31 August 2009

Salah siapa?


KUALA LUMPUR 31 Ogos — Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam “Ops Masih Ada yang Sayang” yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini.


Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.


Pengerusi Perkid Selangor Masridzi Sat berkata kesemua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.


“Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup,” katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, hari ini.


Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.


Masridzi berkata kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.


Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial.


Sumber : Utusan Meloya

--------------------------------------------------


Komentar:

Mahu tunding jari pada siapa? Inilah hadiah tahunan kerajaan buat rakyat, semakin hari imej remaja semakin dipandang sinis dan jelek oleh masyarakat. Keruntuhan moral di muka akhbar dan kaca tv semakin membimbangkan, tiada tanda ia akan reda. Sungguh, saya merasa simpati kepada remaja hari ini yang semakin hari di hidangkan dengan pelbagai hiburan dan budaya yang tidak bermoral sehingga menjadikan imej remaja hari ini terlalu rendah di mata masyarakat. Padahal dosa mereka itu datang dari masyarakat sendiri.


Remaja hari ini lahir bukan secara tiba-tiba, mereka sebahagian dari masyarakat kerana mereka lahir dari kepompong masyarakat..yang awalnya dari tempurung keluarga..Tarbiyyah atau pendidikan mereka datang dari masyarakat, baik acuan baiklah hasilnya. Bagaimana kita lihat hierarki masyarakat, begitu juga la kita tahu siapa yang layak dipersalahkan. Adakah individu tersebut, keluarga, komuniti masyarakat setempat, atau penguasa negara? (tak dinafikan faktor anasir luar turut menyumbang seperti media).


Pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan. Masakan tidak kuasa dan lesen besar bagi segala program dan aktiviti adalah di bawah kuasa mereka. Namun, faktanya bagaimana bayang yang lurus terhasil dari kayu yang bengkok, Pemimpin negara turut terlibat dalam menggalakkan remaja dan masyarakat terus tenggelam khayal dalam hiburan melulu. Malah Perdana Menteri sendiri turut hadir dalam anugerah filem Bollywood GIFA pada tahun lepas di Genting Highland yang dikatakan Program itu dilobi dan dinaungi oleh isteri seorang menteri kabinet . Seorang raja turut mencemar duli memberi pujian dan hadiah apabila seorang rakyat negerinya menjadi juara AF. Pernah juga Menteri Pelancongan mencadangkan supaya kelab malam dilanjutkan waktu operasi hingga 4,00 pagi. Ini lah pemikiran pemimpin, kerana anggapan pemikiran para pemimpin, dunia remaja hanyalah hiburan.


Ini baru hal Hiburan


Benarlah kata Hukamak, “ Rakyat di atas agama (cara hidup ) raja-raja (pemimpin )mereka”

Merdeka..!!


Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu-padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.


Inilah kata-kata Dr Burhanuddin Al-Helmi. Perkataan yang membiaskan suatu perjanjian hebat mengenai erti sebuah kemerdekaan. Namuni berapa ramai rakyat Malaysia pada hari ini, terutama para pemuda-pemudi tahu dan kenal siapa dia Dr Burhanuddin Al-Helmi.


Seperti para pejuang dan tokoh nasionalis lain yang lahir di pertengahan abad yang lepas. Nama Dr. Burhanuddin Al-Helmi jarang dikenali. Kurang bahkan mungkin tiada tertera namanya di buku-buku sejarah sekolah, tidak seperti tokoh-tokoh yang lain yang lebih mendapat perhatian. Ya, seperti mereka kata, yang menang itulah yang menulis sejarah.


Jiwa Merdeka.!


Benar, sahutan dari Dr.Burhanuddin mengenai makna Merdeka. Sangat benar, dimana hari ini disaat kemerdekaan digenggam rakyat Malaysia, sejak 1957. Hakikat sebenarnya kita tidak Merdeka. Tidak Merdeka dengan sebenar-benar Merdeka.


Jiwa dan Semangat masih dijajah. Masih mencintai si mata biru, si kulit putih kekuningan, dan si rambut perang. Kita masih menyambung tradisi kolonial dari pemimpin kita. Gerbang tirani dan penindasan berterusan memerintah negara ini. Ini adalah fakta samada kita mahu terima atau tidak terpulanglah.


Merdeka bukan sekadar mengibar bendera, bersorak di malam 31 haribulan Ogos. Merdeka juga bukan hanya bermaksud kebebasan mutlak seorang pemimpin dan pemerintah, tetapi soal rakyat, suka dan gembiranya rakyat memenuhi kebebasan daripada tirani dan regim yang berautoriti mutlak. Kata lain, rakyat seharusnya menikmati segala kekayaan negara bersama, segala kemegahan negara adalah kemegahan rakyat.


