MELAKA: Sebuah pemerintahan yang cekap dan adil yang diterajui oleh orang Islam perlu bertunjangkan kepada nilai Islam iaitu adil dalam semua perkara, bersih daripada rasuah, menghormati undang-undang serta prihatin kepada semua kaum.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata justeru mendirikan pemerintahan yang baik apabila berkuasa amatlah penting untuk menentukan Islam berkembang dengan baik dan mereka yang bukan Islam tidak menjauhkan diri daripada orang Islam.
"Percayalah jika kita dapat dirikan pemerintahan seperti ini (nilai-nilai Islam), banyak manafaat akan diperoleh antaranya kefahaman tentang ajaran Islam akan meningkat di samping masyarakat lebih bersedia menerima saranan pemerintahan," katanya ketika berucap di mesyuarat agung tahunan kebangsaan ke-48, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.
Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim sejak 2006, berkata apabila pemerintahan orang Islam dicemar dengan kebengisan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kurang kecekapan dan penindasan terhadap orang lain, maka persepsi orang lain terhadap agama Islam juga akan menjadi buruk.
"Hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang boleh ditakrif sebagai negara maju di dunia ini. Sekali lagi ada yang berpendapat kemajuan negara Islam tidak penting.
"Tetapi kita tahu nasib buruk ramai negara Islam kerana mereka tidak maju. Mereka terpaksa mengemis, meminta-minta bantuan daripada orang lain dan akibatnya mereka sering ditekan oleh orang yang membantu mereka yang mungkin sebenarnya musuh mereka," katanya.
Sebaliknya, kata beliau, kemajuan negara Islam akan menjana penghormatan kepada Islam dan segala ajarannya sebagaimana berlaku pada zaman tamadun kegemilangan Islam.
"Betapa pentingnya orang Islam berjaya dalam semua bidang, sosial, ekonomi, politik dan lain-lain sebagai satu daripada cara menarik perhatian, menambahkan kefahaman dan kehormatan, bahkan menawan hati orang bukan Islam untuk mengenali agama Islam dan kebaikannya," katanya. (Sumber)
------------------------------------------------
Komentar:
Saya seolah macam tak percaya apabila Tun Mahathir sendiri berucap dan mengulas mengenai sebuah pemerintahan negara Islam. Saya terfikir apakah ruang-lingkup sebenar dalam pemerintahan negara Islam ini, adakah saya cetek ilmu mengenainya ataupun Mahathir sendiri yang tidak faham ruang lingkup sebenar pemerintahan Islam. Ya, mungkin jika hendak mahu membuat perbandingaan, ilmu Mahathir lebih tinggi dari saya, kalau tidak mana mungkin beliau mampu memimpin negara. Tetapi dalam pembelajaran saya dalam hidup, pengetahuan saya mengenai pemerintahan Islam itu melebihi dari jenis-jenis pemerintahan yang sedia ada sebelum ini. Kata lain ia merangkumi segala ruang lingkup kehidupan manusia, bahkan episod selepas kehidupan itu juga.
Tun Mahathir pasti tahu dalam pembentukan negara Islam itu, Al-Quran dan Sunnah menjadi pelembagaan utama, selain Ijma' ulama. Ia merupakan sebahagian daripada perkara-perkara penting di dalam Hukum Islam. Di dalamnya tertakluk perlaksanaan Islam yang menyeluruh sehingga ulama'-ulama' besar yang muktabar memberi perhatian kursus di dalam kitab-kitab mereka. Di antaranya ialah al-Mawardi, Imam al-Haramain, al-Juwini, al-Ghazali, at-Taftazani, Ibnu Khaldun dan lain-lain.
Kita sebagai umat Islam yang tinggal di sebuah negara umat Islam (saya tak pasti lah ada orang anggap Malaysia ni negara Islam) seharusnya faham dan tidak memandang ringan tentang hal ini. Memang tiada yang silap dari apa yang Mahathir ucapkan dalam mesyuarat agung tahunan kebangsaan ke-48, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) semalam. Kemungkinan pandangan beliau mengenai pemerintahan sebuah negara Islam itu harus menitik beratkan soal kemajuan. Kerana beliau berpandangan Islam tidak menolak kemajuan. Kerana Rasullulah s.a.w pernah bersabda bahawa kefaqiran itu boleh membawa kepada kekufuran. Em..mungkin atas sebab itu Mahathir sangat menitik beratkan soal kemajuan ini kerana beliau sendiri tidak gemar Malaysia terlalu banyak hari bercuti umum. Tidak bekerja jadi mundur. Sehinggalah satu statement beliau dulu mengenai hukuman potong tangan yang juga dapat membawa kepada kemunduran negara. Wallahu'alam.
Dalam Sirah Rasulullah s.a.w, Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin bagi menyatukan umat yang berpecah belah. Penyatuan umat inilah yang selepas itu membawa kepada matlamat akhir iaitu membentuk sebuah negara Islam. Jika diamati, perkara utama yang menjadi pokok pemebentukan negara Islam itu adalah soal pemilihan pemimpin. Kerana pemimpin yang bertanggungjawab terhadap pemerintahan. Pemimpin tidak mempunyai kuasa mutlak sama ada pemerintahan itu orang perseorangan atau kumpulan. Mereka hendaklah menjalankan pemerintahan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu yang membawa unsur-unsur beriman, beribadat dan berakhlak di dalam politiknya. Mereka juga haruslah menolak pengaruh kebendaan dan kepentingan duniawi. Pengaruh kebendaan dan kepentingan duniawi yang membawa kepada kelalaian akhirat bukan meninggal terus dunia.
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada orang yang berhak kepadanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu, sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Melihat."
Pemimpin haruslah tahu tanggungjawab mereka dalam menegakkan Hukum Allah dengan seadil-adilnya dan menyelesaikan masalah umat dengan Hukum Allah. Bukan dengan hukum ciptaan manusia. Kerana ini amanah Allah kepada pemimpin untuk rakyat. Menyampaikan amanah kepada yang berhak sebagaimana ia menyuruh kakitangan dan pegawai-pegawainya bersifat amanah.
Em..rasanya sudah banyak kali 'kisah' hukum Allah di ceritakan. Mungkin ada mereka yang naik muak dan menyampah mendengarnya hari-hari. Mungkin ada yang ambil langkah berdiam diri dan bersikap buat-buat tak tahu. Malah ada juga yang malang menjadi penentang (termasuk juga para pemimpin). Kecelaruan rakyat dan pemimpin mencari solution bagi segala 1001 masalah yang berlaku dalam negara sebenarnya masih menemui jalan buntu. Padahal formula bagi solution ini telah ada sejak beberapa kurun yang dulu, ia telah pun ditemui dan dikaji, cuma ia masih tidak di 'uji' walaupun ia telah terbukti sebelum ini.
"Wahai orang-orang yang beriman! taatlah Allah dan taatlah Rasul-Nya dan Ulil Amri di kalangan kamu, kemudian jika kamu bertelingkah tentang sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Hadith) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan demikian lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya." An-Nisa' 59
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment