“Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat”
(Surah As-Syuara’ : 214)
PAGOH, 18 Dis — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta jentera Barisan Nasional (BN) dan Umno supaya bukan sahaja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, sebaliknya meningkatkan jumlah sokongan pengundi kawasan berkenaan.
Muhyiddin berkata pilihan raya kecil tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak dan BN memerlukan penglibatan secara bersatu sebagai syarat mencapai kejayaan.
“Rekod dulu memberangsangkan tetapi apa yang penting bukan sahaja setakat pertahankan tetapi kalau boleh kita tingkatkan lagi jumlah sokongan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis gempur NKRA 1Azam (Akhiri Zaman Kemiskinan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Daerah Muar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan diadakan pilihan raya kecil DUN Tenang ekoran kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, semalam.
Muhyiddin berkata beliau dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan jentera BN dan Umno bersedia menggerakkan persiapan bila-bila masa pilihan raya diadakan.
Mengenai calon yang bakal dipilih, beliau berkata ia akan diumumkan apabila tiba masanya.
Allahyarham Sulaiman, 59, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur, pukul 1.10 pagi semalam akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.
DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dan kira-kira 50 peratus pengundi adalah kaum Melayu.
Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 2,492 undi menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran. — Bernama
p/s: err..pembetulan, bukankah jentera Kerajaan tu adalah jentera BN..?? itu kan mak bapak mereka yang punya...??
MELAKA 16 Dis. - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, orang Islam yang berfahaman pluralisme agama iaitu mendakwa kesemua agama adalah sama baik dan sama benar adalah kafir dan murtad.
Menurutnya, fahaman seperti itu adalah haram dan jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah.
''Pluralisme adalah haram. Kita mana boleh kata semua agama sama dengan Islam. Kalau orang Islam kata semua agama adalah sama dengan Islam, mereka yang berkata begitu adalah kafir.
''Dalam kitab dan hukum syarak telah menyebut mereka yang mengamalkan fahaman pluralisme dianggap sebagai kafir dan murtad," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-92 yang berlangsung di Hotel Equatorial, di sini hari ini.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 22 ahli jawatankuasa fatwa kebangsaan terdiri daripada mufti seluruh negeri dan dijadualkan berakhir esok.
Harussani berkata, di Malaysia, semua agama dilayan sama adalah wajar malah tindakan itu turut disarankan oleh agama Islam.
''Di Malaysia, kita wajar menghormati agama lain tetapi kita tidak boleh mengakui agama Islam sama dengan agama lain," tegasnya.
Beliau menambah, fahaman pluralisme atau kesamarataan di dalam agama perlu ditolak oleh semua umat Islam di negara ini kerana ia boleh merosak akidah.
12 Dis – Pendedahan WikiLeaks yang dipetik oleh akhbar Australia, The Sun Herald membuktikan bahawa fitnah liwat terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim merupakan usaha jahat Cawangan Khas Polis Malaysia untuk menjatuhkan kredibiliti serta karier politik Anwar.
Menurut laporan tersebut, pimpinan tertinggi Singapura dan agensi perisikan negara itu dengan sengaja mengiyakan dan memanjangkan fitnah ke atas Anwar kepada agensi perisikan Australia, Office of National Assessment (ONA).
Sumber dhaif dan palsu yang dirujuk oleh agensi perisikan Singapura bersandarkan maklumat daripada Cawangan Khas Polis Malaysia membuktikan bahawa UMNO begitu terdesak melakukan apa sahaja untuk menghalang kebangkitan rakyat.
Namun begitu, petikan laporan tersebut menunjukkan bahawa Office of National Assessment Australia (ONA) yakin bahawa tuduhan terhadap Anwar merupakan satu perangkap sekaligus menolak kenyataan jahat pimpinan tertinggi serta agensi perisikan Singapura.
Pandangan ini adalah hasil daripada pantauan secara dekat oleh peguam senior Australia, Mark Terence Trowell QC serta kenyataan Senator Nick Xenophon, Ahli Parlimen Benas Australia Selatan yang mewakili 61 Senator Australia mempertikai prosedur perbicaraan kes fitnah terhadap Anwar yang jelas melanggar prinsip-prinsip asas keadilan.
Kita sedar bahawa agensi perisikan Singapura dan Cawangan Khas Polis Malaysia sudah bekerjasama sekian lama, tetapi kerjasama tersebut tidak menumpukan kepada keselamatan serantau tetapi menjurus untuk keuntungan politik kedua pimpinan tersebut.
Pimpinan Singapura termasuk Menteri Mentor Lee Kuan Yew tidak dapat menerima kepimpinan Anwar Ibrahim dan tidak mahu melihat Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya kerana ianya akan menjejaskan kedudukan mereka di rantau ini.
Mereka lebih rela pimpinan UMNO-BN memerintah negara kerana pimpinan korup ini dengan mudah melutut kepada segala tuntutan Singapura.
Fitnah tidak akan bertukar menjadi kebenaran walau diulang hatta dalam media cetak atau elektronik.
KEADILAN dan Pakatan Rakyat yakin dengan kematangan rakyat untuk mempertimbangkan perkara yang benar dan yang bathil.
MOHAMED AZMIN ALI
12 Disember 2010
Di dalam konteks negara Malaysia, di ketahui kerajaan BN yang menguasai kerajaan pusat adalah menjadi pemerintah negara. Dengan majoritinya di kalangan pemimpin Islam yang menjadi penggubal dasar. Maka secara dasarnya, sistem yang di guna pakai seharusnya adalah sistem pemerintahan Islam, kerana menjadi kewajipan pemerintah yang beragama Islam itu menjadikan Al-Quran dan Hadis sebagai pelembagaan tertinggi di dalam negara.
Namun, bagaimana sekiranya, pemimpin Islam itu tidak melaksanakan sistem pemerintahan Islam?
Persoalan tidak melaksanakan sistem atau syariat Islam selalu di bangkitkan. Kita harus membezakan pemerintah yang tidak melaksanakan sistem Islam dalam masa yang sama mengunapakai sistem kufur dengan pemerintah yang menolak secara rasmi hukum-hakam di dalam Al-Quran untuk di guna pakai di dalam perlembagaan negara.
Barangkali pemerintah yang tidak melaksanakan sistem Islam itu masih berkeinginan untuk melaksanakan sistem Islam pada masa akan datang, namun di sebabkan faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan ia terpaksa di lewatkan. Atau sebaliknya pemerintah yang memang tidak mahu dan tidak berniat untuk menggunapakai perlembagaan Islam dengan menolaknya secara rasmi. Maka pemerintah kategori ini wajib di tentang
Jika pemerintah itu mendokong selain dari sistem Islam dan dalam masa yang sama mereka tidak melafazkan ucapan atau tindakan yang menghalalkan sistem kufur atau dengan kata lain mereka tidak menghina sistem Islam, mereka tidak di anggap sebagai terkeluar dari Islam. Aqidah mereka masih benar.
Namun, di dalam persoalan ini Profesor Dr.Yusof Al-Qardawi di dalam Fiqh Daulah menyatakan dengan jelas adalah tetap wajib menjatuhkan pemimpin tersebut atas persoalan pokok yang membabitkan dasar Islam
Sheikh Mohammad Naim Yasin di dalam kitabnya Al-Jihad pernah menulis tentang kefasikan dan buruk akhlak pemimpin Islam di mana dengan sikap dan akhlaknya itu akan mewujudkan suatu sistem kufur (bukan Islam) kepada rakyatnya sehingga menyediakn ruang-ruang maksiat dengan lebih luas yang menyalahi Aqidah dan Akhlak. Maka ia menjadi wajib bagi kaum muslimin bangkit menentang dan menjatuhkannya. Iaitu menjatuhkannya dengan cara yang benar-benar menguntungkan Islam dan kaum Muslimin.
As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi didalam Fiqh ad-Daulah menyebut tiga kekuatan yang perlu wujud dalam menjatuhkan kerajaan di zaman ini.
Pertama: Kekuatan ketenteraan.
Kedua: Parlimen yang mampu mengubah dasar.
Ketiga: Kekuatan pergerakan rakyat yang menyeluruh yang tidak mampu dihalang oleh sesiapa, sekalipun angkatan bersenjata. Sesiapa yang tidak mempunyai kekuatan ini hendaklah ia bersabar dan bersiap sehingga mampu memilikinya. Dalam masa tersebut maka dakwah diteruskan dengan lisan, menulis dan segala ruang yang ada.
Berbalik kepada realiti sistem pemerintahan negara Malaysia ini, kita telah semua sepakat dan ketahui perlembagaan dan sistem yang di guna pakai sekarang adalah dari Barat. Sejak Merdeka, Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956 telah menjadi asas kepada perlembagaan negara sehingga kini. Maka ianya sudah pasti menyimpang jauh dari sistem pemerintahan Islam. Inilah sebenarnya strategi musuh terhadap Islam sepertimana Khalifah Umar Al-Khattab menyebut, " Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leker umat Islam apabila berleluasanya di dalam Islam mereka yang tidak menggetahu sepak terajang jahiliyyah (musuh Islam)"
Persoalannya, bagaimana pula sikap pemerintah hari ini terhadap sistem Islam? Barangkali mungkin mereka berkeinginan dan masih menunggu masa yang sesuaiuntuk di laksanakan walaupun sejarah telah banyak merakamkan beberapa komen negatif terhadap sistem Islam dari mulut dan tindakan para pemimpin atau barangkali juga mereka memang tidak langsung berminat.
Ianya akan berbalik kepada persoalan sikap pemerintah dan sifat pemerintahan. Kita sebagai rakyat menilai. Menggunakan hujah Ulama' kotemporari Prof.Dr Yusof Al-Qarawi, hasilnya pada hari ini, pemerintah yang ada pada hari ini sudah wajib di jatuhkan dan di gantikan. Atas dasar apa? Iaitu tak lain tidak bukan atas dasar Islam. Apabila akhlak pemimpin Islam itu tidak lagi mencerminkan peribadi muslim seperti mana yang di katakan Sheikh Mohammad Naim Yasin, sehingga asbab dengan sikap pemimpin itu membuka lagi ruang kejahiliyyahan kepada rakyatnya.
Atas faktor itu, PAS hari ini berusaha untuk mengantikan BN-UMNO sebagai pemerintah. Dasar PAS yang membawa agenda Islam itulah menjadi kekuatan roh dan jasmani buat para amilin bekerja mengangkat kembali syiar Islam yang kian malap dek BN-UMNO yang memerintah sebelum ini.
Pembinaan akhlak dan syakhsiah yang baik di kalangan pemimpin PAS menjadi perkara asas dalam pembentukan fardil muslim. Masakan boleh matlamat negara Islam itu lahir dari individu yang tidak berperangai seorang muslim. Sepertimana kata Imam Hasan Al-Hudaibi,"Tegakkan negara Islam itu di dalam diri kamu, nescaya negara Islam akan tertegak di dalam tanahair kamu"
Inilah alasan asas dan mudah kenapa BN-UMNO harus di jatuhkan. Apabila peribadi pemimpin Islam itu tercemar, maka apakah jaminan pemerintahan yang di pandunya itu akan menjadi elok. Usah bicara tentang sistem Islam yang besar itu, andai akhlak dan syakhsiah diri masih kelam kabut, langgar segala halal dan haram. Hairannya bukan sekadar diri sendiri terus menerus melakukan dosa, malah membentuk pula undang-undang yang menghalalkan apa yang diharam dan sebaliknya sehingga melibatkan rakyat bawahan mendapat 'saham'.
Sebelum menjadi fitnah yang lebih besar agama, bangsa dan negara, lebih baik jatuhkan pemimpin seperti ini dahulu. Bagaimana? Tidak lain tidak bukan, dengan menggubah dasar di dalam parlimen melalui pilihanraya.
Allahu'alam
PETALING JAYA: Konflik dalaman, masalah imej dan indentiti Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini dijangka menghakis sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
Demikian menurut pandangan Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah ketika ditemubual oleh FMT sejurus beliau kembali dari Vietnam semalam.
"Tidak dapat dinafikan sama sekali secara persepsinya dan diperkuatkan lagi oleh data dari kajian yang dibuat oleh UM baru-baru ini, berlaku kemerosotan kepercayaan politik terhadap PR hasil dari masalah imej, indentiti dan konflik internal PKR sewaktu proses pemilihan parti itu baru-baru ini.
"Ini paling ketara ketika berlangsung proses pemilihan pucuk pimpinan baru-baru ini. Ia lebih mendatangkan kesan apabila pemimpin-pemimpin PKR termasuk sebahagian calon bertanding tidak bijak memahami media, tidak bijak dalam mengatur perhubungan awam dan juga dari segi komunikasi.
"Ini telah mewujudkan gambaran corak atau fenomena yang mereka berkelahi sesama sendiri dan tidak mempunyai konsensus secara pragmatik, secara praktikal terhadap visi yang hendak mereka bawakan," terang beliau.
Menurut satu kajian yang dijalankan di dua negeri yang dikuasai PR, Kuala Lumpur dan Selangor oleh Pusat Demokrasi dan Pengajian Pilihan Raya UM (Umcedel) baru-baru ini, beliau berkata, "Kajian itu mendapati 52 peratus daripada 1,124 responden berkata konflik dalaman PKR telah menghakis keyakinan terhadap kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim manakala 49 peratus pula berpendapat mereka kecewa dengan PKR.
Berdasarkan keputusan bancian itu lagi, sebanyak 43 peratus pula berkata perkembangan tersebut akan mempengaruhi keputusan mereka sama ada akan meberikan undi mereka kepada PKR atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.
PKR masih ada ruang
Bagaimanapun menurut Prof Abu Hassan lagi, keputusan tersebut masih bergantung kepada perkembangan semasa dan beliau tidak menolak kemungkinan PR, khususnya PKR sendiri masih mempunyai ruang untuk membaiki keadaan sebelum ketibaan PRU 13 nanti.
"Tetapi sejauh mana kemerosotan itu berlaku masih lagi dalam peringkat perkembangan. Kemungkinan ianya akan berubah atau sebagainya bergantung kepada demografi pengundi terbesar iaitu yang berumur 21 hingga 40 tahun yang kebanyakannya menyokong pemikiran alternatif iaitu PR.
"Jadi selagi tidak ada data demografi yang mewakili kelompok ini secara detail, masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi menarik semula kepercayaan tersebut," ujar beliau lagi.
Sebelum ini dalam perkembangan bancian yang dijalankan oleh Umcedel tersebut, Anwar mendakwa laporan media yang memburukkan nama parti dan imejnya tidak mendatangkan kesan.