05 December 2010

Antara Kotornya Pembangkang dan Sucinya Kerajaan.


Orang UMNO dan orang atas pagar selalu cakap, kenapa puak-puak Pembangkang suka berceramah di sana-sini dan suka buat demonstrasi. Tak ada keje lain ke?

Jawapannya, memang itu kerja Pembangkang dari dulu lagi. Berceramah dan berdemo. Walaupun hari ini kerja tradisi pembangkang ini sudah mula di ikuti pihak bukan pembangkang...tak apa lah.

Kehadiran 'Pembangkang' dalam suatu negeri/negara itu suatu keperluan dan sunnah alam. Bahkan pada zaman Nabi-nabi terdahulu pun wujudnya pihak pembangkang, baik yang menjadi pembangkang itu memperjuangkan Kebenaran atau yang menjadi menentang Kebenaran. Namun kebiasaannya yang menjadi pemerintah itulah yang sentiasa di bangkang oleh puak Pembangkang. Seperti di zaman Firaun yang ketika itu menjadi pemerintah yang zalim, siapa yang menjadi pembangkangnya? Di zaman Raja Namrud? Bahkan di zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w, juga wujudnya pembangkang di kalangan kafir Quraisy.

Persoalannya, apakah 'mind-setting' masyarakat terhadap Pembangkang pada hari ini, di Malaysia?

Doktrinisasi BN dan UMNO yang di lihat berjaya mempengaruhi minda masyarakat tentang kehadiran pembangkang itu suatu gangguan. Label pembangkang itu seolah-olah menjadi fobia ke dalam masyarakat ibarat membawa dosa bersama di atas title pembangkang itu. Bahkan menjadi pihak 'Kerajaan' pula seolah-olah menjadi suatu 'kesempurnaan iman' dalam diri. Sebab itu ramai orang yang mengharapkan untuk kerja di sektor kerajaan, ada banyak faedah, boleh dapat gaji pencen, buat loan dll. Seolah-olah hanya kerajaan sahaja yang memberi makan. Nauzubillah.

Sepatutnya apa berlaku di sebuah negara demokrasi di Malaysia hari ini, kehadiran pihak pembangkang tidak harus menjadi ketakutan dan ancaman kepada negara. Ianya seharusnya di lihat dari sisi yang terbuka, bukan jumud, kolot seperti yang UMNO-BN fikirkan, apa pihak kerajaan buat semua tak betul.


Dah memang tak betul, sebab itu kena bantah. Negara ini milik rakyat. Di bangunkan dengan titik peluh rakyat, duit negara itu duit dari kocek rakyat. Mereka yang dilantik menjadi wakil rakyat atau pemimpin itu pun di pilih oleh rakyat. Maka andai berlaku kesilapan oleh menteri atau pemimpin, ia wajib di tegur. Oleh sebab itu kehadiran pihak pembangkang itu menjadi perantara rakyat untuk menegur pemerintah.

Bayangkan jika tiada pihak pembangkang di dalam negara Malaysia hari ini,...habis naik semua harga barang, berlakulah banyak penyelewengan, rasuah orang atasan, kronisme, nepotisme, pembaziran sana-sini. Siapa nak membela kes Altantuya, kes Teo Beng Hock, adik Aminulrasyid, dll. Isu moral pula, masalah buang bayi, murtad, hedonisme melampau, penghinaan kepada agama, rasis dan lain-lain. Ada kah isu ini di bangkitkan sendiri oleh pihak kerajaan?..Itu belum cerita lagi tentang ketidak telusan dan 'double-standard' badan-badan bebas, seperti SPR, SPRM, Institusi Kehakiman, Jabatan Agama, dan lain-lain.

Parti Pembangkang bukanlah parti yang tidak berdaftar atau haram. Tidak menjadi kesalahan kepada mana-mana orang mahu menubuhkan parti lain selain parti pemerintah dan boleh menjadi ahli di bawahnya. Cuma di Malaysia berbeza sikit walaupun mengamalkan demokrasi, menjadi pembangkang beerti menjadi penentang, menjadi puak kelas kedua. Layanan yang kurang dan di nafikan hak. Di sekat dengan Akta-akta, di halang oleh pihak berkuasa dan keselamatan, di nafikan hak untuk bersuara di hadapan umum, samada di pentas ceramah, atau di media-media arus perdana.

Sistem politik di Malaysia masih tidak matang, demokrasi yang di cipta pihak kerajaan hanyalah omong-omong kosong yang hanya valid di atas kertas. Ketidak 'gentle-man' nya pemimpin yang ada hari ini di lihat begitu takut untuk turun dari kerusi empuk mereka walaupun di desak rakyat atas ketidak'relevan'nya lagi peranan mereka memikul amanah. "Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong"

Di Jepun parti Liberal Demokrat telah mentadbir negara itu selama 5 dekad tetapi akhirnya rakyat Jepun meletakkan parti itu di pihak pembangkang kerana masalah-masalah yang telah dialami oleh rakyat negara itu. Begitu juga di Amerika Syarikat, Parti Democrat dan Republican bergilir-gilir memerintah kerana rakyatnya menggilirkan mereka untuk mentadbir negara. Mereka yang tidak di pilih atau tidak layak akan menggantikan dengan mereka yang lebih baik. Secara gentle-man.


Di Malaysia, BN yang memerintah lebih 50 tahun masih berkuasa. Mereka bukan sahaja di lihat berkuasa, malahan takut kehilangan kuasa. Betapa takutnya BN kepada kehilangan kuasa sehingga memperalatkan kuasa yang mereka ada. Menggunakan kuasa menyekat mereka yang dianggap penghalang, mereka yang di anggap ancaman. Inilah sebenarnya kekufuran nikmat yang dilakukan BN kepada Allah. Kufur dengan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin. Kufur dengan kuasa, pangkat dan harta, sepertimana yang berlaku kepada Qarun dan Haman yang takut kehilangan harta dan pangkat yang akhirnya di hancurkan Allah dengan harta dan pangkat mereka sekali.

Ingatlah firman Allah," Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."Al-Ahzab 72

Wallahualam.

p/s: sehingga hari ini masih wujud negeri Pembangkang...pelik, pelik??

No comments: