30 September 2009

Satu Tanggungjawab Besar, Kata Isa





PORT DICKSON, 29 Sept (Bernama) -- "Satu tanggungjawab besar," kata Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengenai pemilihannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Namun, beliau berjanji akan berusaha memastikan BN menang dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya kecil 11 Okt ini.

"Bila parti dah letakkan amanah, dah beri kepercayaan suruh bertanding, saya tak ada sebab untuk saya menolak. Ini adalah tanggungjawab dan saya sedia untuk memikulnya," katanya kepada pemberita selepas majlis Aidilfitri Bagan Pinang di sini Selasa.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004 itu berkata turun naik dalam politik adalah biasa.

"Dulu saya Menteri Besar, Menteri. Ini adalah perjuangan," katanya.

Isa berkata ini merupakan kali pertama beliau bertanding di kampung sendiri sedangkan selama ini beliau bertanding di DUN Linggi dan Parlimen Jempol.

Ketika ditanya bagaimana beliau mahu menangkis serangan pembangkang yang akan menggunakan isu politik wang sehingga beliau digantung keahliannya dalam Umno, katanya:

"Saya bukan melakukan jenayah, ini merupakan pelanggaran kod etika pemilihan, itu istilah yang pertama kita gunakan. Saya telah jalankan hukuman selama tiga tahun, jadi benda tu tak timbul lagi.

"Malah seperti yang saya katakan, kes-kes jenayah pun orang boleh terima, ada yang dah jadi Ketua Menteri, ada dah jadi Menteri dan ada yang bercita-cita nak jadi Perdana Menteri lagi, semua ada, jadi apa masalah?"

Katanya beliau sebenarnya telah diberitahu mengenai pemilihannya sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui panggilan telefon beberapa jam sebelum keputusan itu diumumkan oleh Muhyiddin.

Katanya reaksi pertamanya terhadap berita itu ialah hanya tersenyum.

Isa juga mengaku tidak marah kepada veteran Umno dan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mengkritik beliau baru-baru ini malah amat menghormati pemimpin itu.

Beliau melahirkan keyakinan BN akan menang dengan dengan majoriti besar kali ini berbanding keputusan pilihan raya umum tahun lepas.

Kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi BN dengan majoriti 2,333 undi pada pilihan raya umum lepas, menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor pada 4 Sept lepas. BERNAMA

-----------------------------------------------


Komentar:

Memetik kenyataan dari petikan: "Saya bukan melakukan jenayah, ini merupakan pelanggaran kod etika pemilihan, itu istilah yang pertama kita gunakan. Saya telah jalankan hukuman selama tiga tahun, jadi benda tu tak timbul lagi."

Sah pemimpin UMNO tidak berupaya membezakan yang SALAH dengan yang BENAR. Apatah lagi yang HALAL dengan yang HARAM. Pelik.., macamana mahu memimpin rakyat, diri sendiri pun masih gagal. Politik wang bukan soal kesalahan melanggar kod etika, TAPI kesalahan melanggar Hukum..bukan hukum manusia, bukan hukum yang UMNO punya Tuan buat, tapi hukum Tuhan (Tuhan pemimpin2 UMNO). Tak hairanlah, memang dulu lagi UMNO tolak hukum Allah, maka tak mustahil pemimpinnya sendiri turut menolak.

"Satu tanggungjawab yang besar", kata Isa. Ya betul..hang TANGGUNG kat dunia, JAWAB la di akhirat nanti..wallahu'alam


" Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itupun nyata (terang). Dan diantara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran yang tidak diketahui akannya oleh ramai manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam perkara yang haram."
Hadith Nabi s.a.w


No comments: