26 October 2009

Kepada pencari kebenaran


Kepada pencari kebenaran,


Tiada siapa boleh memaksa atau dipaksa untuk menerima Kebenaran, tetapi semestinya suatu yang mengaibkan apabila sesorang itu tidak berminat untuk mencari Kebenaran kerana realiti dunia hari ini penuh dengan kebarangkalian dan ketidakpastian sesuatu perkara. Memerlukan keputusan yang tepat dalam memilih.


Islam mengajarkan kita bahawa Pencipta kita telah mengurniakan manusia akal dengan kebolehan berfikir. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk memikirkan sesuatu dengan objektif dan tersusun supaya kita dapat memuskilkan dan memikirkan apa jua persoalan atau permasalahan yang berlaku hari ini.


Tiada siapa yang layak memberi tekanan pada anda bagi membuat keputusan secara tergesa-gesa untuk menerima sebarang keputusan, kerana Islam mengajar bahawa manusia patut diberikan kebebasan untuk memilih dan menilai. Walaupun seseorang itu sudah bertembung dengan Kebenaran, tiada paksaan keatas beliau samada untuk menerimanya atau tidak.


Namun, sebelum anda mula membuat satu pendapat mengenai sesuatu perkara, tanyalah diri anda sendiri samada maklumat anda mengenainya sudahpun mencukupi dan menyeluruh. Samada ia terus dari sumber atau dari pihak kedua, ketiga dan selepasnya. Kerana Islam sangat menekankan kepada kita supaya menyelidik terlebih dahulu sesuatu berita yang di terima. Takut di akhirnya menimbulkan bencana dan fitnah terhadap sesuatu kaum.


Adakah cukup adil untuk seseorang itu membuat kesimpulan mengenai rasa suatu hidangan masakan hanya berdasarkan khabar angin daripada orang lain yang juga mungkin belum merasai hidangan tersebut? Begitu jugalah, anda seharusnya mendapatkan maklumat mengenai sesuatu berita daripada sumber yang boleh dipercayai, dan bukan hanya merasainya tetapi perlu betul-betul memahaminya sebelum membuat suatu kesimpulan. Itulah cara intelektual dalam menjejaki Kebenaran.


Dalam membuat langkah mencari Kebenaran seterusnya, Islam sentiasa mengiktiraf hak anda untuk bebas membuat pilihan dan bebas menggunakan akal fikiran kurniaan Tuhan. Tiada siapa yang boleh merampas hak itu dan memaksa anda tunduk kepada Pencipta kita, anda perlu mencari maklumat dan membuat keputusan anda sendiri.


Semoga perjalanan intelektual anda menjejaki Kebenaran sentiasa dalam kesejahteraan dan redha Tuhan. Wallahu’alam


Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti-bukti yang terang; maka barangsiapa melihat (kebenaran itu), maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri; dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu), maka kemudharatannya kembali kepadanya. Dan aku (Muhammad) sekali-kali bukanlah pemelihara(mu). Al-An’am 104

|single_breath|

No comments: