Projek Menara Taming Sari telah dimulakan pada 29 Januari 2007 dan disiapkan pada 6 Disember 2007 dengan kos RM26.3 juta. Kerajaan Negeri telah meluluskan pinjaman kepada Kumpulan Melaka Berhad (KMB) berjumlah RM23.4 juta pada tahun 2007 dan 2008 bagi membangunkan Menara Taming Sari.
Menurut laporan audit, Mesyuarat Lembaga Pengarah KMB pada 8 April 2008 memutuskan untuk menyewakan premis Menara Taming Sari kepada anak syarikat milik penuh KMB iaitu Melaka Taming Sari Berhad (MTSB). Penyewaan ini termasuk pengurusan operasi menara dan penyewaan ruang perniagaan mulai 1 Julai 2008 selama 10 tahun dengan kadar RM0.35 juta sebulan.
Berdasarkan semakan Audit terhadap pengurusan penyewaan Menara Taming Sari mendapati sewa yang sepatutnya diterima sehingga bulan Jun 2010 adalah berjumlah RM8.40 juta. Bagaimanapun sewa yang telah diterima hanya RM4.72 juta manakala RM3.68 juta masih tertunggak.
Mengikut perjanjian, KMB perlu menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM7.50 juta mulai Januari 2009. Bagaimanapun sehingga Jun 2010, KMB hanya menjelaskan bayaran balik pinjaman berjumlah RM2.30 juta dan baki tunggakan berjumlah RM5.20 juta masih belum dijelaskan walaupun KMB telah menerima hasil sewa RM4.72 juta daripada Melaka Taming Sari Berhad (MTSB).
Berapa lama lagikah masa yang perlu diambil oleh Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) menjelaskan bayaran sewa? Dikala rakyat Melaka dihimpit dengan bebanan kos yang terlalu tinggi, kerajaan negeri pula sibuk mengejar pembangunan sehinggakan terabai kepentingan rakyat. Bukan kita menolak pembangunan sebaliknya selesaikan dahulu masalah rakyat supaya kebajikan rakyat selari dengan pembangunan yang ada.
Ia boleh diibaratkan pembangunan itu seperti sebuah kereta dan rakyat itu sebagai jalannya. Sebuah kereta itu berharga ratusan ribu ribu ringgit namun tidak dapat bergerak di atas jalan yang rata kerana berlubang. Kesimpulannya, kebajikan dan pembangunan biarlah selari agar rakyat dapat menikmati pembangunan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Pembangunan yang dilaksanakan melebihkan pelancong dari rakyat sendiri.
No comments:
Post a Comment