Tidak perlu untuk menerangkan merdekanya seseorang dari sudut jiwa, pastinya setiap orang itu sendiri yang tahu akan keadaan jiwanya. Tetapi bagaimana kemerdekaan bagi watak sebenar seorang rakyat, rakyat yang benar-benar merdeka di dalam sebuah negara yang 50 tahun lebih merdeka..?


Keadilan rakyat..Merdeka rakyat

30 August 2009

Renungan: Masjid dan Politik

Masjid besar..fungsi kecil

Kita biasa dengar suara-suara yang menyatakan "masjid bukan tempat berpolitik". Bahkan intonasi begini dijadikan modal buat parti-parti, pertubuhan dan individu tertentu. Benarkah masjid bukan tempat untuk berpolitik? Adakah kesucian masjid akan tercemar andai dicampur dengan urusan-urusan politik didalamnya? Apakah yang sepatutnya peranan masjid?


Ada yang berselisih pendapat dalam dalam persoalan ini. Ada yang bersetuju dan ada yang membangkang. Masing-masing tidak dapat menerima pendapat orang lain. Persoalannya ialah, adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik? Apakah dalil keharusannya, jika hukumnya harus? Atau dalil pengharamannya, jika ia ditegah?


Menurut Yusof Qardawi, masjid merupakan Pusat Dakwah dan pemerintahan di zaman nabi s.a.w. Masjid di zaman Rasulullah s.a.w dahulu merupakan pusat kegiatan Jamaah Muslimin. Ia bukan setakat tempat beribadat dan sembahyang bahkan sebagai tempat beribadat, markaz ilmu, kelab sastera, parlimen, tempat perkenalan, tempat berkumpulnya rombongan-rombongan yang datang dari seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab, tempat Rasulullah s.a.w membuat pertemuan dengan mereka dan tempat Rasulullah s.a.w menyampaikan khutbah dan tunjuk ajarnya tentang seluruh kehidupan sama ada urusan keagamaan, kemasyarakatn dan pentadbiran.


Di dalam kehidupan Rasulullah s.a.w tidak ada pemisahan di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada masjid. Masjid di zaman Rasulullah s.a.w adalah markaz dakwah dan politik. Masjid Di Zaman Kegemilangan dan Zaman Kemuduran. Begitu juga di zaman Khulafa Ar Rashidin selepas Rasulullah s.a.w. Masjid dijadikan sebagai tempat pelbagai aktiviti sama ada aktiviti politik dan sebagainya. Abu Bakar as-Siddiiq menyampaikan ucapan dasarnya yang pertama di masjid. Disinilah beliau menerangkan program politik atau strategi pemerintahannya. Beliau berkata:

“Wahai manusia! Aku dilantik memerintah kamu. Aku bukanlah orang yang paling layak dari kalangan kamu. Jika kamu melihat aku berada di atas jalan yang benar, bantulah aku. Jika aku menyeleweng, perbetulkanlah aku.”


Umar bin al-khattab juga menyampaikan ucapan dasarnya di masjid, beliau berkata:


“Wahai manusia! Sesiapa yang melihat aku menyeleweng, perbetulkan aku!” Lalu seoang makmum berkata: “Demi Allah, jika kami melihat kamu menyeleweng, kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami!” Umar menjawab: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar, mereka yang akan membetulkan penyelewengan Umar dengan mata pedangnya.”


Masjid terus berfungsi di zaman sebaik-baik umat ini dan di zaman kegemilangannya. Tetapi ketika luputnya bintang tamadun Islam dan umat Islam menjadi mundur dalam segenap bidang kehidupan, fungsi masjid turut berubah. Masjid hanya dijadikan tempat menunaikan sembahyang sahaja.(dan mungkin ada sedikit pengajian ilmu). Khutbah yang diucapkan mati tidak bertenaga. (realitinya kita boleh lihat pada hari ini, berapa yang dengar dan berapa yang tidur). Kerana khatib bukan menyampaikan khutbah tetapi membaca khutbah. Ya, kita tidaklah menyalahkan 100% khatib yang berkhutbah atau yang mungkin membaca khutbah, tetapi mungkin juga mereka yang berautori yang menyediakan text khutbah. Ada diantara tajuk yang disediakan hanya berlegar di sekitar zuhud di dunia, mengingati kematian, fitnah kubur, dan azab akhirat.


Namun jika kita dapati ada sebahagian khatib yang bercakap mengenai permasalahan umat Islam, mengkritik suasana penyelewengan kehidupan umat, khususnya kezaliman pemerintah, kebisuan ulama dan kedinginan cendikiawan. Dan selepas itu, ada suara-suara yang berkata: "Khatib itu bercakap tentang politik…! " Politik Yang Diterima dan Politik Yang Ditolak. Kadang-kadang khatib yang dikatakan 'cakap politik' itu tidak dibenarkan untuk berkhutbah selepas itu. Amat malang bagi umat Islam yang pada hari ini telah diresapi dengan fenomena jumud pemikiran. Islam hanya layak di tempatkan di didalah vakum ibadah khususiyyah sahaja.


Saya tidak faham, kenapa ketika disebut kalimah ‘politik’, seolah-olah ia merupakan satu kehinaan atau jenayah? Sedangkan ilmu politik adalah satu cabang ilmu yang paling mulia dan orang yang berkecimpung dalam bidang politik adalah mereka yang memikul satu tugas yang paling mulia. Yang peliknya lagi ialah sebahagian ahli politik sendiri yang bertanya:”Adakah harus menggunakan masjid untuk tujuan politik?” Sedangkan mereka bergelumang dalam politik daripada hujung rambut ke hujung kaki. Politik itu sendiri bukanlah perkara mungkar dan kotor, andai ia mengikut garisan-garisan yang telah ditetapkan oleh prinsip-prinsip Islam dan berada di dalam lengkaran hukum dan nilai-nilainya. Kerana Islam itu sistem hidup manusia, yang mentadbir sagala kehidupan manusia, baik dalam politik, ekonomi, perundangan, pendidikan dan sebagainya.


Masjid diwujudkan untuk menangani seluruh permasalahan umat Islam dan setiap yang memberi kebaikan dalam urusan agama dan dunia mereka. Melalui masjidlah manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Hal ini dikenali sebagai ‘an-nasiihah’, salah satu kewajiban Islam yang diketahui, di mana Nabi s.a.w menjadikankannya sebagai seluruh agama sebagaiaman di dalam sabdanya yang bermaksud;


“Ad-Deen itu adalah nasihat…” Sahabat bertanya: “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Sabdanya: “Bagi Allah, Rasul, Kitab dan Imam Muslimin serta umat Islam seluruhnya.”


Inilah bahana Sekularism...Wallahu'alam

Melaka Bakal Jatuh ke Tangan Pakatan Rakyat?


Adakah bangunan merah ini akan menjadi hijau?

Melaka bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya ke 13 nanti. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa ianya adalah umpama angan-angan ‘Mat Jenin’ yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Malah penyokong dan pemimpin BN sudah pasti mentertawakan sesiapa sahaja yang mendakwa mereka akan kecundang pada Pilihanraya Umum akan datang.

Namun begitu pernah kita terbayang, Selangor dan Khir Toyo; Perak dan Tajol Rosli; Tsu Kon dan Pulau Pinang serta Kedah dan Mahdzir akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sebelum ini. Sudah tentu tiada siapa yang menduga selepas Pilihanraya Umum ke 12 semua negeri-negeri kuat BN itu akan bertukar pemerintah.

Begitu juga keadaannya dengan Johor dan Negeri Sembilan yang dikatakan tidak mempunyai ruang langsung untuk PAS menang walaupun dengan satu kerusi. Tetapi itulah yang berlaku. Apabila Johor dan Negeri Sembilan berjaya diteroka oleh PAS apabila PAS menang masing-masing 2 dan 1 kerusi DUN pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu yang penuh dengan sejarah.

Maka tidak hairanlah semua perkara mustahil seperti itu juga bakal berlaku di Melaka. Pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Pakatan Rakyat berjaya memenangi 5 kerusi DUN melalui DAP. 5 DUN yang dimenangi oleh DAP ialah Kesidang (YB Goh Leong San), Kota Laksamana (YB Betty Chew), Bandar Hilir (YB Tey Kok Kiew), Bachang (YB Lim Jak Wong) dan Ayer Keroh (YB Khoo Poay Tiong).

Dengan 5 kerusi yang sudah dalam tangan Pakatan hanya memerlukan 10 kerusi lagi untuk merampas negeri Melaka yang penuh sejarah ini. Apakah ini mustahil? 15 kerusi DUN sudah cukup bagi Pakatan Rakyat memperolehi majority mudah iaitu kelebihan 2 kerusi dari BN untuk memerintah Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN secara keseluruhannya. Jika Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi maka BN sudah tentu hanya mendapat 13 kerusi DUN sahaja.

Dari pengamatan pemerhati politik, Melaka juga akan mengalami perubahan iklim politik pada Pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Ini berdasarkan kepada ‘mood’ rakyat keseluruhannya yang dilihat semakin hari semakin condong meyokong Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi dengan kemenangan 7 kali berturut-turut Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia yang tempiasnya terkena kepada rakyat negeri Melaka.

Rakyat Melaka khasnya kaum Tionghua dan India semakin jelas menyokong Pakatan Rakyat sepertimana rakan-rakan dan saudara mara mereka di negeri-negeri lain. Jika senario seperti ini terus kekal hingga Pilihanraya Umum akan datang Pakatan Rakyat dijangka dengan mudah merampas kerusi DUN seperti Lendu, Machap, Bemban, Duyong, Klebang, Bukit Baru, Paya Rumput dan Merlimau yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang melebihi 20 %. Dengan kerja kuat yang berterusan Pakatan Rakyat dijangka dapat merampas 2 lagi kerusi majorit Melayu yang lain.

Oleh itu hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat untuk merobohkan ‘khurafat’ (hanya BN yang boleh memerintah Melaka) di Melaka akan menjadi kenyataan.

Namun begitu gerakerja untuk menyedarkan rakyat Melaka tentang betapa pentingnya negeri Hang Tuah ini di perintah Pakatan Rakyat bukan suatu perkara yang mudah dan enteng. Seluruh jentera Pakatan Rakyat mesti bekerja kuat dari sekarang tanpa menoleh ke belakang.

Pakatan Rakyat Melaka juga mesti memantapkan perpaduan sesama mereka bagi memberikan gambaran kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk menerajui Negeri Melaka. Persepsi ini amat penting kerana selagi rakyat tidak yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat maka selagi itulah mereka tidak akan mengundi Pakatan Rakyat.

Gerakerja secara kolektif, terancang, interaktif, kreatif dengan komitment tinggi di kalangan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat mesti dimulakan dengan segera tanpa berlengah.

Sejak akhir-akhir ini, Pakatan Rakyat Melaka dilihat mula menggerakkan jentera secara kolektif di mana banyak program-program bersama telah dijalankan. Antaranya gerakan mendaftar pengundi baru, ceramah bersama, program kebajikan rakyat secara bersama dan program turun padang bersama. Ini merupakan perkembangan sihat yang cukup menggerunkan BN Melaka.

Isu-isu tempatan yang begitu banyak sudah tentu boleh digunakan Pakatan Rakyat untuk menenggelamkan Ali Rustam dan kuncu-kuncunya. Isu paling besar yang sebenarnya memberikan kelebihan kepada Pakatan Rakyat ialah isu rasuah Ali Rustam, isu pembaziran kerajaan negeri, isu hutang lapuk kerajaan negeri, isu kronisme dan lain-lain sebenarnya belum dieksploitasi sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat.

Rakyat Melaka juga mesti diberi kefahaman yang cukup tentang hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Contoh-contoh program dan aktiviti kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat sekarang mesti diwar-warkan supaya rakyat negeri Melaka faham dan mengerti perbezaan antara pemerintahan Pakatan Rakyat yang mementingkan kebajikan rakyat dan pemerintahan kerajaan BN yang lebih mengutamakan tembolok pemimpin dan kroni-kroni mereka.

Dengan bantuan isu nasional dan antarabangsa maka tidak mustahil rakyat Melaka akan berubah dan beralih angin menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum akan datang.


--------------------------------------------------------------------------------


Komentar:

Memang tiada yang mustahil di dunia ni. Melaka bukanlah negeri yang mustahil untuk ditawan oleh pakatan rakyat, walaupun dilihat kulitnya begitu tebal dengan kulit UMNO-BN. Itu kulit, Isinya..siapa yang tahu?

Ini bukanlah angan-angan mat jenin, tetapi Optimis dengan rasa yakin..Optimis dalam erti kata sangat yakin dalam masa sama harus berusaha kearahnya.
Rasulullah dahulu pernah bercita-cita untuk menawan Rom dan Parsi yang pada ketika itu yang merupakan kuasa besar dunia. Adakah Rasulullah berangan-angan mat jenin..sudah tentu tidak, kerana baginda begitu optimis..optimis dlm masa sama berusaha kearahnya, dengan beberapa siri peperangan dan bantuan dari Allah..dan akhirnya berjaya..

Melaka tidak kurang halnya..kuasa besar dulunya oleh UMNO di melaka tidak mustahil akan jatuh di tangan Pakatan. Siri 'peperangan' pilihanraya di lihat banyak menyebelahi Pakatan dan sudah pasti adanya bantuan dari Allah. Ini syarat kemenangan. Syarat kemenangan bukan sahaja dari kekuatan dan usaha Pakatan, tetapi juga mengambil peluang dari kelemahan UMNO. Seperti kata Sun Tzu, dalam The Art of War,

"Know your enemy
Know your self
Know the ground
Know the weather
In a hundred battles you will never be in peril."


29 August 2009

Renungan: Ramadhan di Palestin

Al-Aqsa Mosque also know as Dome of the Rock

Alhamdulillah, segala puji dan puja kehadrat Allah yang telah memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu kembali dengan bulan yang mulia, bulan penuh berkat, yang di awalnya rahmat, pertengahannya manghfirah dan penghujungnya pembebasan api neraka. Syukur kepada Allah yang menjadikan Ramadhan sebagai madrasah buat kita membersihkan hati dan jiwa dengan malamnya melakukan qiyam ramadhan, siangnya berpuasa, menahan lapar dan haus, sehingga bibir kering, dahaga, badan terasa letih, lelah dan lemah. Ujian buat para mukmin.


Namun…


Pernahkah kita mendengar atau memperhatikan kondisi umat nabi Muhammad saw dan saudara muslimin kita, di negeri para nabi, negeri Palestin, khususnya di Gaza pada bulan Ramadhan tahun ini?


Adakah mungkin karana kesibukan beribadah di bulan Ramadhan, masalah Palestin menjadi sesuatu perkara yang diluputkan sebentar di dalam memori kita, yang mana sehingga hari ini penderitaan rakyat Palestin menjadi penderitaan yang berterusanm menghimpit kehidupannya, merana dan sengsara di tengah kebahagian saudaranya di negeri lainnya.


Saat ini kita berpuasa dan berbuka dengan pelbagai juadah yang lazat, dan malamnya bersenang-senang dengan ibadah Tarawih, umat Islam kita di Palestin sedang menggalami penderitaan akibat penjajahan yang berterusan dilakukan Zionis Israel. Penderitaan karana sulitnya untuk mendapatkan sumber makanan dan barang harian, susu untuk bayi, serta mendapatkan obat-obatan. Malah ada di antara mereka dinafikan untuk mengekpresikan nilai-nilai keimanan dalam bentuk ibadah kepada Allah terutamanya di bulan Ramadhan. Ini kerana ada mereka masih tidak dibenarkan masuk dan beribadah di masjid Al-Aqsa. Kota suci Al-Quds yang berusia 45tahun ini masih tidak diperkenankan oleh Yahudi Israel untuk umat Islam Palestin beribadah di dalamnya.


Jika dibenarkan, jemaah yang masuk dan beribadah di masjid Al-Aqsa ini ditatap dengan sinis dan penuh curiga ibarat seorang penjenayah yang diawasi polis. Malah, ada juga mereka yang digeledah dan disoal identiti, andai mereka yang berusia 45 tahun kebawah, pasti mereka akan diusir, tidak dibenarkan masuk untuk beribadah di dalamnya.


Perbuatan zalim Zionis Israel ini yang melarang umat Islam Palestin berkunjung ke masjid al-Aqsa, untuk bersolat dan beri’tikaf di dalamnya, jelas merupakan kezaliman keji dan sangat mencabuli hak umat Islam, hak umat Islam keatas masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam, yang merupakan hak milik umat Islam telah di cabuli oleh orang kafir. Ia merupakan perkara yang sangat asing dan jelik bagi kita yang mempunyai perasaan sense of belonging terhadap hak milik umat Islam. Namun bagi puak kuffar Yahudi, ia perkara biasa. Biarkan perbuatan mereka hanya Allah sahaja yang membalasnya.


Ingatlah, kutukan Allah (ditimpakan) atas orang-orang yang zalim. (yaitu) orang-orang yang menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan menghendaki (supaya) jalan itu bengkok. Dan mereka itulah orang-orang yang tidak percaya akan adanya hari akhirat.” Huud 18-19.


Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Kami tambahkan kepada mereka siksaan di atas siksaan disebabkan mereka selalu berbuat kerusakan”. An-Nahl 88

Sesungguhnya, bulan Ramadhan ini adalah bulan tarbiyah, bulan pembinaan, pada bulan ini juga kita dituntut untuk peduli terhadap mereka yang sedang kesusahan, dan kita disuruh untuk meringankan bebannya, contonya bersedekah, berzakat, berbuka puasa bersama mereka-mereka yang tidak mampu, anak yatim dan sebagainya..


Begitu juga perasaan peduli kita terhadap umat Islam Palestin (bukan sahaja kita pada mereka yang berhampiran dengan kita). Hendaklah kita sentiasa merasakan bahawa, jauhnya mereka itu hanyalah dari segi jarak dan geografi, tetapi dekatnya kita adalah melalui hati dan perasaan ukhuwah dan persaudaraan Islam yang menjadi ikatan kita kepada semua umat Islam di dunia. Semoga amal ibadah kita pada Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan tahun yang lalu. Wallau’alam


Jangan lupakan saudara kita di Palestina walaupun hanya dengan seuntai do’a.

"Tidak sempurna iman seseorang andai dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"

Hadith

28 August 2009

Kuil punya pasal, Lembu jadi Mangsa





Komentar:


Sejak bila UMNO begitu bersemangat berganding bahu dangan PAS dan PKR atas nama Islam. Andai video ini menjadi bukti mereka yang PAS dan PKR terlibat sama. Ia hanyalah taktik kotor UMNO yang boleh mengupah dan membayar sesiapa sahaja untuk bersama-sama mereka. Jika mahu merampas Selangor, gunakanlah saluran demokratik yang betul, melalui pilihanraya. Adakah UMNO hendak ulang taktik lanunnya di Perak?


Jika setakat melalak terlolong sambil bertakbir, siapa-siapa pun boleh, bukan orang PAS sahaja, orang UMNO yang tidak tahu baca Al-Quran pun boleh.(malah non-muslim sendiri tahu baca Al-Quran). Tapi apa yang peliknya, ada pula banner yang tertulis 'Take Beer..Take Beer..Take Beer'..Apa cerita? Bukan ke slogan 'Take Beer' ni, slogan modal politik UMNO untuk PAS, macam mana boleh ada di perhimpunan antara UMNO, PAS dan PKR? (saya juga ternampak slogan ini di Permatang Pasir). Saya melihat begitu harmoni sekali himpunan tersebut walaupun ada slogan-slogan kontroversi UMNO kepada Pembangkang..


Nampaknya, himpunan atau demo seperti ini telah meresap pada semua golongan dan parti. Jika dahulu ia sinonim dengan Pembangkang, namun sekarang UMNO pun berminat. Malah boleh bersama-sama turun dengan Pembangkang. Tapi, yang membezakan himpunan yang dianjurkan UMNO dan Pembangkang ini memang jelas. Himpunan anjuran UMNO pasti tenang dan selamat, tiada water-cannon atau gas pemedih mata berbanding sambutannya dari Pembangkang. Dan mungkin satu lagi perbezaan, himpunan anjuran UMNO ni, tidak kira masa, walaupun di Bulan Ramadhan yang mulia..main bedal sahaja..(mungkin ia hasil tarbiyyah Al-Tantuyya Najib)..


Teka-teki: Apa persamaan UMNO dan Lembu?


Berita berkaitan: Arak kepala Lembu bantah pindah Kuil (Biaqpila)

Sambutan Merdeka ke-52


KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang akan diadakan di Dataran Parlimen, Isnin ini dijangka berlangsung selama 40 minit dengan jumlah pesertanya terhad kepada kira-kira 8,600 orang.

:Ment:eri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, sambutan sederhana tahun ini mengambil kira keadaan wabak Influenza A (H1N1) dan bagi menghormati bulan Ramadan.

“Walaupun sambutannya sederhana tapi impaknya tidak kurang,” katanya dalam satu sidang media khas mengenai sambutan itu di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, semalam.

Menurutnya, kira-kira 1,600 orang, termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ketua pembangkang dan Ahli Parlimen serta Duta dan perwakilan asing akan berada di pekarangan Parlimen.

Seramai 6,000 rakyat akan membentuk dua barisan dan akan memenuhi sepanjang jalan bermula dari bulatan Bank Negara hingga ke pintu gerbang Parlimen.

“Sekitar 1,000 orang lagi terlibat selepas (pintu) gerbang sehingga pekarangan Parlimen.Sinar Harian


Komentar:

Upacara sambutan Hri Kemerdekaan dapat diibaratkan salah satu upacara ritual atau upacara tradisi rakyat Malaysia. Malah upacara-upacara sebegini bukan khusus pada sambutan kemerdekaan sahaja, malah sambutan-sambutan tahunan lain seperti menyambut tahun baru. Menjadi suatu perkara yang pelik andai upacara sambutan kemerdekaan atau tahun baru ini tidak dilakukan.


Biarlah bagaimana cara dan kaedah sambutannya, rakyat sendiri tidak dapat dan mampu menghalang, kerana di dalam pemerintahan kerajaan yang kita naungi ini sudah menjadi kebiasaan dan menjadi perkara lumrah. Malah, mungkin jika tidak dilakukan diibaratkan tidak ’sempurna iman’. Begitu akrabnya hubungan kerajaan dengan upacara sambutan sebegini.


Namun, bezanya sambutan kemerdekaan tahun ini sedikit sebanyak memberi nada yang seolah-olah ’kecewa’, nada yang keluar dari mulut pimpinan kerajaan yang terbabit. Ya, mungkin tidak semeriah berbanding tahun-tahun lepas. Tempoh sambutan pun sekejap, dan majlis di atur dan dihadkan kepada bilangan tertentu. Walaubagaimanapun, sambutan tetap dilaksanakan, hatta dalam suasana Ramadhan dan wabak H1N1 sekalipun.


Bagi mereka yang dari dahulu menolak sambutan-sambutan sebegini (atas alasan pelbagai maksiat berlaku), mungkin dilihat salah satu rahmat dan ’rahmat’. Rahmat dari bulan Ramadhan dan ’rahmat’ dari wabak selsema babi ini. Namun bagi mereka yang menjadi peserta tetap dan taksub dengan upacara sebegini, kemungkinan akan mengeluh, atau sama nadanya dengan pemimpin yang berkaitan.


Saya mungkin tergolong dalam golongan pertama tadi. Bagi saya sendiri, kita boleh lihat dan nilai perlaksanaannya nanti. Andai 40 minit yang diperuntukan tidak mengundang pelbagai musibah, baik musibah ’kecil’ seperti jangkitan selsema babi atau musibah ’besar’, iaitu program maksiat sebelum, semasa, selepas dan kesan seterusnya kepada generasi.


Saya tidaklah meredhai secara totalnya sambutan sebegini walaupun banyak lagi alternatif yang lebih baik dan tersedia untuk menyambutnya (lebih-lebih sebagai umat Islam). Ianya hanya pandangan dengan melihat perkara atau sambutan sebegini yang sudah menjadi ’makanan ruji’ yang dihidangkan kerajaan kepada rakyat dan tidak boleh dipisahkan lagi. Wallau'alam.


-biarlah mereka yang bertanggunjawab, TANGGUNG didunia dan JAWAB di Akhirat jika apa-apa berlaku-


Berita lain : Merdeka: Apakah percikan bunga api boleh kembalikan keyakinan rakyat? HarakahDaily

27 August 2009

'Tarbiyyah Al-Tantuyya' kot..

Ramai 'Ulama' UMNO yang lahir sekarang...

Apalah agaknya yang Najib faham tentang Tarbiyyah. Mungkin ia suatu cabaran bagi Najib untuk menggabungkan pentarbiyyahan dalam konsep 1 Malaysianya. Agak-agaknya bagaimana synchronization yang Najib dapat lakukan. Semuanya atas keupayaan dan kredibiliti Najib membawa agenda 1 Malaysia, dalam masa yang sama tidak mahu orang melihat konsep 1 Malaysia yang dibawanya kelihatan agak secular, jika hendak di bandingkan dengan konsep Islam Hadhari Pak Lah yang agak Islamik (kononnya).

Namun, masyarakat masing-masing ada interpretasi sendiri, sebagaimana interpretasi dan fahaman Najib tentang Tarbiyyah. Jika dilihat perkataan-perkataan islamik dari mulut Najib akan keluar apabila adanya isu-isu yang menyentuh hal-hal keagamaan, contohnya, hukum sebat, isu arak, syurga, neraka, dan lain-lain. Najib begitu lancar dan tidak pelat mulutnya mengulas isu-isu terbabit. Keupayaan beliau membuatkan orang begitu hairan dan pelik (mungkin ada rasa kaget). Anda bagaimana?..

Pengisian pentarbiyyahan ini haruslah bermula dari para pemimpin dulu ataupun ia berjalan serentak bersama orang dibawahnya. Ini bermakna semua pemimpin atau orang bawahan samada di peringkat parti atau kerajaan wajib menjalani satu modul latihan untuk membentuk pemikiran dan sakhsiah Islam yang sejati. Pentarbiyyahan berdasarkan modul latihan yang tidak hanya melalui teori semata-mata.

Dalam kes ini, bagaimana Najib dapat menyediakan modul latihan pentarbiyyahan yang baik dan efektif kepada rakyat khususnya untuk dirinya sendiri? Kemungkinan modul atau latihan yang dapat dilakukan beliau adalah melalui contoh tauladan yang ditunjukkan sendiri oleh beliau. Kata lain, modul atau latihan itu tidak semestinya mmpunyai suatu manual yang di tulis, tetapi juga boleh melalui kaedah praktikal dan tindakan beliau sendiri pamerkan. Pandangan saya ia lebih berkesan, kerana jika modul atau manual latihan yang berbentuk teori sudah telalu banyak, bahkan dalam konsep Islam Hadhari itu sendiri yang ada.

Saya tidak pandai sangat nak bercerita tentang Tarbiyyah, Cuma apa yang saya tahu dengan mengambil contoh pentarbiyyah anak-anak oleh ibubapa seawal-awal usia. Banyak kajian yang dilakukan, pentarbiyyahan atau pendidikan yang paling berkesan dan baik melalui role-model dan tindakan yang dilakukan oleh ibubapa, baik melalui perbuatan atau perkataan. Keberkesanaan anak-anak menerima didikan atau tarbiyyah dari ibubapa itu adalah melalui setiap apa yang dilihat anak-anak. Begitu juga masyarakat. Hatta masyarakat tidaklah sepenuhnya disamakan dengan anak-anak kecil, yang hanya menerima apa yang diberi. Kerana masyarakat punyai akal yang begitu masak untuk berfikir dan menilai.

Rumusannya, bak kata orang putih, action speaks louder than words..biar banyak tindakan dari perkataan. Dalam konteks dakwah pun Nabi beri kaedah, iaitu bil hal..Semua orang dah tahu. Jadi tanpa mengulas panjang..kesimpulan, semua datang dari tindakan para pemimpin, agar rakyat tidak hanya menjadi tunggul, ertikata lain, berbuih pemimpin cakap, rakyat buat dunno je. So Najib? Mungkin rakyat hendak kata, Oh Najib please do walk your talk..

Pandangan dari petikan berita Utusan Malaysia

26 August 2009

Isu Sebat : Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir


Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata :

"Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?
Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan."

Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya.

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA

Sebelum saya menghuraikan ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu.

Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-

* Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alcohol (arak).

* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alcohol (arak)

* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

(Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.

Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.

Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dalam lain-lain negara aktif arak.


HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )

Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث

Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK

Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawabnya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1) Hadis Nabi :

إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم

Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)

2. Hadis Nabi :

أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]

3. Hadis Nabi

كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين

Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]

4. Hadis Nabi :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين

Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4]

5. Athar sahabat

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5]

6. Hadis Nabi

أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال

Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6]

Jiak dikatakan, itu semua hadis, mana dalil al-Quran yang suruh, jawabnya adalah

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)

Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA

Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1) Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir.

Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagaihukuman hudud.

Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.

Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud.

c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam.

2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.

Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.

Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.

BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?

Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud

Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.

Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.

Jika Ta'zir

Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.

SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?

Pertama

Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tiada layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menysatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebagai yang lain. Kerana Apa adil?? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia. Individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri.

Kedua

Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kashian dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.

Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu [9] :-

· Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.[10]

· Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja.

· Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dam pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan.

· Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan.

· Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.

Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.

Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.

Ketiga

Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?.

Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah yang reda dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.

Keempat

Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah'(contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?.

Kelima

Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w. Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.?

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan kepada beberapa persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir,

DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak?

Ye, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih.

DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim.

DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Ini saya tidak pasti, tetapi sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semau hukum Islam sepatutnya dikanunkan.

Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi.

DR.M : Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

Lebih zalim yang mengkritik tanpa ilmu. Hukuman ini adalah adil atau tidak telah diulas di atas, dan ia juga tertakluk kepada penentuan sama ada hukuman sebat peminum arak adalah hudud atau takzir.

DR. M : Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

Oleh kerana dirujuk kepada hukum al-Quran dan Hadis nabi, hukuman tersbeut patut dijalankan. Kerna arak terbukti merosakkan umum dan bukan hanya individu terbabit semata-mata. Cuba lihat dan fahami statistik yang disertakan di atas.

DR. M : Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.

Boleh rujuk senarai kitab yang dirujuk di dalam nota kaki artikel ini. Itulah kitab-kitabnya. Jika nak lihat gambar kitabnya, saya sertakan salah sebuah darinya yang amat penting. Semoga dapat membacanya dengan faham.

AKHIRNYA DIHARAP TUN DR MAHATHIR SUDI UNTUK MEMBACA ULASAN DAN JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN-SOALAN BELIAU INI.

Zaharuddin.net