Assalamualaikum..w.b.t
Saya berasa tersentuh dengan teguran Ustaz Nasruddin Tantawi dalam blog beliau mengenai realiti hari ini yang berlaku terhadap ahli jemaah PAS, posting beliau yang bertajuk Hindari Politiking dalam Jamaah. Secara langsung, menegur kepada semua ahli gerakan yang menjadi pendokong khasnya dan penyokong umumnya agar kembali kepada matlamat asal perjuangan.
Sememangnya kita telah terbabas dari matlamat perjuangan asal kita dalam gerakan Islam. Dalam skop pembawaan parti Islam yang di bawa, kebanyakan ahli melihat ianya hanya bertumpu di sudut politik semata-mata padahal politik itu hanya elemen kecil dalam Islam. Apa yang menjadi agenda utama adalah Islam itu sendiri. Islam yang bersifat syumuliyyah, yakni menyeluruh.
"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu.." Al-Maidah 3
Sebagai muhasabah kita sejenak dengan apa yang berlaku di dalam jemaah PAS hari ini. Tidakkah segala perselisihan yang berlaku itu merupakan Rahmat dari Allah, kerana segala khilaf itu adalah rahmat. Ia merupakan sunnatullah dalam perjuangan. Inilah yang membezakan kita gerakan Islam dengan gerakan Nasionalisma atau lain-lain orientasi yang lain.
Allah telah menguji Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam beberapa siri peperangan. Ada kalah dan ada menang. Begitu juga dalam gerakan Islam PAS ini. Allah hanya menguji satu kekalahan di Bagan Pinang berbanding kemenangan tujuh kali sebelumnya. Dan kali ini Allah menguji lagi dengan apa yang berlaku dalam jemaah sendiri. Adakah rasa syukur kita lebih tinggi semasa kekalahan atau kesusahan kita berbanding masa menang atau senang kita?
Padahal itulah tanda-tanda Allah menguji setiap hambanya samada mereka beriman atau tidak,
"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." Al-Ankabut 2-3.
Sungguh malu jika kita tidak mampu menerima realiti ujian yang berlaku sedangkan kita mengaku kita pejuang Islam. Namun gagal menerima sedikit ujian, merasa lemah dan goyah, malah ada menjadi takut terhadap musuh.
Allah telah menguji tentera Thalut dengan sebatang sungai, (diumpamakan sebagai dunia), hanya mereka yang beriman dan sabar sahaja yang akan selamat.
Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku." Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: "Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya." Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: "Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." Al-Baqarah 249
Kisah tersebut Allah telah rakamkan kepada kita agar bersabar dengan ujian. Andai hari ini kita merasakan jumlah kita ramai, namun boleh jadi, di sebabkan kurangnya sabar, gelojoh dan tidak mendengar arahan kita menjadi lemah dan tidak bersemangat untuk meneruskan perjuangan. Justeru jika hari ini ramai yang berpaling dan angkat kaki meninggalkan medan perang, maka tidak hairan yang tinggal hanya mereka yang kekal istiqamah dalam perjuangan, iaitu mereka yang sabar dengan segala mehnah tribulasi, itulah yang di katakan Allah golongan yang sedikit.
Kita kembalikan semuanya kepada soal keyakinan. Keyakinan kepada Allah. Seperti mana kita berasa yakin sebelum ini Allah telah membantu kita dalam mencapai kemenangan maka begitu juga kita meletakkan keyakinan kita bahawa Allah akan membantu kita dari segala kemelut yang melanda pada hari ini. Jika akar pokoknya adalah Yakin, maka bajanya adalah Usaha. Kerana itu jika ada buahnya yang manis atau masam. Ia kehendak Allah, yang mungkin membuatkan kita matang untuk menyemai pokok yang lebih baik pada akan datang.
Back to Basic..
Kita sebenarnya telah faham tentang Islam. Cuma tinggal perlaksanaannya sahaja. Perlaksanaan ini yang seharusnya di titik beratkan. Jangan nanti kita sendiri yang menjadi pencemar agama dengan perlaksanaan yang jauh dari apa yang kita fahami tentangnya.
"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." Al-Baqarah 208
Jangan ambil setengah-setengah atau sikit-sikit. Seperti mana yang pernah dikatakan oleh Syed Qutb, jika mahu ambil Islam, ambillah kesemuanya, jika tidak mahu ambil semua, maka tinggalkan kesemuanya, dan itu sesuatu yang malang bagi kita.
Wallahu'alam
~sekadar ingatan buat diri~
No comments:
Post a Comment