar agama Rabbaniyah, yang mengasingkan umatnya di masjid-masjid seperti mana Kristian yang mengasingkan pemeluk-pemeluknya di gereja-gereja atau biara. Akan tetapi Islam adalah Agama Haraki, agama yang bertindak dengan tindakbalas yang sanggup menggempur dan digempur, sanggup menyerang dan diserang. Ia bergerak seperti mana bergeraknya umat Islam dan pejuang-pejuangnya dalam membela Islam.

Begitu juga kepada para pendokong Islam. Mereka tidak boleh menjadi PENGANUT 'Full-Time' semata-mata. Tetapi 'PEKERJA'..samada 'full-time' atau 'part-time'. Pekerja Agama yang sentiasa bergerak, tidak hanya diam membatu. Dan bukan hanya menjadi PENILAI atau PENGANALISIS agama semata-mata tanpa turut berada menjadi PEKERJA.

Dan fikrah kita ialah Islam Deen Allah yang kekal, luas dan lengkap, kita tidak memiliki kuasa untuk menambah, mengurangkan atau mendahului Islam.

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mendahului apa yang dia antara Allah dan Rasulnya, Sesungguhnya Allah maha mendengar dan maha mengetahui." Al-Hujurat 1

Kita pengikut yang juga pekerja Islam bukan 'designer' Islam. Kewajipan kita ialah memahami Islam sepertimana sepatutnya difahami, bukan sepertimana yang manusia kehendaki mengikut hawa nafsu mereka. Islam sentiasa berada di hadapan kita untuk kita ikut dengan penuh kefahaman dan ketaatan bukan hak untuk kita mengubahsuai mengikut sesuka hati, mengikut keadaan atau masa. Malah bukan hak kita untuk menokok tambah mengikut kehendak majoriti masyarakat. Fikrah kita adalah milik Allah dan kita hanya menerima sepenuhnya. Memahami Fikrah Islamiyah sebenar adalah tuntutan utama dalam usaha membangunkan Deen Allah dan mendaulatkan syariatnya.

Begitu juga halnya dengan PAS. Harakah Islamiyyah yang menjadikan nilai Dakwah, Tarbiyyah dan Siasah sebagai elemen gerakan. Harakah yang beriman dengan segala prinsip-prinsip Islam yang didukungnya. Ia mengetahui segala bahaya jalan yang dilaluinya dan bersiap sedia memberi pengorbanannya buat pejuangnya dengan redha dan murah hati. Pendekatan politik Islam yang di bawa PAS tidak bermaksud PAS mengecilkan ruang lingkup Islam. Mereka yang jahil sahaja yang akan berkata demikian. As-Syahid Hasan Al-Banna pernah menulis dalam bukunya Risalah Taalim berkaitan Islam dan politik.

"Selepas skop umum bagi makna Islam yang syumul ini dan makna politik yang bukan berbentuk kepartian, saya berupaya melaungkan dengan terus terang bahawa seorang muslim itu tidak akan sempurna Islamnya melaikan ia seorang ahli politik, memerhatikan hal-ehwal umatnya, serta mengambil berat dan peka terhadapnya. Saya juga berani mengatakan bahawa pembatasan begini dan memisahkannya adalah perkara yang tidak diakui oleh Islam. Semua persatuan Islam hendaklah meletakkan agenda utamanya prihatin terhadap hal-ehwal politik umat Islam, jika tidak maka persatuan itu sendiri perlu memahami makna Islam terlebih dahulu."

Apa yang LAYAK buat kita dan mereka adalah turut berada di dalam Harakah. Merasai pahit getir, ujian, dan cabaran dalam perjuangan. Kita harus bersabar dan yakin dengan ujian dan ketentuan Allah. Musuh-musuh Islam akan sentiasa mentertawakan kita apabila mendengar kita berasa putus asa dengan diri sendiri. Sesungguhnya mereka itu jahil, kerana apa yang kita laungkan ini bukanlah sesuatu benda baru. Ia adalah Dakwah Islam yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para nabi-nabi sebelumnya lagi.

Teruskan bekerja...

Wallahu'alam

No comments: