PETALING JAYA: Konflik dalaman, masalah imej dan indentiti Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini dijangka menghakis sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
Demikian menurut pandangan Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah ketika ditemubual oleh FMT sejurus beliau kembali dari Vietnam semalam.
"Tidak dapat dinafikan sama sekali secara persepsinya dan diperkuatkan lagi oleh data dari kajian yang dibuat oleh UM baru-baru ini, berlaku kemerosotan kepercayaan politik terhadap PR hasil dari masalah imej, indentiti dan konflik internal PKR sewaktu proses pemilihan parti itu baru-baru ini.
"Ini paling ketara ketika berlangsung proses pemilihan pucuk pimpinan baru-baru ini. Ia lebih mendatangkan kesan apabila pemimpin-pemimpin PKR termasuk sebahagian calon bertanding tidak bijak memahami media, tidak bijak dalam mengatur perhubungan awam dan juga dari segi komunikasi.
"Ini telah mewujudkan gambaran corak atau fenomena yang mereka berkelahi sesama sendiri dan tidak mempunyai konsensus secara pragmatik, secara praktikal terhadap visi yang hendak mereka bawakan," terang beliau.
Menurut satu kajian yang dijalankan di dua negeri yang dikuasai PR, Kuala Lumpur dan Selangor oleh Pusat Demokrasi dan Pengajian Pilihan Raya UM (Umcedel) baru-baru ini, beliau berkata, "Kajian itu mendapati 52 peratus daripada 1,124 responden berkata konflik dalaman PKR telah menghakis keyakinan terhadap kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim manakala 49 peratus pula berpendapat mereka kecewa dengan PKR.
Berdasarkan keputusan bancian itu lagi, sebanyak 43 peratus pula berkata perkembangan tersebut akan mempengaruhi keputusan mereka sama ada akan meberikan undi mereka kepada PKR atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.
PKR masih ada ruang
Bagaimanapun menurut Prof Abu Hassan lagi, keputusan tersebut masih bergantung kepada perkembangan semasa dan beliau tidak menolak kemungkinan PR, khususnya PKR sendiri masih mempunyai ruang untuk membaiki keadaan sebelum ketibaan PRU 13 nanti.
"Tetapi sejauh mana kemerosotan itu berlaku masih lagi dalam peringkat perkembangan. Kemungkinan ianya akan berubah atau sebagainya bergantung kepada demografi pengundi terbesar iaitu yang berumur 21 hingga 40 tahun yang kebanyakannya menyokong pemikiran alternatif iaitu PR.
"Jadi selagi tidak ada data demografi yang mewakili kelompok ini secara detail, masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi menarik semula kepercayaan tersebut," ujar beliau lagi.
Sebelum ini dalam perkembangan bancian yang dijalankan oleh Umcedel tersebut, Anwar mendakwa laporan media yang memburukkan nama parti dan imejnya tidak mendatangkan kesan.
No comments:
Post a Comment