07 October 2009

Makkal Sakhti celupan BN




KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pelancaran parti politik, Makkal Sakti, pada Sabtu ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat India tentang kemungkinan wujudnya agenda tertentu di sebalik penubuhannya.

Lantas reaksi orang ramai, terutamanya kaum India, ialah sama ada Makkal Sakti akan menjadi parti alternatif atau sekadar mahu mendorong perubahan dalam MIC yang sejak 63 tahun lepas mewakili komuniti itu.

Dr S Sivamurugan, penganalisis politik di Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), berpendapat penubuhan parti politik baru seperti Makkal Sakti tidak boleh dianggap sebagai parti alternatif kepada MIC.

"Tak mungkin ada parti dapat menggantikan MIC tetapi Makkal Sakti boleh menjadi parti alternatif bagi menyelesaikan masalah kaum India yang gagal ditangani oleh MIC," katanya.

Sivamurugan berkata Makkal Sakti boleh berfungsi sebagai platform untuk memujuk dan mengumpulkan parti komponen India lain seperti Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang enggan bekerjasama dengan MIC tetapi menyokong Barisan Nasional, agar dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat India.

"Jika parti-parti politik India bekerjasama mereka dapat membantu 30 peratus rakyat India yang berada di bawah garis kemiskinan. Mereka boleh sama-sama bantu mendapatkan pekerjaan kepada generasi muda, bantuan pendidikan kepada pelajar India dan memberikan bantuan kebajikan bagi yang memerlukan," katanya.

Satu tinjauan rambang Bernama di Jalan Brickfields dan Lebuh Ampang, dua kawasan di ibu negara yang popular dalam kalangan kaum India untuk membeli-belah, mendapati reaksi yang hampir serupa.

Ada yang mengakui bahawa MIC merupakan parti yang memperjuangkan hak kaum India untuk tempoh yang lama, namun kini tidak disukai disebabkan oleh gelagat beberapa pemimpinnya.

"Kemarahan masyarakat India adalah terhadap kepimpinannya dan bukan terhadap parti berkenaan," kata S.Thiagarajah, 40, bekas guru yang kini menjalankan perniagaan sendiri.

M.Alice, 58, pula berharap kehadiran Makkal Sakti akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pemimpin-pemimpin MIC yang sebelum ini bersikap sambil lewa melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Kini mereka akan bangun dari tidur dan mula sedar tentang pentingnya sokongan rakyat India terhadap parti itu, jika tidak mereka akan terus lupakan tanggungjawab mereka, sedangkan rakyatlah yang menjadi kunci kepada jawatan yang disandang oleh mereka kini," katanya.

M.Nanthini, 33, seorang pegawai syarikat swasta, berpendapat saingan daripada parti baru adalah baik untuk MIC.

"MIC adalah parti utama mewakili masyarakat India, dan ia akan wujud selama-lamanya. Namun, sebagai satu pilihan, kita perlukan sebuah parti lain supaya MIC sentiasa akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada kaum India," katanya. S.Tamilmagan, seorang pekerja swasta, pula berkata MIC memang berjasa kepada masyarakat India tetapi parti itu tidak bersatu.

"Jadi, jika ada sebuah parti baru yang boleh menyatukan semula kaum India, apa salahnya?" katanya.

P.Ganesh, 23, pelajar kolej swasta tempatan berkata, kemunculan Makkal Sakti sedikit sebanyak akan dapat menyedarkan pemimpin MIC untuk berubah. BERNAMA


_____________________________



Kelab Penyokong PAS India (sekadar gambar hiasan)


Komentar:

Saya boleh katakan Parti Makkal Sakhti Malaysia ini hanyalah parti slapstik yang kononnya menjadi parti yang menyatukan kaum India. Lakonan yang mengatakan parti ini tidak berada di belakang mana-mana parti sasmada di pihak BN atau PR hanyalah taktik untuk menarik kembali kepercayaan kaum India yang rata-rata telah berpecah-pecah. Konflik dalaman antara MIC dan beberapa pimpinan BN yang merangkap suara BN sebelum ini telah memyebabkan ramai anggota MIC dan masyarakat India telah hilang kepercayaan pada parti itu.

