19 August 2009

Usrah Bersama YB Khoo


Sahabat-sahabat seusrah bersama YB Khoo

Malam tadi, seperti biasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil mengadakan usrah bulanan yang diadakan pada kali ini di rumah Ketua Pemuda, Saudara Puhat di Taman Jati. Namun usrah kali ini agak berbeza disebabkan kami menerima seorang jemputan yang bukan muslim untuk turut serta secara sukarela ke usrah kami. Beliau adalah YB Khoo Poay Tiong, selaku ADUN Ayer Keroh yang mewakili DAP. Kehadiran beliau di dalam kumpulan usrah kami sangat dialu-alukan dan kami berterima kasih atas kesudian YB untuk turut serta di usrah kami. Kehadiran YB Khoo hanyalah untuk bertemu dan menziarahi sahabat-sahabat dari PAS selain bertukar-tukar idea dan berbincang.


video


YB Khoo berbincang sesuatu bersama Ketua Pemuda Kawasan Saudara Puhat

Berbual-bual selepas tamat usrah

Alhamdulillah, sesungguhnya Islam itu indah. Hanya mereka yang celik akal dan hati dapat melihat kebenaran Islam. Islam tidak memilih kaum, tidak memilih bangsa, dan tidak memilih budaya kerana Islam untuk semua. Islam yang PAS bawa telah memberikan suatu tempias yang positif daripada non-muslim dan mereka sedang mengenal Islam sedikit demi sedikit.

Jika dahulu PAS dimomokkan oleh UMNO sebagai parti agama yang ekstrimis, yang hanya ekslusif untuk orang Melayu. Hari ini ianya terbukti meleset. PAS begitu yakin dengan Islam yang diperjuangkan. Agama Allah ini adalah untuk semua, tidak kira mereka dari golongan muslim atau non-muslim, dan sebagai seorang muslim yang mukmin, seharusnya wajib bagi kita memelihara hubungan baik dengan mana-mana non-muslim yang jelas tidak memerangi Islam. Firman Allah, "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil" Al-Mumtahanah 7.

Seorang demi seorang non-muslim cuba mengenal Islam, hasil dari kerjasama PAS dengan Pakatan yang dibina, PAS melihat ia tidak semata-mata atas tujuan politik, tetapi ia lebih dari itu, kerana elemen dakwahlah menjadi perkara utama dan penting kearah membawa Islam. Pendahuluan kepada dakwahnya adalah melalui ikatan ukhuwwah atau berkenalan walaupun berbeza bangsa atau kaum, kerana Allah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 13,
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".
Maka apakah ada lagi rasa berpuak-puak, perasaan assabiyah dan nasionalisme yang taksub kepada kaum sendiri, sehingga mencetuskan kebencian terhadap sesuatu kaum atau puak yang lain.

Tidakkah ia petanda yang positif buat Islam yang hari ini ia masih dihantui dengan fahaman Islamophobia nya di setiap negara. Ianya gara-gara umat Islam itu sendiri. Andai orang Islam memberikan imej muslim yang baik nescaya ramai lagi orang yang bukan Islam tertarik kepada Islam. Saya pernah bertanya kepada saudara baru yang memeluk Islam, bagaimana beliau boleh tertarik dengan Islam, beliau menyatakan sebab tertariknya beliau kepada Islam adalah agama Islam itu sendiri bukan dari penganutnya. Ertikata lain, denagan melihat kesucian sifat agama Islam itu sendiri yang mendorong beliau memeluk Islam, bukan dari akhlak dan cara hidup umat Islam. Sama-sama kita muhasabah.

Malangya hari ini, terdapat segelintir puak yang mengaku muslim, tetapi menjadi pencemar agama. Tidak perlulah saya beritahu siapa, lihatlah realiti yang berlaku hari ini. Mereka yang non-muslim yang mahu belajar Al-Quran pun dituduh mempermainkan Al-Quran, mereka yang ingin mencontohi pemerintahan Islam dituduh hanya untuk menjaga hati parti/orang Islam lain, menakut-nakutkan non-muslim dengan undang-undang Islam (hudud-potong tangan), malah menggunakan mereka-mereka yang berautority seperti majlis agama dan mufti untuk menjaga kepentingan mereka. Semua ini dilakukan oleh mereka yang bergelar muslim. Ini hanya akan merugikan mereka sendiri-ia tidak sedikit pun merugikan Islam, kerana Islam dari Allah ini tidak memerlukan kita, kita sebenarnya yang memerlukan Islam. Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata, "Kita adalah umat yang diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah."

-Mudah-mudahan Allah memberi Hidayah kepada kita dan kepada non-muslim yang lain - Wallahu'alam

"Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin kepada manusia maka
dia hendaklah mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum
mengajar orang lain. Dan dia hendaklah memperelokkan setiap
tindak tanduknya seharian sebelum memperelokkan dengan
lidah. Dan sesiapa yang mengajar dirinya sendiri serta
memperelokkannya lebih layak untuk mendapat kemuliaan
daripada mereka yang mengajar dan memperelokkan manusia
yang lain"
Saidina Ali bin Abi Thalib


















No comments: