Ketidakbebasan media menyekat hak kita untuk mengetahui. Ketidakbebasan pengangkutan mengikat hak kita untuk bergerak. Isu Editor's Time ntv7 dan Galeri Mandarin Nasional TV2 baru-baru ini memperlihatkan bagaimana kuasa jentera negara menghenyak hak kita untuk mengetahui.
Di samping itu, mungkin kita tidak perasan, bahawa masalah "bergerak" yang kita hadapi saban hari tercetus daripada sekatan terhadap hak kita untuk bergerak. Cek yang dijanjikan oleh kerajaan dalam peruntukan kepada pengangkutan awam untuk beberapa tahun kebelakangan ini, semestinya lebih daripada RM3 juta yang diperuntukkan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Rasa.
2 Mac 2006 : Kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam, dan memperuntukkan RM4.4 bilion yang "dijimatkan" dari subsidi minyak (memberi laluan kepada kenaikan harga minyak) untuk pembangunan sistem pengangkutan awam.
29 Ogos 2006 : TPM Najib (ketika itu) menjanjikan peruntukan RM10 bilion untuk pembangunan LRT di Lembah Klang dalam tempoh empat tahun selanjutnya.
22 Oktober 2008 : PM merangkap Menteri Kewangan Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu) dalam pembentangan Bajet 2009, memperuntukkan RM25 bilion untuk pembangunan sistem pengangkutan awam dalam jangka lima tahun.
4 November 2008 : Najib ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pertamanya, menjanjikan peruntukan RM 500 juta untuk mempertingkatkan sistem pengangkutan awam dalam bandar yang utama di Malaysia.
Kesemua janji ini sekadar angka yang kabur apabila dikemaskini. Biasanya ia diperbesarkan oleh media arus perdana, bersama dengan retoriknya, cuba untuk memberi bayangan bahawa sistem pengangkutan awam akan menjadi lancar pada keesokannya. Apabila membuka mata, kita akan mendapati diri kita masih berada di pondok bas yang sama lapuknya, menunggu bas yang entah bila akan sampai.
Mengabaikan pembinaan pengangkutan awam
Pada masa yang sama, peningkatan taraf sistem pengangkutan awam yang tertunda, menjurus kepada kerugian opportunity cost yang semakin melambung. Misalnya, andaikan sistem pengangkutan setelah diperbaiki, menjimatkan 20 minit untuk populasi enam juta orang di Lembah Klang setiap hari, maka negara kita menjimatkan 480 juta jam setiap tahun. Jikalau setiap jam disamakan nilainya dengan RM5, maka ia mencecah RM2.4 bilion.
Perhitungan ini masih belum mengambil kira subisidi minyak oleh kerajaan, peningkatan produktiviti, penambahan pendapatan rakyat, malah kadar pembacaan yang lebih tinggi, lebih masa untuk membeli belah dan lain-lain kebaikan.
Maka, mungkin anda yang tersumbat dalam LRT akan tertanya-tanya, adakah ia di luar kemampuan kerajaan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam? Harus diingatkan, bahawa kerajaan kita mampu untuk membina Menara Petronas KLCC, yang pernah tercatat sebagai bangunan tertinggi di dunia. Kemampuan ini semestinya memadai untuk pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih baik. Soalnya bukan kemampuan, tetapi kemahuan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Seterusnya, cuba anda bayangkan, kerajaan sanggup membelanjakan RM4.6 bilion (yang mungkin mengembang kepada RM12.5 bilion), untuk membangunkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tanpa manusia, tetapi enggan menyediakan sebuah bas yang menepati masa; kerajaan sanggup menanggung paper loss kira-kira RM1.7 bilion setiap tahun, untuk memberikan kira-kira 70 ribu AP (malah kereta import), sebaliknya menyumbatkan golongan menengah bawah di dalam LRT bagaikan ikan sardin; kerajaan sanggup membayar RM3.42 bilion, untuk membeli jet dan menghantar seorang Spaceflight participant(bukan Cosmonaut) ke angkasa, tetapi mengetepikan projek monorel Pulau Pinang yang memanfaatkan populasi 1.5 juta hanya kerana kehilangan kuasa kerajaan negeri di Pulau Pinang.
Dasar yang ditentukan percaturan kuasa
Pengabaian pembangunan sistem pengangkutan awam bukan disebabkan masalah kemampuan, tetapi satu keputusan setelah pertimbangan kepentingan. Untuk lebih tepat, ia merupakan satu pilihan lantaran percaturan kuasa oleh kumpulan berkepentingan yang berpayungkan patronage. Dengan kata lain, masalah kita seperti dibasahi hujan ketika menunggu bas yang lewat terlalu remeh jika dibandingkan dengan alasan yang diberikan oleh kumpulan patronage.
Oleh itu, ketika menunggu bas, lebih baik golongan menengah bawah berdiam diri dan berhenti mengkritik kerajaan. Ini kerana tangan hitam yang berselindung di sebalik runguntan kita sebenarnya yang mencampur tangan dalam menentukan cara pergerakan kita untuk memaksimumkan kepentingan mereka. Mereka bukan sahaja tidak bodoh, malah lebih pandai daripada kita.
Siapakah kumpulan berkepentingan ini? Mereka termasuklah kereta nasional, pembekal aksesori, pasaran kereta peribadi yang lain, syarikat konsesi lebuh raya, kontraktor pembinaan lebuh raya, pengilang tayar, peruncit minyak dan sebagainya. Jalan raya yang lancar akan menghakis kepentingan mereka.
Gagal menangkis tuntutan kumpulan berkepentingan
Tetapi, apakah kumpulan kepentingan ini tidak wujud di negara yang lain? Ramai orang yang akan melihat kegagalan sistem pengangkutan awam sebagai kemenangan Proton, dengan menuding jari kepada dasar automobil negara. Semestinya pandangan sedemikian mempunyai asasnya. Namun, bagaimana pula dengan negara pengeluar kereta seperti Korea, Jepun, malah China? Mengapa sistem pengangkutan awam negara ini lebih sempurna berbanding kita?
Bertitik tolak daripada itu, punca kelumpuhan sistem pengangkutan awam kita bukan kerana betapa banyaknya kumpulan berkepentingan yang wujud, tetapi betapa lemahnya pemerintah untuk menangkis tuntutan kumpulan ini lantaran kurangnya pemantauan dan tekanan awam. Ia berakhir dengan hubungan patronageantara politikus dengan kumpulan berkepentingan. Kumpulan ini akan menghisap kepentingan di riba penguasa, dan menjadi penyalur kepentingan semasa pilihan raya umum.
Di samping itu, ketika melaksanakan Dasar Ekonomi Baru yang diperkaumkan, penguasa memiliki alasan untuk menghalalkan tindakan yang bercanggah dengan kepentingan awam. Maka AP diberikan kepada kroni atas nama membantu bumiputera dalam bidang automobil; bantuan kepada pembekal kereta nasional yang tidak berdaya saing dijalankan atas nama melindungi usahawan bumiputera.
Mungkin kita ingin juga meluahkan pandangan bahawa bumiputera yang dimaksudkan di atas tidak harus dibimbangi kerajaan, kerana mereka telah memperolehi kekayaan hasil daripada hubungan patronage itu. Malangnya, pertikaian sedemikian akan dilabel sebagai memperlekehkan perlembagaan, mencabar hak istimewa, malah anti-kerajaan.
Tidak salah kalau dikatakan dasar sosial ekonomi negara kita tidak akan bersifat awam, dan hanya bersifat perkauman, selagi pemerintah tetap mendukung perkaumannya. Dasar pengangkutan awam adalah contoh terbaik, ia membabitkan kepentingan awam, tetapi tidak menepati keperluan politik perkauman, ditambah pula perlindungannya kepada kumpulanpatronage, yang berakhir dengan ketidaksampaian dalam menyelesaikan masalah ini.
Kerajaan kita terlalu lama berjinak-jinak dengan agenda perkaumannya. Mereka hanya menjaga kepentingan diri atas nama kepentingan kaum. Mereka telah lupa bahawa apa yang diperlukan oleh warga negaranya hanyalah sistem pengangkutan yang sempurna.
Sumber: MerdekaReview
No comments:
Post a Comment