Parti Makkal Sakthi sebelum ini telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan bukan sahaja mendapat sokongan moral Najib Razak malah juga menerima habuan kewangan lumayan daripada Perdana Menteri, Makkal Sakthi juga dikatakan telah mengikat perjanjian untuk menerima lebih RM30juta daripada tabung Barisan Nasional untuk melengkapkan dirinya sebagai parti pilihan kaum India, menggantikan MIC, kata lain bagi menarik kembali mood kaum India kepada parti BN yang sebelum ini dingin.

Ya, mungkin ada kebaikannya jika penubuhan parti tersebut adalah untuk menyatukan kaum India, setelah melihatkan MIC gagal berbuat demikian. Namun, parti ini harus mengakui bahawa parti ini adalah antara parti komponen BN. Jangan berlakon seolah-olah sebuah parti bebas dalam membawa agenda kaum India. Mungkin juga bagi saya, demi untuk mengembalikan kepercayaan kaum India yang rata-rata hari ini telah allergic dan menyampah dengan BN, mereka terpaksa mengatakan mereka sebuah parti bebas. Sokongan kaum India kebanyakan telah beralih arah. Keputusan PRU dan beberapa PRK lepas menunjukkan sokongan kaum India begitu tinggi di pihak pakatan terutamanya di kaawasan majoriti kaum India di situ (seperti Bukit Selambau).

Inilah 'alat' terbaru BN bagi mengembalikan maruah parti mereka. Terutamanya sokongan dari kaum India. BN tahu sekiranya kaum India berpecah belah dan banyak parti-parti politik maka orang India akan lemah. Dengan ini BN mudah mahu mempergunakan kaum India demi kepentingan mereka.

Di Bangan Pinang ini, BN kelihatan cuba mengambil hati kaum India. Mereka takut masyarakat India di Bangan Pinang terkesan dengan apa yang berlaku antara MIC dan BN sebelum ini. Dimana kesan ini dapat menganggu mood pengundi India yang mewakili 2800 undi andai tidak menyokong BN. Ketika penamaan calon yang lepas juga, jika dilihat ramai kaum India yang majoritinya anak muda datang memberi sokongan pada calon BN. Seolah-olah BN cuba memberitahu bahwa kaum India masih menyokong mereka.

Jika dilihat apa yang berlaku sebelum ini di Bagan Pinang, masyarakat kaum India telah dipinggirkan oleh kerajaan BN. Banyak janji-janji manis BN taburkan kepada kaum India tidak ditunaikan sehingga membuatkan kaum India disana di pinggirkan, sekolah-sekolah mereka amat daif sekali, dimana kelihatannya bumbung yang bocor, paip yang pecah dan ini adalah tanda kepada kehidupan yang begitu daif. Malah kaum remaja India ada yang berpindah kekawasan lain untuk mendapatkan kerja yang lebih baik setelah tiada peluang di tempat mereka.

Hari ini, penubuhan Parti Makkal Sakhti oleh BN dilihat sebagai peluang bagi mereka, kerana mereka berasa begitu yakin yang mereka akan dapat memenangi semula hati kaum India. Namun BN tidak harus terlalu yakin kerana satu kajian yang dijalankan keatas kaum India yang mempunyai 20% undi dari 13000 pengundi secara keseluruhannya di Bangan Pinang ini, menunjukkan bahawa mereka yang akan memangkah PR nanti adalah disebabkan perasaan marah kepada Umno dan MIC yang meminggirkan mereka selama ini. Menurut Vashantha Kumar, yang juga bekas pimpinan Hindraf, yang mahukan masyarakat India memeberikan undi kepada calon PAS manakala , Uthaya Murthy pula menyeru agar kaun India memboikot pilihanraya ini untuk menunjukkan betapa mereka marah dengan apa yang terjadi. Wallahu'alam

Makkal Sakhti..Parti Celupan BN...




No comments: