Sesungguhnya para Rasul dan para pendokong dakwah yang sentiasa menyeru manusia kepada Allah sering terdedah kepada gangguan, penyeksaaan dan penindasan dari musuh Allah lantaran mereka bangun dan bangkit melaksanakan kewajipan dakwah. Sekiranya Allah hendak menghalang dan mencegah mereka dari mengganggu, menggugat, menyakiti, menindas dan membunuh para Rasul dan para pendokong dakwah nescaya Allah boleh membuat berbuat demikian bila-bila masa. Namun, Allah Maha Pengasih kepada mereka, Allah tidak berbuat demikian.
Mereka dibiarkan terdedah kepada berbagai-bagai gangguan, penyeksaan, sehingga kita melihat junjungan kita nabi Muhammad s.a.w. yang tercinta pun telah diganggu dan disakiti oleh kaum musyrikin di Tha'if sehingga baginda berdoa dan bersabda: "Hai Tuhanku, kepadaMulah kuadukan kelemahanku, kekuatanku dan kurangnya upayaku dan hinanya aku kepada manusia". Adakah Allah membiarkan mereka dengan tidak melindungi mereka dari siksaan kafir dan musyrik kerana mereka telah membuat kesalahan? Adakah masuk akal jika dikatakan bahawa segala gangguan dan penyiksaan yang menimpa para Rasul, pendokong dakwah dan para mukmin yang bersama mereka disebabkan kesalahan di dalam perjalanan mereka menyeru kepada Allah? Sesungguhnya kita akan menyatakan sebaliknya.
Keteguhan mereka mendokong dakwah dan istiqamah mereka di atas perintah Allahlah yang menyebabkan mereka terdedah kepada gangguan dan ujian. Sekiranya mereka menyeleweng, cuai atau bermuka-muka dan bertolak ansur, sudah tentu mereka tidak diganggu, diseksa, ditindas. Firman Allah s.w.t.: "Maka mereka menginginkan supaya kamu bersikap lunak lalu mereka bersikap lunak (pula kepadamu)". Al-Qalam: 9
Firman-Nya lagi:
"Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dar apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami, dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia ". Al-Israa':73
Sesungguhnya musuh-musuh Allah dan para pendokong kebatilan tidak sesekali akan membiarkan dakwah Allah berjalan, membesar dan berkembang di kalangan manusia hingga ia menjadi kuat, teguh dan mampu menghapuskan mereka yang penuh dengan kesesatan dan kebatilan. Sudah pasti mereka akan melancarkan serangan ke atas dakwah Allah dan para pendokongnya dengan cara mendustakan, mempersenda-sendakan, menimbulkan keraguan dan menghalang manusia daripadanya. Sekiranya hujah-hujah dan logik mereka lemah, mereka akan bertindak kasar dan ganas. Mereka akan mengganggu, menyeksa, menindas dan melakukan tindakan-tindakan yang sia-sia.
Ini kerana mereka berbuat demikian adalah semata-mata untuk memesongkan akidah para da'ie dan menakut-nakutkan manusia lain dari memasuki Islam, dari dakwah Islam dan jihad Islam. Lebih dari itu mereka akan melemparkan berbagai-bagai tuduhan palsu, jahat, buruk dan busuk kepada pendokong dakwah untuk membenarkan kezaliman dan pencerobohan mereka, demi mengabui mata manusia dan merosakkan nama baik para pendokong dakwah Islam.
Tambahan pula pendokong jahiliah itu mempunyai alat-alat media massa dan sistem komunikasi yang memudahkan lagi proses mengaburi mata manusia pada tempat dan waktu yang sama Pendokong kebenaran langsung tidak diberi peluang dan kesempatan untuk menghapuskan segala tuduhan batil dan dusta mereka itu. Kerana dengan kecekapan sistem komunikasi inilah timbulnya anggapan yang salah dan sangkaan buruk yang menimpa para pendokong dakwah bahawa bencana dan ujian yang mereka terima adalah natijah dan hasil dari kesalahan yang terkandung di dalam tuduhan palsu itu.
Sesungguhnya berdakwah kepada Allah sepanjang masa adalah dakwah ke arah kebaikan
yang sejahtera. Dakwah tidak hnya menyeru manusia supaya mereka memasuki agama Allah. Sesungguhnya dakwah Islam, itu bercakap dan berbicara kepada akal dan fitrah manusia, menyeru mereka dengan hikmah, nasihat, tunjuk ajar yang baik dan dengan perbincangan atau perdebatan yang lebih baik, menyeru mereka supaya beriman kepada Allah, bertauhid kepada Allah, mengesakan Allah, dan beribadat kepada Allah tanpa paksaan.
Tetapi malangnya kebanyakan manusia terutamanya pihak berkuasa dari pendokong jahiliyah atau penganut ’agama’ kebatilan ini telah mengingkari fitrah mereka, menutup akal mereka, membutakan hati dan mata mereka, memekakkan telinga lalu mereka tidak mendengar, tidak melihat dan tidak menyahut seruan Allah yang dibawa oleh pendokong dakwah tatkala menyeru mereka kepada apa yang menghidupkan mereka seperti mana kutukan Allah,
"Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya di sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun ". Al-Anfaal: 22
Merekalah sebenarnya yang memulakan permusuhan dan pencerobohan ke atas para du’at. Merekalah yang telah mengadakan pakatan sulit untuk menentang dan memusuhi para du'at dan merekalah juga yang sentiasa membuat berbagai-bagai tipu daya untuk memperdaya manusia sehingga ramai manusia hari ini sering tertipu dan terpedaya, dan malangnya ia turut menimpa kepada AHLI GERAKAN ISLAM.
Wallahu’alam
No comments:
Post a Comment